Wednesday 29 November 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 301117



Hari ini abi kembali ke Bintulu menyambung kerjanya seperti biasa. Abi bertolak ke airport jam 5.30 pagi ketika Anas, Mussaab dan Miqdad masih lena. 

Miqdad yang pertama bangun, diikuti Mussaab dan akhir sekali Anas. Jam 7.30, semua sudah berada di bawah. Memandangkan ummi tak masak, terpaksa keluar beli nasi lemak di luar, sambil-sambil ummi nak belikan sedikit keperluan dapur. Anas, Mussaab dan Miqdad ummi bawa sekali. Selesai membeli, terus balik ke rumah dan menikmati breakfast bersama-sama. Breakfast pagi ini; nasi lemak, mi goreng dan pizza lebihan semalam. Jam 8.20, penerbangan abi ke Bintulu. Semoga Allah permudahkan urusan abi.

Selepas makan, Ummi buka video a ba ta untuk Miqdad. Anas dan Mussaab juga menonton bersama sambil melukis. Ummi tampalkan kertas di dinding untuk Anas dan Mussaab ‘berkarya’. Dah lama ummi tak tampal kertas mahjong seperti dulu-dulu. Dari situlah sebenarnya Anas mula melukis, dari sekadar contengan hingga hari ni dapat hasilkan lukisan yang lebih cantik. Ummi harap Mussaab juga akan suka dan pandai melukis macam Anas. Ummi terhibur melihat setiap lukisan yang dihasilkan.

Ummi keluar jemur kain, ditemani Miqdad. Miqdad bermain di sekitar porch dan masuk semula bila ummi selesai menjemur kain. Anas masih tekun melukis. Mussaab tunjukkan hasil lukisannya yang ‘comel’ :) seperti yang dijangka, kertas dipenuhi lukisan Anas, berbanding hanya sedikit lukisan Mussaab. Nak buat macamana, abang ‘selalu lebih’ :) Mussaab sudah bosan melukis. Asyik pula mengasah pensel warna menggunakan sharpener. Kemudian sambung melukis lagi. Miqdad sambung belajar a ba ta. 

Jam 11, ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab menonton video bersama. Ummi memasak di dapur. Miqdad bangun jam 11.30 dan menangis. Ummi tangguhkan kerja memasak sekejap dan temankan Miqdad di sofa. Bila Miqdad dah ok, ummi sambung memasak. Jam 12, lunch bersama. Ummi suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad seperti biasa. Alhamdulillah semuanya berselera makan. Lepas makan, Anas dan Mussaab melukis lagi. Video juga terpasang.

Jam 1, naik ke atas dan mandi. Lepas mandi, bermain permainan yang ada di atas. Anas melukis lagi. Ummi susukan Miqdad dan cuba tidurkan Miqdad. Tapi Miqdad masih nak bermain. Riuh rendah seketika bilik tidur bila Anas, Mussaab dan Miqdad main bersama. Anas pula bengkak matanya, entah alergi apa pula. Dari semalam selesema, berair mata. Bila kerap digosok, bengkaklah jadinya. Katanya tak sakit, cuma tak tahan mata berair. Jam 2.30, ummi cuba tidurkan Miqdad lagi. Anas dan Mussaab main di luar. Miqdad dan ummi sama-sama terlena. 

Jam 4, bangun dari tidur. Anas dan Mussaab sedang melayan video di bawah. Ummi buatkan roti garlic dan mushroom soup. Anas, Mussaab dan Miqdad makan bersama. Mussaab hanya makan sedikit, kemudian minta roti butter gula. Lepas makan, keluar bermain di halaman rumah. Video call dengan abi, dan main sepuasnya di luar. 

6 petang, masuk ke dalam rumah. Ummi suapkan Anas dan Miqdad makan nasi. Mussaab tak nak makan, katanya dah kenyang makan roti tadi. Mussaab minum susu strawberry saja. Lepas makan, menonton video umar dan hana. Ummi siapkan stok popia. Anas juga membantu dan belajar gulung popia. 

Jam 7, naik ke atas dan mandi. Siap berpakaian tidur, dan sambung bermain lagi. Anas buka YouTube di komputer pula. Menonton video tech insider lagi. Kini sedang obses belajar world maps. Hafal peta, flags dan cuba melukis. Alhamdulillah, hasil yang boleh dibanggakan :)

Ummi ajarkan Anas al-quran, sambung bacaan surah al-baqarah. Mussaab bermain sendiri. Menggunting dan mengoyak kertas lukisan di dinding. Sabar jelah! Miqdad juga tumpang baca al-quran. Sehelai lagi page al-quran berjaya dikoyak Miqdad. Alahai Miqdad sayang. Selalu berebut nak ‘baca’ al-quran dengan Anas. Rajin sangat!

Lepas tu turun ke bawah sekejap, letakkan Olly dan babynya dalam biliknya. Kemudian naik semula ke atas. Ummi cuba tidurkan Miqdad yang dah tak berminat untuk bermain. Anas dan Mussaab masih belum mahu tidur, walaupun keduanya dah mengantuk. Siang tadi langsung tak tidur. Keduanya melayan video di bilik komputer. Miqdad lena akhirnya jam 8.20. Alhamdulillah.

Jam 9, ummi temankan Anas dan Mussaab tidur pula. Seperti biasa, melayan pertanyaan demi pertanyaan, membaca doa dan akhirnya tidur juga keduanya, jam 9.30 malam. Alhamdulillah.

Alhamdulillah untuk kehidupan yang kita lalui bersama hari ini. Moga Allah sentiasa merahmati kehidupan kita, dan memberikan yang terbaik untuk keluarga kita. Moga Allah sentiasa mengasihi anak-anak ummi. Moga baik-baik saja abi di sana bersama cinta Allah. Moga bahagia selamanya kita bersama. Semoga esok menjanjikan yang lebih baik. Insya Allah.
Monday 27 November 2017 0 comments By: Naemah

BREASTFEEDING: SEBUAH ILTIZAM YANG TAKKAN PADAM

Semalam, 26/11/17, aku berhadapan dengan situasi yang belum pernah aku alami. Kami bermusafir pulang ke kampung seawal jam 4 pagi dan tiba di kampung jam 11 pagi.

This entry is all about breastfeeding. Di sini bermula ceritanya;

Sekitar jam 3 petang, Miqdad mula enggan menyusu sebaik tiba masa untuk aku susukan dan tidurkan dia. Oklah, aku biarkan saja. Mungkin dia tak nak tidur dan tak puas bermain lagi. 2 jam kemudian, aku cuba susukan lagi. Dia menolak lagi. Malahan meronta tak mahu menyusu. Aku mula jadi hairan. Petang itu dia langsung tidak menyusu dan tidak tidur. Tak pernah dia begitu.

