Thursday 28 April 2016 By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: ABDULLAH MUSSAAB

Di entri yang lepas telah aku ceritakan kisah kelahiran anak sulungku: ANAS ZAYDAN

Kini akan ku sambung kisah kelahiran anak keduaku, Abdullah Mussaab b. Mohd Suzainizam pula. Alhamdulillah putera keduaku selamat dilahirkan pada 19 Januari 2014. 

Kisah Mussaab telah kucatat rapi dalam buku catatanku sepanjang berada di wad HUSM hingga saat kelahirannya. Alhamdulillah kelahirannya yang kedua ini lebih mudah berbanding yang pertama.

Sama seperti kehamilan pertama, aku berhadapan dengan masalah GDM juga. Bermakna juga tidak boleh overdue untuk bersalin. Aku dijangka bersalin pada 22 Januari 2014.

Permulaan kisah ini hampir sama dengan kisah sebelumnya, iaitu selepas doktor melihat result bsp ku, dan kala itu juga dia menasihatkan aku untuk induce. 


15/01/14 (4 hari sebelum bersalin)
Hari ini membawa result bacaan bsp ke klinik desa kg Kijang. Bacaan seperti biasa, ada yang cantik dan ada yang kurang cantik. Aku diarahkan ke Klinik Kesihatan Badang untuk mendapatkan nasihat doktor. Berjumpa dengan doktor yang sama seperti 2 tahun lepas, dan mendapat nasihat yang sama darinya agar aku serah diri di hospital Kota Bharu untuk diinduce. Aku sekali lagi dilanda resah dan takut kerana sejarah seperti sedang berulang kembali. Bermacam gambaran hadir mengganggu ketenteraman hati. Tambahan, pengalaman lalu agak menyerikkan. Suami yang setia menanti diberitahu.

Kali ini kami tidak terus ke hospital. Suami cuba menenangkan aku dengan membawaku berjalan jalan di pantai dan pulang ke rumah untuk makan dan rehat. Kami mengambil keputusan untuk ke hospital pada keesokan harinya, agar hatiku lebih tenang. Kami juga membuat keputusan untuk ke HUSM setelah mempertimbangkan sebaiknya. Tak lupa meminta advice dari birasku doktor Nasibah.

16/01/14 (3 hari sebelum bersalin)
Aku, suami dan anakku Anas bertolak ke HUSM seawal jam 8.30 pagi. Selesai urusan pendaftaran, aku ditempatkan di wad 2 Baiduri. Wad yang kosong dan sunyi kerana tiada pesakit lain pada ketika itu. Suasana sangat tenang, sangat berbeza dengan pengalaman pertama dulu. Namun hatiku tetap bercampur rasa takut, sedih dan sayu. Tambahan pula terpaksa berpisah buat sementara dengan anak sulungku yang masih menyusu badan. Sedih yang amat. Oleh kerana bukan waktu melawat, suami dan anakku terpaksa pulang terlebih dahulu. Kepulangan mereka membuatkan hatiku benar benar terasa sunyi. Aku menangis sendiri. 

Di sini, tekanan darahku diperiksa, kemudian dipasang alat ctg, diambil darah dan bukaan jalan dicek. Masih tiada bukaan.  Di saat keseorangan ini aku menghabiskan masa dengan membaca al Quran. 

Jam 11.30 am cek bacaan bsp (5.3). Lepas tu lunch dan menanti waktu zohor dan waktu melawat. Suamiku datang bersama Anas, menemaniku hingga tamat waktu melawat. Ketika ini juga katil di wad sudah ada ramai penghuni. Seorang demi seorang masuk ke wad dan semuanya menanti masa untuk bersalin. Ada juga kes sepertiku, menanti masa untuk diinduce. Sempat aku berkenalan dengan jiran sebelahku yang bernama Suhaili. Dia juga akan diinduce sepertiku. Bezanya dia di minggu ke 38 kehamilan dan aku sudah di minggu ke 40. Dia juga GDM insulin, aku pula GDM on diet control. DIa menjadi sahabat yang paling akrab denganku sepanjang berada di dalam wad.   

