Hari ni ada temu janji di klinik. Dalam perjalanan, aku ditemani radio Zayan. Pagi ini, topik yang dibincangkan lebih kurang begini: Apa yang membuatkan isteri anda luar biasa?
Sempatlah aku mendengar panggilan daripada seorang suami yang berkongsi tentang isterinya. Isterinya berhenti kerja demi menjaga anak-anak yang masih kecil. Kemudian, apabila suaminya mendapat tawaran kerja yang lebih baik, isterinya mengambil alih urusan perniagaan yang sebelum ini diuruskan sendiri oleh suaminya. Dalam masa yang sama, dia tetap menguruskan anak-anak serta menjaga ibu dan ayahnya yang tidak sihat dan tinggal bersama mereka.
Begitulah lebih kurang kisahnya.
Si suami meluahkan rasa terima kasih kepada isterinya yang tidak pernah merungut dan melakukan semuanya dengan penuh keikhlasan. Mendengar ceritanya, aku dapat merasakan betapa besar penghargaan seorang suami terhadap pengorbanan isterinya.
Aku harap dapat dengar panggilan daripada pendengar yang lain juga. Teruja rasanya nak tahu, apa lagi agaknya yang membuatkan seorang suami menganggap isterinya luar biasa di matanya?
Tapi tak sempat. Dah sampai klinik.
Sebagai seorang isteri, aku turut terharu mendengar cerita dan ucapan suami tadi. Dalam masa yang sama, aku turut merenung diri sendiri.
Apa agaknya yang luar biasa tentang aku?
Agaknya, sanggupkah suami aku mengakui bahawa isterinya ini juga luar biasa? Hahaha. Aku hanya mampu gelakkan diri sendiri.
Sebenarnya, sampai hari ni aku masih terperangkap dengan rasa aku ‘tak cukup baik’ sebagai seorang isteri. Aku rasa aku bukan isteri yang menenangkan. Bukan juga isteri yang sentiasa menyenangkan. Jadi, di bahagian mana agaknya aku boleh dianggap luar biasa?
Tak perlulah aku membuka segala kekurangan diri di sini. Lagipun, suami lebih mengenali aku daripada sesiapa pun. Dia tak luah, dia tak complaint, dia tak mengeluh, tapi aku sendiri tahu bagaimana diriku. Aku tahu bahagian-bahagian dalam diri ini yang masih belum mampu menjadi seperti yang aku harapkan. Dan yang dia harapkan. Aku tahu.
Bukanlah maksudnya tak ada yang baik tentang aku. Aku percaya, pasti ada. Cuma apabila bercakap tentang menjadi seorang isteri yang solehah, yang menyejukkan hati suami, yang membuatkan suami berasa tenang dan bahagia setiap kali pulang ke rumah, aku selalu merasakan masih banyak kekurangan yang perlu aku perbaiki.
Kadang-kadang, susah juga hendak menjelaskan kepada orang lain isteri yang bagaimana aku ini. Aku sendiri masih belajar memahami dan menerima diriku.
Aku tahu, menjadi isteri bukan tentang memenuhi satu gambaran sempurna yang ada dalam kepala. Tetapi jauh di sudut hati, aku tetap mahu menjadi isteri yang baik. Yang kehadirannya membawa ketenangan, bukan menambah beban. Yang menjadi tempat suami berasa cukup dan selesa untuk pulang, bukan menambahkan sakit kepala dan mencetus marahnya atas pelbagai sebab.
Bila fikirkan semua tu, tak terlepas aku dari rasa sesal dan rasa ingin menghukum diri kerana tak mampu mencipta tenteram yang sebenarnya dalam rumahtangga ini.
Pada akhirnya, aku hanya mampu mengharapkan kemaafan dan keredaan suamiku atas banyaknya dosa dan kurang aku dalam memainkan peranan seorang isteri. Kerana reda Allah hanya pasti datang bersama keradaan seorang suami. Kerana aku juga isteri yang mendambakan syurga yang aku rasakan sangat jauh denganku.
Tak perlu kau memandang luar biasa tentang aku, duhai suamiku. Cukup kau sentiasa bersedia dengan kemaafan dan keredaanmu terhadapku. Maka itu sudah cukup mendamaikan hatiku.