Sunday, 24 May 2020 By: Naemah

HARI RAYA PKP 2020




Berlalu Ramadan. Syawal muncul kembali. Alhamdulillah dipertemukan lagi dengan Syawal, walaupun sambutannya jauh berbeza dari sebelumnya.  


Oleh kerana tempoh PKP yang masih berlanjutan, kita semua tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung (kecuali jika dlam negeri yang sama). Makanya, raya kali ini, buat pertama kalinya kita menyambutnya di perantauan.


Agak terasa kelainannya, seperti tergambar suramnya raya bila tak bertemu ahli keluarga dan sanak saudara, tambahan pula tradisi ziarah menziarahi di hari raya juga tidak dibenarkan. Duduk di rumah, raikan sesama keluarga masing-masing sahaja.


Namun kita cuba untuk jadikan hari raya kali ini hari yang special untuk meraikan kemenangan kita, berpuasa sebulan di bulan Ramadan. 


Alhamdulillah baju raya yang dijahit di kampung selamat sampai di minggu terakhir puasa. Dapat juga beraya dengan baju baru tahun ni :) 


Hari terakhir Ramadan, sibuk mengemas rumah, dan  menyediakan juadah istimewa untuk dinikmati bersama di hari raya. Menu sekeluarga, sate, rendang daging, nasi himpit, dan kuah kacang (tambah bihun goreng di pagi hari raya). Sempat agihkan sebahagiannya kepada jiran-jiran pada petang Ramadan terakhir. Alhamdulillah.


Malam 1 Syawal, bertakbir raya seisi keluarga. Selesaikan kerja mengemas dan menghias rumah, agar kelihatan cantik untuk menyambut raya. Ya, walaupun tahu tak akan menerima tetamu. Oh ya, malam ini juga buat video call dengan keluarga di Kota Bharu.


Pagi raya selesai solat subuh, berpakaian raya, menjamu selera bersama-sama. Kemudian bersalaman dan bermaafan, semua dapat duit raya daripada ummi dan abi. Tak lupa bergambar kenang-kenangan seisi keluarga. 


Jam 8 pagi, solat sunat hari raya bersama. Kemudian menjamu selera lagi, sambil menonton drama raya di tv. Sunyi sepi saja di luar. Masing-masing hanya ‘duduk di rumah’ meraikan hari raya bersama keluarga masing-masing. Agak berbeza, namun hati terima semuanya. Sudah bersedia untuk merasakan situasi seperti ini di hari raya ini. 


Semua ahli keluarga berkongsi foto raya. Rumah mek di Jeli dan rumah Mak mertua di Kota Bharu agak meriah juga, bersama ahli keluarga lain yang berada di kampung. Sempat video call dengan mek. Terubat rindu pada mek yang dah lama sangat tak bersua.


Menerima tetamu (anak saudara) yang singgah sekejap berhari raya. Satu-satunya tetamu :)


Masa terus berlalu. Pagi bawa ke petang. Meraikan Syawal hanya di rumah sendiri. Meriah hanya pada foto dan ucapan raya di whatsapp, Facebook dan Instagram. Warna-warni yang hanya dapat ditatap pada skrin. Takkan sama dengan yang kebiasaan :,) 


Mudah-mudahan Allah terima puasa kita selama sebulan. Mudah-mudahan Allah temukan lagi dengan Ramadan yang akan datang. 


Walaupun meraikan Syawal tahun ini dalam suasana yang berbeza, tetap bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan pada kita semua. Masih dikurniakan kesihatan dan rezeki dalam pelbagai bentuk. Syukur tak terhingga. Sabar untuk ujian yang sedikit ini, syukur dan bahagia atas banyak lagi kurnia yang tak terhitung.


Selamat hari raya Aidilfitri buat semua. Semoga Allah menerima amalanku, dan amalanmu. Percayalah, Kasih dan Cinta Allah pada kita mengatasi yang selainnya.




Sebahagian gambar raya


















0 comments:

Post a Comment