Thursday 28 May 2020 0 comments By: Naemah

KEMBALI KE KEHIDUPAN NORMAL PKP




Pada 5 Syawal, suamiku kembali menyambung tugas setelah sebulan setengah berada di rumah. Kali ini tugasnya adalah di Miri, Sarawak. Kemudian akan ke Labuan, Sabah untuk satu tempoh yang mungkin agak lama. Lebih lama dari kebiasaannya. Ya, kerana PKP yang masih berlanjutan. Suamiku perlu menjalani kuarantin di tempat kerja, sebelum memulakan kerja dan sebelum kembali ke rumah. Allah.. ujian perpisahan yang menguji kesabaran. Tingkatkan sabar kami, ya Allah.


Namun kembali ke masa lepas, melalui hari-hari bersama yang penuh bermakna. Sebulan penuh, dapat berpuasa bersama-sama. Dapat berjemaah solat lima waktu, solat terawih dan solat sunat Aidilfitri. Syukur yang tak tergambar. Kerana belum pernah sebelum ini diberikan peluang seperti itu. Ia menjadi kenangan Ramadan dan Syawal yang sangat indah. Ya, itu antara hikmah di sebalik ujian Covid-19 dan PKP.


Sepanjang masa suami di rumah, terlalu banyak beban kerja yang diambil oleh suami termasuk memasak, mencuci dan menjemur kain, membuang sampah, mengemas rumah, dan banyak lagi. Aku pada kebanyakan masanya hanya perlu fokus pada Suri yang sukar nak berenggang. Pastinya aku takkan lupa tiap susah payah suami yang membantu, meski selama ini dia memang banyak membantu ketika berada di rumah. Barangkali kali ini sangat lama dia di rumah, aku dapat rasa terlalu besarnya rahmat Allah bila ada ada di samping.


Kini dia dah kembali ke tugas mencari rezeki. Kembali berpisah dan Insya Allah bertemu lagi. Aku tak sedih, kerana awal-awal lagi dah bersedia untuk dia ‘pergi’ bila-bila masa. Tapi sedikit sebanyak rasa kehilangan. Aku tahu aku akan kembali ‘sibuk’ dengan rutin harian. 

Dah cukup ‘rehat’ yang Allah berikan untuk aku. Dia kembali ke lapangannya, dan aku kembali ke lapanganku. Allah, aku perlu bersedia dan perlu bersemangat. Perlu sihat fizikal, dan kuat emosi. Kini aku seorang diri.


Alhamdulillah, setakat hari ini kes baru Covid-19 menunjukkan penurunan yang banyak. Seperti ada harapan yang cerah untuk rakyat Malaysia. Syarat PKP juga sudah semakin longgar. Namun tidak pasti sejauh mana cerahnya ‘masa depan’ kita semua. Allah sahaja mengetahui. Yang pasti, anak-anak masih dalam penantian yang panjang. Entah bila mereka akan kembali bersekolah. Aku juga bimbang, rutin di rumah lama kelamaan pasti akan membosankan mereka. Keluar masuk rumah, menonton TV dan bermain, belajar dalam suasana kurang menyeronokkan, aku juga jadi bingung, bagaimana nak jadikan setiap masa adalah masa yang bernilai dan berharga buat mereka. Bukan sia-sia. Moga Allah bantu aku yang sedang buntu ini. 


Sudah lebih dua bulan berada dalam tempoh PKP ini, banyak menguji iman dan sabar. Menempuh Ramadan dan menyambut Syawal dalam tempoh ini, benar-benar memberikan rasa yang berbeza. Dan dalam tempoh ini juga terhalang dari bertemu ahli keluarga yang jauh, kerinduan semakin sarat. Tak lain, Allah sedang menguji hamba-hambaNya. Moga tetap bertahan dengan sabar. Semua ini pasti akan berakhir. Semua ini tetap terkandung hikmahnya. 


Allah. Bantu hambaMu :,(



Hari ke-2 tanpa abi

Moga Allah jaga Abi di sana

Moga Allah permudahkan urusan abi

Insya Allah bersua lagi

Insya Allah baik-baik saja semuanya 

Sunday 24 May 2020 0 comments By: Naemah

HARI RAYA PKP 2020




Berlalu Ramadan. Syawal muncul kembali. Alhamdulillah dipertemukan lagi dengan Syawal, walaupun sambutannya jauh berbeza dari sebelumnya.  


