Tuesday 27 September 2022 0 comments By: Naemah

KELUARGA YANG KITA BENTUK



Ummi- anak bongsu, membesar sebagai anak yatim sejak kecil, beza umur yang jauh dengan abang dan kakak, pendek kata, membesar sorang-sorang dan kebanyakan masa hidup berdua saja dengan mek. 


Abi- anak ke-5 dari 10 adik beradik yang jarak umur mereka dekat dan rapat. Sudah tentu abi membesar dalam suasana lebih ‘meriah’ berbanding ummi.


Ummi dan abi ditakdirkan bersatu. Kemudian Allah anugerahkan zuriat, satu demi satu hadir dalam kehidupan ummi dan abi. Ummi, Abi, Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri, terbentuklah sebuah keluarga kecil kita. Alhamdulillah. 


Di sini menjadi tanggungjawab ummi dan abi membentuk dan mencorak keluarga kita. Ummi dan abi yang tak sempurna, yang banyak kekurangan, yang perlu belajar dari mula, belajar dari kesilapan sendiri, berdepan dengan ujian tersendiri, demi membangunkan dan membentuk keluarga idaman.


Hampir 12 tahun sudah ummi dan abi hidup bersama. Anak-anak yang dulu kecil sudah makin membesar dan punya karakter tersendiri. Sungguh, menggalas tanggungjawab sebagai ibubapa itu tidak mudah. Ia satu perjuangan yang panjang, selagi anak-anak masih di dalam tanggungan. 


Maafkan ummi dan abi yang banyak khilaf dan kekurangan dalam mendidik. Jauh sangat dari sempurna. Sampai ke hari ini, masih juga banyak kekurangan. Maaf kiranya ada hatimu yang terluka dan terguris atas khilafnya kami. Ummi dan abi sedang mencuba yang terbaik. 


Hari ini melihatkan setiap kamu, atas baik buruk sikap kamu, ummi tahu itulah hasil dari didikan kami. Yang baik ummi syukuri, yang tidak baik, ummi sesali. Sesal pada diri sendiri yang tak mampu memberi contoh yang lebih baik. 


Kita masih punya masa dan peluang untuk memperbaiki mana yang kurang. Ummi, abi dan kalian, semua perlu berusaha menjadi yang lebih baik. Keluarga bahagia idaman kita, moga terbentuk dan terjaga. Konflik antara kita, moga dapat kita hadapi dengan bijaksana. 


Allah jualah yang menyatukan hati-hati kita dengan ikatan kasih sayang. Jaga ikatan ini keranaNya. Di sinilah bahagia kita terjamin hingga syurga.


Moga Allah sentiasa berkati keluarga kecil kita, hingga keluarga besar kita. Bertemu dan bersatu keranaNya. 


SK KAMPUNG RINCHING: HARI BERTEMU IBUBAPA



24/9/2022

Hari terbuka SK Kampung Rinching bersama ibubapa untuk membincangkan prestasi anak-anak di sekolah. Selepas di SRIPN hari tu, ini juga pertemuan kali pertama ummi dengan guru kelas Mussaab (kelas 2 Orkid). Dah tentu tak sabar nak hadir dan dengar komentar guru kelas Mussaab berkaitan sikap dan pembelajaran Mussaab di sekolah.


Ummi hadir bersama Mussaab. Abi tinggal di rumah bersama anak-anak yang lain. Alhamdulillah sebab datang awal, boleh jumpa cikgu awal juga, tak perlu menunggu lama. 


Menurut guru kelas Mussaab (Cikgu Zalina), dari segi pembelajaran ok saja, di tahap yang sederhana (tak lemah, tak juga cemerlang sangat). Masih on the track lah kiranya. Cuma buku kerja je banyak yang tak lengkap. Sebab apa? Sebab yang inilah mungkin puncanya. Kata cikgu, Mussaab suka main-main dan sembang dengan kawan masa cikgu mengajar. Tak fokus. Ummi dah agak, hampir serupa saja seperti laporan Ustaz Izz di sekolah agama. Ya Allah Mussaab..


Keseluruhannya, bab yang lain Mussaab ok saja, masalah disiplin pun tak ada. Cuma bab sikap, dan suka main-main tu je masalahnya. Kata cikgu, memang perangai budak lelaki. Masa je yang akan mengubah dan mematangkan. Ummi pun harapkan begitu jugalah. Bukan ummi dan abi tak pesan, tapi Mussaab masih juga begitu ye. 


