Tuesday 29 June 2021 0 comments By: Naemah

NASI DAGANG (KUKUS)

Pagi ni masak nasi dagang. Dah lama tak masak nasi dagang dengan kaedah kukus. Sebab nak cepat, selalu pakai pressure cooker je. 

Hari ni try kukus sebab rasa rindu nak makan nasi dagang yang ‘sebenar’. Alhamdulillah menjadi juga nasi dagang berlaukkan ikan tongkol/ikan aya. Save sini resepi untuk rujukan akan datang :)


*sukatan bahan, ikut anggaran sendiri saja.



Breakfast 


Saturday 26 June 2021 0 comments By: Naemah

SYUKUR ATAS NIKMAT USIA




Jun 1985-Jun 2021


Genap sudah usiaku 36 tahun. Masya Allah. Makin ‘berusia’ aku. Syukur atas nikmat kurniaNya ini. Menempuh suka duka perjalanan selama 36 tahun di dunia ini. Moga-moga berat timbangan amal dan kebaikanku. Walau ku tahu, aku ini hamba yang banyak berdosa.


Lahirku saat dinihari ketika insan sedang lena tidur. Lahir di sebuah pondok kecil, di perkampungan kecil (di dalam kebun getah), jauh dari kediaman yang lain. Alhamdulillah kelahiran yang selamat, dan terakhir dari rahim bonda. Aku kelahiran yang ke-11, dan yang ke-5 dapat meneruskan kehidupan bersama bonda dan ayahnda, 3 abang dan seorang kakak. 6 abang dan kakakku meninggal ketika masih bayi. Alhamdulillah, Allah anugerahkan aku kehidupan. 


Pada usiaku 3 tahun, ayahku kembali ke pangkuanNya. Tinggal aku dan ibu, serta abang-abang dan kakak. Ketika itu 2 abang sudah berumahtangga, kakak dan abang seorang lagi masih belajar. Kemudian seorang demi seorang bertemu jodoh dan aku tinggal berdua dengan ibu. Ibu yang kuat mencari rezeki, tak bergantung pada sesiapa. Tak mengemis dengan sesiapa. Di samping abang-abang dan kakak yang banyak menyokong dan membantu.


Aku menjalani kehidupan gembira seperti anak-anak yang lain walau mungkin agak ‘sepi’ tanpa adik beradik untuk bergurau senda dan ayah untuk bermanja. Tapi Alhamdulillah, ketika itu aku tak rasa itu adalah kekurangan. Allah kurniakan aku kelebihan dalam pelajaran, alam pengajian ku lalui mudah dan cemerlang. Alhamdulillah.


Dari sekolah rendah, ke sekolah menengah, kemudian ke universiti. Aku bersyukur aku mampu melangkah dan menempuh semuanya dengan baik. Ujian tetap ada, namun pertolongan Allah membuatku mampu untuk terus melangkah. 


Tamat pengajian di universiti aku bertemu jodoh. Jodoh yang tak kusangka. Tanpa perlu aku bercinta, tanpa perlu aku mencari. Namun ya, aku sentiasa berdoa dan meminta pada Dia. Dan Allah hadirkan aku suami yang soleh, Insya Allah. Yang menjaga agamanya, yang bertanggungjawab pada keluarganya. Alhamdulillah.


Kini sudah hampir 11 tahun hidup berumahtangga. Aku punya keluarga yang  dulu aku idamkan. Di samping suami tercinta, dan anak-anak yang membahagiakan, aku rasa cukup dan sudah lebih dari cukup Allah memberikan kenikmatanNya padaku. 


Pada usiaku 36 tahun, aku masih berkudrat untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Pada usia ini, aku sedang bergelut dengan ujian yang selayaknya aku tempuh sebagai hambaNya. Pada usia ini, kehidupanku baik dan selesa, meskipun sedang mendepani ujian covid-19 yang memberi tekanan pada sudut kehidupanku yang tersendiri. 


Tiada lafaz, melainkan ALHAMDULILLAH, segala pujian hanya layak buatNya. Dia memberikan aku sebuah kehidupan 36 tahun yang lalu. Dia memimpin langkahku sejak dari itu sehingga ke hari ini. 


Terima kasih ya Allah, semuanya dariMu. Moga hidupku juga sentiasa untukMu


Terima kasih bonda yang melahirkanku. Moga syurga tempat kembalimu.


Terima kasih suami. Mencintai aku seikhlasnya meski dengan kekuranganku yang banyak.


Terima kasih anak-anak. Hadirnya kalian mengajarku tentang banyak perkara.