Oleh kerana tempoh PKP yang masih berlanjutan, kita semua tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung (kecuali jika dlam negeri yang sama). Makanya, raya kali ini, buat pertama kalinya kita menyambutnya di perantauan.


Agak terasa kelainannya, seperti tergambar suramnya raya bila tak bertemu ahli keluarga dan sanak saudara, tambahan pula tradisi ziarah menziarahi di hari raya juga tidak dibenarkan. Duduk di rumah, raikan sesama keluarga masing-masing sahaja.


Namun kita cuba untuk jadikan hari raya kali ini hari yang special untuk meraikan kemenangan kita, berpuasa sebulan di bulan Ramadan. 


Alhamdulillah baju raya yang dijahit di kampung selamat sampai di minggu terakhir puasa. Dapat juga beraya dengan baju baru tahun ni :) 


Hari terakhir Ramadan, sibuk mengemas rumah, dan  menyediakan juadah istimewa untuk dinikmati bersama di hari raya. Menu sekeluarga, sate, rendang daging, nasi himpit, dan kuah kacang (tambah bihun goreng di pagi hari raya). Sempat agihkan sebahagiannya kepada jiran-jiran pada petang Ramadan terakhir. Alhamdulillah.


Malam 1 Syawal, bertakbir raya seisi keluarga. Selesaikan kerja mengemas dan menghias rumah, agar kelihatan cantik untuk menyambut raya. Ya, walaupun tahu tak akan menerima tetamu. Oh ya, malam ini juga buat video call dengan keluarga di Kota Bharu.


Pagi raya selesai solat subuh, berpakaian raya, menjamu selera bersama-sama. Kemudian bersalaman dan bermaafan, semua dapat duit raya daripada ummi dan abi. Tak lupa bergambar kenang-kenangan seisi keluarga. 


Jam 8 pagi, solat sunat hari raya bersama. Kemudian menjamu selera lagi, sambil menonton drama raya di tv. Sunyi sepi saja di luar. Masing-masing hanya ‘duduk di rumah’ meraikan hari raya bersama keluarga masing-masing. Agak berbeza, namun hati terima semuanya. Sudah bersedia untuk merasakan situasi seperti ini di hari raya ini. 


Semua ahli keluarga berkongsi foto raya. Rumah mek di Jeli dan rumah Mak mertua di Kota Bharu agak meriah juga, bersama ahli keluarga lain yang berada di kampung. Sempat video call dengan mek. Terubat rindu pada mek yang dah lama sangat tak bersua.


Menerima tetamu (anak saudara) yang singgah sekejap berhari raya. Satu-satunya tetamu :)


Masa terus berlalu. Pagi bawa ke petang. Meraikan Syawal hanya di rumah sendiri. Meriah hanya pada foto dan ucapan raya di whatsapp, Facebook dan Instagram. Warna-warni yang hanya dapat ditatap pada skrin. Takkan sama dengan yang kebiasaan :,) 


Mudah-mudahan Allah terima puasa kita selama sebulan. Mudah-mudahan Allah temukan lagi dengan Ramadan yang akan datang. 


Walaupun meraikan Syawal tahun ini dalam suasana yang berbeza, tetap bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan pada kita semua. Masih dikurniakan kesihatan dan rezeki dalam pelbagai bentuk. Syukur tak terhingga. Sabar untuk ujian yang sedikit ini, syukur dan bahagia atas banyak lagi kurnia yang tak terhitung.


Selamat hari raya Aidilfitri buat semua. Semoga Allah menerima amalanku, dan amalanmu. Percayalah, Kasih dan Cinta Allah pada kita mengatasi yang selainnya.