Di malam harinya, tiba waktu tidurnya, aku cuba susukan dia lagi. Dan seperti tadi, dia menolak. Walau mata dah sangat mengantuk, dia tetap tak mahu menyusu. Meronta, menangis, menolak sekuatnya. Hairan! Dan aku mula rasa stress dan tak sedap hati. Tak tahu apa sebabnya. Dia tadinya aktif saja bermain. Makan pun juga ok. Cuma enggan menyusu.

Malam itu Miqdad lena di pangkuan abinya tanpa menyusu. Bila terjaga dari tidur, menangis lagi. Dan masih juga tidak mahu menyusu. Puas didukung, didodoi, ditepuk, Miqdad tetap menangis. Dah cuba periksa tekaknya, normal saja. Buntu, apa yang menyebabkan dia tak nak menyusu. Agak lama kemudian dia lena kembali di pangkuan suamiku, sambil dibacakan ayat suci al-quran. Selepas itu, dua kali dia terjaga dan menangis. Aku cuba susukan, dan Alhamdulillah dia menyusu dengan baik dan sambung tidur semula dengan mudah.

Aku tak mampu nak gambarkan perasaanku. Sedih sudah tentu. Mungkinkah Miqdad dah tak nak menyusu badan lagi? Usianya baru setahun sebulan. Masih terlalu awal untuk dia berhenti menyusu. 

Oleh kerana seharian tak menyusu, aku mengalami bengkak susu yang dah lama aku tak rasa. Kaum ibu pasti faham bagaimana rasanya bila berhadapan dengan situasi ini. Sakit tak usah cakap. Dah sakit, stress pula anak tak nak menyusu dan tak tahu apa puncanya. Risau lagi, mungkin ke dia sakit, atau ada masalah. Nak menangis, nak mengadu pun rasa tak siapa akan faham. 

Kerana tak tahan sakit, aku cuba pam susu. Dah lama juga tak buat kerja mengepam susu ni :) banyak juga hasilnya, simpan dalam peti ais. 

Keesokan hari, sekitar jam 5 pagi Miqdad bangun dan menangis lagi. Kali ini dah tak nak menyusu. Hati yang lega kembali gusar. Dah berhenti menangis, dia bermain dan membebel sendiri. Akhirnya sambung tidur lagi. Dan bangun semula ketika aku ingin menunaikan solat subuh. Bangun dengan cergas dan ceria. Tak menangis lagi.

Dan hari ini juga, Miqdad sudah kembali menyusu dengan baik. Masih ada kebimbangan dalam hatiku, andai dia akan menolak dan menangis lagi bila mahu disusukan.

Sebagai seorang ibu, ini adalah pengalaman perit buatku. Aku sedari awal sudah beritizam untuk menyusukan anak-anakku sekurang-kurangnya sehingga umurnya 2 tahun. Alhamdulillah, anak pertama dan kedua sudah lepas dengan jayanya, kini anak ketiga juga aku mahu berikan yang sama. Tapi apa yang terjadi semalam, meninggalkan bekas di hati. Aku takut, andai ia berulang lagi. Aku takut, andai aku perlu berhenti menyusukan dia.

Sesungguhnya menyusukan anak bukan mudah. Mudah pada yang hanya melihat. Namun pada yang merasa, jika tidak bersama tekad dan kesungguhan, mungkin penyusuan ibu ini tak mampu disempurnakan.   Aku yang tak bekerja ni mungkin masih dipandang biasa-biasa. Tapi aku sendiri kagum pada ibu bekerja yang tetap bersungguh-sungguh untuk memberikan susu ibu ekslusif pada anaknya. Walau penat bekerja, masih berdisiplin mengikut jadual mengepam susu untuk anak tercinta. Aku respek!

Namun bila aku dengar ada ibu yang bercerita yang dia tak mampu nak teruskan penyusuan ibu pada anaknya walaupun anak belum sampai umur setahun, aku rasa ‘frust’. Takkan tak boleh! Kesian anak itu. Namun mungkin aku tak tahu, berapa kuat sudah dia mencuba, bagaimana tekanan yang dia rasa, hingga akhirnya bercerai susu menjadi pilihan. Yang mana ia tak pernah terlintas di fikiranku akan berhadapan dengan situasi yang sama.

Dan kisah semalam benar-benar menguji dan membuat aku berfikir banyak. Betapa aku belum bersedia untuk berhenti menyusukan anakku. Biar bagaimana sukar sekalipun. 

Dan penyusuan anak ini memerlukan sokongan insan di sekeliling, terutamanya suami. Ya, suami tak rasa dan tak nampak di mana sukarnya. Tapi berilah sokongan, tunjukkan pengertian. ‘Bersama-sama’lah bergandingan dalam menyempurnakan penyusuan ibu secara ekslusif, sekurang-kurangnya sehingga anak itu berumur 2 tahun. Insya Allah.




Monday 20 November 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 211117





Hari ini hari ke-3 abi di Bintulu. Hari ni juga mek ada di rumah. Semalam masih ramai tetamu di rumah. Hari ni hanya tinggal Anas, Mussaab, Miqdad, ummi dan mek. 

Miqdad bangun jam 6 pagi, dan turun ke bawah bersama ummi. Sebelum tu asyik menonton video a ba ta sementara ummi mandi dan solat. Mussaab juga bangun sekejap kemudian. Mussaab ambil coco crunch dan makan di sofa. Ummi masak nasi goreng. Miqdad pula menangis tak nak main sendiri. Sepanjang ummi memasak Miqdad menangis dan menarik kain ummi. Ummi memasak hingga siap. 

Ummi cuba suapkan Miqdad makan, tapi Miqdad menolak. Sudahnya, ummi hanya susukan Miqdad hingga Miqdad kenyang dan boleh dilepaskan main sendiri. Entahlah, sejak lepas demam seminggu yang lalu, Miqdad sering meragam dan sukar untuk ditinggalkan bermain sendiri. 

Ummi suapkan Mussaab nasi goreng. Belum sudah suap, Miqdad dah menangis mahukan ummi. Ummi kembali memangku dan menyusukan Miqdad. Suap makan juga masih tak mahu. Kemudian Anas pula bangun. Duduk di sofa, menonton tv dan makan coco crunch.