Terima kasih semua yang pernah hadir dalam hidupku. 


Alhamdulillah. Aku benar-benar bersyukur atas tiap kurniaNya. 


36 tahunku yang sangat bermakna. Moga Allah ampunkan segala dosaku. Moga Allah lorongkan aku ke jalan yang benar dan diredhaiNya. 


آمين




Anugerah terindah dariNya

Tuesday 22 June 2021 0 comments By: Naemah

RAGAM PDPR ANAK-ANAK


Catatan pdpr lagi. Entah sudah musim ke berapa. Pdpr sudah bermula sejak tahun lepas, 2020. Dapat kembali bersekolah sekejap, kemudian pdpr lagi dan lagi. Penat…


Ya, semua penat. Penat nak biasakan dengan hal yang tak biasa ni. Walaupun sudah setahun begini, masih ini bukan situasi pembelajaran yang normal. 


Bermula 14 Jun, Anas, Mussaab dan Miqdad semuanya perlu ber’pdpr’. Dari dua dah jadi tiga orang yang perlu ummi pantau pembelajaran di rumah. 


Anas (tahun 3, SRAI Pekan Beranang), jadual masih seperti yang sebelum ni. 3 matapelajaran setiap hari. Kelas menggunakan aplikasi google meet, 1-2 kelas online sehari, dan sentiasa ada tugasan yang perlu disiapkan setiap hari.


Time online, dah boleh serah pada dia sendiri. Ummi just join link yang diberi, selebihnya Anas control sendiri. Dah faham, time belajar wajib on camera dan on suara hanya bila guru bertanyakan soalan. Bila belajar selalunya Anas akan fokus pada kelasnya. Cuma time buat tugasan, ada juga yang ummi perlu jelaskan dan terangkan untuk kefahamannya. 



Mussaab (tahun 1, SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah), agak mencabar juga nak pastikan Mussaab kekal fokus dalam kelas. Memang tak boleh nak duduk diam lama-lama. Kejap bangun berjalan, berpusing, geram dibuatnya. Tambahan pula dia paling banyak kelas dan tugasan, ya, sangat mencabar dan menguji sabar. Memang nak kena ada di tepinya selalu. Baru jalan semua kerja. Tapi adalah juga harinya dia akan ‘bagus’ sangat tak perlu ummi bebel panjang.


Jadual terkini, Mussaab belajar secara online mengikut jadual SKKR pada waktu pagi, dan petang pula kelas SRIPN. Tugasan sentiasa ada, online dan offline. Kadang-kadang rasa tak terkejar nak buat (sebab sebolehnya nak cuba siapkan pada hari yang sama, tak nak kacau weekend). Tapi Alhamdulillah masih sempat dikejar, walau agak mencabar. 



Miqdad (5 tahun, Little Diamond Kindergarten), ini pdpr pertama Miqdad sejak masuk sekolah. Dah masuk minggu ke-2 Miqdad ber’pdpr. Baru nak serasikan diri dengan cara pembelajaran secara online. 


Kelas Miqdad jam 11.30 pagi setiap hari. Time kelas dia, takde sesiapa boleh pakai laptop sebab dia nak pakai (laptop ada satu je). Kalau bertembung dengan kelas abang-abang, abanglah yang kena mengalah pakai handphone. Kalau tak? Dia tak nak join kelas. Hai, sabar jelah. 


Time belajar, fokus juga sering lari dek gangguan kiri dan kanan. Abanglah, adiklah, nak kena ada orang ‘jaga’ dan awasi kat sebelah juga. Kalau bukan ummi, Anas yang akan tolong tengokkan. Kalau tak, sendirian saja. Itupun akan banyak bangun dan mencari-cari ummi. Dan baru juga pandai nak on/off mic dan video. Miqdad hanya perlu selesaikan tugasan di dalam worksheet bersama teacher time kelas. Dah habis kelas, habis jugalah kerja. 


Begitulah antara ragam pdpr anak-anak. Ada harinya baik saja berjalan. Kerja cepat siap. Ada harinya juga penuh cabaran dan liku. Emosi, mental, fizikal, penat semua.


Bersyukur untuk 2 minggu ni suami ada kat rumah. At least, banyak kerja rumah yang dia bantu termasuk memasak. Aku hanya perlu fokus pada pembelajaran anak-anak (bab pdpr suami kurang masuk campur, kecuali ada masalah teknikal dia akan bantu). 


