Wednesday 21 July 2021 0 comments By: Naemah

AIDILADHA 2021: SYUKUR SESUNGGUHNYA




Alhamdulillah, Aidiladha diraikan dengan penuh kesyukuran biarpun masih tak dapat balik bertemu keluarga di kampung. 


Jika Aidilfitri yang lalu suami tak dapat beraya bersama, namun Alhamdulillah Aidiladha ini dia ada bersama. Kalau ikutkan jadual asalnya, dia tak dapat beraya di rumah, namun atas takdirNya, dia ada! Panjang ceritanya, bukan cerita gembira malah cerita air mata yang aku belum bersedia untuk menulis di sini.


Namun sehingga hari ini, syukur sesungguhnya. Tiada duka, melainkan untuk dihadiahkan gembira. Insya Allah.


Nah, Aidiladha kita dapat berkumpul satu keluarga sempurna. Meskipun tetap rindukan keluarga di kampung, namun begini pun sudah cukup dan membahagiakan.


Seperti Aidifitri tahun lepas (2020) kita ulangi episod raya bersama di perantauan. Memasak dan membeli juadah raya (menu Aidiladha kita: nasi lemak, lemang, rendang daging dan nasi impit), solat sunat Aidiladha dan takbir, bergambar dan bersalaman, itulah saja yang mampu saat beraya di musim PKP ni. Namun Alhamdulillah. Tetap bersyukur.


Petang hari ke surau mengambil daging korban yang diagihkan melalui kupon kepada penduduk. Tahun ni aku ambil korban di kampung, sementara suami ambil bahagian di luar negara. Walaupun tak berkorban di sini, masih juga dapat merasa daging korban tahun ni di sini. Alhamdulillah. Syukur sesungguhnya. Raya kedua, singgang daging dan daging goreng menjadi hidangan kami sekeluarga. Alhamdulillah. Rindu.. itulah menu utama di hari raya pertama jika di kampung. Kampung aku atau kampung suami, itulah dia menunya. 


Kini sudah berada di hari ke-3 Aidiladha. Jalani kehidupan seperti biasa saja. Suami masih ada bersama. Dia yang sepatutnya semalam (raya ke-2) sudah pergi, tak dipanggil pergi atas faktor tertentu. Pun Alhamdulillah, bermakna dia punya masa lebih bersama keluarga. Tambahan pula aku akan menerima vaksin pada minggu depan, kalau dia tiada perlu panjang akal juga aku, nak mencari jalan untuk tinggalkan anak dalam jagaan siapa. Tapi entah la… panggilan kerja boleh datang bila-bila masa je.. dalam situasi sekarang ni. Get ready saja. Insya Allah kan ada jalannya.


Alhamdulillah 

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.


Tiada kata melainkan kalimah syukur padaNya. Dia yang telah mengatur segalanya ini dengan kebijaksanaanNya.


Buntu. 

Pedih.

Sakit.

Perit.


Serahlah pada DIA

Serahlah segala urusan pada DIA

Bulat-bulat bergantung pada DIA


Pasti kan temui jalan keluarnya.


Biar kelam dan gelap awalnya

Pasti bersuluh terang setelahnya.


Yakinlah duhai sekalian hati.


Selamat hari raya Aidiladha untuk semua



Aidiladha kita seadanya

Rumah pun tak sempat nak berkemas elok sangat!














Monday 12 July 2021 0 comments By: Naemah

LOGHAT DAN BAHASA KELUARGA KAMI




Sekadar coret-coret santai.


Suamiku- ic Pahang

Aku dan anak-anak (4 orang)- ic Kelantan


Suamiku- lahir dan membesar di Pahang (lahir di Kuantan dan membesar dan bersekolah di Bentong). Kemudian sambung belajar di Melaka dan seterusnya belayar (banyak masa di laut).


Bila ibubapa mertuaku (keduanya asal kelantan) berpindah ke Kelantan kepas ayah mertua pencen lebih 10 tahun yang lepas, ketika itu suamiku sudah bekerja (belayar). Memang tak duduk di rumah sangat. 


