Wednesday 21 August 2019 By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: SURI LILYANA

Catatan pengalaman bersalin anak keempatku: Suri Lilyana Bt Mohd Suzainizam 

Seperti 3 kandungan yang lepas juga, aku positif gdm iaitu kencing manis ketika mengandung. Dan kali ini gdm on insulin pula, yang memerlukan aku untuk bersalin selewat-lewatnya pada usia kandungan 38 minggu.

Setelah bertemu pakar O&G, aku diberi tarikh untuk induce kandungan pada 13/8/19 dan perlu admit hospital sehari sebelum tarikh tersebut. Dan oleh kerana tarikh itu jatuh pada tempoh cuti persekolahan, dan raya haji pula, kami decide untuk bersalin di HRPZ, Kota Bharu.


12/8/19 (3 hari sebelum bersalin)

Hari ini aku perlu ke hospital untuk ‘serah diri’, kerana esok adalah tarikh aku bakal diinduce. Hari ni dah ready fizikal dan mental untuk datang ke hospital dan bersedia untuk ‘dipaksa’ bersalin.

Pada waktu paginya aku meminta suami membawaku berjalan di pantai. Suamiku membawaku ke Pantai Cahaya Bulan yang letaknya tak jauh dari rumah ibu mertuaku. Aku dibiarkan berjalan di tepi pantai, melayan perasaan sendiri. Aku mengambil masa selama 30 minit untuk berjalan, berdoa dengan penuh harapan agar mudah melahirkan anakku esok hari. 

Selepas itu kami balik ke rumah. Aku mandi dan bersiap untuk ke hospital. Kami meninggalkan rumah sekitar jam 11.30 pagi. Miqdad dibawa bersama, sementara Anas dan Mussaab ditinggalkan di rumah ibu mertuaku. Alhamdulillah di rumah mak ramai orang, dapatlah mereka bermain bersama sepupu mereka. 

Sebelum ke hospital kami singgah membeli keperluan untuk dibawa ke hospital dan singgah makan tengahari di sebuah kedai makan yang berdekatan dengan HRPZ II. 

Aku mendaftar di HRPZ sekitar jam 1 petang. Selepas melalui prosedur di ruang labor room, aku ditempatkan di wad 24 (wad bersalin). Selesai urusanku, suamiku dan Miqdad balik meninggalkan aku yang perlu ‘berkampung’ di sini untuk beberapa tempoh yang aku sendiri tak pasti. Hati tenang ditinggalkan di sini, sudah bersedia untuk sebuah perjuangan yang besar.

Hari ini di wad bersalin aku perlu membuat ctg, cek laluan bersalin (tiada bukaan), dan scan baby (anggaran 2.8 kg). Suami juga membawa anak-anak berjumpa denganku di wad pada waktu melawat. Tapi tak dapat bersembang lama kerana aku perlu ke labor room untuk scan baby. Pulak tu kena menunggu giliran seorang demi seorang, masa melawat dah hampir tamat masanya. Tak apalah sempat jumpa anak-anak sekejap, harap esok dah boleh bersalin dan balik ke rumah :) - malam ni juga ambil darah di lengan.

Dan hari ini aku lalui dengan baik. Esok aku perlu bersedia untuk di’induce’, bersedia untuk menikmati rasa ‘sakit bersalin’, dan aku sentiasa berdoa agar segalanya akan dipermudahkan. Berdoa agar cukup dengan sebiji ubat (max 3 biji), tidak perlu menahan sakit yang lama, tidak perlu berada lama di labor room, dan tak perlu teran banyak kali untuk lahirkan anakku. Itulah antara doaku..

Oh ya, malam ini aku ditukarkan ke wad 25, katanya untuk jawab soalan exam student medic. Aku tak jelas tentangnya, hanya setuju saja bila diminta.

Malam ini dapat tidur dengan tenang dan nyenyak.