Jam 2-5 petang, aku tak dapat nak lelapkan mata meskipun agak mengantuk. Berfikir banyak perkara. RIndu yang amat pada Anas yang tak pernah berpisah denganku. Aku menatap handphone dan membaca al Quran sehingga masuk waktu asar.

Jam 5-7 petang, waktu melawat. Suami dan anakku setia datang menemani. Aku juga menikmati makan malam dan cek bsp lagi (5.7). Selepas itu ambil darah untuk kali kedua. Kemudian mandi dan solat maghrib serta solat hajat. Hati masih sayu merindui suami dan anak di rumah. Selepas itu aku dipanggil untuk lakukan scan. Anggaran berat baby ialah 3.3kg. Kemudian solat Isyak dan baca al Quran. Tekanan darah juga diambil.

Jam 10pm sekali lagi cek bsp (6.3). Minum susu kambing higoat, vco dan makan sedikit kurma. Jam 11pm bersedia untuk tidur. Masih dalam keadaan sihat dan tiada sebarang tanda untuk bersalin.


17/01/14 (2 hari sebelum bersalin)
Hari Jumaat. Pagi ini dimulakan dengan mengambil tekanan darah pada jam 5.45am. Jam 6.15am aku mandi dan solat subuh. Jam 6.40 aku menghubungi suamiku dan membaca al Quran. Aku juga diberitahu bahawa induce tidak akan dilakukan pada hari Jumaat dan Sabtu. Bermakna aku perlu berada lebih lama di wad sementara menunggu hari Ahad untuk diinduce. Aku bertanya juga kalau kalau boleh balik ke rumah dulu, dan akan datang semula pada hari Sabtu. Tapi nampaknya memang tak boleh. Tambah sedih aku dibuatnya. Terpaksa berpisah lebih lama dengan anakku. Menangis memikirkan bagaimana keadaan dia tanpaku. Alhamdulillah dia bersama suamiku, insan yang paling aku percayai. 

Jam 7.30am cek bsp (5.3). Jam 10am cek bukaan jalan. Rupanya dah buka 3cm, Alhamdulillah. Namun belum ada sebarang tanda lagi. Kontraksi juga masih belum ada, hanya terasa dia mengeras seperti biasa dan tidak menyakitkan. Ini juga bermakna, aku tidak perlu diberi ubat induce lagi memandangkan jalan sudah terbuka. Hati rasa lega yang amat, kerana pengalaman lepas memberi kenangan yang menakutkan. Kini hanya perlu menunggu saat melahirkan anak keduaku. Hati lebih tenang, dan aku tak lepas peluang untuk bersyukur, membaca al Quran dan tetap berdoa agar segalanya dipermudahkan.

Cek bsp buat kesekian kalinya (4.7) jam 11.30am. Dalam pukul 12pm aku mula rasa sakit seperti senggungut. Tapi tak terlalu kuat sakitnya. On dan off. Masih bebas bergerak dan berjalan.

Jam 11am-2pm waktu melawat pula. Suami dan anakku datang seperti biasa. Kemudian abang sulungku dan family. Masing masing bertanya keadaanku. Yang pastinya aku masih belum merasakan kontraksi yang sebenar dan tiada tanda tanda untuk bersalin lagi. Aku makan, mandi, solat dan baca al Quran seperti biasa. 

Petang ini sudah keluar lendiran bersama sedikit darah ketika membuang air kecil. Hati sedikit berdebar, kerana tidak ada pengalaman seperti ini ketika mengandungkan yang pertama. 

Jam 5 petang, suami dan anakku berkunjung lagi. Kakakku juga datang melawat. Jam 5.30 cek bsp (5.0). Malamnya pula seperti malam sebelumnya, tekanan darah diambil, habiskan masa dengan solat, baca al Quran, berbual dengan teman teman seperjuangan dan berjalan jalan ke sana sini dengan harapan laluan bersalin akan lebih terbuka. Yang pastinya malam itu hati lebih tenang dan tidak gelisah lagi. Tidur juga lena.


18/01/14 (sehari sebelum bersalin)
Bangun pagi seperti biasa, ambil tekanan darah jam 5.45am, mandi, solat subuh dan membaca al Quran. Cek bsp (5.9) jam 7.30am dan breakfast. 