Sebahagian gambar raya


















Thursday 21 May 2020 0 comments By: Naemah

DIARI RAMADAN 2020



Ramadan kali ini mencatat sejarah buat keluarga kecil kita ini. Berpuasa di musim wabak menyebabkan kita semua terhalang untuk balik ke kampung walaupun sekejap. Rindu usah cakap, dah lebih 2 bulan tak jumpa keluarga di kampung :,(


Kerana PKP, Anas dan Mussaab tidak dapat ke sekolah dan belajar di sekolah seperti Ramadan yang lepas. Tak dapat berjumpa kawan dan share cerita puasa masing-masing :) lagi bersejarah, bila di sepanjang Ramadan kali ini Abi ada bersama. Memang satu rahmat yang sangat besar. Alhamdulillah :)


Sebulan Ramadan, cukup ahli keluarga kita. Setiap hari bersama-sama. Menjalani rutin di rumah yang hampir sama setiap hari. 


Bangun bersahur seisi keluarga. Suri belum miss lagi ‘sahur’ dia. Ummi bangun, dia pun bangun :) Miqdad kadang-kadang bangun sahur juga, tapi kebanyakan masanya bangun selepas subuh. Anas dan Mussaab pula memang akan bersahur setiap hari, walaupun dalam keadaan yang kurang berselera untuk menjamah makanan. Alhamdulillah masih cukup puasa Anas. Mussaab pula dah tinggal 5 hari. Ok jugalah tu untuk Mussaab yang baru berusia 6 tahun dan first time berpuasa.


Lepas sahur, solat subuh berjemaah, dan baca Al-Quran. Kemudian ummi mandikan dan tidurkan Suri sekejap sebelum ‘masuk kelas’ dengan Anas dan Mussaab sekitar jam 8 pagi. Anas menjawab soalan di web Selangor Tutor, Mussaab pula ‘berguru’ dengan Teacher Yana di Google Classroom. Dah selesai semua, masing-masing dengan aktiviti bebas. Setiap hari (tak kira masa) akan masuk nota/latihan dari guru-guru kelas Anas melalui group whatsapp. Ummi kena selalu pantau dan pantas agar tak tertangguh dan tak ter’miss setiap tugasan yang diberikan. Alhamdulillah setakat ni semuanya berjalan lancar. Walaupun tak ke sekolah, masih ada medium untuk belajar walaupun takkan sama dengan belajar di sekolah.


Aktiviti sendiri mereka; menonton YouTube, main game di iPad, main lego, melukis, mandi kolam, dan aktiviti sampingan yang lain. Ada waktu tertentu di’kerah’ berkemas rumah. Pada hari tertentu, lipat kain baju pula. Anas dan Mussaab, jarang sekali nak tidur siang. Baru sekali dua agaknya. 


Zohor dan Asar, solat berjemaah. Dan sambung dengan aktiviti sendiri lagi. Ummi dan Abi akan sesekali join, bulan puasa ni ummi pun kering idea nak plan aktiviti menarik. Tambahan pula Suri sekarang sangat-sangatlah clingy girl, pantang ummi bergerak. Memang tak jadi kerjalah.. asyik kena duduk dekat dia. Abi pula, banyak kerja rumah yang dia kena buat. Masak pun dia, hal-hal lain juga selalunya dia. Meeting pun boleh dikatakan hari-hari juga. Maka ‘terbiar’ Anas, Mussaab dan Miqdad dengan aktiviti sendiri. Maaf ye semua :(


Saat paling ditunggu ialah saat berbuka puasa seisi keluarga. Semua menu boleh dikatakan yang direquest oleh Anas dan Mussaab setiap hari. Abi dan ummi cuba penuhi, walau sering saja menu yang sama yang diminta ,:) oh ya, sementara tunggu waktu berbuka layan drama ‘Korban Kasih’ yang dah jadi drama favourite seisi keluarga sepanjang Ramadan :D


Lepas berbuka, solat Maghrib berjemaah dan buat aktiviti bebas sementara menunggu isyak. Suri ummi tidurkan dulu, kemudian solat isyak berjemaah, dan ready untuk tidur. Anas dan Mussaab tak  sempat terawih, dah mengantuk sebab siang memang tak tidur. Miqdad pula adakalanya tidur awal, adakalanya akan tunggu sehingga ummi dan abi selesai solat terawih untuk temankan dia tidur. Suri ada ketikanya lena tidur sehingga ummi dapat sempurnakan terawih. Ada kalanya pula belum sempat selesai dia dah menangis. Terpaksa la skip dulu terawih ummi. Anas dan Mussaab, bila dah tidur, nyenyak dan lena hingga ke esoknya. Alhamdulillah :)


Begitulah kisahnya. Rutin yang hampir sama sepanjang Ramadan ini. Oleh kerana tak boleh ke mana-mana, di rumah sahajalah dengan rutin yang sama. Namun setiap hari tetap ada kisah tersendiri. Ada masa tenang, ada masa tegang. Begitulah lumrahnya hidup. Apatah lagi setiap masa bersama. Akan ada saja ceritanya. 