13/8/19 (2 hari sebelum bersalin)

Hari ini aku bakal diinduce. Katanya akan dibuat pada jam 6.30 pagi, tapi rupanya pagi ini aku perlu menjawab soalan dari pelajar medic yang sedang menjalani exam mereka. Aku perlu jadi patient mereka, dan menjawab hal yang berkaitan dengan keadaanku. Di depanku juga mereka perlu ‘present’ pada examiner yang turut hadir pada hari tersebut. Lebih kurang 2 jam aku perlu ‘melayan’ soalan dan presentation mereka. Akhirnya selesai juga. Oh ya, dapat saguhati rm 50 dari pihak universiti (Lincoln University College). Alhamdulillah rezeki. Terima kasih :)

Pada jam 12.50 tengahari sebiji ubat induce dimasukkan. Aku perlu berbaring selama 1 jam (waktu melawat suami datang bersama anak-anak, tapi aku hanya mampu berbaring sebab masih belum dibenarkan untuk bangun) lepas tu buat ctg dan berpindah balik ke wad 24. Selepas satu jam tu aku rasa kontraksi yang sederhana kuat, dan tak konsisten jarak dan tempoh masanya. Harapanku, agar kontraksi ini membantu untuk bukakan ‘jalan’ bersalin, dan aku akan bersalin pada malam ini juga. 

Waktu melawat petang, suami datang bersama Miqdad, dan kakakku juga datang. Dia dah ready nak ‘jaga’ aku kalau malam ni aku ditakdirkan bersalin. 

Pada jam 7 petang, cek bukaan sekali lagi. Sudah 3 cm kata doktor. Hati dah berbunga. Rasanya malam ni dah boleh bersalin kot! Suka dalam debar. 

Dari Maghrib ke Isyak, dan selesai solat isyak, kontraksi dirasakan semakin kuat. Aku mengira jarak dan kekerapan kontraksi. Anggaran 2-4 minit sekali, dalam tempoh sakitnya 30-50 saat. Makin tak tertahan rasanya. Sampai tahap menggigil-gigil menahan sakit kontraksi. Sekitar jam 10.15 malam aku maklumkan pada nurse. Doktor yang tadi juga memeriksa bukaan sekali lagi, tapi hampa rasanya bila bukaan masih sama iaitu 3cm. (Nurse pesan kalau sakit makin kuat atau rasa seperti nak meneran, just maklumkan pada mereka)

Aku akur, masih belum masanya untuk aku bersalin. Aku cuba menahan sakit itu dengan berbaring dan tidur. Alhamdulillah, akhirnya lelap juga. Tapi kerap terjaga dek gangguan kontraksi yang tak henti.


14/8/19 (sehari sebelum bersalin)

Seawal jam 4.30 pagi aku dikejutkan untuk buat ctg. Pagi ni juga sudah ada ‘show’ iaitu lendir dan darah yang keluar dari faraj ketika mandi dan bersiap untuk solat. Lepas solat subuh, sekali lagi ke bilik rawatan untuk ‘cek jalan’. Kontraksi masih aktif. Perut sentiasa mengeras dan menyakitkan. Bila di’seluk’ sekali lagi, doktor katakan bukaan serviks ialah 2cm. Terkejut aku, kan semalam katanya dah 3 cm.. tapi lebih percayakan doktor hari ni sebab yang ni ialah doktor pakar. Aku tak diberi ubat kedua sebab kata doktor kontraksi sudah ada. Aku berehat saja di katil melayan kontraksi. Tak lupa doa semoga bukaan akan bertambah bersama sakit ini.

Sekitar jam 9.30 aku diberi ubat tahan sakit untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Pada mulanya aku tak nak, kononnya masih boleh bertahan. Tapi doktor kata lebih baik ambil ubat, sebab takut nanti semakin lemah bila di labor room. Dan ada risiko untuk pecah rahim jika sakit kontraksi semakin kuat (sedangkan bukaan tiada). Takut pula aku mendengarnya. Terus aku setuju untuk diberi ubat tahan sakit. 

