Berbaki tiga minggu lagi, Angah bakal menamatkan zaman sekolah rendahnya.
Berbaur rasa di hati ummi ini. Sama seperti saat Along dahulu menghampiri penghujung zaman sekolah rendahnya. Ada sebak yang sukar dijelaskan. Memikirkan bahawa anak yang hari ini masih dekat dengan ummi, mungkin tidak lama lagi akan berjauhan. Mungkin.
Angah sudah menempuh tiga siri ujian kelayakan ke tingkatan satu. Dua permohonan ke sekolah berasrama dan satu lagi ke sekolah harian-kelas agama. Entah yang mana satu bakal menjadi tempat Angah untuk menyambung perjalanan menuntut ilmu.
Seperti selalunya, ummi hanya mahu Allah tempatkan anak-anak ummi di sekolah yang terbaik, yang selayaknya buat mereka. Ummi tidak terlalu cenderung kepada mana-mana pilihan. Tidak meletakkan harapan pada satu tempat secara khusus. Apa yang ummi mahukan hanyalah yang terbaik, menurut pengetahuan dan perancangan Allah. Kerana boleh jadi apa yang kita rasakan baik, belum tentu itulah yang paling baik untuk anak-anak kita.
Cepat sungguh masa berlalu. Rasanya baru semalam Angah masih kecil, masih dengan beg sekolah yang hampir sebesar tubuhnya. Hari ini, giliran Angah pula untuk melangkah ke alam sekolah menengah.
Angah dah besar.
Dalam keterujaan melihat anak-anak semakin membesar, rupanya ada juga rasa sayu yang datang bersamanya. Kita gembira melihat mereka semakin matang, semakin berdikari dan semakin berani mencuba. Tetapi dalam diam, ada sebahagian hati yang masih mahu mereka kekal dekat. Masih mahu mendengar cerita-cerita kecil sepulangnya dari sekolah, masih mahu melihat rutin harian yang selama ini terasa biasa.
Mungkin inilah sebahagian daripada perjalanan menjadi seorang ibu. Belajar menerima bahawa setiap fasa kehidupan anak-anak ada penghujungnya. Ada yang perlu diraikan, ada yang perlu dilepaskan dan ada yang akhirnya hanya tinggal sebagai kenangan.
Andai selepas ini Angah ditakdirkan berjauhan, semoga Allah sentiasa menjaga Angah dalam setiap langkah. Semoga ditemukan dengan guru-guru yang baik, sahabat yang membawa kebaikan dan persekitaran yang membantu Angah menjadi insan yang lebih baik.
Apa pun sekolah yang bakal menjadi pilihan nanti, ketahuilah bahawa doa ummi tidak pernah jauh.
Pergilah menuntut ilmu, Angah. Tumbuhlah menjadi anak yang baik, yang bukan sekadar berjaya dalam pelajaran, tetapi juga terpelihara hati, akhlak dan agamanya.
Dan buat ummi, semoga Allah lapangkan hati ini untuk menerima setiap aturan-Nya. Semoga tidak terlalu risau tentang hari esok, kerana anak ini sebenarnya sedang berada dalam jagaan Allah, setiap masa sejak hari pertama dia dilahirkan.
Tiga minggu lagi. Satu lagi zaman persekolahan akan menjadi kenangan.
Alhamdulillah untuk setiap perjalanan yang telah dilalui. Dan bismillah untuk perjalanan baharu yang bakal bermula.
| Angah (Tahun 1, 2021), halus dan kecil je budaknya |
| Angah (Tahun 6, 2026), membesar dan meninggi dengan jayanya |