Monday 28 May 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 290518







Hari ini 13 Ramadhan 1439H. Juga merupakan hari wesak dan cuti umum. Namun abi berpagian ke airport selepas bersahur untuk menyambung tugasan. 

Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi, mandi dan beraktiviti sendiri di ruang tv. Anas menonton cbeebies dan Youtube, dan melukis. Mussaab dan Miqdad juga ikut menonton dan bermain. Ummi siapkan kerja-kerja rumah sementara semuanya asyik dengan aktiviti sendiri. 

Untuk breakfast ummi masakkan paratha cheese dan nasi goreng. Miqdad tidak berselera makan, hanya makan sedikit roti paratha. Pagi ni Miqdad kenyang dengan susu saja. Mussaab dan Anas berselera makan roti paratha. 

Flight abi  jam 8.30 ke Bintulu.

Mussaab dan Miqdad turut bermain di luar rumah ketika ummi sibuk menjemur kain. Anas asyik dengan video kegemarannya. 

Jam 10, Anas siapkan worksheet mental arithmetic (formula 11-6). Miqdad dan Mussaab bermain dan sesekali menonton tv. Mussaab juga meminta kertas untuk melukis. 

Jam 10.30, ummi cuba tidurkan Miqdad. Tapi Miqdad masih nak bermain. Anas sambung melayan video. Ummi panaskan nasi goreng, kuah tom yam semalam dan goreng nugget untuk makan tengahari. Anas dan Miqdad makan, Mussaab tak mahu. Katanya nak puasa :D 

Jam 12, naik ke atas bila Miqdad dah mula meragam. Ummi nak vakum lantai pun tak boleh sebab dok berebut dengan dia. Naik atas cuba tidurkan Miqdad tapi susah juga nak tidur bila Mussaab masuk dan ajak bermain. Last-last ummi yang tertidur dulu. Ummi bangun, dah tak ada sesiapa di bilik. Terdengar suara bising di bawah. Miqdad sedang bermain dengan abang-abang. Pintu rumah juga terbuka luas. Olly dan anak-anaknya dah terlepas dari kurungan. 

Ummi keluar angkat kain di jemuran. Anas tangkap Olly dan masukkan dalam sangkarnya. Anak-anak Olly bertempiaran lari menyorok bawah kereta. Tak dapat tangkap mereka.

Anas, Mussaab dan Miqdad masuk ke dalam rumah menonton video lagi. Anas buka video dr. Binocs. Rumah sudah bersepah-sepah. Macam nilah bila hari cuti sekolah. Dari pagi sampai ke malam ‘bekerja’ tak henti.

Masuk waktu zohor, naik ke atas dan mandi. Lama pula di dalam bilik air. Banjir dan basah bilik pula dibuatnya. Ummi arahkan segera keluar, sapu air yang melimpah keluar. Ummi mandi dan solat. Miqdad yang sudah mengantuk menangis dari awal ummi solat hingga sudah. Anas dan Miqdad dah turun ke bawah. Lepas solat ummi susukan Miqdad. Terlena juga akhirnya jam 2 petang. Ummi juga tidur bersama Miqdad.

Jam 4.45 terbangun dari tidur. Anas tengah melukis di meja. Mussaab pula tidur di bawah. Ummi solat, Anas dan Miqdad turun ke bawah menonton cerita upin ipin. Ummi kemudian turun ke bawah dan memasak untuk berbuka. Mussaab bangun jam 5.30 dan menyertai Anas dan Miqdad menonton tv. 

Jam 6, keluar ke halaman. Anas, Mussaab dan Miqdad berkejaran dengan Olly dan anak-anaknya. Dapat juga masukkan semuanya dalam sangkar dan beri mereka makan. Mussaab berbasikal seketika, dan masuk ke dalam rumah. Sambung menonton lagi.

Siap masak, ummi kemas ruang tamu yang bersepah. Anas, Mussaab dan Miqdad mandi di bilik air bawah. Selesai mandi, berpakaian dan bersedia untuk makan. Ummi biarkan Anas, Mussaab dan Miqdad makan dulu sementara ummi tunggu waktu berbuka. Kemudian sambung makan bersama-sama.

