Monday, 27 November 2017 By: Naemah

BREASTFEEDING: SEBUAH ILTIZAM YANG TAKKAN PADAM

Semalam, 26/11/17, aku berhadapan dengan situasi yang belum pernah aku alami. Kami bermusafir pulang ke kampung seawal jam 4 pagi dan tiba di kampung jam 11 pagi.

This entry is all about breastfeeding. Di sini bermula ceritanya;

Sekitar jam 3 petang, Miqdad mula enggan menyusu sebaik tiba masa untuk aku susukan dan tidurkan dia. Oklah, aku biarkan saja. Mungkin dia tak nak tidur dan tak puas bermain lagi. 2 jam kemudian, aku cuba susukan lagi. Dia menolak lagi. Malahan meronta tak mahu menyusu. Aku mula jadi hairan. Petang itu dia langsung tidak menyusu dan tidak tidur. Tak pernah dia begitu.

Di malam harinya, tiba waktu tidurnya, aku cuba susukan dia lagi. Dan seperti tadi, dia menolak. Walau mata dah sangat mengantuk, dia tetap tak mahu menyusu. Meronta, menangis, menolak sekuatnya. Hairan! Dan aku mula rasa stress dan tak sedap hati. Tak tahu apa sebabnya. Dia tadinya aktif saja bermain. Makan pun juga ok. Cuma enggan menyusu.

Malam itu Miqdad lena di pangkuan abinya tanpa menyusu. Bila terjaga dari tidur, menangis lagi. Dan masih juga tidak mahu menyusu. Puas didukung, didodoi, ditepuk, Miqdad tetap menangis. Dah cuba periksa tekaknya, normal saja. Buntu, apa yang menyebabkan dia tak nak menyusu. Agak lama kemudian dia lena kembali di pangkuan suamiku, sambil dibacakan ayat suci al-quran. Selepas itu, dua kali dia terjaga dan menangis. Aku cuba susukan, dan Alhamdulillah dia menyusu dengan baik dan sambung tidur semula dengan mudah.

Aku tak mampu nak gambarkan perasaanku. Sedih sudah tentu. Mungkinkah Miqdad dah tak nak menyusu badan lagi? Usianya baru setahun sebulan. Masih terlalu awal untuk dia berhenti menyusu. 

Oleh kerana seharian tak menyusu, aku mengalami bengkak susu yang dah lama aku tak rasa. Kaum ibu pasti faham bagaimana rasanya bila berhadapan dengan situasi ini. Sakit tak usah cakap. Dah sakit, stress pula anak tak nak menyusu dan tak tahu apa puncanya. Risau lagi, mungkin ke dia sakit, atau ada masalah. Nak menangis, nak mengadu pun rasa tak siapa akan faham. 

Kerana tak tahan sakit, aku cuba pam susu. Dah lama juga tak buat kerja mengepam susu ni :) banyak juga hasilnya, simpan dalam peti ais. 

Keesokan hari, sekitar jam 5 pagi Miqdad bangun dan menangis lagi. Kali ini dah tak nak menyusu. Hati yang lega kembali gusar. Dah berhenti menangis, dia bermain dan membebel sendiri. Akhirnya sambung tidur lagi. Dan bangun semula ketika aku ingin menunaikan solat subuh. Bangun dengan cergas dan ceria. Tak menangis lagi.

Dan hari ini juga, Miqdad sudah kembali menyusu dengan baik. Masih ada kebimbangan dalam hatiku, andai dia akan menolak dan menangis lagi bila mahu disusukan.

Sebagai seorang ibu, ini adalah pengalaman perit buatku. Aku sedari awal sudah beritizam untuk menyusukan anak-anakku sekurang-kurangnya sehingga umurnya 2 tahun. Alhamdulillah, anak pertama dan kedua sudah lepas dengan jayanya, kini anak ketiga juga aku mahu berikan yang sama. Tapi apa yang terjadi semalam, meninggalkan bekas di hati. Aku takut, andai ia berulang lagi. Aku takut, andai aku perlu berhenti menyusukan dia.

Sesungguhnya menyusukan anak bukan mudah. Mudah pada yang hanya melihat. Namun pada yang merasa, jika tidak bersama tekad dan kesungguhan, mungkin penyusuan ibu ini tak mampu disempurnakan.   Aku yang tak bekerja ni mungkin masih dipandang biasa-biasa. Tapi aku sendiri kagum pada ibu bekerja yang tetap bersungguh-sungguh untuk memberikan susu ibu ekslusif pada anaknya. Walau penat bekerja, masih berdisiplin mengikut jadual mengepam susu untuk anak tercinta. Aku respek!

Namun bila aku dengar ada ibu yang bercerita yang dia tak mampu nak teruskan penyusuan ibu pada anaknya walaupun anak belum sampai umur setahun, aku rasa ‘frust’. Takkan tak boleh! Kesian anak itu. Namun mungkin aku tak tahu, berapa kuat sudah dia mencuba, bagaimana tekanan yang dia rasa, hingga akhirnya bercerai susu menjadi pilihan. Yang mana ia tak pernah terlintas di fikiranku akan berhadapan dengan situasi yang sama.

Dan kisah semalam benar-benar menguji dan membuat aku berfikir banyak. Betapa aku belum bersedia untuk berhenti menyusukan anakku. Biar bagaimana sukar sekalipun. 

Dan penyusuan anak ini memerlukan sokongan insan di sekeliling, terutamanya suami. Ya, suami tak rasa dan tak nampak di mana sukarnya. Tapi berilah sokongan, tunjukkan pengertian. ‘Bersama-sama’lah bergandingan dalam menyempurnakan penyusuan ibu secara ekslusif, sekurang-kurangnya sehingga anak itu berumur 2 tahun. Insya Allah.




0 comments:

Post a Comment