Insya Allah, seperti kata Cikgu Zalina, ummi juga mengharapkan Mussaab akan berubah menjadi pelajar yang lebih baik dan berdisiplin, fokus di dalam kelas, dan tak main-main lagi ketika cikgu mengajar. Di sekolah, ummi serah pada guru sepenuhnya untuk ‘mengajar’ dan ‘menghukum’ atas segala sikap Mussaab yang tak sepatutnya. 


Bab pelajaran ummi tahu Mussaab perlu lebih tekun untuk meningkatkan prestasi. Sekarang ni pun tak teruk, tapi masih perlu usaha lebih. Buku kerja yang tak lengkap, ummi perlu paksa Mussaab lengkapkan. 


Ummi terima segala komen guru kelas Mussaab dengan hati terbuka. Sedikit sebanyak ummi dapat gambaran bagaimana Mussaab di sekolah, tahu prestasi pelajaran Mussaab, yang pastinya akan membantu ummi untuk memantau Mussaab. Mana yang ok, Alhamdulillah, kekalkan dan tingkatkan prestasi. Mana yang kurang, perlu diperbaiki, insya Allah.


Highlight: tentang penglibatan Mussaab di SKKR, sebelum ni Mussaab ada ikut kem bijak jawi (cikgu yang pilih), Mussaab juga ada sertai pertandingan menyanyi lagu patriotik bersama kawan-kawan (mewakili kelas 2 Orkid) dan menjadi juara untuk tahun 2. Ada jugalah kenangan yang boleh Mussaab simpan, selain dari belajar kat kelas bersama kawan-kawan. 


Alhamdulillah sudah hampir 2 tahun Mussaab di SKKR. Tahun satu banyak belajar secara pdpr, tahun 2 mula belajar secara bersemuka sepenuhnya. Alhamdulillah kehadiran memuaskan. Mussaab seronok saja ke sekolah, walaupun agak penat juga bersekolah 2 sessi setiap hari. Bila dah biasa, Alhamdulillah Mussaab ok saja. 


Hampir menuju ke penghujung tahun. Mussaab teruskan hari-hari bersekolah seperti biasa. Ummi harapkan Mussaab akan lebih seronok belajar dan berkawan, lebih fokus di dalam kelas, dan lebih cemerlang di dalam pengajian. Ummi sentiasa akan doakan, insya Allah.


Maju terus, Mussaab ya!!!


Terima kasih kepada pihak sekolah SK Kampung Rinching atas peluang yang diberikan kepada ibubapa untuk berbincang tentang prestasi anak-anak di sekolah. Semoga anak-anak SKKR akan mendapat pendidikan terbaik di sini, dan terus cemerlang di masa akan datang, insya Allah.






Menunggu giliran berjumpa guru kelas.

Terima kasih Cikgu Zalina!

Sunday 18 September 2022 0 comments By: Naemah

KEPUTUSAN UKS MIQDAD



Keputusan UKS telah diumumkan pada 12/9/2022.


Alhamdulillah Miqdad berjaya melayakkan diri ke SRAI Pekan Beranang tahun depan (2023). Syukur pada Allah. Rezeki Miqdad untuk bersekolah bersama Anas. 


Nampaknya tahun depan Miqdad dan Anas akan bersekolah di sekolah yang sama (SRAI Pekan Beranang). Mussaab pula akan teruskan pengajian di sekolah yang sekarang (SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah). Tak mengapa, di mana-mana pun sama saja. Berjaya atau tidak, bergantung pada diri sendiri dan pertolongan Allah. Baik Anas, Mussaab atau Miqdad, semuanya akan berjaya dan cemerlang, jika berusaha, insya Allah!


Untuk Miqdad, tahniah dan syabas ummi ucapkan. Miqdad dah besar kan? Nak masuk darjah 1 dah. Ummi akan sentiasa mendoakan kejayaan Miqdad, dan semua anak ummi. Tiada yang lebih berbanding yang lain. Semuanya istimewa dengan kelebihan tersendiri. Semua pasti berjaya di atas jalan dan pilihan sendiri, insya Allah!


Perjalanan masih jauh. Ini hanyalah permulaan untuk meneruskan langkah yang masih panjang. Ummi tak akan jemu mendoakan. Ummi akan terus menyokong apa jua pilihan, selagi ianya memberi kebaikan buat anak-anak ummi. 


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri,

Semoga berjaya dan cemerlang kalian, dunia dan akhirat. 