Pdpr tak mudah sebenarnya buat ibu/bapa. Tambahan yang punya anak kecil dan ramai. Persediaan untuk masuk kelas perlu dipastikan lengkap, whatsapp/telegram perlu dicek selalu untuk segala info dari guru, segala tugasan perlukan catatan rapi agar tak ada yang tertinggal, perlu guide dan ajar anak-anak untuk selesaikan tugasan, kehadiran juga perlu direkod, segala tugasan perlu dihantar pada setiap guru, di samping itu perlu ajarkan anak tentang adab di depan guru (walaupun bukan belajar secara berdepan), contohnya tak boleh makan masa guru mengajar, tak boleh sesuka hati bangun dan pergi, tak boleh sembang dengan abang/adik, tak dicakap dan diingatkan memang mereka tak tahu dan akan buat hal sesuka hati (tak rasa perbuatan tu salah dan tak beradab), dan cabaran-cabaran yang lain lagi. Itu baru cerita tentang pdpr. Belum tambah tugasan azali lagi lagi sebagai isteri dan ibu. Tambahkan keduanya (tambahan jika tiada sokongan suami) bertambah berat dan terbeban rasanya seorang ibu. 


Penat. 

Aku rasa aku tak keseorangan menanggung rasa ini. Banyak keluhan dan ratapan yang aku baca dan dengar. I feel you! Itu je yang boleh aku cakap. Walau mungkin cabaran dari sudut yang berbeza-beza, tapi aku sangat faham akan rasa itu. Apatah lagi yang lebih kurang bernasib baik. Bertambah beban yang ditanggungnya. 


Hati ini tetap berharap. Ini adalah ujian sementara buat kita semua. Ini adalah ‘tekanan’ untuk mengeluarkan yang terbaik dari diri kita, insya Allah. Yang mampu aku nasihatkan (untuk diriku juga), bertahanlah, semua ini akan berakhir juga dengan izinNya. Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Pertolongan Allah sentiasa ada. Berdoalah tanpa jemu. Allah dengar. 


Doaku (dan pasti doa semua juga), kita akan melepasi ujian ini dengan cemerlang. Percayalah Allah lebih tahu apa yang sedang kita rasakan ini. Allah sedang menguji hambaNya. Allah juga pasti kan membantu hambaNya untuk mengharungi semua ini.


Semua ini akan berakhir juga.

Kita kan mendapat kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.


Ayuh, sama-sama usahakan yang terbaik buat diri kita dan anak-anak. 



Anak-anakku, moga mudah perjalananmu dalam menuntut ilmu dan kan menjadi generasi bijak pandai, cemerlang akademik, agama dan cemerlang akhlak dan adab.

Ya, meski kau sedang menempuh perjalanan yang berbeza.










Friday 11 June 2021 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: 22 MONTHS OLD




Suri Lilyana

15/8/2019-15/6/2021


Genap usia Suri 22 bulan. Dah tak lama nak masuk 2 tahun. Dah besar dah princess ummi dan abi. Tapi dah lama ummi tak update tentang Suri di blog ummi. Sorry sayang. Ummi sangat sibuk dengan urusan lain. Jadi kurang berinspirasi untuk menulis.


Ok, hari ni ummi berkesempatan untuk menulis tentang Suri. Suri yang dah semakin besar, aktif dan cerdik.


Kali terakhir bawa Suri check up di klinik ialah pada usia Suri 21 bulan. Ada satu lagi temujanji iaitu pada usia Suri 2 tahun. Check-up yang lepas sebenarnya adalah susulan dari pertemuan sebelum tu (pada usia setahun setengah), yang mana berkaitan dengan masalah speech delay (yang dikhuatirkan) sebab pada usia Suri setahun setengah masih belum menyebut ‘satu perkataan yang bermakna’ seperti ummi dan abi, susu, makan, dll. Mulanya ummi tak perasan sangat pasal tu, tak adalah pula ummi nak compare dengan abang-abang Suri sebab ummi rasa Suri normal je, walaupun abi asyik dok desak Suri bercakap :) tapi bila misi di klinik bertanyakan soalan tu, kelu dan risau pula ummi. Barulah ummi nak start compare dengan abang-abang. Dan kalaulah abang-abang Suri yang jadi kayu ukur, memang hakikatnya Suri dah tertinggal di belakang bab bercakap. Sebabnya, Anas, Mussaab dan Miqdad memang cepat dapat word dan bertutur dulu. 


Dah macam tu, misi refer ke doktor. Doktor tanya macam-macam soalan. Tapi tak nampak serius sangatlah, cuma dia set temujanji 3 bulan seterusnya iaitu pada temujanji yang lepas.