Kini sudah pun di penghujung Ramadan. Sedih pulak rasanya. Rindukan sahur, rindukan saat gembira berbuka puasa, rindukan terawih berjemaah dengan abi setiap hari, rindukan semua yang tak mungkin dapat pada bulan-bulan selain Ramadan. 


Semoga Allah terima puasa kita. Semoga Allah redha dengan setiap urusan kita. Semoga Allah kasih dan cinta pada kita. Semoga Allah kurniakan kesihatan dan kebaikan buat kita. Semoga Allah lorongkan kita ke jalan yang benar. آمين



Buat biskut raya; dapatlah 2 jenis setakat ni :)













Wednesday 20 May 2020 0 comments By: Naemah

PKP: KELUAR RUMAH BUAT PERTAMA KALINYA



18.3.2020-19.5.2020

Dari bermula Perintah Kawalan Pergerakan , langsung tidak keluar ke mana-mana kecuali halaman rumah sendiri. Sejarah sangat kan! Belum pernah terjadi. Covid-19 punya angkara. 


Selepas diumumkan PKPB, suami pernah bawa anak-anak pusing-pusing dengan kereta kat jalan luar sana. At least anak-anak dah melihat ‘dunia’ sebelum ummi. Ummi pula hanya duduk di rumah. Benar-benar patuh pada arahan pemerintah :)


Akhirnya pada tarikh 20.5.2020 perlu keluar rumah juga atas keperluan iaitu untuk memenuhi temujanji Suri di Klinik Kesihatan Rinching Tengah. Suri dah cukup umur 9 bulan, kena cucuk vaksin seterusnya (yang terakhir ialah pada usia 6 bulan-belum PKP lagi masa tu). Walaupun rasa berat hati nak jejak klinik, tapi perlu tunaikan tanggungjawab dan hak anak. Alhamdulillah suami ada di rumah. Boleh tinggalkan anak-anak dalam jagaan suami.


Setelah sekian lama, hari ni berpakaian ‘elok’ sebab nak keluar rumah. Anak-anak yang dah lama tak tengok ummi bersiap, sorang-sorang memuji, baju cantik, tudung cantik, kelakar pulak rasanya. Padahal tudung dan baju yang dah selalu pakai sebelum ni :D semua excited nak hantar ummi ke klinik. Seronok dapat naik kereta, tengok pemandangan luar. Lepas hantar ummi dan Suri di klinik, balik semula bersama abi.


Di klinik, oleh kerana pertama kali datang semenjak PKP, melihat sedikit kelainan cara berurusan di sini. Sampai-sampai je di depan pintu klinik tu kena cuci tangan dan cek suhu, kemudian lepas ambil no.giliran duduk di kerusi yang dijarakkan tempat duduknya. Benda ni dah jadi norma baru di semua tempat, tapi untuk aku, segalanya first time. 


Kat dalam klinik, pakaian nurse pun dah lain. Semua tertutup litup. Ibu-ibu dan pesakit yang datang pun semuanya pakai mask. Pelik Suri melihatnya. Suri langsung tak ‘berbunyi’, asyik memerhati orang sekeliling. Nasib baik tak nangis sementara menunggu giliran dipanggil .


Alhamdulillah urusan di klinik tak lama. Tak sampai sejam pun. Dah siap, call suami dan dia datang ambil bersama anak-anak. Sebelum balik suami bawa pusing-pusing kawasan kampung (Rinching Hulu), lepas tu terus balik ke rumah.