Jawabnya, bab loghat dan bahasa, dah biasa dengan bahasa sejak kecilnya (tak boleh sangat nak berloghat Kelantan).


Aku pula- Kelantan original. Dari lahir sampailah akhirnya dapat masuk universiti. Baru keluar dari negeri sendiri. 


Bab loghat dan bahasa, dah tentu lebih selesa dengan loghat sendiri. Cakap luar pun, masih ada kedengaran ‘budu’ juga :D


Anak-anak- walaupun lahir di Kelantan tapi membesar di Selangor. Tambahan abinya tak pernah berbahasa Kelantan dengan mereka, mereka pun pun juga, tak biasa dengan loghat Kelantan. Aku? Sebolehnya cuba berbahasa melayu standard dengan anak-anak, tapi kadang-kadang terkeluar juga ‘kelantan’nya :D 


Maka jawabnya, anak-anak pun bahasa mereka bahasa melayu Selangor lah! Dan kesimpulannya walaupun kami semua ni darah Kelantan, tapi di rumah bahasa kami bahasa melayu tanpa loghat Kelantan, bila berbual sesama sendiri. Cuma satunya bila aku berdua je dengan suami, aku lebih selesa cakap Kelantan, atau campur aduk sahaja bahasa. Dia pula, membalas dengan bahasa dia yang dia selesa. Macam ayam cakap dengan itik pun ya! Tapi yang pasti saling faham apa yang disampaikan :D


Begitulah kisahnya. Loghat dan bahasa di rumah kami. Bahasa melayu macam orang lain juga :D tak ada yang luar biasanya.


Bila balik kampung jumpa ahli keluarga semua, dah tentulah kelantan habis bila bercakap. Aku lah, bukan suami. Dia mencuba juga, tapi masih dalam kepayahan :D anak-anak pun, cakap macam biasa je la seperti di rumah.


Setakat ini sajalah bab loghat bahasa di rumah kami. Apapun tetap berbangga dengan loghat dan bahasa sendiri. Loghat pertuturan sejak kecil dan sudah sebati. Dalam loghat, ada ‘jiwa’.




Saturday 10 July 2021 0 comments By: Naemah

APA KHABAR SEMUA??



Bulan sudah berganti tahun. Kini masih hidup di dalam suasana pandemik. Walaupun banyak negara sudah bebas, namun Malaysia masih sedang bergelut dan berjuang dalam kemelut pandemik ini. Allah saja tahu apa yang sedang kita semua rasa dan tanggung sehingga hari ini. Semua terkesan dari pandemik ini, tak kira tua muda, kaya miskin, bujang berkahwin… banyak yang sedang tersepit dan banyak juga yang selfish sedang menyelamatkan diri sendiri tanpa hiraukan insan sekeliling yang terkapai hanyut dan tak berupaya untuk bangun.


Hari ini, kes bunuh diri dapat kita dengar setiap hari (2 kes sehari menurut kajian). Banyak kes depresi, banyak yang melarat hidupnya, bukan lagi kais pagi makan pagi, bahkan tak mampu untuk mengais lagi hingga tak makan-makan. Banyak bisnes besar apatah lagi kecil tumbang, ramai yang dibuang kerja hilang mata pencarian, anak-anak terkurung tak dapat menikmati masa bahagia seorang kanak-kanak, kesan mentalnya juga bakal kita lihat dan sudah ramai ibubapa yang mengadu dan mengeluh akan hal ini. 


Bulan berganti tahun, anak-anak tak dapat lagi pulang untuk menziarahi ibu ayah yang sudah tua dan uzur, ibu ayah menanggung kerinduan tak terungkap. Bahkan rindu merekalah yang lebih mendalam. 


Apa khabar semua? Ahli keluarga jauh dan dekat? Rakan dan sahabat? Dan semua rakyat Malaysia? Baik-baikkah semua? Aku tahu ujian ini sedang ditempuh oleh kita semua. Meski kita terkesan pada sudut yang berbeza, namun yang pasti ada ‘bahagian’nya untuk kita rasa.