Ameen.

Saturday 10 September 2022 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: ANNUAL SPORTS & MERDEKA CELEBRATION




4-9-2022


Alhamdulillah selesai menghadiri program Annual Sports & Merdeka Celebration anjuran Little Diamond Kindergarten dengan penglibatan semua pelajar 4-6 tahun dan ibubapa juga.


Program kali ini diadakan di PGA Semenyih yang letaknya tak jauh dari rumah. Kebetulan abi tak ada, ummilah yang bawa anak-anak ke program sukan tahunan Miqdad. Sebelum ini (oleh kerana PKP), ia diadakan dalam suasana yang berbeza. Tahun ini Alhamdulillah lebih meriah dan terbuka.


Pendaftaran seawal jam 7.30 pagi, menikmati hidangan sarapan yang disediakan, masuk dewan dan menunggu kehadiran semua pelajar dan ibubapa sebelum memulakan acara.


Anak-anak membuat perbarisan mengikut rumah masing-masing (kuning, biru, merah dan putih), menyanyikan lagu patriotik dan main game. Selesai acara anak-anak, giliran ibubapa pula beraksi. Dah selesai semua, barulah acara perasmian, lafaz ikrar dan penyampaian hadiah. Kuning menjadi juara untuk sukan tahun ini. Semua pelajar menerima hadiah dan medal. Tahniah semua anak-anak!


Kami meninggalkan dewan sekitar jam 12 tengahari. Masing-masing dah penat sangat, singgah beli sedikit makanan di gerai perkarangan Lotus, dan terus balik ke rumah. Sambung buat aktiviti di rumah pula sementara menunggu kepulangan abi dari Kemaman. Insya Allah esok hari akan bermusafir balik kampung pula.


Alhamdulillah dan tahniah buat warga Little Diamond Kindergarten atas penganjuran sukan tahun ini setelah 2 tahun terhalang untuk buat program besar seperti ini. Anak-anak seronok, ibubapa juga tumpang seronok. Sekali lagi, kenangan tercipta buat kita semua.


Beberapa bulan berbaki, untuk Miqdad meninggalkan Little Diamond Kindergarten dan masuk ke alam persekolahan baru. Masa berlalu sangat pantas, lepas Anas dan Mussaab, kini sampai giliran Miqdad pula meninggalkan alam tadika. Harapan ummi, di kesempatan yang masih ada ini, dapat Miqdad menikmati alam kecil ini dengan penuh kegembiraan, mengutip pengalaman dan mencipta kenangan yang mungkin Miqdad tak dapat jumpa lagi bila dah meninggalkan tadika nanti :)


Gambar di sekitar hari sukan;




































Thursday 8 September 2022 0 comments By: Naemah

HARI KELUARGA 2022 @PANTAI SRI TELONG



6-7 September 2022


Alhamdulillah berlangsung sudah program Hari Keluarga (untuk pertama kalinya) yang telah dirancang bersama. Syukur Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang, dengan kehadiran hampir kesemua ahli keluarga (kecuali yang jauh dan tak dapat ambik cuti).


Jumlah ahli keluarga adalah seramai 53 orang, bermula mek hingga ke cicitnya. Kehadiran pada hari tersebut ialah seramai 47 orang. Alhamdulillah. Walaupun last minute plan semua, kehadiran ahli keluarga sangat memuaskan.


Sebenarnya dah lama merancang nak mengadakan Hari Keluarga, namun tertangguh dek banyak halangan, termasuklah PKP yang terpaksa kita hadapi selama 2 tahun. 


Tak melepaskan peluang cuti sekolah ini, tarikh Hari Keluarga dipersetujui bersama (6-7 September 2022). Ahli jawatankuasa dilantik, dibahagikan tugas, dan bertindak segera (sebab seminggu saja tempoh dari tarikh cadangan hingga ke hari pelaksanaan). 


Alhamdulilah semua buat kerja dengan baik, Ajk terdiri dari anak-anak saudara yang dah besar, Hamizah cari lokasi dan tempah bilik (10 bilik yang ditempah). Mujurlah ada bilik kosong lagi, kebanyakan tempat dah penuh sebab musim cuti sekolah. Dia juga yang uruskan t-shirt family day. Syukur juga, sebab ada kedai yang boleh siapkan tempahan dengan kadar segera. Harizah uruskan bab makan, Farhani buat tentative program dan sukaneka, Najwa tempah banner, Asyraf uruskan hadiah, Athirah tolong uruskan game, dan aku pula just kutip duit dan buat pengumuman penting dalam group keluarga :D


Alhamdulillah semua menyumbang sedikit sebanyak, wang ringgit dan kudrat. Banyak juga sponsor itu dan ini, hingga duit kutipan tak habis digunakan. 