Ummi gorengkan nugget dan suap Anas makan nasi goreng dan nugget pula. Tengah suap, Miqdad menangis cari ummi lagi. Ummi tinggalkan Anas habiskan makan sendiri. Mussaab pula tiba-tiba sakit perut nak membuang, tapi susah nak membuang. Banyak kali keluar masuk toilet. Ummi nak sapu minyak dia tak nak. Akhirnya berjaya juga membuang ,:)

Jam 9, semua keluar ke halaman. Ummi siram pokok dan tengok-tengok mek yang sedang buat kerja membaja. Anas, Miqdad dan Mussaab main dalam kereta abi, dan panjat kereta abi. Bising dengan suara mereka 3 beradik. Kemudian ummi bawa Miqdad ke halaman dan lepaskan Miqdad di rumput. Miqdad berjalan ke sana sini dengan riang. Anas dan Mussaab dah masuk ke dalam rumah. Ummi dan Miqdad juga masuk.

Mussaab mengadu penat dan nak berehat. Ummi minta Anas, Mussaab dan Miqdad mandi dulu. Semua masuk ke dalam bilik air dan bermain pula kat dalam tu. Penuh dengan barang permainan. Ummi biarkan seketika sementara ummi ambil peluang rebahkan badan dan berehat :) agak dah lama ummi panggil keluar semua. 

Lepas mandi main lompat-lompat di katil pula. Macam-macam adegan ada. Ummi biar dulu main seketika. Jam 10, ummi minta Anas dan Mussaab keluar, ummi nak tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab yang katanya nak drawing, melencong ke bilik depan dan buka komputer. Anas seperti biasa membuka video kegemarannya, yang berkaitan sains dan country of the world. Sekarang memang obses dengan world map dan flags. 

Miqdad tidur akhirnya. Ummi turun memasak. Mussaab bermain dengan Olly dan babynya. Mussaab juga tolong buangkan najis Olly. Tengah masak, Miqdad bangun menangis. Ummi ambil Miqdad dan sudahkan memasak tomyam sambil memangku Miqdad. Mussaab dah ready di baby chair nak makan nasi. Sambil menunggu sambil membebel kelaparan. Miqdad pula tak boleh diletak, nak menagis saja. Anas yang tadi di atas menonton video, juga turun ke bawah  kerana perut dah lapar :)

Jam 11, ummi suapkan Anas, Mussaab dan Miqdad makan tenghari. Alhamdulillah, ketiganya makan berselera. Banyak makan, dan banyak bergurau juga. Lepas makan, Anas, Mussaab dan Miqdad bermain di porch. Panjat kereta abi lagi. Ummi makan dan kemas rumah, sementara Miqdad asyik bermain dan tak mencari ummi. Dah siap kemas, ummi bersiap untuk hantar Anas ke sekolah. Anas juga bersiap. Miqdad ditinggalkan dengan video a ba ta lagi. Dah siap, ummi susukan Miqdad dan buat roti butter gula untuk Mussaab. Anas melukis buah-buahan sementara tunggu ummi solat zuhur. Lepas solat, terus ke sekolah Anas.

Balik ke rumah, seperti biasa ummi susukan Miqdad untuk tidurkan Miqdad , sambil melayan celoteh Mussaab. Miqdad dan Mussaab sama-sama tertidur akhirnya. Ummi juga tidur bersama. 

Jam 3 petang, Miqdad bangun dan kejutkan ummi. Miqdad ceria bermain. Ummi bawa turun ke bawah dan buka lagu a ba ta untuk Miqdad. Ummi goreng keropok dan makan bersama Miqdad. Mussaab juga bangun dari tidur dan makan coco crunch sambil menonton video bersama Miqdad. Kini menuggu azan asar dan bersiap untuk ke sekolah Anas. Miqdad ceria berjalan ke sana sini dan tak meragam lagi. Tapi sibuk hulurkan tudung ummi, nak ajak keluar :D

Mek keluar untuk buat kerja di luar. Mussaab juga keluar bermain basikal. Miqdad juga keluar. Lepas solat asar terus ke sekolah Anas dan singgah sekejap di speedmart untuk beli susu coklat Anas dan penyapu. Balik rumah, ummi buatkan tortilla cheese untuk Anas dan Mussaab. Sambil makan, sambil main dan menonton tv. Kemudian mandi dan makan malam. Facetime sekejap dengan abi yang baru balik dari laut. Sudah makan, Anas, Mussaab dan Miqdad main bersama. Bersepah buku di karpet. Miqdad juga asyik melayan video a ba ta. Ummi kemas dulu apa yang patut.

Jam 6.45, ummi naik mandi dan solat, tinggalkan Anas, Mussaab dan Miqdad bermain di bawah. Lepas maghrib Miqdad naik ke atas, menangis dan ummi susukan Miqdad. Lama juga bergelap di bilik. Dengan suara abang-abang yang bising, jam 8.10 barulah Miqdad lena. Anas dan Mussaab layan video di bilik lain. Ummi solat isyak. 

Lepas solat, ummi ajarkan Anas dan Mussaab al-quran yang tertangguh tadi, dek Miqdad yang menangis mahu disusukan. Lepas baca Quran, minum air dan tidur. Seperti biasa, banyak celoteh, cerita dan pertanyaan sebelum keduanya terlelap. Masing-masing lena dalam pukul 9.15 malam. Agak awal juga. Tapi dengan ummi memang semua akan tidur awal :)

Semoga lena dan mimpi indah anak-anak ummi. Semoga hari esok akan lebih baik. Juga doakan abi yang jauh, semoga sentiasa dalam lindungan Allah. Ummi sayang semuanya kerana Allah.

Sunday 19 November 2017 0 comments By: Naemah

GENIUS AULAD: 1 YEAR COMPLETE



24/11/17 merupakan hari terakhir persekolahan Anas di Genius Aulad Bandar Rinching. Alhamdulillah, sempurna sudah setahun persekolahan Anas di sekolah pertamanya di usia 5 tahun.

Anas memulakan sekolah dengan semangat. Tiada drama air mata di hari pertamanya. Hari berikutnya juga Anas cepat dan mudah untuk bersiap ke sekolah. Setiap hari ummi yang menghantar dan mengambilnya dari sekolah ditemani adik-adik. 

Namun selepas cuti pertengahan tahun, mungkin juga kerana bercuti panjang, semangat ke sekolah selepas itu makin berkurang. Malahan semakin tak bersemangat pada hari-hari dan minggu-minggu berikutnya. Agak mencabar dalam tempoh ini kerana Anas susah nak bersiap ke sekolah, menangis bila nak ditinggalkan di sekolah, malah banyak pula alasan demi alasan yang diberikan agar tak dihantar ke sekolah. Dalam berat dan sukar, ummi hantar dan paksa juga Anas ke sekolah. 