Aku? Pertamanya Alhamdulillah meski di dalam ujian ini, hidup kami sekeluarga masih sangat baik. Makan minum masih cukup, kediaman selesa untuk anak berteduh dan anak-anak bebas bermain, suami tetap dengan pekerjaannya, aku pula dapat jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu seperti biasa. Eh tak, bukan seperti biasa lagi. Bahkan perlu lebih dari biasa. Dan di sudut inilah mungkin pandemik ini mengujiku dan keluargaku. 


Suamiku kini banyak masa habis dengan kuarantin di luar setiap kali keluar bekerja. Dalam sebulan kadang-kadang tak sampai seminggu pun dia di rumah. Rumah sekadar transit, dari tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Bahkan tahun ini (sudah bulan ke-7) boleh dihitung berapa hari saja dia di rumah. 


Dan aku, sibuk dengan pdpr 3 anakku yang masih bersekolah rendah dan tadika. Dalam masa yang sama, ada seorang lagi yang masih kecil dan mendamba sepenuh perhatian. Pdpr sahaja sudah bikin pening. Anak sekadar belajar, penyediaan dan yang lain-lain hingga menghantar tugasan sekolah, kita yang perlu uruskan semua. 


Dalam masa yang sama masih perlu melaksanakan tanggungjawab yang lain juga. Kerja-kerja rumah seperti memasak dan laundry, kitalah juga. 


Time pandemik begini, dan suami pula tak ada dalam tempoh yang lama, urusan  membeli keperluan dapur juga aku perlu buat sendiri. Sesekali order delivery seperti happy fresh dan foodpanda, tapi selalu juga slot penuh, dan barang yang nak dibeli tak ada dalam list. Last-last perlu keluar sendiri. Nak membeli pun tak seronok sebab kena rushing sebab tinggalkan anak-anak kat rumah, especially yang kecil tu. Dalam kepala ingat nak cepat balik je. Hish.. tak suka bila kena keluar. Tapi dah terpaksa, tempuh dan pasrah tinggalkan anak-anak sendiri di rumah. Syukurlah yang sulung dah boleh diharap untuk jagakan adik.


Rasanya penat fizikal taklah sangat. Mental ni yang terlebih kerja. Emosi kadang tak menentu. Sampai kadang-kadang rasa tak nak buat apa-apa. Nak baring saja. Tapi agaknya boleh??


Tak baik untuk aku mengeluh, bahkan di luar ramai yang lebih menderita. Tak, bukan ku mengeluh pada takdirNya. Tapi hanya kerana ku juga manusia biasa yang terkadang kuat dan terkadang lemah dan longlai menempuh ujian hidup ini. 


Aku setiap hari mencari dan mendoakan kekuatan agar aku tak menjadi seperti yang tak sepatutnya. Agar aku masih dapat jalankan tanggungjawab sebagai hambaNya, sebagai ibu dan juga isteri. Agar aku terima ujian ini sebagai rahmat dan jalan untuk diampunkan segala dosa dan diangkatkan darjat sebagai hamba. 


Tapi ujian tetaplah ujian. Hingga hari ini hati dan perasaan kita masih terus berperang. Lemah dan kuat bergantian. Senyum dan air mata beriringan. 


Duhai semua yang sedang diuji. Tetap bertahanlah. Jangan sesekali memilih jalan yang salah kerana menyerah pada takdir yang tidak kita kehendakkan. 


Aku mendoakan agar semua akan terus kuat. Aku tahu, kita menempuh ujian ini pada jalan kesakitan yang berbeza. Namun itulah ‘dari Tuhan untuk kita’. Dia yang lebih tahu bentuk ujian apa yang sesuai buat kita.


Moga kan tetap bercambah keimanan kita dalam menempuh ujian hidup ini. Tetap percayakan kasihNya. Tetap bergantung dan berpaut padaNya. 


Apa khabar semua??

Moga baik-baik saja semua.