Lepas dicucuk ubat tahan sakit, terus aku jadi mengantuk dan mamai. Tak boleh nak angkat kepala, dan berjalan ke mana-mana. Sekitar jam 10 pagi doktor datang ke katil untuk cek jalan sekali lagi. Masih sama, 2cm. Aku biarkan doktor lakukan dalam keadaan mamai dan mengantuk. Sekadar ikut arahan doktor, langsung tak rasa apa. Dah selesai, sambung tidur.

Sekitar jam 12 nurse pula kejutkan aku untuk buat ctg. Terpaksa bangun, berjalan dalam keadaan mata mengantuk dan masih mahu pejam. Dekat mesin ctg itu juga, aku terus layan mengantuk dan tidur. 

Balik ke katil, suamiku dah menunggu di situ sebab dah masa orang melawat. Aku katakan yang aku sangat mengantuk. Nak buka mata tengok dia pun aku tak mampu. Aku baring saja, ditemani suamiku. Sambil berbual, sambil pejam mata. Dah rasa ok sikit, aku cuba buka mata perlahan-lahan. Alhamdulillah, walau masih mengantuk masih boleh tahan dari pejam mata. Suamiku suapkan aku makan sebab aku masih dalam keadaan mamai, tak boleh nak buat apa. Habis waktu melawat suamiku balik, dan aku sambung tidur. Masih tak termampu nak tahan rasa mengantuk. 

Jam 3.30 aku dikejutkan untuk cek bukaan sekali lagi. Rasa mengantuk dah berkurang. Bila diperiksa, bukaan sudah 3 cm. Oklah, dari tak ada progress langsung kan. Dan lepas diberi ubat tahan sakit tadi kontraksi juga sudah semakin kurang. Jarak kontraksi semakin jauh, dan rasa sakit juga sekejap dan tak kuat lagi. Makin lama makin kurang, dan makin tak rasa. Alahai, kalau tak ada kontraksi, nak bersalin macam mana? Atau kena masukkan ubat induce yang kedua? Aku biarkan saja. Sekurang-kurangnya aku dapat releks seketika, selepas semalaman menanggung ‘sakit ‘ kontraksi. 

Waktu melawat petang, suamiku setia datang menjengukku. Petang ini mak mertua dan kakak iparku juga datang bersama. Kakakku juga singgah sekali lagi melawatku. Rasa mengantukku sudah beransur hilang. Kontraksi juga hanya datang sesekali. Entahlah, aku pasrah jika memang belum masanya.

Hari ini seperti sudah tidak ada harapan untuk aku bersalin. Sudah 3 hari di hospital. Rindu pada anak-anak di rumah. Entah bilalah penantian dan debaran ini akan berakhir.

Malam ini tidur dengan tenang dan tanpa rasa sakit. Tidur dengan doa dan harapan, akan bersalin secepatnya dan dapat balik ke rumah jumpa anak-anak yang lain.


15/8/19 (hari bersalin)

Jam 4.15 pagi aku dikejutkan untuk buat ctg. Nurse maklumkan pada aku yang kemungkinan aku akan dihantar ke labor room pagi ni. Katanya semalam lagi aku sepatutnya ke labor room untuk ‘dipaksa’ bersalin. Tapi oleh kerana labor room sentiasa penuh ia ditangguh ke hari ini. Oh yeke.. terkejut juga aku mendengarnya. Dalam keadaan tak sakit ni, takkan dah nak suruh aku masuk labor room.

Lepas solat subuh cek bukaan sekali lagi. Oleh doktor pakar juga. Risau juga aku kalau dia masukkan ubat kedua pula. Tapi pasrah jelah, sebab dia doktor dia lebih tahu buat keputusan. Tapi memang dah tak diberi ubat kedua sebab bukaan dah 3 cm. Cuma katanya aku perlu bersedia untuk dibawa ke labor room hari ni. 

