Thursday, 23 June 2016 By: Naemah

SERONOK MEMBANTU MEK

230616/18 Ramadhan 1437H

Pagi ini Anas dan Mussaab melakukan aktiviti yang luar dari kebiasaan. Jika selalunya banyak menghabiskan masa di dalam rumah, hari ini berpeluh di luar rumah pula. Tiada sebarang permainan yang menarik, sekadar membantu Mek  mengangkut serai untuk dijual :D

Mek berpagian di balik rimbunan pokok serai yang berderet. Mencantas dan memotong setiap barang serai. Sikap rajin dan tekun Mek sejak dari dulu, yang tidak ummi warisi :b

Hari ini, Anas dan Mussaab belajar untuk membantu orang tua. Memberi pertolongan tanpa mengharapkan balasan, penuh ceria dan senyuman. Di sini, ummi belajar erti keikhlasan dari anak kecil ummi ini.

Pada pandangan mata kasar, pertolongan Anas dan Mussaab tidaklah seberapa. Namun pada penilaian ummi, ia tetap membantu. Anas dan Mussaab punya kuasa untuk berlari, ulang alik membawa sebatang dua serai dari tempat Mek memotong serai ke tempat serai dikumpulkan. Bukan sekali dua berulang alik, malah berkali kali. Namun tetap bertenaga dan tetap ceria.

Pertolongan sebegini bukan yang pertama dari Anas dan Mussaab. Tanpa sedar, banyak lagi bentuk pertolongan yang telah Anas dan Mussaab hulurkan buat ummi dan abi. Meskipun dalam bentuk yang kecil, meskipun di luar sedar.

Anas dan Mussaab, kehadiran anak kecil ummi hakikatnya banyak membantu memudahkan kehidupan ummi dan abi. Ummi mensyukuri nikmat ini. Semoga Anas dan Mussaab, suatu hari nanti akan terus ikhlas memberi dan membantu, dalam apa bentuk sekalipun.

Anas dan Mussaab, semoga sentiasa memberi dan menolong dengan keikhlasan sebagaimana yang kalian lakukan hari ini :)






0 comments:

Post a Comment