Selesai berbuka, terima video call dari abi. Bercakap sekejap dengan abi yang kini berada di hotel. Kemudian solat, ajar Anas al-Quran dan tasmik hafazan surah an-Naziat. Tak boleh nak fokus lama, Miqdad menangis mahu disusukan. Ummi naik ke atas bersama Miqdad. Susukan Miqdad hingga terlena. Anas dan Mussaab masih di bawah menonton video.

Selepas solat isyak, ummi panggil Anas dan Mussaab naik tidur di bilik. Mussaab dalam keadaan batuk. Kesian Mussaab. Ummi sapukan minyak untuk legakan batuk Mussaab. Mussaab masih batuk berterusan. Ummi selesaikan solat sunat terawih, Anas dan Mussaab sudah lena bersama Miqdad. Alhamdulillah.

Semoga lena tidur semuanya. Semoga mimpi indah dan yang baik semua. Semoga esok menjanjikan yang yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Tak lupa ummi mendoakan anak-anak ummi dan abi di sana. Semoga baik-baik saja hendaknya kita semua dalam jagaan Allah. Insya Allah.
Thursday 24 May 2018 0 comments By: Naemah

PULANG UNTUK MERAIKAN HATI YANG MERINDU




Alhamdulillah sudah 8 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Alhamdulillah diberikan kesihatan dan kemampuan untuk melaksanakan rukun Islam yang satu ini :)

Hari ini kami sekeluarga berada di kampung. Sudah 2 hari berbuka di rumah ibuku. Insya Allah esok akan ke rumah ibu mertuaku pula. Ini juga kali pertama kami balik ke kampung di bulan Ramadhan ini. Bukan apa, saja nak berbuka bersama orang tua kami yang pastinya sentiasa menanti kepulangan kami :) 2 hari Anas dan Mussaab terpaksa ‘bercuti’ dari sekolah pada minggu ini. Insya Allah next week kehadiran penuh :)

Kerana kekerapan balik ke kampung, kami jadi ‘biasa’ dengan perjalanan jauh. Penat ya, penat. Tapi balik kampung seperti satu kewajiban buat kami setiap bulan. Anak-anak juga sentiasa excited bila diajak balik ke kampung :)

Sepanjang perjalanan lebih kurang 7-8 jam, bukannya hal yang mudah bersama anak-anak kecil kami. Tapi Alhamdulillah, ia dipermudahkan oleh Allah. Cabaran tetap ada, especially jika perjalanan di siang hari. Hai. Kadang-kadang pening nak melayan setiap ragam mereka. Tetapi kami tetap mengambil yang positifnya. Alah bisa tegal biasa. Setiap ragam tu akan jadi kenangan yang tak mungkin berulang, setelah masing-masing dah semakin dewasa :)

Yang pasti, musafir kami sekeluarga penuh dengan keseronokan. Seronok bergelak tawa bersama, bercerita dan saling menasihati, belajar tolak ansur dan melatih sabar, bergurau senda, dan saling rapat dan dekat, sepanjang perjalanan yang ‘panjang’ kadang tak terasa jauhnya. Kerana dah biasa. Kerana Allah permudahkan setiap masa. Alhamdulillah.

Untuk kami, ketika anak-anak masih kecil inilah peluang untuk sering balik ke kampung. Tak pasti jika anak-anak sudah masuk ke sekolah rendah, dan seterusnya yang lebih tinggi, adakah mungkin kami berpeluang lagi untuk kerap balik ke kampung? Tak pasti. Tetapi mendoakan agar akan sentiasa mudah dan ada jalan untuk sering dekat dengan ibu kami yang telah tua. 

Faktor ‘masa’ dan ‘komitmen’ sering menjadi penyebab anak-anak sukar untuk pulang bertemu ibubapa yang merindu. Semoga tidak pada kita. Semoga sentiasa ada jalan dan peluang buat kita. Semoga kita tak dirasakan ‘jauh’ dalam hati mereka yang melahirkan dan membesarkan. Semoga sentiasa ada petunjuk dan pertolongan. Semoga akan sentiasa dekat untuk meraikan hati yang sering merindui anak-anaknya. Insya Allah.

















Sunday 20 May 2018 0 comments By: Naemah

CAHAYA MATA: ANUGERAH DAN AMANAH

Seminggu yang lalu menerima kelahiran baru dalam keluarga suamiku iaitu kelahiran anak ke-4 adik iparku Azim dan Nasibah. Genap 7 hari usianya hari ini Alhamdulillah. Semoga anak perempuan yang diberi nama Sumayyah ini membesar menjadi anak yang taat kepada ibubapa dan kepada Allah. 