Jam 8.45 pagi aku ditolak ke labor room (dalam keadaan aku dah tak rasa sakit kontraksi). Allah, dah sampai masanya. Dalam debaran, cuba bertenang. Ya, aku sudah bersedia. Aku ditempatkan di bilik bersalin no.13. Aku maklumkan pada suami yang masih berada di rumah. Dia segera datang, tapi hanya menunggu di luar dulu. Aku pun kali ni memang tak nak dia masuk awal, takut lama nak menunggu sampai masa aku melahirkan anakku. Jadi biarlah dia di luar dulu. Lagipun aku belum rasa sakit lagi. Suamiku mendoakan dari luar. Sesekali berbalas whatsapp menyatakan keadaan aku di dalam. 

Jam 9.30 ketuban dipecahkan. Doktor cakap sikit saja air ketuban. Patutlah aku tak rasa apa masa dia pecah kan ketuban. Masa ni bukaan sudah 4 cm. Doktor akan cek balik selepas 4 jam. Maknanya jam 1.30 nanti akan cek balik bukaan seterusnya. 

Sejam pertama aku masih belum rasa sakit walaupun ketuban sudah dipecahkan. Sekitar jam 11 pagi, aku diinduce (cecair pitocin). Jam 11.30 kontraksi dah mula menyerang. Perlahan-lahan dia datang. Makin kuat, makin lama. Makin dekat jaraknya, makin lama tempoh sakitnya. Ya, bukan pengalaman pertama. Memang dah bersedia dengan ‘serangan’ serta merta ni. 

Sejam kemudian aku diberi pilihan untuk ambil ubat tahan sakit seperti semalam. Berfikir panjang aku sama ada nak ambil atau tidak. Kalau ikutkan sakit ni, memang nak ambil. Tapi fikirkan kesannya yang boleh buatkan aku mamai dan mengantuk, rasa was-was pula. Nanti macam mana kalau tiba masa aku kena push baby ni, dalam keadaan mengantuk macam tu boleh ke?? Aku minta tangguh dulu.

Mengikut pengalaman aku yang lepas, bila kontraksi dah semakin kerap, maknanya dah tak lama lagi aku akan lahirkan anakku. Aku perlu buat pertimbangan sendiri sama ada mahu mengambil ubat tahan sakit atau tidak. Risau jika salah buat keputusan. Aku masih keseorangan, belum panggil suamiku masuk ke dalam. Hati kuat meminta aku ‘bertahan’ dengan rasa sakit ini. Mungkin masanya dah tak lama.

Dan ya, rasa seperti nak meneran datang sikit demi sikit. Dari rasa boleh tahan, hingga rasa tak boleh nak tahan. Sekitar jam 12.45 pm aku melaung memanggil bidan yang bertugas menjaga bilik aku ditempatkan (sebab masa ni aku sorang-sorang kat dalam bilik tu). Aku katakan pada dia yang aku dah rasa nak teran. Dia cek bukaan, sudah 8cm katanya. Dia tahan dari meneran dulu. Perlu cukupkan 10cm. Ya Allah.. aku makin tak tertahan. Dengan kontraksi yang semakin kuat, dengan rasa nak meneran yang semakin kuat. Dia minta aku call suami untuk masuk ke labor room. Sebentar kemudian suamiku muncul dan menemani aku yang tengah menanggung sakit kontraksi.

Sempat suamiku menghabiskan bacaan surah yasin sambil menggenggam kemas tanganku tanda memberi sokongan. Aku menahan dalam tangis. Sakit yang amat. Suara mengerang yang tadi kutahan dah mula keluar . Suamiku mengurut pinggangku dan meminta aku bersabar. 