Alhamdulillah di atas nikmat ‘kebebasan’ hari ini yang sebelum ini hanya dianggap biasa. Bila kebebasan ini disekat, barulah tahu betapa ia sebuah nikmat yang sangat besar. Pertama kali keluar setelah lama berkurung, rasanya agak luar biasa. Pemandangan yang biasa dilihat, semua memberi rasa dan pesona. Syukur pada Tuhan yang masih memberi peluang. Biar untuk sebentar cuma.


Tak pasti berapa lama lagi perlu ‘dikurung’ di kediaman sendiri. Moga Allah beri kesabaran bersama tiap ujianNya. Ujian ini tak akan selamanya kan? Pasti akan berakhir. Tiap yang kelam pasti akan bertemu cahayanya. Dengan izin Dia. Insya Allah :)











Friday 15 May 2020 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: 9 BULAN





Alhamdulillah genap usia Suri 9 bulan. Syukur ummi panjatkan kepada Allah yang menghadirkan Suri dalam hidup ummi, abi dan abang-abang Suri. Syukur Suri membesar dengan sangat baik.


Sehingga usia ini, Suri sudah boleh berpaut dan berdiri. Melangkah perlahan dengan bantuan, dan masih kerap jatuh ke lantai. Mulut kadang-kadang banyak ‘berbunyi’ juga. Aaa..baa.. senyum dan tertawa, sangat manis dan comel dengan 6 batang giginya :)


Bab makan, Suri sangat susah nak makan. Setiap kali memang kena ‘paksa’ sebab Suri langsung tak nak buka mulut bila nak disuap makan. Adakala berjaya, adakala tidak. Bab menangis, memang juara. Tak boleh tengok ummi bangun sikit, terus menangis. Memang susah sikit nak buat kerja sekarang. Kena menyorok nak larikan diri dari Suri. Tidur pun sama, nak berkepit saja. Kalau tak, sekejap saja.


Pada usia 8 bulan setengah, Suri demam buat pertama kali. 3 hari demam, risau ummi dibuatnya. Banyak merengek, langsung tak boleh ditinggal bersendirian. Alhamdulillah Abi ada, Abi uruskan hal-hal yang lain termasuk memasak dan layan abang-abang Suri. 


Dah 9 bulan suri ada dalam kehidupan ummi dan abi. Ummi bahagia dan bersyukur sangat. Hakikatnya kehadiran suri satu anugerah yang tak ternilai harganya. Ummi mendapat pengalaman baru sebagai ibu, di samping belajar membiasakan diri dengan menjaga seorang anak perempuan. Ummi cuba untuk beri yang terbaik. Insya-Allah.


Sejak PKP, dah 2 bulan Suri terkurung di rumah tak kemana-mana. Abang-abang pun setiap hari dan setiap masa di rumah. Suri pun dah biasa dengan suasana riuh rendah di rumah ni :) Insya Allah minggu depan suri akan ke klinik untuk penuhi temujanji. Kali terakhir ke klinik masa suri umur 6 bulan. Dah agak lama juga. Semoga Allah permudahkan urusan suri nanti. Insya Allah.


Sampai di sini saja catatan ummi bersempena usia suri 9 bulan. Doa ummi sentiasa untuk Suri. Moga membesar menjadi hamba Allah yang suci dan terpelihara. Yang terjaga maruah dan terhias peribadi dengan akhlak yang mulia. Moga membesar sihat, ceria, dan bahagia setiap masa. Ummi sayang Suri. Semua sayang Suri. Baik-baik saja ya sayang :)










Wednesday 13 May 2020 0 comments By: Naemah

ANAS DAN MUSSAAB: RINDU NAK SEKOLAH



Sudah 2 bulan berlalu. Sejak PKP diumumkan, bermakna sudah dua bulan juga Anas dan Mussaab terhalang untuk kembali ke sekolah seperti biasa. Sudah dua bulan.. berkurung dan terperap di rumah, tidak ke mana-mana. Sama juga seperti anak-anak yang lain. Hanya bebas di rumah sendiri sahaja.


