Friday, 2 October 2026 0 comments By: Naemah

BERHARAP DIMENGERTI




Menguruskan rumahtangga ni memang penat. Tambahan pula dengan anak-anak yang tengah nak membesar ni. Susah nak cerita penatnya. Tapi aku bukan jenis yang suka nak mengadu penat. Sekadar meluah dalam tulisan macam ni jelah.


Tak suka mengadu, bukan sebab aku sangat kuat, tapi sebab aku takut respon yang aku terima bukanlah seperti yang aku harapkan. Jadi selalunya aku pilih untuk diam, terus buat apa yang mampu. 


Cuma, dalam diam itu, aku sebenarnya berharap aku difahami (begitulah perempuan kan).


Kalau satu hari rumah tak sempat dikemas, makanan yang terhidang terlalu sederhana, kain baju kurang terurus, atau ada banyak perkara yang belum sempat aku selesaikan, aku harap sangat suamiku faham yang aku bukan tak berusaha ataupun malass (walaupun ada harinya aku memang rasa malas nak buat semua tu). 


Entahlah, aku pun teringin nak jadi isteri yang rajin, supaya rumah sentiasa nampak kemas. Teringin nak masak sedap-sedap setiap hari. Nak segalanya terusun cantik dan rapi. Aku kan suri rumah.


Tapi rupanya tak semudah itu. Ada hari aku rajin, ada hari aku rasa berat tulang. Tapi tetaplah aku berfungsi di setiap harinya. Tak pernah duduk saja tanpa buat apa-apa. Cumanya aku sedar yang kerja-kerja aku tak pernah sempurna. Ada harinya aku bersemangat lebih, ada harinya aku lemau, nak melangkah ke dapur pun rasa berat. Sedangkan setiap hari, itulah yang perlu aku hadap. Mengulangi hal yang sama.


Kerana kerja kat rumah ni memang begitu sifat dia. Walaupun dah buat, rasa mcam tak siap-siap juga. Pinggan kembali penuh. Kain kembali menimbun. Rumah kembali berselerak. Anak-anak sentiasa mencari.


Dan aku ni pula, bukan hanya sekadar seorang suri rumah. Aku hakikatnya juga seorang manusia. Ada ketikanya hanya mampu memberikan apa yang termampu. Bukan segalanya. 


Ya, aku benar-benar mengharapkan aku difahami biarpun tanpa aku mengungkapkan penat. Faham bukan untuk dikasihani, tapi untuk terima saja apa yang termampu aku buat untuk rumahtangga ini. 


Dan aku percaya, dia seorang suami yang sangat memahami. Cuma hati ini kadangkala ada risau, dan rasa tak cukup memberikan yang terbaik untuk rumahtangga ini. Ya, rasa itu sentiasa ada. 

OKTOBER: BULAN EXAM


PSRA Mussaab dah selesai bulan lepas (September). Alhamdulillah. Moga keputusannya cemerlang dan terbaik. Ameen.


Bulan Oktober ini anak-anak akan menghadapi exam UASA pula- Anas, Mussaab dan Miqdad. Di samping itu Miqdad juga akan menghadapi exam Pentaksiran Matriks, dan Mussaab pula ada ujian PKSK (ujian ke tingkatan 1). 


Ummi tak sempat nak catat tentang UPSA anak-anak selepas perjumpaan dengan guru kelas masing-masing (tahun-tahun sebelum ni ummi memang update kat blog). Entah la tahun ni, tak ada kesempatan nak tulis. Overall, oklah semua, pencapaian yang sederhana, tetap ada kurang lebihnya dan sudah tentunya masing-masing perlu berusaha lebih lagi untuk dapatkan yang lebih baik.


Yang paling hampir sekarang ni ialah Matriks dan UASA Miqdad (next week). Santai sahaja dia, macam biasa. Kalau ingatkan result UPSA dulu, terasa geram dan marah la juga, dengan result math dan sainsnya. Minggu depan dah nak Matriks. Ummi harap Miqdad boleh jawab dengan baik, dan cemerlang bersama yang lain. Kemudian bersambung UASA- 2 minggu tempoh exam. Ummi hanya mampu mendoakan. Bantu jugalah dia belajar di rumah, sekadar yang ummi sempat. Semoga Miqdad dapat menempuh exam dengan mudah dan cemerlang. Ameen.


Minggu berikutnya Anas pula menghadapi UASA. Urusan belajar Anas ummi dah tak banyak campur dah. Sekadar nasihat, semoga fokus dan belajar betul-betul. Dia pun dah besar. Sendiri ingat tentang kerja sekolah, dan segala yang berkaitan dengan pelajaran sendiri. Mudah-mudahan Anas juga cemerlang dalam UASA. Ameen.


Dan minggu berikutnya pula, Mussaab pula bakal berdepan dengan UASA. Result UPSA hari tu agak memuaskan, dan semoga UASA akan jauh lebih baik. Dan sebelum tu ada ujian PKSK juga. Ummi doakan yang terbaik buat Mussab, terima saja ke mana bakal melangkah ke tingkatan 1 nanti. Insya Allah, takdirNya adalah yang terbaik. 


Suri pula hanya ada exam di sekolah KAFA. Tapi belum terima jadual lagi. Semoga dipermudahkan juga untuk kakak. Biar tamat tahun 1 dengan ilmu yang penuh di dada. Insya Allah. 


Untuk anak-anakku, ummi sentiasa reda padamu. Ummi sentiasa mendoakan semoga Allah terangkan hatimu dalam menuntut ilmu. Semoga mudah faham apa yang dipelajari, mudah jawab soalan exam, dan dapat result yang cemerlang semuanya. Ameen. 


Selamat menempuh exam Along, Angah, Acik, dan Kakak. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik, lapang hati menjawab exam, dan jadi pelajar yang cemelang. Ameen.