Di minggu-minggu akhir persekolahan, Anas kembali bersemangat. Setiap hari ceria ke sekolah. Cepat bersiap, tiada banyak alasan lagi. Mungkin dah semakin suka berkawan :) 

Dari segi pembelajaran, Alhamdulillah Anas tiada masalah. Malah lebih ke hadapan, mengikut kata guru kelasnya. Tapi tetap dan masih perlu belajar banyak perkara :)

Tahun ini juga Anas menerima anugerah ‘the potential reader’ dan membuat persembahan di pentas buat pertama kali. Alhamdulillah. Kenangan buat Anas :)

Akhirnya tamat sudah. Sebulan lagi bakal menempuh tahun baru, 2018. Januari ini genap usia Anas 6 tahun. Sekejap saja kan? Anas akan meneruskan persekolahan lagi. Insya Allah, Mussaab juga akan ke sekolah bersama Anas. Mungkin di Genius Aulad juga, cuma masih belum membuat pendaftaran. Mussaab dah tak sabar nak bersekolah. Semoga dipermudahkan urusan di masa akan datang :)





BILA MIQDAD DAH BEBAS BERJALAN

Alkisah, Miqdad mula melangkah buat pertama kalinya pada usianya 11 bulan setengah. Untuk pertama kali, hanya untuk beberapa langkah :) ditakdirkan selepas itu Miqdad demam untuk beberapa hari. Tiada lagi step seterusnya. Banyak menangis dan merengek,dan sudah   tentu hanya mahu didukung sahaja. 

[post lama yang tergendala. Update balik pada 27/03/18. Miqdad bukan sekadar dah berjalan, tapi dah berlari, melompat dan memanjat pun. Alahai. Cepat masa berlalu]

Ok sambung,
 Miqdad mula melangkah gagah kembali bila umurnya dah cukup setahun. Dari langkah bertatih, jatuh bangun berkali-kali, berusaha dan mencuba tanpa jemu, akhirnya hari ini Miqdad dah berjalan normal seperti orang lain dah :) bila dah dapat ‘kaki’ makin luas lah langkahnya. Tak kira bahaya, tak fikir boleh ke tak boleh, asal dapat jalan, bahagia sungguh dirasa! 

Dah berjalan, akhirnya boleh berlari, boleh melompat dan boleh memanjat. Terinspirasi dengan abang-abang  barangkali. Pantang ada tempat boleh panjat, memanjatlah kerjanya. Turun naik tanga tu dah biasa. Meja makan, tingkap, katil, dan lain-lain. Memang kena berhati-hati dan selalu menjenguk, walaupun tengah busy buat kerja atau memasak.

Di usia Miqdad hampir 1 tahun setengah sekarang, Miqdad memang tengah lasak sangat. Nak mencuba segala macam aksi. Apatah lagi abang-abang menjadi ‘contoh’, Miqdad tak fikir pun yang dia tu masih kecil lagi :D

Dulu abang-abang Miqdad juga dah melalui fasa ini. Ummi yang perlu lebih berjaga -jaga sebenarnya. Dah banyak juga episod cemas yang dilalui Miqdad (Anas dan Mussaab juga). Alhamdulillah dalam alpanya ummi, Allah tetap menjaga anak-anak ummi. 

Semoga membesar sihat dan dalam rahmat Allah hendaknya Anas, Mussaab dan Miqdad. Maafkan atas segala kekurangan ummi dalam menjaga dan melindungi kalian. Sesungguhnya bukan ummi yang selama ini sempurna menjaga, tapi Allah yang tak pernah lepaskan pandangan kasihNya pada kalian. Dan kerana itu kalian baik-baik sahaja hari ini. 

Syukur pada Allah atas kehidupan yang diberikan hari ini.
Alhamdulillah 


Yang sedang lasak membesar 

ooo






GENIUS AULAD: REPORT CARD PICK UP DAY

Alhamdulillah, sessi persekolahan 2017 sudah hampir ke penghujungnya. Kini sudah masuk ke minggu terakhir persekolahan sebelum anak-anak kita bercuti panjang. 

Anas juga tak terkecuali. Sudah menghitung hari, untuk bercuti panjang dan balik kampung bertemu sepupu, teman sepermainan :)

Sepanjang setahun persekolahan ini juga, sudah tiga kali sessi bertemu parents diadakan di sekolah. Yang pertama, selepas sebulan persekolahan. Dalam pertemuan ini, guru kelas menyampaikan sedikit sebanyak tentang anak di hari-hari pertama persekolahan kepada ibubapa. Masa ni Anas ok saja. Tengah happy dan excited ke sekolah :)

Pertemuan kedua, juga diberi term ‘Report card pick up day’ untuk first term diadakan pada 20/05/17. Kali ini aku tak dapat hadir ke sekolah untuk tujuan itu kerana perlu balik ke kampung. Report card hanya ditunjukkan pada minggu seterusnya. Tak sempat nak membelek dan mendengar penjelasan panjang dari guru kelasnya, kerana masa tak mengizinkan. Cuma secara ringkasnya, Anas ok dan baik saja. Tapi hingga tahap ini, semangat Anas untuk ke sekolah sudah berkurang. Dia tak happy lagi bila nak ke sekolah. Malah, perlu dipaksa hingga kita pun penat ,:) 

Dan untuk yang terakhir kalinya, ‘Report card pick up day’ diadakan pada 18/11/17. Hari ini dapat berbicara lebih panjang dan detail dengan guru kelas berkaitan dengan Anas dari segi pencapaian, sikap, dan sebagainya. Masih juga hal yang baik-baik dapat didengar dari guru kelasnya. Alhamdulillah :) dan hingga ke penghujung sessi persekolahan ini, Anas kelihatannya gembira dan ceria kembali untuk ke sekolah. Tak lagi susah nak bersiap, dan tiada banyak helah dan drama air mata lagi. Alhamdulillah :)

Akhirnya setahun sudah Anas bersekolah. Genius Aulad Bandar Rinching menjadi sekolah pertama Anas di usianya 5 tahun. Banyak yang Anas belajar, dan banyak pengalaman yang Anas dapat. Semoga semuanya baik dan bermanfaat untuk masa depan Anas. Insya Allah.