Hampir saban tahun gabungan keluargaku dan keluarga mertuaku menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam kehidupan kami. Tiada gambaran rasa seindah rasa ‘bahagia’ di atas setiap kelahiran. Kehadiran bayi suci, pasti menghadirkan rasa syukur yang tak terungkap dengan kata. 

Sebagaimana kelahiran setiap anakku, setiapnya memberi rasa bahagia yang tak mampu untuk dijelaskan. Bahagia yang bukan sedikit. 

Setiap kali menerima kelahiran juga, datang rasa ‘teringin’ nak menimang cahaya mata lagi :) hai. Yang kecil ni pun belum masuk 2 tahun, sabar-sabarlah :D ada rezeki tak ke mana.

Sejujurnya aku akui, aku teringin untuk mempunyai anak yang ramai. Tapi aku juga harus akur pada takdirNya. Faktor usia dan faktor kesihatan perlu difikirkan juga. Kerana setiap kali mengandung, aku tergolong dalam golongan ‘ibu berisiko’. Namun Alhamdulillah, dengan pertolongan Allah segalanya dapat dilalui dengan baik.

Bersama harapan dan doa, dengan izinNya, semoga aku dan suami akan direzekikan dengan zuriat lagi, menambah bilangan yang sedia ada. Tak tergambar rasa bahagia di atas kelahiran anak-anak pengikat kasih dan penghibur hati. 

Namun selain mohon untuk dikurniakan zuriat, moga tak lupa juga agar dikurniakan bersama kekuatan dan kesabaran untuk menjaga, mendidik dan membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Kerana anak-anak, bukan sahaja nikmat tetapi juga ujian. Bukan sekadar anugerah, bahkan amanah. Moga kita tak lupa!




Sumayyah- day 1@HUSM



Zuriat kami-amanah dari DIA




Friday 18 May 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190518





Weekend- 3 Ramadhan 1439H. Hari kedua abi di Bintulu. Anas, Mussaab dan Miqdad habiskan masa di rumah sahaja bersama ummi. 

Anas, Mussaab dan Miqdad bangun jam 7 pagi. Mandi, berpakaian dan turun ke bawah. Ummi masakkan mi goreng dan ‘sahur’ bersama-sama :D sekali bersepah di meja makan. Lepas makan menonton tv Cbeebies dan melukis. Ummi tampalkan kertas di dinding dan biarkan Anas, Mussaab dan Miqdad ‘berkarya’ sehingga puas. Tv juga siap terpasang. Ummi
Buat kerja mengemas, membuang sampah dan menjemur pakaian.

Anas keluar memberi makan pada Olly. Mussaab dan Miqdad juga tak lepas peluang ‘menyibuk’ dan buat bising di luar rumah. Siap kerja di luar, masuk semula ke dalam rumah. Masing-masing busy dengan hal sendiri. Melukis dan bermain. Juga bermain piano sesekali.

Jam 10.30, Anas buat latihan Mental Arithmetic setelah agak lama bercuti. Hari ni masuk tajuk baru, kombinasi kumpulan 5 dan 10 (operasi tolak). Alhamdulillah selesai worksheet pertama. Mussaab pula melukis, dan Miqdad menonton baby tv sambil berjalan ke sana sini dan minta untuk disusukan.

Jam 11, ummi tidurkan Miqdad. Miqdad lena seketika. Mussaab bermain sendiri dan Anas melukis di luar. Tak  sampai setengah jam, Miqdad sudah bangun dari tidur dan menangis. Ummi yang tengah memasak terpaksa layan Miqdad seketika hingga Miqdad mahu di lepaskan bermain. Anas dan Mussaab bergiliran meminta kek pisang dan air susu strawberry. Miqdad pun sama juga. Apa yang abang nak, dia nak juga. Apa yang abang buat, dia pun nak buat juga. Sudahnya, rumah bersepah-sepah dengan makanan dan segala peralatan.

Jam 12.30, selesai memasak dan makan bersama lagi. Sekali lagi bersepah di tempat makan. Miqdad yang sekarang nak makan sendiri, banyak makanan yang tertumpah dibuatnya. Selesai makan, ummi kemas tempat makan dan berehat bersama Anas, Mussaab dan Miqdad di sofa. Sambung menonton baby tv lagi. Kemudian ummi sambung basuh pinggan mangkuk dan angkat kain di jemuran. Anas, Mussaab dan Miqdad ikut keluar bermain di luar. 