Ya, sekarang Suri dah dapat beberapa perkataaan yang boleh disebut. Sikit jelah, tapi ada. Contohnya apple, ball, air, saya, ball.. yang biasa disebut-sebut. ‘Ummi dan abi’  belum berjaya lagi. Ada juga la kedengaran sayup-sayup :D Alhamdulillah itupun sudah sangat bersyukur, walaupun kalau ikutkan hati nak ‘lebih’ lagi. Untuk temujanji kali ni, respon misi dan doktor pun macam biasa-biasa je. Normal je kot Suri! Cuma lambat sikit berbanding abang-abang. Ummi positif je la. Misi just guide cara bercakap dengan anak, untuk bagi dia cepat bercakap. Pengalaman baru untuk ummi (walaupun dah anak empat pada hakikatnya). 


Satu lagi masalah, ialah pasal kutil/ketuat yang naik di badan Suri. Sebijik dua je, tapi hilang satu, naik pula satu kat tempat lain. Ummi anggap biasa (sebab abang-abang Suri pernah ada, sekarang dah tak ada), tapi doktor bagi surat refer ke pakar kulit di hospital Serdang (masih belum berkesempatan untuk ke sana sebab abi selalu tak ada di rumah).


Itu la serba sedikit tentang ‘masalah’ Suri pada usia sekarang ni. Bab lain, semuanya ok dan normal. BMI cantik, faham arahan, aktif dan banyak akal juga. 


Cuma bab bercakap, mungkin ada sebabnya Suri lambat sikit. Salah ummi barangkali, kerana banyak sibuk dengan hal abang-abang (tambahan pula PKP dan pdpr sejak sekian lama), fokus ummi banyak pada abang-abang. Jarang ada aktiviti khusus dengan Suri. Abi pula jarang ada di rumah (kalau abi ada dia yang rajin layan Suri kan). Ini juga ujian. Kesinambungan dari ujian covid-19 yang belum berkesudahan. Maafkan ummi. Bukan salah takdirNya, cuma ummi lewat tersedar dan kurang berikhtiar.


Apapun ummi berserah pada takdir. Allah tentukan semua. Ummi juga tak ingin memaksa dan menekan semata nak Suri cepat bercakap. Perlahan-lahan tak mengapa, insya Allah Suri akan bercakap juga nanti. Lancar dan fasih! Insya Allah. 


Dan Alhamdulillah Suri membesar baik, di samping abang-abang yang saban hari ada bersama. Riuh rendah tiap masa kan? Abang-abang, kadang-kadang buat hal sendiri, kadang-kadang juga akan bermain dan melayan Suri. Saat bermain bersama, itulah yang paling menghiburkan. Moga kan bersatu dan mesra selamanya, Suri dan abang-abang.


Ok sudah panjang catatan ummi tentang Suri. Tak ada yang merisaukan, insya Allah. Suri akan membesar baik seperti abang-abang juga. Malahan dilimpah dengan kasih sayang kiri dan kanan. Kasih ummi dan abi, kasih abang-abang, dan kasih Allah yang paling utama.


Suri ummi yang cantik.

Doa ummi kan sentiasa mengiringi.

Moga membesar jadi hambaNya yang taat dan solehah.

Terjaga maruah, terhias indah akhlak dan budi.

Insya Allah bahagia untukmu dunia dan akhirat.


Ummi sayang Suri dunia akhirat.





Hari bahagia bersama ummi, abi dan abang-abang

Moga bahagia sentiasa buatmu duhai puteri

DULU DAN SEKARANG: APA YANG BERBEZA??



11/12/2010-11/6/2021


Genap sudah 10 tahun setengah usia perkahwinan. Alhamdulillah. Syukur atas tiap detik menjadi pasangannya.


Dulu (awal pernikahan) dan sekarang (dah dekat 11 tahun) apa yang berbeza? 


Dulu dan kini, dah tentu takkan sama. Contohnya, dulu kurus dan slim. Sekarang? Hahaha.


Dulu baru nak kenal, kini dah semakin mengenali dari sisi baik dan buruk masing-masing. 


Apa lagi  yang berbeza? Atau tiada yang berubah?

Izinkan aku catatkan di sini

Dia yang terhadap diriku.




Panggilan/gelaran

Aku dan dia yang tak saling mengenali (sebelum kawin). Hanya sempat berhubung beberapa kali selepas bertunang. ‘Awak dan Saya’ itulah kata ganti diri yang paling selesa. 