Syukur pada Allah di atas segala pencapaian Anas. Masih jauh lagi perjalanan Anas. Semoga segalanya akan lebih baik dan lebih cemerlang di masa akan datang. Insya Allah.



Yang ummi sempat snap dari report card Anas (sebab teacher Ika bagi bawa balik untuk tunjuk pada abi



First term




Second term

Friday 17 November 2017 0 comments By: Naemah

THE GIANT BUBBLE

Hari ini sempat melakukan aktiviti outdoor bersama anak-anak, juga anak saudaraku Faris dan Zana yang kebetulan datang ke rumah kami. 

Hari ini buat pertama kali bermain bubble buatan sendiri. Dah agak lama juga aku simpan resepi untuk buat bubble ni. Hari ni baru ada peluang dan bahan-bahan pun dah cukup lengkap, maka terhasillah bubble yang diinginkan. 

Tapi memandangkan hari ni tak berangin, maka berlari-larilah mereka semua untuk hasilkan bubble :) semuanya excited bermain. Lebih kurang sejam juga bermain tanpa henti. Miqdad pun join sekali celup air sabun hingga menangis-nangis bila sabun terkena mata :)

Ok, kat sini diserta bersama resepi yang disave dari fb. Kredit buat tuan empunya :)






Seronoknya bermain










NASI TOMATO, AYAM MASAK MERAH SERAI DAN ACAR





Eh. Berkongsi resepi lagi nampaknya hari ni :D 
Kebetulan lepas masak sempat snap gambar, maka boleh la berkongsi resepi di blog :)

Hari ni kami sekeluarga menjamu selera dengan nasi tomato, berlaukkan ayam masak merah serai, acar dan sambal belacan.

Resepinya;




Nasi tomato

Bahan-bahan;
Beras-dibasuh
Bawang merah-mayang
Bawang putih-mayang
Halia-mayang
Bawang kuning-mayang
Rempah 4 sekawan; kayu manis, bunga cengkih, pelaga dan bunga lawang
Tomato puri secukupnya
Secawan susu segar
Minyak
Butter
Tomato-cincang halus
Serai-ketuk
Garam
Kiub ayam
Air
Daun pandan.

Cara-caranya;
Panaskan minyak dan butter, tumis rempah 4 sekawan, bawang merah, bawang putih, bawang kuning, halia, serai dan tomato sehingga masak dan wangi. Masukkan kiub ayam, tomato puri dan garam. Kacau sebentar. Akhir sekali masukkan susu segar dan kacau lagi. Biar sehingga mendidih. Tuangkan ke dalam periuk nasi/pressure cooker yang sudah berisi beras. Tambah air secukupnya. Letakkan daun pandan. Tunggu hingga nasi tomato masak.





Ayam masak merah serai

Bahan-bahan;
1/2 ekor ayam-dipotong kecil
1 bawang holand-kisar
1 bawang putih-kisar
1 bawang merah-kisar
1 inci halia-kisar
Sedikit cili kering-kisar
1 sudu cili boh
2-3 batang serai-ketuk
Gula dan garam

Cara-caranya;
Tumiskan bahan kisar, cili boh dan serai hingga pecah minyak. Perasakan dengan gula dan garam. Tambah air jika perlu. Bila kuah sudah masak dan mendidih, masukkan ayam dan kacau rata. 




Acar

Bahan-bahan;
Hirisan kubis, timun dan carrot
Bawang holland-mayang
Cili-potong kecil
Gula
Garam
Cuka makan

Cara-caranya;
Satukan gula, garam, cuka, bawang dan cili. Agak-agak sukatan agar cukup rasa manis, masin dan masamnya. Kacau hingga gula dan garam hancur. Kemudian baru masukkan hirisan timun, carrot dan kubis. 
Thursday 16 November 2017 0 comments By: Naemah

AYAM MASAK KICAP DAN TAUGE GORENG UDANG



Rajin nak berkongsi resepi lagi :D
Ini menu untuk lunch kami beberapa hari lepas. Baru sempat nak menulis resepi :) seperti biasalah, hidangan yang sangat simple dan mudah disediakan. Sesuai untuk ibu-ibu sepertiku yang tak boleh lama sangat kat dapur :D

OK, ini resepi ayam masak kicap caraku, dan tauge goreng udang.


Ayam goreng kicap

Bahan-bahan;
Ayam-perap dengan garam kunyit dan goreng

Bawang merah-mayang
Bawang putih-mayang
Sedikit sos tiram
Sedikit sos ikan
Kicap secukupnya
Sedikit gula
Sedikit air
Cili hijau- potong
Bawang holang-potong bulat

Cara-caranya;
Tumis bawang yang sudah dimayang dengan sedikit minyak hingga wangi.

Masukkan sos tiram, sos ikan, dan kicap, kacau seketika.

Masukkan sedikit air dan gula-sesuaikan rasa.

Masukkan  ayam yang telah digoreng tadi dan kacau sebati.

Akhir sekali masukkan hirisan bawang holand dan cili hijau.

Siap!



Tauge goreng udang

Bahan-bahan;
Tauge 
Sedikit sawi-potong
Sedikit carrot-potong
Udang
Bawang putih-mayang
Bawang besar-mayang
Sedikit cuka
Sos ikan
Sos tiram
Sedikit air

Cara-cara;
Tumis bawang yg telah dimayang hingga naik bau, masukkan sedikit cuka, sos tiram dan sos ikan, kacau seketika.

Masukkan sedikit air dan udang. Kacau lagi.

Masukkan carrot, kacau sebentar.

Masukkan sawi dan tauge. Kacau hingga sayur masak.

Siap!

Selamat mencuba :)

TOMYAM AYAM DAN AYAM GORENG TEPUNG

Hidangan untuk lunch hari ini. Hidangan simple dan senang untuk disediakan, insya Allah. 

Tomyam ayam, ayam goreng tepung, dan sambal belacan :)




Resepinya :)



Tomyam

Bahan-bahan;

Ayam-direbus terlebih dahulu hingga ayam masak. Biarkan bersama air rebusannya.

Bawang putih-diketuk
Sedikit cili kering kisar
2 batang serai
Daun limau purut
Jus limau nipis
Gula dan garam
1 kiub tomyam
Hirisan bawang holand
Sayur campur

Cara-caranya;

Tumis bawang putih, cili kisar, serai, dan sehelai daun limau purut. Dah wangi dan garing, tuang ke dalam periuk/kuali ayam tadi.

Masukkan kiub tomyam, gula dan garam, jus limau nipis, biar sehingga mendidih.