Anas dan Mussaab sudah menyatakan rindu nak kembali bersekolah. Sudah mula ‘bosan’ dengan rutin di rumah yang hampir sama setiap hari. Belajar secara online, dah tentu tak seperti belajar di sekolah. Ummi yang kadang-kadang terlebih garang, dah tentulah makin tak seronok jadinya belajar di rumah ,:) ummi pun hanya bergantung pada tugasan dan kerja yang diberi oleh guru, tak boleh nak bagi extra. Tak sempattt...


Hari-hari dipenuhi dengan aktiviti menonton video di YouTube, main lego, melukis, main kat luar rumah, dan yang sewaktu dengannya. Belajar tak lama sangat pun, banyak main dan buat hal sendiri je masing-masing. Lama kelamaan, bosan juga. 


Kini dah hari ke-20 berpuasa. Anas masih cukup puasanya. Mussaab pula dah masuk 16 hari berpuasa. Kira banyak jugalah tu. Hari tu cukup 10 hari abi belanja makan MCD. Hari ni cukup 20 hari abi belanja KFC pula. Alhamdulillah. Untuk raikan Anas dan Mussaab yang berpuasa walaupun ada saja dugaan. Walaupun setiap hari masih mengadu lapar :) berbaki 10 hari sahaja lagi. Moga terus bertahan ya Anas dan Mussaab.


Raya pun dah dekat. Tapi nampaknya tak boleh balik kampung juga kerana masih dalam tempoh PKP. Sekolah tak boleh, balik kampung tak boleh, ke mana-manapun tak boleh. Sabarlah anak-anak sekalian. Ini semua ujian daripada Allah. Bertahanlah dulu.  


Tetap bersyukurlah, kita punya kediaman yang selesa, ahli keluarga yang cukup, makan minum yang terjamin, berbanding mereka yang tak punya-semoga diberi kemudahan dan kelapangan juga buat mereka. 


Dalam situasi semasa sekarang, ummi pun tak pasti bila Anas dan Mussaab akan kembali bersekolah. Yang pasti bukan dalam masa yang terdekat. Ummi tahu Anas dan Mussaab dah teringin sangat nak kembali ke sekolah. Jumpa kawan-kawan, belajar macam biasa, tapi apa boleh buat. Keadaan masih belum mengizinkan.


Di bulan Ramadan yang penuh berkat dan mulia ini, moga Allah angkat doa kita semua, agar covid-19 tak lagi membelenggu dan menghantui kita semua. Moga berakhir episod sukar ini. Moga akan kembali kehidupan normal yang lebih baik. Dan moga kita akan menjadi hambaNya yang lebih bersyukur. Insya-Allah 









Sunday 10 May 2020 0 comments By: Naemah

TERIMA KASIH PINJAMKAN DIA




Bukan selalu diberi peluang untuk bersama dalam tempoh yang begini lama. Sudah hari ke-18 puasa. Dari menyambut awal ramadan sehingga ke hari ini Allah masih ‘pinjamkan’ suamiku-untukku dan anak-anak. 


Pengalaman Ramadan yang lepas, rasanya tak pernah diberi tempoh yang sebegini lama untuk suamiku berada di rumah. Mungkin ini juga hikmah PKP-walaupun hakikatnya suamiku tak terikat dengan PKP. Dan barangkali juga esok lusa dia akan kembali bertugas, tetapi selama tempoh yang telah dilalui bersama, aku sangat-sangat bersyukur.


Mungkin aku tak tahu bagaimana nak meluahkan terima kasih, tetapi keberadaannya di rumah sepanjang tempoh ini bagaikan satu rahmat yang besar buatku. 


Hampir setiap hari, juadah bersahur dan berbuka dia yang sediakan. Di samping kerja-kerja rumah yang lain, yang banyak dibantu oleh dia. Termasuk ‘masalah’ yang timbul tak terduga, dia juga yang berjaya settlekan. Sink tersumbat, mesin basuh buat hal, Hp pecah skrin, aircond tak sejuk, dan selainnya, dialah yang sentiasa jadi hero selamatkan semuanya. Belum masuk bab cukupkan segala keperluan isi rumah. Di musim PKP ini, sudah tentu semuanya terpikul di bahunya. 