Jam 2.30, semua naik ke atas dan mandi. Selepas mandi ummi susukan Miqdad dan cuba tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab turun ke bawah buat hal sendiri. Kemudian Mussaab naik ke atas dan tidur bersama ummi dan Miqdad selepas penat bermain. Anas juga naik sekejap dan melukis. Kemudian turun ke bawah semula menonton tv. 

Jam 5, bangun dari tidur. Jam 5.30, semua turun ke bawah. Ummi masakkan nasi goreng. Anas, Mussaab dan Miqdad main di luar dan menonton tv. Selesai masak, makan bersama-sama. Ummi kemaskan dapur dan tempat makan. Anas, Mussaab dan Miqdad main dan buat hal sendiri lagi. 

Jam 8 malam naik mandi dan baca al-Quran, Iqra dan hafazan seperti biasa. Jam 9, semua bersedia untuk tidur. Anas yang pertama lena, diikuti Mussaab dan akhir sekali Miqdad. Alhamdulillah. Sudah hampir jam 10 malam. Semoga lena sayang ummi semua. Moga mimpi indah dan moga esok menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua.

Semoga abi di sana juga dalam keadaan baik dan dalam Rahmat dan Kasih sayang Allah :)


Wednesday 16 May 2018 2 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: HAPPY TEACHER’S DAY



16 Mei: tarikh ini diraikan saban tahun untuk mengingati jasa para pendidik di seluruh Malaysia. 

Hari ini juga diadakan majlis hari guru di sekolah Anas dan Mussaab. Ibubapa dimaklumkan tentang majlis ini pada hari isnin, iaitu 2 hari sebelum tarikh tersebut. Ketika menerima makluman itu, kami di dalam perjalanan balik ke rumah setelah 10 hari berada di kampung. Balik bersempena pilihanraya juga cuti umum di atas kemenangan Pakatan Harapan. 

Balik ke rumah, langsung terlupa tentang majlis tersebut. Kami juga tak kemana-mana, apatah lagi untuk membeli hadiah, langsung tak terfikir.

Hari Selasa baru teringat kembali bila ada pertanyaan di dalam group whatsapp. Tapi oleh kerana kesuntukan masa untuk mencari hadiah, suamiku mencadangkan ‘perfume’ kepunyaannya dijadikan sebagai hadiah untuk teacher. Alhamdulillah, nasib baik abi selalu ada koleksi perfume yang dibeli untuk kegunaan sendiri dan juga dijadikan saguhati buat ahli keluarga yang lain.

Untuk kad hari guru pula, hanya print menggunakan kertas A4, dan ditulis sendiri oleh Anas. Malam print, paginya baru ditulis ucapan. Segalanya last minute. Paper bag pun takde, pembalut hadiah pun takde, masukkan saja dalam plastik biasa. Hmm, sekadar yang termampu sajalah ya teacher. Mungkin serba kekurangan, tapi sudah seikhlasnya untuk guru-guru yang banyak mengajar Anas dan Mussaab.

Begitu juga tidak berkesempatan untuk membawa hidangan untuk jamuan di sekolah. Barang-barang dapur banyak yang sudah kehabisan stok, langsung tiada idea nak memasak apa. Nak tempah, memang tak tahu juga sebab tak biasa menempah makanan ,:)

Alhamdulillah tetap bersyukur atas apa yang sempat dan apa yang ada. Sekurang-kurangnya Anas dan Mussaab tak pergi dengan tangan kosong, untuk raikan guru mereka. At least, ada ‘hadiah’ tanda peringatan dan tanda kasih. At least, dapat melihat ‘kegigihan’ Anas menulis ucapan di kad untuk teacher semua :) 

Akhir kalam, belum terlambat untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua pendidik di seluruh Malaysia, terutamanya buat guru-guru yang pernah mendidikku. Yang teristimewa juga buat guru-guru di Little Diamond Kindergarten, yang banyak mendidik Anas dan Mussaab, juga tak lupa buat guru-guru di sekolah pertama Anas iaitu Genius Aulad Bandar Rinching. Jasa guru sekalian akan sentiasa dikenang, Insya Allah. Moga mendapat ganjaran mulia di sisi Allah. Aameen



Tulisan tangan Anas pada kad ucapan hari guru






Gambar yang dikongsikan di laman fb Little Diamond Kindergarten 























RAMADHAN KAREEM: 1439H

Alhamdulillah dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun ini. Tahun ke-8 menyambut Ramadhan bersama suami dan anak-anak tercinta. 