Masukkan pula hirisan bawang holland, sayur, dan beberapa helai daun limau purut. Biar seketika dan sedia untuk dihidangkan.



Ayam goreng tepung

Bahan-bahan;
Isi ayam-potong dadu/memanjang
Perap ayam bersama-putih telur, sedikit garam, serbuk Lada hitam dan tepung goreng ayam/tepung gandum

Cara-caranya;
Salut ayam yang diperap Tadi dengan tepung goreng ayam/tepung gandum dan goreng di dalam minyak panas hingga masak sempurna.


Tuesday 14 November 2017 0 comments By: Naemah

CENCARU GORENG SAMBAL PETAI

Share resepi lagi. Hidangan ringkas untuk makan malam kami hari ini. 

Resepi asal dari ig:masakwithpassion :)

Boleh la cuba ya :)



Sunday 12 November 2017 0 comments By: Naemah

SEKITAR DI PUSAT SAINS NEGARA

Pusat Sains Negara


Semalam 12/11/17, kami sekeluarga bersama dengan keluarga mertuaku sempat ke Pusat Sains Negara yang letaknya di Kuala Lumpur. 

Namun tak mampu nak bercerita ‘lebih’ tentang tempat tersebut kerana terlalu singkat masa kami di sana, ditambah dengan jumlah pengunjung yang terlalu ramai, tak terjangka oleh kami, dan kami tak sempat dan tak daya nak menjelajah seluruh kawasan tersebut.

Secara Kesimpulan ringkasnya, tempat itu sebenarnya sangat bagus dan bermanfaat untuk ibubapa spend masa bersama anak-anak (jika keadaannya tak penuh sesak seperti semalam). 

Sebagaimana nama tempatnya pusat sains negara, para pengunjung didedahkan dengan pelbagai ilmu sains dengan cara penyampaian yang interaktif. Dan sekali lagi, kerana terlalu ramai pengunjung, kami hanya sempat mencuba beberapa peralatan yang ada, dan tak mampu nak fokus pada info yang tertulis.

Apa taknya, dalam keadaan penuh sesak begini, keutamaan ibubapa hanyalah untuk memastikan anak-anak tidak terlepas dari pandangan. Sekali terleka, siaplah! Tambahan pula dengan anak-anak yang masih kecil dan tengah lasak ni :)

Padaku, tempat itu sangat bagus untuk kita kunjungi bersama anak-anak, namun perlu pilih hari yang sesuai di mana kita yakin pengunjungnya tak penuh sesak seperti semalam :) bak kata suamiku, orang kat situ pun mungkin terkejut tengok orang sangat ramai semalam :D

Dalam situasi semalam juga, dapat diperhatikan berbagai gelagat anak-anak dan juga ibubapa. Maklum saja keadaan penuh sesak begitu, ada yang sabar, dan ada juga yang kurang sabar. Dengan telatah anak kecil yang pelbagai, yang lapar, yang kepanasan, yang tak puas main, dan macam-macam lagi :) kami pun tak terlepas dari ujian bersama anak-anak kecil kami :) selipar terputuslah, nak mandi kolamlah, laparlah, macam-macamlah!

Di sebalik ujian, tersimpan hikmahnya, insya Allah. Pusat Sains Negara mungkin kami akan kunjungi lagi, tapi bukan dalam masa yang terdekat. Mungkin bila anak-anak dah besar sikit, untuk mendedahkan mereka pada dunia sains yang pastinya menarik dan bermanfaat untuk dipelajari :) insya Allah.


Saturday 11 November 2017 0 comments By: Naemah

GENIUS AULAD: LITTLE IHTIFAL & GRADUATION 2017

11/11/17
Hari ini diadakan majlis graduasi (little ihtifal & graduation 2017) Genius Aulad Bandar Rinching yang bertempat di Auditorium Seri Cempaka, Putrajaya.

Bermula dengan pendaftaran students pada jam 11.30, dan seterusnya majlis bermula jam 1 petang hingga 2.30 petang.

Hari ini suamiku tak dapat bersama kerana tak sempat untuk menghadiri majlis, memandangkan penerbangannya dari Bintulu juga pada jam 11.20 pagi. Alhamdulillah, kebetulan keluarga mertuaku datang ke rumah semalam, maka mereka menemaniku dan anak-anak ke Putrajaya. Mereka meninggalkan aku dan anak-anak di auditorium tersebut, dan mengambil kami setelah majlis selesai.

Majlis dimulai dengan ucapan dari principal Genius Aulad Bandar Rinching, kemudian diteruskan dengan penganugerahan 7 awards pada pelajar terpilih, graduation pelajar 6 tahun, dan kemudian persembahan setiap kelas.

Alhamdulillah, daripada 7 awards yang tersenarai, Anas adalah salah seorang penerimanya. Anas dinobatkan sebagai ‘the potential reader’ untuk tahun ini. Alhamdulillah. 

Untuk persembahan setiap kelas pula, Anas melakonkan watak sebagai reporter untuk majlis hari jadi. Anas agak malu-malu, tapi Alhamdulillah, Anas dah lakukan yang terbaik. Ummi bangga :) insya Allah nanti boleh cuba lagi di tahun hadapan. 

Majlis berjalan dengan lancar, hingga akhirnya majlis bersurai jam 2.40 petang. 

Bagaimana mahu gambarkan perasaan ummi ya! Pertamanya teruja, kerana ini buat kali pertama ummi menghadiri majlis seperti ini. Melihat anak ummi menerima anugerah dan membuat persembahan. Bangga sangat! Dan syukur sangat! Ada juga rasa gementar. Dan ummi tak lupa mendoakan agar segalanya dipermudahkan untuk Anas. Risau juga ummi kalau-kalau Anas gemuruh :) maklumlah, first time naik pentas. Tapi well done Anas! You had try your best!

Dan sebelum bermulanya majlis, hingga tamat, Allah saja yang tahu betapa penatnya ummi nak menjaga adik-adik Anas ni. Mussaab demam, Alhamdulillah diam saja di dewan. Tidur dan bangun kemudiannya juga ok. Kuat dia melawan rasa lemahnya, walaupun badan agak panas. Kesian Mussaab. Miqdad pula punyalah lasak, tak mahu langsung dipangku ummi. Mahu berjalan ke sana sini. Mahu memanjat tangga dan turun tangga. Ummi yang pada mulanya duduk di seat depan, terpaksa berpindah ke seat paling belakang. Miqdad lebih bebas di belakang tanpa mengganggu sesiapa.