Pukul 10.15am, cek bukaan jalan sekali lagi. Hari ni dah 4cm. Namun aku masih tidak rasa sakit. Doktor menyuntik ubat untuk buang air besar. Kemudian ambil tekanan darah lagi. 

Pukul 11-2, masa untuk melawat tiba. Suamiku datang bersama anakku. Anak saudaraku dan juga datang, kemudian ibu mertuaku.

Habis waktu melawat serta solat zohor, aku hanya duduk berehat dan berbual bual dengan mereka yang menjadi teman di dalam wad itu. Kontraksi masih seperti semalam. Tidak terlalu kuat.

Jam 5pm, sekali lagi waktu melawat. Suami setia datang berkunjung dan menemaniku. Aku dan suami mula mengira kontraksi bersama. Keadaanku masih ok, kontraksi dalam kiraan 5 minit sekali. Tidak terlalu sakit dan masih boleh bertahan. 

Selepas melaksanakan solat asar, aku muka rasa lenguh yang menjalar ke atas belakang. Kontraksi yang kuat masih tidak rasa. Aku melakukan rutin biasa. Solat, membaca al Quran, berbual dengan teman teman, dan berjalan ke sana sini agar anakku turun ke laluan dengan cepat. 

Hingga jam 11pm, nurse mendekatiku dan bertanya keadaanku. Aku hanya menjawab keadaanku masih biasa biasa. Belum rasa sakit. Memandangkan bukaan sudah 4cm, dan ada labor room yang kosong, dia minta aku turun bersamanya ke labor room. 

Sebaik mendengar arahan itu, badanku terus seram sejuk. Gementar dan pucat. Saatnya hampir tiba, tapi aku masih belum rasa nak bersalin. Aku tanya kalaulah boleh tunggu esok hari, tapi dia nasihatkan untuk turun malam itu juga. Aku akur akhirnya.

Aku mencapai beg pakaian anakku dan beriringan berjalan dengan nurse ke labor room. Kebiasaannya orang lain dihantar dengan menggunakan kerusi roda, tapi memandangkan aku ini masih sihat dan dapat berjalan, aku tidak perlu menggunakan kerusi roda. Maka kami menaiki lif bersama turun menuju ke labor room. Hatiku penuh dengan debaran. Dek kerana terlalu takut, tekanan darahku naik serta merta. Nurse bertanya kenapa tekanan darahku naik tiba tiba. Aku nyatakan rasa takutku. Tambahan pula kiri dan kanan bilikku kedengaran suara ibu ibu yang sedang menanggung sakit untuk bersalin. Nurse nasihatkan aku untuk bertenang, lagipun aku sudah ada pengalaman. Tak sepatutnya terlalu takut.

Di labor room, aku berbaring di atas katil yang disediakan untuk bersalin. Mesin ctg dipasang dan aku tidak boleh bergerak ke mana lagi. Dalam keadaan hp yang hampir nak kehabisan bateri, aku menghubungi suamiku agar segera datang ke labor room. Dia yang terkejut dan dah hampir nak tidur segera datang kepadaku meninggalkan Anas yang sudah lena.


19/01/14 (detik bersalin)
Jam 12.45am. Doktor masuk ke bilik aku ditempatkan untuk cek laluan sekali lagi dan ketuban dipecahkan. Bukaan ketika itu masih 4cm. Aku risau, kalau kalau bukaan lambat terbuka sepenuhnya, dan takut akan menanggung sakit yang lama. Suami tiba selepas ketuban dipecahkan. Kemungkinan aku akan bersalin waktu subuh 6-7am, mengikut jangkaan doktor.

Aku ditemani suamiku. Sesekali bidan yang bertugas masuk untuk memantau keadaanku. Aku berbual dengan suamiku yang sudah mengantuk. Entah berapa lama lagi akan menunggu. Dia minta keluar untuk tidur di ruang menunggu kerana terlalu mengantuk, tapi aku tak benarkan dia keluar memandangkan hanya dia yang ada bersamaku. Aku risau kalau tiba masanya, tiada siapa di sisiku.