Ramadhan kali ini masih menyusukan anak kecilku yang berusia 1 tahun 7 bulan. Harapanku, semoga tahun ini juga diberikan kekuatan untuk menyempurnakan puasa seperti tahun-tahun yg sudah. Insya Allah.

Agak mendukacitakan kerana aku tak dapat memulakan puasaku (atas sebab keuzuran) di hari pertama Ramadhan. Tapi apa boleh buat, sudah takdirNya. Insya Allah nanti dapat berpuasa seperti Muslim yang lain juga :) 

Aku percaya, Ramadhan ini sentiasa menjadi bulan yang dinanti di kalangan kita semua, lantaran ia adalah satu bulan yang menjanjikan 1001 kelebihan daripada Allah. Bahkan digandakan pahala di setiap amal dan jariah kita. Masya Allah. Semoga Ramadhan kita tak berlalu dengan sia-sia.

Azamku seperti tahun yang lalu juga, untuk tingkatkan amal ibadah, banyak bersedekah, memperbaiki diri, menjaga kesihatan dengan pemakanan yang baik, dan semoga terus istiqomah sehingga ke bulan-bulan selepas Ramadhan. Insya Allah.

Semoga kita semua beroleh keberkatan di bulan mulia dan penuh rahmat ini. Aameen.


Di ambang 1 Ramadhan
Membuat hal masing-masing




Sahur ‘abi’ nasi goreng Cina 
Ummi temankan saja :)



PRU-14: SELESAI TANGGUNGJAWAB



Alhamdulillah selesai sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi :)

Sekarang ini seluruh rakyat sedang menanti keputusan dengan penuh debaran. Debaran yang sukar dirungkai. Debaran yang dirasai setiap 5 tahun :)

Sebelum mendapat keputusan rasmi keseluruhan, ambil kesempatan sebentar untuk mencoret pengalaman mengundi hari ini.

Aku ke pusat mengundi yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Legeh, jam 10 pagi bersama dengan anak saudaraku Farhani dan Firdaus dengn menaiki kereta. Aku hanya membawa Miqdad kerana Anas dan Mussaab sudah ke rumah Pok Long mereka. Alhamdulillah, tak perlu bawa mereka sekali. Kalau tidak, tak dapat bayangkan bagaimana nanti mereka bila perlu berada di sana dalam tempoh yang agak lama.

Ada 2 saluran mengundi, dan aku di saluran 2. Saluran 2 sudah tentu agak ramai, dan kami perlu beratur panjang. Kesian Miqdad yang tengah demam, terpaksa teman ummi mengundi hari ini. Alhamdulillah Miqdad tidak terlalu merengek, cuma Miqdad tak nak dengan sesiapa kecuali ummi sahaja. Sebelum sampai ke bilik mengundi, aku duduk di bahagian kantin sekolah dan melayan Miqdad di sini. Bila giliran dah dekat sampai barulah aku masuk beratur sekali dengan anak saudara dan abangku.

Anggaran masa menunggu adalah selama 1 jam, agak lama juga. 11.30 akhirnya selesai urusanku. Miqdad terpaksa dibawa masuk sekali untuk memangkah kertas undi memandangkan dia tidak mahu dengan sesiapa. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja bersama ummi :)

Setelah urusan selesai, terasa lega yang amat kerana satu tanggungjawab besar sudah dilaksanakan. Aku mengikut anak saudaraku balik ke rumahnya memandangkan Anas dan Mussaab ada di sana. Kami berada lama di rumah abang kedua, dan abang sulungku. Siap makan tengahari lagi :) Anas dan Mussaab juga sangat ceria bermain dengan sepupu, dan anak sepupu mereka di sini.

Kami balik ke rumah bila hampir masuk waktu zohor. Aku menumpang kereta abang ketigaku yang juga balik dari Sabah semata untuk mengundi. Alhamdulillah sampai di rumah, solat dan rehat.