Tapi bila di belakang, nak ambil gambar pun tak nampak sangat. Kena zoom je. Nampak la juga. Dapat la juga ambik gambar Anas sambil ‘berperang’ dengan Miqdad. Time Miqdad tidur sekejap, lega rasanya :)

Alhamdulillah untuk hari ini, dan Alhamdulillah atas apa yang Anas dapat dan apa yang Anas telah persembahkan. Hari ini Anas dapat pengalaman baru iaitu pengalaman berada di pentas, di hadapan para hadirin yang ramai. Semoga ia berguna untuk masa depan Anas, di mana pada masa akan datang Anas akan berhadapan dengan lebih ramai manusia dalam pelbagai situasi. Ummi takkan lupa momen yang bersejarah ini. Semoga Allah berikan yang lebih baik lagi untuk masa yang akan datang. Sesungguhnya pada Allah saja layaknya syukur ini. Dia yang memberi segala. 

Apapun, semua students adalah yang terbaik dan teristimewa dengan kelebihan masing-masing. Semua comel-comel dan cerdik. Insya Allah, semua akan membesar menjadi anak-anak soleh/solehah, berjasa pada agama, dan layak dibanggakan ibu dan ayah masing-masing :)

Menerima award ‘the potential reader’


Melakonkan watak sebagai ‘reporter’


Students of Genius Aulad Bandar Rinching-2017



Budak yang lasak dan aktif di dalam dewan :)



Selesai majlis ihtifal



Mussaab yang kurang aktif kerana demam, batuk dan selesema.



The certificate for Anas Zaydan
Thursday 9 November 2017 0 comments By: Naemah

BILA ANAK DEMAM

Saat mencabar dan menyentap jiwa ialah bila berhadapan dengan anak sakit atau tidak sihat. Lebih-lebih lagi bila bersendirian menjaga anak-anak yang tidak sihat. 

Ditakdirkan Anas, Mussaab dan Miqdad demam bersilih ganti pada minggu ini. TakdirNya juga abinya tiada di rumah kerana bertugas, maka aku memikul tanggungjawab menjaga dan menguruskan anak-anak yang tidak sihat sepenuhnya. 

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama menghadapi situasi begini. Sudah banyak kali. Dan pengalaman lalu jugalah yang mengajar diri untuk lebih bersedia dan lebih kuat menghadapi saat sukar ini.

Hati ibu mana yang tidak gusar melihat anak-anak dalam keadaan tidak sihat. Anak-anak yang kebiasaanya riang dan aktif bermain, kini jadi lemah dan tak bermaya. Yang kecil pula sering merengek dan hanya mahu dipangku. Tidur juga jadi tidak lena. 

Saat sukarnya, bila datang kemahuan serentak. Ketiga-tiga mahu dilayan. Ketiga-tiga menangis dan merengek. Mencabar sekali situasi begini. Hati jadi tak keruan. Pada Allah saja mampu berserah dan meinta tolong.

Alhamdulillah Anas sudah semakin sihat lepas 4 hari demam. Tapi masih batuk-batuk. Miqdad demam sejak semalam. Malam ini masih panas badannya. Tidur juga tidak lena. Batuk dan selesema lagi. Mussaab pula baru demam hari ni. Batuk dan selesema juga. Dia yang masih aktif dan ceria semalam, hari ni dah lemah dan hanya tidur saja. Tapi dia yang paling kuat dan tak banyak merengek. Selagi larat, dia ambil air sendiri dan boleh ditinggalkan bersendirian :)

Beginilah kehidupan kita. Aku tak pernah salahkan atau marahkan takdir. Walau sesukar mana, aku percaya ujian hadir di atas kemampuan kita untuk menghadapinya. Walau kadang-kadang terasa berat, hingga menangis sekalipun, masih percaya akan ada jalan keluar dari segala kesukaran yang terpaksa ditempuh.

Saat ini, pilu dan kesian melihat anak-anak terbaring lemah. Aku hanya mengharapkan dan mendoakan agar mereka kembali sihat. Kembali ceria bermain bersama. 

Sesungguhnya sakit ini dari Allah. Dan Allah juga penyembuhnya. Ya Allah. Kembalikan kesihatan anak-anakku. Aameen


Rindu pada wajah ceria mereka







Tuesday 7 November 2017 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 081117

Hari ini abi kembali bekerja. Seawal jam 6.15 pagi, abi meninggalkan rumah menuju ke airport. Hanya Miqdad yang sempat hantar abi di pintu. Anas dan Mussaab masih lena di bilik. 

Mussaab bangun kemudiannya. Abi dah tiada. Mussaab baring di sofa dan menonton tv. Ummi masak spageti goreng dan suapkan Mussaab dan Miqdad makan. Alhamdulillah Mussaab dan Miqdad ok saja pagi ni. Hanya batuk-batuk biasa sejak dari semalam. Anas pula dah 3 hari demam, batuk dan cirit-birit. Entah apa sebabnya.

Anas bangun jam 8. Minta nak makan roti sosej. Sejak semalam Anas tak makan. Ummi buatkan roti sosej untuk Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab makan sambil menonton Disney Junior, dan kemudian San Andreas. 

Jam 9, ummi cuba tidurkan Miqdad. Miqdad hanya lena sekejap. Bila ummi bangun, dia juga bangun dan keluar bermain. 

Jam 10.30, naik mandi di atas. Kemudian ummi tidurkan Miqdad dan turun ke bawah memasak. Anas dan Mussaab main car bersama. Tak lama kemudian Miqdad bangun dan menangis. Miqdad juga tak sihat badan dan merengek. Kerja memasak ummi tertangguh. Bila Miqdad ok bermain, ummi sambung kerja memasak. Tapi tak lama juga, Miqdad dah menangis. Bergilir ummi melayan Miqdad dan memasak. Ada juga terpaksa mendukung Miqdad sambil memasak. Anas dari tadi dah mengadu lapar. Mussaab pula minta buatkan susu coklat. Ummi masih tak sempat.

Abi call dari Bintulu tapi hanya bercakap sebentar saja. Ummi sibuk di dapur, Miqdad merengek-rengek pula. Anas pun masih lemah. Mussaab saja yang bercakap dengan abi.

Jam 12, selesai ummi memasak. Mussaab dah lena di sofa sambil video didi and friends sedia terpasang dari tadi. Ummi suapkan Anas dan Miqdad makan. Anas masih batuk-batuk dan tak berselera. Hanya makan sesuap dan minum air. Miqdad juga tiada selera. Makan sedikit dan muntah balik. Allah. Kesian anak-anak ummi.