Pada hari tersebut, sekitar jam 11 pagi, dimulakan dengan aktiviti bebas dan makan-makan, banyak hidangan hari ini, seperti mi dan bihun goreng, nasi berlauk, kuih muih, kambing bakar, roti jala, dan lain-lain. Ada yang tak lepaskan peluang menyewa ATV, dan bermain bebas di tepian pantai.


Selepas tunaikan solat zohor, dan selepas semua dah sampai (kecuali keluarga Faiz yang ada urusan lain), sekitar jam 3 petang dimulakan dengan sessi bergambar, seterusnya sukaneka untuk kanak-kanak dan dewasa. Agak meriah dan hampir semua melibatkan diri dalam acara yang disediakan. Acaranya adalah rebut gula-gula, lari atas tempurung, tiup belon, lari ikat kaki, makan epal, dan bola bayang. 


Dah selesai acara, kembali ke aktiviti bebas. Naik ATV, mandi laut, naik banana boat dan sebagainya. Semua menikmati keseronokan satu hari ini. Meriah dan gembira yang jarang dapat dinikmati bersama-sama. 


Hampir masuk waktu maghrib, semua ke dewan yang disewa untuk menikmati makan malam dan mulakan bbq. Bergilir makan dan mandi, kemudian solat berjemaah bersama-sama. Lepas solat, mendengar ucapan dari ketua keluarga iaitu abang sulung. Mek dah tak sertai program malam ni sebab penat sangat katanya, just berehat di bilik saja. Malam ni juga anak-anak menerima hadiah setiap seorang. Gembira semuanya dapat hadiah :D 


Majlis ditutup dengan bacaan doa, dan sekali lagi ahli keluarga menjamu selera sebelum balik berehat di bilik masing-masing. 


Esok paginya solat subuh berjemaah, menikmati keindahan pagi di tepi pantai, sarapan pagi, dan bersiap untuk pulang ke tempat masing-masing, jauh dan dekat. 


Alhamdulillah, syukur tak terhingga pada Allah yang mengaturkan semua ini. Kita hanya mampu merancang, namun Allah jualah yang menjadikan ia satu kenyataan. Buat pertama kalinya Hari Keluarga ini diadakan, boleh dikatakan ia sambutan Hari Keluarga yang cukup sempurna. 


Insya Allah kita akan anjurkan lagi Hari Keluarga seperti ini di masa yang akan datang, dengan perancangan yang lebih rapi, dan dengan penyertaan lebih ramai ahli keluarga. 


Untuk mek, pasti mek berpuas hati dengan terkumpulnya anak-anaknya (kami 5 beradik) bersama cucu dan cicit hampir semuanya. 


Mek dah uzur benar, nak melangkah pun berat. Hari ini adalah untuk mek, walaupun mek hanya mampu memerhati dari jauh dan tak mampu nak sertai semuanya. Moga mek puas hati, moga mek gembira, yang penting moga mek sentiasa redha dan restu pada anak cucu mek ini. 


Moga Allah sentiasa merahmati keluarga kita ini. Moga Allah kurniakan mek dan ayah syurga tertinggi atas tiap pengorbanan dari hijrah mek dan ayah ke Kg Legeh untuk sebuah kehidupan yang lebih baik hingga dapat dinikmati oleh anak cucu hari ini. Terima kasih mek dan ayah. Moga syurga menjadi tempat kembali mek dan ayah, dan kita semua. Ameen.




The Moments 



Anas, Suri, Mussaab dan Miqdad 

(Ada cerita cemas sebelum mula program Hari Keluarga ini di mana Miqdad terpijak mata kail kat tepi pantai dan berkejar satu keluarga ke klinik berdekatan untuk buang mata kail yang lekat di jari Miqdad)



Family abang sulung dengan semua anak, menantu dan cucunya.



Family abang no.2. Hanya 5 anak (dari 9 semuanya) yang ada. Seorang lagi lambat sampai, dan 3 lagi tak dapat hadir.



Family abang no.3. Semua cukup, kebetulan yang sulung tengah bercuti semester.



Our family. Alhamdulillah cukup semua.


Siblings: no.1 hingga no.5