Jam 1am aku sudah mula rasa kontraksi yang kuat. Dari 5 minit sekali, ke 2 minit sekali. Suami cuba berbual bual denganku dan berlawak jenaka agar aku tidak fokus pada kesakitan itu. Namun sakit tetap sakit. Mulut terkumat kamit membaca doa dan surah agar Allah permudahkan urusanku. Sekali lagi lengan suamiku menjadi mangsa cubitanku yang tidak tahan menanggung sakit kontraksi.

Hinggalah jam 4am, kontraksi semakin kuat dan sakit. Aku mula rasa nak meneran. Aku maklumkan pada suamiku. Dan ketika itu hanya ada dia bersamaku. Bidan yang tadinya kerap datang melihat keadaanku tidak muncul pula. Keadaan dalam labor room agak  kelam kabut sedikit seperti tidak cukup kakitangan. Suamiku menjenguk keluar. Tiada seorang pun yang kelihatan untuk diminta pertolongan. Aku dah tak tahan nak meneran.

Akhirnya muncul bidan tadi dan suami menyatakan situasiku. Dia cek laluan bersalin. Sudah 9cm. Dia minta aku teran sekuatnya. Aku mencuba. Tak pasti berapa kali aku cuba push, tapi kali ini tak sebanyak yang pertama dulu. Mungkin 3-4 kali sahaja. Aku cuba sedaya upayaku. Suami di sisi memberi semangat yang tak putus.

Akhirnya, jam 4.19am aku selamat melahirkan bayi lelaki. Ketika itu juga aku baru mengetahui jantina anakku kerana sebelum ini ia adalah rahsia buat kami. Suami yang mengharapkan anak perempuan tetap redha dan syukur menerima kelahiran putera kedua kami ini. Suami melaungkan azan dan iqamah ke telinganya, dan anak diletakkan ke dadaku untuk sentuhan ibu dan anak. Sekali lagi hatiku terbuai sayu penuh kesyukuran. Rasa sakit aku lupakan. 

Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Aku bersalin lebih awal dari waktu yang dijangkakan. Laluan cepat terbuka, sakit kontraksi juga tak lama seperti dulu. 

Anak keduaku diberi nama Abdullah Mussaab b. Mohd Suzainizam. Kini membesar sihat dan cerdik seperti abangnya juga.

Menempuh dua kali pengalaman bersalin, aku dapat simpulkan bahawa yang kedua ini lebih mudah. Ya, kerana sudah ada pengalaman dan mungkin, kerana kali ini laluan terbuka sendiri tanpa ubat induce. Sakit yang datang semulajadi, bukan sakit yang dipaksa.

Yang pertama dulu, aku anggarkan sakit kontraksi adalah selama 7-8jam. Yang kedua ini pula 3-4 jam sahaja. Pukul 1am sakit, pukul 4.19am sudah selamat bersalin. Alhamdulillah, 2 pengalaman yang berbeza namun keduanya tetap bermakna dan membahagiakan. 

Anas Zaydan dan Abdullah Mussaab, 2 permata hati kami suami isteri. Detik indah melahirkannya pasti tak akan aku lupakan. Aku sangat menyayangi anak anakku. Semoga anak anakku menjadi hamba Allah dan anak yang soleh. Aameen




Abdullah Mussaab di hari pertamanya


Abdullah Mussaab di usia 2 tahun














5 comments:

Unknown said...

salam mau bertanya sbb sy juga ada gdm dan ank kedua juga...suami boleh masuk teman di labour room ek?sebab masa anak pertama suami sy xdibenarkan masuk...sangatla stress masa tu.huhu

Naemah said...

Bersalin d hospital mana puan? Kalau Husm boleh. Rasanya byk hosp kerajaan yg benarkan suami teman skrg ni

Unknown said...

salam, saya nak tanya juga. bersalin gdm baby kene masuk wad scn untuk pemerhatian tak? jauh tak wad scn tu dengan wad ibu lepas bersalin?

Unknown said...

saya bercadang nak bersalin di husm juga.

Naemah said...

salam. kalau bersalin normal dn baby xde masalah, sama je dgn baby yg lain. sy hr tu bersalin pukul 4pg, pukul 2 petang dh boleh balik :)

Post a Comment