Dah bernikah, panggilan selayaknya seperti pasangan lain juga :)


Selepas 10 tahun

Masih kekal ‘sayang’ tapi berselang-seli ummi/abi :) biasalah bila dah anak berderet kan?? (Aku tahu ada je yang kekal sayang, manja, baby, darling… sampai ke tua pun)




Perwatakan

Dia yang sangat pemalu. Ya, sebelum benar-benar mengenali. Kelihatannya lebih pemalu dari sang gadis. 


Selepas 10 tahun

Dia seorang suami yang sangat menghiburkan (walaupun bukan seorang yang kecoh dan banyak cakap). Yang penting tiap jenaka dan gurauannya membahagiakan aku (walaupun kadang-kadang aku pula yang terlebih sensitif).




Nada bicara

Awal perkahwinan sudah tentulah penuh  dengan kelembutan dan berjaga-jaga dalam percakapan. Maklumlah, baru nak berkenalan  dan bercintaan :D


Selepas 10 tahun

Hmm.. masih sangat menjaga. Namun adakalanya tak terlepas dari tersilap kata dan mengguris rasa (samalah dua-dua). Dek stress, penat, menempuh situasi dan hari mencabar, macam-macam nak fikir, nada bicara dan respon juga boleh jadi menyakitkan hati pasangan yang mendengar. Namun syukur, dia tak pernah berkasar bahasa atau meninggikan suara padaku. Bila dia diam dan pergi, aku faham dia sedang marah. 




Sms/whatsapp/call/video call

Bila jauh tentunya teknologi yang menjadi penghubung. Dulu sms saja. Sering rindu, sering juga berbalas sms (atau call). Gembira dan bahagia mendapat panggilan dan sms dari yang tercinta.


Selepas 10 tahun

Masih lagi. Kini dah makin canggih. Whatsapp, video call, hantar gambar dan video pun boleh. Bila jauh, tetap merindui. Cuma bila disibukkan dengan hal anak-anak, tak adalah nak habis masa dengan whatsapp dan call saja. Dan bila call, kadang-kadang penuh satu frame bila semua nak bercakap :D




Sikap

Awal pernikahan, romantik dan gentleman, itulah  penilaian awal aku terhadap dia. 


Selepas 10 tahun

Lebih kepada sangat bertanggungjawab, empati dan setia. Lupakan cerita romantik dan lemah lembutnya, kini diiring 3 hero dan 1 heroin yang sedang membesar, tak adanya nak berlemah lembut tiap masa :D tapi tetap dia masih suami yang sangat penyayang dan menghargai isterinya.



Pergolakan rumahtangga

Biasa lah bahtera mana tak dilanda badai. Tapi awal perkahwinan rasanya tak ada apa nak di’gaduh’kan. Baru je nak kenal-kenal. Semakin melangkah bulan dan tahun, perselisihan tak dapat dinafikan. Namun tak ada yang keterlaluan. 


Selepas 10 tahun

Padaku, hubungan lebih baik dan jarang berselisih faham. Mungkin kerana sering jauh, mungkin kerana sudah makin matang dan banyak belajar dari kesilapan lalu, mungkin kerana lebih mengenali pasangan, tahu apa yang sering mengundang perselisihan dan tahu bagaimana nak kawal keadaan…

Syukurlah. Hubungan semakin baik dan utuh. Moga Allah bimbing kepada kebahagiaan dan kedamaian yang berpanjangan.



Cukup aku highlight sampai sini. Aku bukan judge dia, dia tetap suamiku yang sangat aku cintai. Ada kelebihan, ada kekurangan. Namun doaku agar aku hanya akan melihat kebaikannya, dan abaikan kekurangannya. Itu kerana dia juga sedemikian. Terima baik buruk aku seadanya. 



10 tahun setengah yang berjalan tak terlalu dirasakan.

Bergantian ujian dan rahmat.

Namun keseluruhannya adalah bahagia

Syukur pada Allah atas anugerah  ‘jodoh’ ini.

Moga kan bersatu selamanya dunia dan akhirat.


آمين





11/6/2010

Hari pertunangan





Saturday 5 June 2021 0 comments By: Naemah

IBU SEPERTI APA AKU





Kisah yang sekarang.

Pdpr/cuti sekolah/PKP/Suami berkuarantin/offshore 


Memulakan hari seawal Subuh pagi. Seorang demi seorang bangun dari tidur, tak ada yang terkecuali. Semua memulakan hari bersama-sama. Mandi dan solat Subuh. Kalau rasa ‘malas’ lagi nak turun baring sekejap di katil. Kadang terlelap, selalunya baring sekejap je sebab anak-anak dah menunggu nak breakfast, dan banyak lagi kerja tengah menunggu untuk dibuat.