Aku pun tak tahu bagaimana nak describe, sentiasa dalam ujian Allah itu terkandung sekali dengan rahmatNya. Siapa sangka, Ramadan kali ini bukan sekadar berbeza kerana tak boleh ke mana-mana termasuk balik kampung, tapi juga berbeza kerana setiap hari suami ada di sisi (at least untuk sepanjang 18 hari ni). 


Aku sedar, sebagai manusia biasa aku sering lupa nak bersyukur, sukar nak menghargai. Tetapi sedaya upaya aku cuba untuk selalu ingatkan diri. Banyakkan syukur, walaupun tak semua mudah. Sentiasa pandang kebaikan dan betapa banyak yang dah dia beri dan buat, berbanding sedikit saja yang kadang-kadang kita tak puas hati. 


Dan lebih-lebih lagi, sentiasa pandang diri yang bukan sekadar tak sempurna, bahkan sangat jauh dari sempurna. Tapi masih dia setia mencintai, dan menyantuni. 


Aku juga sedar, banyaknya salah dan ego aku  yang dia pilih untuk memaafkan, dan menelan semua dengan sabar. Ya, aku ini bukan isteri yang baik dan mungkin jauh dari watak pernah dia idamkan. Namun terima kasih, kerana seadanya menerima diri ini. Menjaga aku sebaiknya, tak mencela tiap aibku, dan sentiasa mencuba tuk menjaga hati, dalam tiap teguran dan rasa tak puas hati.


Terima kasih Allah ‘pinjamkan’ dia untukku. Bukan sekadar untuk tempoh yang ini, bahkan selama hidup bersamanya. Entah aku tak pasti sampai bila. Aku sedar dia sekadar pinjaman untuk aku. Bukan hak milik aku. Bukan selamanya akan bersama dengan aku. 


Kerana masa ‘berdua’ yang sukar untuk kami dapat- aku impikan untuk jalani kehidupan hari tua bersama dengannya. Jika Allah izinkan.. semoga Allah izinkan. Dan semoga tetap diberikan kesihatan yang baik pada aku dan dia. Banyak yang masih perlu dimulakan, banyak yang masih perlu diperbaiki, banyak yang kami berdua perlu ke depan dan capai bersama-sama.


Aku yakin dan percaya, takdir Allah akan sentiasa yang terbaik, untuk aku dan untuk dia! 


Aku serah segalanya pada DIA









Tuesday 5 May 2020 0 comments By: Naemah

MIQDAD DAH TAK PAKAI PAMPERS



Sepatutnya dah lama ummi tulis pasal ni. Tapi sebab tak berkesempatan, baru sekarang baru sempat nak menulis panjang.


Lebih kurang 2 bulan lepas (umur Miqdad sekitar 3 tahun 4 bulan) akhirnya Miqdad dah tak pakai pampers lagi. Alhamdulillah. Tak terlalu awal, dan tak terlalu lewat juga ummi rasa, Anas dan Mussaab sebelum ni pun sekitar umur ini juga berjaya potty train. 


Niat di hati nak potty train Miqdad lebih awal lagi, seawal 2 tahun setengah. Tapi apakan daya masa tu ummi tengah pregnantkan Suri, jadi tertangguh la dulu. Tangguh punya tangguh, lepas tu ada baby pula lagi tak boleh nak fokus pada potty train Miqdad. Tapi Alhamdulillah akhirnya berjaya juga, tak makan masa sangat pun bila Miqdad sendiri dah faham dan ready, dan ummi (dan abi) pun ready. 


Seingat ummi, dalam masa 3 hari dah berjaya. Tapi sebelum tu pun dah mencuba sebenarnya, tapi mungkin sebab Miqdad belum ready, ummi dan abi pun tak kental, on off pakai pampers, mana nak berjaya kan? Bila dah betul-betul bersedia semua, anak dan ibu, akhirnya berjaya juga. Alhamdulillah. Dalam 3 hari percubaan tu adalah sekali dua ‘terbabas’, normal lah kan. Masa ni abi kat laut, ummi nekad juga nak potty train Miqdad. Dan selepas tu Miqdad dah pandai ke toilet sendiri bila rasa nak buang air. Alhamdulillah. 