Ummi susukan Miqdad dan tidurkan Miqdad sekali lagi.  Jam 1 Miqdad lena kembali. Ummi cuba kemaskan rumah sekadarnya, untuk menyambut kedatangan mek, cik, ayah cik, kak jah, abe zaid dan Mohd. Mereka di dalam perjalanan. 

Miqdad bangun dan menangis lagi. Bila demam, memang sukar untuk Miqdad tidur lena. Ummi ambil Miqdad dan meriba Miqdad sambil menonton tv dan menunggu tetamu sampai. Anas dan Mussaab menonton movie ‘inside out’. Keduanya diam, kurang sihat dan mengantuk pun ya jugak. 

Jam 3, tetamu sampai ke rumah. Anas dan Mussaab bermain dengan Mohd. Happy dan ceria sesekali berjumpa. Meriah rumah hari ini dengan suara Mohd yang terkenal banyak celotehnya :) Anas yang masih kurang sihat, sesekali berehat dan bersandar. Kurang bertenaga untuk bermain. 

Selepas asar bermain pula di halaman rumah. Kemudian masuk dan bermain lagi di dalam rumah. Miqdad pula hanya mahu berdukung dengan ummi. Sesekali cik ambil, tapi tak lama sebab Miqdad merengek mahu ummi. Masih panas badan Miqdad. Main tak mahu, makan pun tak berselera. Kesian Miqdad.

Selepas Maghrib, tetamu bersurai balik. Sekejap saja singgah di rumah. Kini kat rumah hanya tinggal Anas, Mussaab, Miqdad dan ummi. Ummi tidurkan Miqdad. Mussaab juga tidur sekali. Mengantuk dan penat sangat agaknya bermain. Lepas isyak ummi temankan Anas pula tidur. Jam 9.30, dah lena ketiga-tiganya. Alhamdulillah.

Syukur pada Allah di atas kehidupan hari ini. Walaupun anak-anak ummi kurang sihat, sekurang-kurangnya masih ada senyuman di wajah masing-masing. Anas dah tak demam, cuma masih batuk dan sakit perut. Mussaab juga batuk, tapi masih aktif bermain. Hanya Miqdad yang kurang ceria, tapi insya Allah, ummi doakan Miqdad semakin baik. Ya, doa untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga dikembalikan kesihatan anak-anak ummi. Dan semoga hari esok akan lebih baik untuk kita semua. Insya Allah. 



Miqdad dan cik



Anas, Mussaab, Mohd dan Mek
Sunday 5 November 2017 0 comments By: Naemah

ANAS: JUZ 30-JUZ 1

Pada 3/11/17, Anas mula membaca al-Quran bermula juzuk 1 (surah al-Baqarah) selepas khatam  juzuk 30 (juzuk amma). Alhamdulillah.

Agak lama juga nak habiskan juzuk amma, dek banyak skip dan tak konsisten membaca setiap hari. Cuma sejak akhir-akhir ini lebih berdisiplin dalam bab membaca al-quran. Habis juga akhirnya. Alhamdulillah bacaan Anas semakin baik, meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki. Insya Allah akan lebih baik selepas ini. Yang penting perlu disiplin membaca al-quran setiap hari. Peringatan untuk ummi dan untuk Anas :)

Pesanan dan peringatan dariku, untukku dan untuk para ibubapa: Budaya Al-quran perlu bermula di rumah. Tidak dapat tidak! Didikan al-quran ini perlu bermula dengan ibubapa sendiri. Jika ibu dan ayah rajin membaca al-quran, insya Allah anak-anak juga mudah diajar mengenali al-quran. 

Pastikan al-quran adalah yang pertama kita kenalkan pada anak-anak berbanding yang lain. Dekatkan mereka dengan al-quran, jadikan al-quran bacaan kita setiap hari, dan ceritakan kebaikan dan keindahan yang terkandung di dalam al-quran sebagai panduan hidup kita.

Tiada yang lebih mahal dalam dunia ini selain ayat-ayat Allah. Bila dibaca mendapat ketenangan, bila diamalkan isinya, beroleh kehidupan sejahtera. Insya Allah.

Ya Allah. Terangi hati kami dengan cahaya al-Quran. 



Al-quran yang sudah dikahatam. Al quran pertama Anas yg dibeli pd tahun 2013. Dah lunyai dek kekerapan membeleknya :)



Pinjam al-quran abi dulu sementara dapat beli al-quran lain yg lebih sesuai utk Anas.

PENA DARI DAPUR



Aku bukan penulis hebat. Jauh dari terkenal dan dikenali. Aku cuma insan yang gemar meluah rasa melalui penulisan. Penulisan yang biasa, tiada yang luar biasa.

Mungkin apa yang cuba disampaikan tak semua orang dapat dan faham. Tapi aku percaya, masih ada yang sudi membaca dan menilai. Setuju atau tidak, itu cerita lain :)

Kadang-kadang aku rasa aku tak layak untuk menulis, berpesan dan memberi nasihat. Sebab aku bukan bagus sangat! Apa yang aku tulis, bukan semua aku praktis juga. 

Tapi hakikat sebenarnya, aku menulis bukan kerana aku rasa bagus dan layak untuk nasihat orang. Aku banyak menulis kerana aku mahu ingatkan diriku sendiri. Di samping insan lain yang sudi membaca dan menilai. 

Ya, aku juga banyak kurangnya. Banyak buat silap dalam kehidupan seharian sebagai isteri dan ibu. Sebagai hamba dan sebagai anak. Memang jauh dari sempurna. 

Namun bila aku menulis, secara tak langsung aku sedang mengingatkan diriku untuk memperbaiki diriku sendiri terlebih dahulu. Jangan hanya pandai menasihati. Sebenarnya, bab mana yang aku kerap sentuh, itulah bab yang sering aku gagal dan banyak membuat kesilapan.

Allah sahaja yang tahu betapa banyak kekuranganku. Tekadku untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik. Lebih baik sebagai isteri, sebagai ibu, sebagai anak, dan sebagai Hamba!

Semoga Allah tunjukkan jalan yang lurus. Semoga Allah memberi perunjuk dan pertolongan buatku dan buat semua. Semoga aku tak jemu menulis. Menulis yang baik-baik dan mendidik hati. Moga terhindar dari perasaan ‘perasan bagus’ dan terasa diri lebih baik. 

Aku menulis untuk ingatkan diriku! Untuk hidupkan hatiku!

Pena dari dapur: kerana dapur adalah ruangan wajib yang akan aku kunjungi dan jejaki setiap hari :)