Dalam 2 hari sekali akan masukkan kain baju dalam washing machine, tinggalkan dan turun ke bawah. Kalau Suri belum turun akan mandikan Suri dulu. Kalau dia dah turun dulu, lepas breakfast baru mandi. 


Turun bawah, anak-anak dah terlebih dulu aktif dengan aktiviti masing-masing. YouTube sering jadi pilihan. Kalau tengok educational video, ummi ok je! Kalau yang tak sesuai, membebel dulu seround. Masak breakfast. Kitar menu yang sama je. Nasi goreng, mee goreng, bihun goreng, roti sosej, burger, nasi lemak, roti telur, dan menu lain lagi yang simple dan cepat (time suami ada barulah pelbagai menunya sebab dia pun rajin sediakan breakfast). Kalau ‘malas’ nak bersilat kat dapur tu, foodpanda jelah. Tapi tak selalu lah. Mahal weh! Sekali order tak kurang rm30 untuk aku dan anak-anak.


Lepas siap breakfast semua, kemas meja makan, sapu lantai dan clearkan sinki. Anak-anak sambung ‘kerja’ masing- masing. Lama duduk mengadap tv, kena bebel seround lagi, sampai semua bergerak buat kerja lain. 


Siap di bawah naik atas jemur kain. Kalau Suri ikut naik, maknanya kena susukan dia dulu baru boleh rehat atau turun semula ke bawah. Kalau rajin sikit, lipat kain yang diangkat 2 hari lepas. Kalau tak rajin, kumpul dulu dengan kain hari ni dan lipat sama-sama dengan Anas dan Mussaab nanti. Kalau rajin lagi, kemas apa yang patut kat bahagian atas ni. Kalau tak rajin, biar je la dulu. Baring-baring layan social media la sekejap (selalunya taklah sekejap, selagi anak tak memanggil-manggil).


Dah selesai semua, turun semula ke bawah. Cari idea nak buat aktiviti apa dengan anak. Sesekali bagi tugasan dalam workbook, sesekali ajak melukis, buat kraf ke, atau apa-apa yang boleh buat mereka lupakan gadget. Aktiviti dengan Suri juga, ikut apa yang terlintas saja. Ambik masa dalam 30 minit ke 1 jam sebelum masuk dapur, siapkan hidangan tengahari pula. Tengahari selalunya akan masak, dah lama rasanya tak order makan luar.


Makan tengahari sama-sama. Ulang kerja yang sama, kemas dapur dan meja makan, sapu lantai dan cuci pinggan mangkuk. Anas dan Mussaab dah boleh harap cuci pinggan sendiri dan berkemas sorang sikit (kalau tak suruh tak buat juga, tapi kalau datang rajinnya tak perlu disuruh-suruh).


Zohor naik atas mandikan Suri, solat dan tidurkan Suri (dan tidur sekali dengan Suri). Anak-anak enjoy main game (lepas zohor dapat hadap gadget sorang satu). Bangun dari tidur selalunya lepak je kat bilik sampai asar. Lepas asar baru turun semula. Stopkan mereka yang tengah main game. Suruh solat, dan prepare makan malam pula. Memang makan malam awal, sebelum pukul 7 malam dah settle bab makan. 


Lepas makan ‘paksa’ main kat luar pula. Buatlah apa nak buat asalkan tak mengadap gadget dan skrin. Alhamdulillah ada halaman luas dan selesa untuk bebas bermain. 


Dah dekat Maghrib ‘paksa’ pula naik ke atas untuk mandi, solat dan mengaji Quran. Ajar seorang demi seorang, sambil layan Suri yang asyik nak mengacau saja. Kadang bagi ‘cuti’ mengaji (dalam 2 kali seminggu), ganti dengan sessi melipat kain baju bersama-sama. Atau kalau memang mood tak berapa baik, lebih baik tak mengajar al-Quran dari banyak meninggi suara time mengajar (padahal kesilapan anak tak seberapa). Jika suami sedang berkuarantin di hotel, memang tiap malam akan video call. Kalau dia dah ke laut, loss contact buat seketika.


Lepas Isyak semua akan tidur, tak ada aktiviti lain dah. Memang dah didisiplinkan untuk tidur awal supaya lepas tu boleh la ummi ada ‘me time’ sekejap (kononnya) sebelum tidur.