Pengalaman ketiga, diberi rasa ‘seronok’ dalam hati ummi bila berjaya potty train anak-anak. Ummi percaya, ini jugalah yang dirasakan oleh ibu-ibu yang lain bila anak dah tak perlu dipakaikan pampers lagi :)


Dah janji dengan Miqdad, bila dah berjaya potty train nak hantar sekolah. Tapi... nampaknya belum ada rezeki Miqdad nak sekolah. Sejak bukan Mac lagi, kita masih dalam tempoh PKP. Sekolah tutup semuanya. Kesian Miqdad. Tapi sebab abang-abang pun hari-hari di rumah, Miqdad dengan sendirinya faham kenapa dia masih tak boleh ke sekolah. 


 Begitulah serba ringkas catatan tentang Miqdad yang kini dah ‘bebas pampers’. Bulan ni genap umur Miqdad 3 tahun 7 bulan. Belum cukup 4 tahun lagi sebenarnya. Sekarang ni suka sangat melukis. Hari-hari angkut kertas. Hari-hari minta pensel. Lepas lukis, gunting atau tampal. Belajar dengan abang-abang. Tak cukup kertas, dinding pun jadi tempat melukis. Lepas Anas dan Mussaab, kini turn Miqdad pula berkarya di dinding. Abi cakap, tunggu anak-anak besar semua dululah baru cat balik rumah ,:)


Oklah, Sampai di sini dulu catatan ummi kali ini. Tahniah Miqdad dah tak pakai pampers dah sekarang. Insya Allah, nanti ummi dan abi hantar Miqdad sekolah ya! 




Lukisan dinosaur Miqdad :D



Lukisan Minecraft Miqdad 




Geng 


Sunday 3 May 2020 0 comments By: Naemah

BERLALU 10 HARI RAMADAN




10 Ramadan 1441

Alhamdulillah sudah 10 hari menunaikan kewajiban sebagai Muslim iaitu berpuasa di bulan yang penuh dengan kemuliaan ini.


Alhamdulillah. Syukur juga suami ada di rumah selama tempoh berpuasa ini. Belum pasti bila akan kembali bekerja, namun 10 hari yang berlalu sangat bermakna bila lengkap keluarga kecil kami ini. Ditambah dengan tempoh PKP yang sudah lama dan masih panjang, ‘keluarga’ inilah segala-galanya untuk kita semua.


Alhamdulillah. Anas dan Mussaab masih cukup puasa selama 10 hari pertama ini. Diberi kekuatan dan kegagahan untuk menahan lapar dan dahaga, walaupun adakalanya masih tetap mengadu lapar dan dahaga. Selepas 9 hari memasak sendiri juadah bersahur dan berbuka, hari ini hari ke-10 seperti yang dijanjikan, abi belanja McD dan pizza sebagai ‘reward’ untuk berbuka :)


Terima kasih Tuhan untuk segala anugerahMu. Tak terhitung banyaknya. Dalam tiap ujian, sentiasa terselit rahmat. Aku sedar hari-hari yang dilalui tak semuanya indah dan baik. Sentiasa menguji. Namun pertolongan Allah sentiasa ada. Rahmat Allah sentiasa mengatasi. Walau sentiasa alpa, tidak terus terhukum. Namun banyak petunjuk dan cara untuk Allah ingatkan. Agar hamba tak terus hanyut bersama kealpaan itu.


Allah. Sukar untuk meluahkan. Terlalu bijaksana Allah mengaturkan semua. Penuh dengan cinta dan kasih sayang. Ujian bersama rahmat. Itulah hakikatnya.


Walaupun menjalani ibadah puasa dalam suasana  yang berbeza dari sebelum ini, tetap ada kebaikannya. Walaupun ‘mungkin’ tahun ini tak balik beraya di kampung, walaupun ‘mungkin’ suami tak dapat beraya bersama.. hati cuba untuk pasrah dan redha pada setiap takdirNya. Pasti ada hikmah. Pasti perancanganNya terbaik untuk kita, hambaNya.


Berbaki lagi 20 hari, semoga tenang hati ini meneruskan ibadah puasa. Mencuba yang terbaik, untuk jadi yang lebih baik. Semoga Allah tunjukkan jalan, membimbing dengan hidayahNya. آمين




Menunggu waktu berbuka