Syukur kupanjatkan atas apa yang telah dilalui hari ini. Meskipun suamiku tak diberi kesempatan untuk mengundi, namun kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk negara ini. Biar apa jua keputusan yang diterima nanti, semoga diberi ketenangan dan kelapangan hati untuk menerimanya sebagai takdir Allah yang terbaik untuk semua.

Ya Allah, berikanlah kemenangan pada yang berhak dan berkemampuan untuk mentadbir Malaysia dengan sebaik-baiknya. Aameen



Monday 7 May 2018 0 comments By: Naemah

AYUH TURUN MENGUNDI

Tak sampai 24 jam saja lagi rakyat Malaysia akan membuang undi masing-masing. Tanggal 9 Mei 2018 akan menjadi hari bersejarah buat Malaysia di mana pada hari ini rakyat Malaysia berdepan dengan PRU-14.

Apa parti pilihanku? Hmm.. kali ini sukar dijelaskan, walaupun sebenarnya dah tahu hati ini berat di sebelah yang mana :)

Amat berbeza untuk PRU kali ini berbanding yang lepas kerana kali ini melibatkan 3 penjuru sekurang-kurangnya di semua tempat yang bertanding. Satu out of choice, dua lagi yang antara yang terbaik. Yang pertama, parti lama yang sentiasa menjadi pujaan hati suatu ketika dulu. Yang menjadi parti ‘tradis’ keluarga. Yang hari ini juga seluruh ahli keluarga (majoritinya) tak berganjak dari pilihan mereka :) setia kan?

Manakala yang kedua, parti gabungan daripada beberapa parti, yang tak termasuk parti yang pertama tadi, dan yang begitu kuat untuk menjatuhkan parti yang out of list tadi. Senang cerita, nak jatuhkan parti pemerintahan sedia ada. Oh, parti kesayangan tadi juga nak jatuhkan yang parti pemerintahan ini juga. Tapi dengan prinsip dan cara yang tersendiri, dan tekad memilih untuk bergerak solo.

Pada logiknya, aku melihat parti gabungan adalah lebih praktikal dan realistik untuk meraih kemenangan. Tapi aku juga tak nafikan parti kesayangan tadi juga ada kekuatan yang tersendiri, dan punya makmum yang tak dinafikan ramai. Dan jika yang pertama dan kedua ini bergabung menjadi satu, alangkah kuatnya untuk menjatuhkan yang sepatutnya tadi. Alangkah... tapi biarkan, jangan difikir lagi hal yang sudah menjadi ‘mustahil’

Kalau diikutkan aku seperti sedang tersepit di antara keduanya. Tapi Insya Allah, hati aku mantap dan tahu siapa yang perlu aku pilih.

Namun aku menyeru agar yang pertama dan kedua tadi, agar masing-masing saling tidak menyerang dan fokus pada siapa yang ingin ditumbangkan. Terus terang, yang pertama dan yang kedua ada kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Memilih salah satunya adalah baik, namun di kala ini aku memikirkan pilihan yang mana yang paling memungkinkan untuk menumbangkan kezaliman yang sedia ada. 

Aku percaya, ramai yang sedang berada di antara dua pilihan seperti aku sekarang. Masih ada peluang untuk kita mengkaji, membaca, membuka minda tentang dunia politik. Kita perlu bijak membuat pilihan demi untuk kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Ya, kita tak ketepikan agama. Dan kita bukan sedang memilih agama. Hanya memilih pemimpin yang lebih layak untuk menguruskan negara. Kita masih bersaudara, melafaz syahadah yang sama. Walau meski pilihan parti politik kita berbeza. Kita semua mahukan yang terbaik untuk negara dan generasi kita. Kita mahu berikan mereka kehidupan yang lebih baik melalui undi kita hari ini. Insya Allah.

Ayuhlah semua. Kita turun mengundi. Kita buat pilihan yang terbaik dan bijaksana. Kiranya hati masih belum mantap untuk membuat pilihan, bertanya lah pada Allah. Istikharah lah! Takkan rugi. Insya Allah.

Selamat mengundi semua. Semoga kita diberi kehidupan yang lebih baik, lebih aman dan makmur melalui pemerintahan yang lebih adil dan telus. 

Ya Allah. Kau hancurkanlah segala bentuk kezaliman yang selama ini menekan rakyat! Aameen.