Lepas dah tidur semua turunlah ummi ke bawah. Masa nilah nak kemas, buang sampah segala. Kalau rajin, mop lantai sesekali. Kalau tak rajin, apa pun tak buat, dengan harapan esok pagi boleh la ajak anak-anak berkemas bersama. Layan drama di tv, layan je mana yang best sebelum masuk tidur.


Begitulah seharian berlalu di musim cuti sekolah dan PKP ni. Tapi kalau suami ada kat rumah, ada la sedikit berbeza. Kerja rumah dah banyak kurang dah kalau dia ada. Tapi tulah, sekarang ni dah makin kurang masa dia di rumah dek banyak habis masa dengan kuarantin di hotel.


Dalam kesibukan hari (taklah sibuk sangat kan), emosi turun naik tu dah tentulah. Watak pun sering je bertukar ganti, lembut dan kasar, nada rendah dan tinggi, wajah senyum manis dan mencuka, cukup semua. Kerana aku insan biasa. Tak sempurna pun. Not a supermom. Sedar dan sedang belajar dari kesilapan demi kesilapan. 


Memang masih banyak yang perlu diperbaiki. Tambahan anak-anak 24 jam di rumah. Masing-masing ada ragamnya. Dan mereka juga lah saksi utama atas tiap perilaku ibu mereka ni.


Ya, aku hanya ibu biasa seperti orang lain. Malahan kurang banyak. Mencuba dalam ketidaksempurnaan. Niat sentiasa mahu berikan yang terbaik buat anak-anak, namun adakala tersilap cara dan ‘melukakan’ hati mereka juga. Sering juga berada dalam situasi serba salah, apakah cara mendidikku ini baik untuk mereka, atau untuk kepuasan aku sahaja? 


Tak lepas kadang-kadang dari ‘menghukum’ diri. Aku ibu tak bertanggungjawab dan cuai-bila sesuatu terjadi pada anak.

Aku ibu yang gagal-bila anak berperilaku kurang baik.

Aku ibu yang tak pedulikan anak-bila terpaksa biarkan anak-anak buat hal masing-masing sendirian sepanjang hari.

Aku ibu yang kejam-bila banyak marah dan hanya tahu mengarah saja.


Sesungguhnya terasa penat menjalani hari. Namun sentiasa untuk selalu memberi motivasi pada diri agar sentiasa bersemangat menempuh hari bersama anak-anak, walau di dalam situasi ‘terkepung’ dan tak dapat ke mana-mana. Cuba untuk jadi ibu yang baik, yang mendidik dengan sebenarnya. Hapuskan segala fikiran negatif, sentiasa refresh niat dan bangkit untuk bermula semula. Jatuh lagi, dan bangkit lagi. Jangan sampai jatuh dan tak bangun-bangun lagi!


Benar ku tak sempurna. Pada Allah saja aku berlindung dari melakukan kesilapan yang tak sepatutnya dan tak selayaknya sebagai seorang ibu.


Allah ampunkan segala dosaku.

Allah bimbingku dalam mendidik

Agar anak-anakku mendapat dan menjadi seperti yang KAU mahu.




Friday 4 June 2021 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 040621




Hari ke-2 abi di Kota Bharu untuk bertugas di sana pula, selepas 10 hari berada di rumah. Masih PKP, masih cuti sekolah, memulakan hari seperti kebiasaan, selepas masuknya waktu Subuh. Ummi sediakan breakfast, masak kari daging dan ayam goreng (untuk makan tengahari terus), juga masak roti paratha untuk Mussaab dan Suri. Anas dan Miqdad makan nasi. 


Lepas makan buat aktiviti sendiri. Duduk depan tv, tukar-tukar channel di youtube. Anas pula ‘study’ depan laptop. Katanya study sejarah. Macam-macam negara dah dia ‘explore’ dekat youtube. Siap buat komik sejarah lagi. Moga bermanfaatlah untuk Anas. 


Ummi dan Suri keluar kemas dan basuh lantai di bahagian porch. Lepas tu naik mandikan Suri. Abang-abang asyik dengan hal sendiri. Jam 10.30 ummi turun dan buat aktiviti kraf dengan Mussaab. Suri dan Miqdad menconteng di kertas dan cawan kertas. Anas, masih pada posisinya. 


Hampir jam 12 ummi goreng ayam dan buat telur dadar untuk Mussaab (yang tak suka ayam). Makan tengahari sama-sama. Jam 1, pakat mencapai hp dan ipad sebab dah masa untuk main game. Semangat! Lepas solat zohor, masing-masing mengadap game. Ummi tidur bersama Suri.


Lepas solat asar ummi turun ke bawah bersama Suri. Masih dengan game semua. Ummi suruh stop main dan solat asar. Akurlah semuanya.