Bila rasa nak meneran semakin kuat, dan makin tak tertahan aku minta suami panggilkan bidan yang berada di luar. Aku dah tak boleh nak tahan lagi. Seorang bidan masuk (bukan yang menjagaku tadi) dia cek bukaan tapi masih belum 10cm, tapi dia suruh aku teran sekuat hati. Tapi masa tu kontraksi dah tak ada. Teran pun baby tak keluar, nafas dah habis. Sekali lagi datang kontraksi aku tarik nafas sedalamnya, kumpul tenaga dan kekuatan. Teran, teran, curi nafas, teran lagi, curi nafas, teran... Alhamdulillah dengan sekali percubaan anakku selamat dilahirkan. Masya Allah, perasaan paling lega yang pernah dirasa seorang ibu yang melalui detik kelahiran. Syukur tak terhingga. Aku selamat melahirkan anak perempuan pada jam 1.27 petang ditemani suami dan 2 bidan terlatih. 

Subhaanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Bidan menunjukkan anakku dan bertanyakan jantina anakku. ‘Perempuan’ balasku dalam senyum kepenatan. Comel dan ‘tembam’ kelihatan dia. Anakku diletakkan di dadaku untuk seberapa ketika. Aku memeluknya dengan penuh rasa syukur dan bahagia. Dia juga kelihatan tenang berada dekat denganku, mendengar degup jantungku. Suamiku membisikkan azan dan iqamah ke telinganya, dan kemudian suamiku diminta untuk menunggu di luar sehingga sampai waktu aku dihantar ke wad bersalin.

Alhamdulillah penantian sudah pun berakhir. Anak yang ku kandung 38 minggu sudah selamat dilahirkan ke dunia. Pengalaman bersalin kali ini tetap berbeza dengan pengalaman yang lepas-lepas. Yang tak seronoknya, bila aku perlu berada dalam tempoh yang lama di hospital. Ingatkan hari ni induce, esoknya dah bersalin. Tapi hakikatnya bukan begitu jalan ceritanya. Allah jualah sebaik-baik Perancang. 


Dari pengalaman bersalin hari ini dapat aku simpulkan, ianya pengalaman yang jauh lebih baik dari yang aku sangkakan. Meskipun perlu ‘dipaksa’ bersalin 2 minggu lebih awal dari tarikh jangka bersalin, ia tidaklah berbeza sangat dari pengalaman bersalin yang lepas.

Ya, ini pengalaman kedua diinduce (tablet) selepas anak yang sulung dulu. Persamaannya, cukup hanya satu tablet (tak perlu yang kedua dan ketiga) untuk akhirnya aku bersalin secara normal. Tapi dari bukaan 2cm agak mengambil masa untuk ke bukaan seterusnya. Tapi Alhamdulillah bila sudah sampai 4cm bukaan sudah semakin cepat.

Persamaaan dengan kelahiran kedua dan ketiga ialah bila aku dibawa masuk ke Labor room dalam keadaan ‘tidak sakit’ atau tiada kontraksi. Di dalam labor room aku diinduce (cecair pitocin), dan sakit kontraksi kali ini selama lebih kurang 2 jam sahaja, sebelum akhirnya berjaya melahirkan anakku (which is lebih singkat tempoh sakit kontraksi berbanding yang lepas)

Dan kali ini tangan suamiku ‘selamat’ dari menjadi mangsa cengkamanku :D satunya sebab dia masuk pun dah dekat masa nak bersalin. Dan satu lagi aku memang cuba control supaya tak pegang tangan dia masa menahan sakit kontraksi tu. Aku banyak berpaut pada besi katil masa menahan sakit, tak nak sakitkan suami aku lagi macam sebelum-sebelum ni. Kesian dia :)

Alhamdulillah. Pengalaman berharga ini aku simpan sebagai kenangan dan ingatan. Buat tatapan anak-anakku, bahawa ini adalah perjuangan ummi. Perjuangan atas dasar kasih dan cinta. 



Foto pertama Suri 

Dalam labor room; jam 2:07 pm


Catatan pengalaman bersalin abang-abang suri;

ANAS ZAYDAN

ABDULLAH MUSSAAB

ILHAM MIQDAD







0 comments:

Post a Comment