Ummi order foodpanda untuk makan malam. Beli nasi goreng Harraz. Bermain dan berlari di halaman sementara tunggu order sampai. Lepas tu makan sama-sama. Lepas makan sambung main lagi, sampai jam 6.30 petang. Masuk rumah, mandi dan ready untuk solat Maghrib dan baca Quran. Sementara tunggu azan, baca komik Gaza dulu. Ulang baca katanya, nak bagi faham betul-betul. 


Lepas solat Maghrib dan baca Quran, video call sekejap dengan abi. Esok pagi abi dah nak ke laut. Lepas tu solat isyak dan siap untuk tidur. Anas, Mussaab dan Miqdad, sekejap saja dah lena. Suri tadinya dah banyak tidur. Puas susukan, ke kiri, ke kanan, turun naik katil, last-last menangis ajak turun ke bawah. Mula tu keluar sorang, ingat abi ada agaknya. Dah nangis sakan, ummi terpaksa la bawa turun ke bawah. Ummi buka tv, Suri main dengan barang yang ada kat sofa. Berkali-kali cuba tidurkan, tak nak juga. Tak pernahnya Suri macam ni. Sampai jam hampir ke 12 malam, ummi bawa Suri naik dan susukan. Akhirnya tidur juga. Fuh... jangan buat macam ni lagi lah Suri. Harapnya tak bangun menangis lagi malam ni.


Selamat malam semua.


Semoga bermimpi indah. Semoga hari esok kan lebih baik buat Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Moga dipermudahkan urusan abi di sana dan semoga kan bersua kembali. 


Moga Allah kurniakan kesihatan buat kita semua dan semoga Allah merahmati dan memberkati kehidupan kita. Ameen. 

Thursday 3 June 2021 0 comments By: Naemah

RUANG PKP DAN CUTI SEKOLAH




10 hari abi di rumah (24/5-2/6). Alhamdulillah terubat rindu setelah berminggu berjauhan. Setelah sekian lama, dapat juga ‘beraya’ dengan abi. Walaupun masih PKP, malahan kes covid-19 pun dah menghampiri 10k, kepulangan abi sangat-sangat disyukuri. Ya, walaupun tak dapat ke mana-manapun dengan abi. Stay at home je!


10 hari ni, macam biasa abi ambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga di rumah. Cukupkan keperluan, repair mana perlu, imam solat tiap waktu, sesekali masuk dapur memasak, kemas rumah, potong rambut anak yang dah panjang, dan sebagainya.


Dalam tempoh abi di rumah, sempat abi siapkan ‘laman’ untuk anak bermain di luar. Rumput yang panjang abi mesin (beli mesin rumput sendiri). Laman yang bersemak dah kembali lapang. Abi pasangkan karpet rumput (tak perlu nak potong rumput dah lepas ni). Tapi separuh dari tanah tu je la. Kat sini anak akan lebih bebas bermain dan berlari. Semua abi buat sendiri je. Lapisan demi lapisan. Alhamdulillah siap juga.


PKP yang sudah lama, dan entah bila akan berakhir ini, anak-anak pun dah biasa duduk di rumah. Dah tak terfikir nak keluar berjalan. Faham situasi. 


Kini berada dalam tempoh ‘total lockdown’ (tapi rasa macam tak ada beza dengan PKP-PKP sebelum ni). Dan juga musim cuti sekolah pertengahan tahun. Rehat sebentar dari Pdpr, anak-anak punya masa yang banyak sebab tak perlu join kelas dan buat homework. Kalau dibiarkan memang youtube dan game sajalah yang jadi pilihan. 


Sesekali beraktiviti dan limitkan masa dengan gadget, tapi memang tak upaya nak kawal sepenuhnya. Mujurlah abi buat laman kat luar tu, petang-petang main kat luar, berlari dan buat aktiviti yang lain. Siap baring dan berguling dengan riangnya. 


Terima kasih abi. 10 hari yang sangat bermakna. Abi perlu kembali bekerja. Tapi insya Allah kali ni tak lama sangat, walaupun perlu berkuarantin juga. 


Terima kasih abi. Abi sediakan cukup segala, walaupun (situasi kini) buatkan masa bersama kita sangat terhad. Anak-anak cuba untuk difahamkan, dan insya Allah akan lebih memahami situasi sukar sekarang ini. 


Selamat kembali bertugas abi. Semoga dipermudahkan urusan kita semua. Semoga kan bersua lagi. Insya Allah



Alhamdulillah untuk ‘ruang’ ini