Friday, 27 November 2026 By: Naemah

ABDULLAH MUSSAAB: TAMAT SEKOLAH RENDAH (SKKR & SRIPN)


Berlangsung sudah Majlis Graduasi Tahun 6, SK Kampung Rinching pada 26 November 2026, bertempat di 360 Club Ecohill.


Maka, dengan rasminya, tamat dan lengkaplah sudah enam tahun perjalanan persekolahan Abdullah Mussaab di SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah (KAFA). Berbaki seminggu sahaja lagi hari persekolahan sebelum Angah melangkah ke satu fasa baharu dalam kehidupan, memulakan alam persekolahan menengah pula.


Cepatnya masa berlalu, kan?


Rasanya seperti baru semalam melihat Angah melangkah masuk ke Tahun 1, dengan tubuh kecil dan langkah yang masih perlahan. Kini, anak kecil itu sudah semakin besar, semakin tinggi dan semakin matang. Dari seorang anak yang masih banyak belum tahu, kini semakin bertambah ilmu di dada. Dari seorang yang dahulunya belum mengenali sesiapa, kini sudah punya ramai kawan dan teman, yang bersama-sama mewarnai perjalanan enam tahun di sekolah rendah.


Satu hari ke satu hari, satu tahun ke satu tahun, terlalu banyak kenangan yang pasti telah tercipta. Ada suka, ada duka. Ada penat, ada lelah. Ada kejayaan yang diraikan, ada juga pengalaman yang mengajar erti kesabaran dan usaha. Semuanya menjadi sebahagian daripada perjalanan Angah membesar dan mengenal dunia.


Enam tahun bukanlah satu tempoh yang singkat. Lebih-lebih lagi buat Angah yang bersekolah sesi pagi dan petang. Penat itu pasti ada. Ada hari yang mungkin terasa panjang, ada waktu yang mungkin menguji kesabaran. Namun, Angah tetap meneruskan langkah, hari demi hari, hingga sampai ke penghujungnya.


Dan hari ini, Ummi cuma nak ucapkan, tahniah Angah!


Tahniah atas perjalanan enam tahun yang telah Angah lalui. Tahniah kerana terus bertahan, terus berusaha dan tidak berhenti melangkah walaupun penat itu pasti ada.


Ummi mungkin tidak dapat mengingati atau menyerlahkan setiap pencapaian Angah saban tahun. Tidak semua kejayaan Angah diraikan di atas pentas, dan mungkin tidak semua usaha Angah mendapat perhatian orang lain. Namun, Ummi tetap bersyukur atas segala yang Angah telah capai sepanjang berada di sekolah rendah.


Mungkin rezeki Angah bukan untuk naik ke pentas setiap tahun, tetapi pencapaian Angah tetap tidak pernah mengecewakan. Sederhana, tetapi konsisten. Bagi Ummi, itu juga satu kejayaan yang sangat bermakna.


Setiap kali pertemuan dengan guru kelas, Alhamdulillah, komen yang Ummi terima sentiasa positif. Malah, pertemuan terakhir dengan Cikgu Nora baru-baru ini memberikan Ummi lebih banyak rasa syukur apabila mendengar perkembangan Angah dan ulasan dari sudut yang berbeza tentang kelebihan Angah. Ummi bangga.


Alhamdulillah, syukur ya Allah.


Tidak dilupakan juga pencapaian 9A Angah dalam UPKK dan Jayyid Jiddan dalam PSRA. Dua pencapaian yang pastinya menjadi kebanggaan buat Ummi dan Abi. Bukan semata-mata kerana keputusan yang diperoleh, tetapi kerana usaha, kesungguhan dan komitmen Angah dalam menuntut ilmu.


Keputusan UASA pula, setakat ini, baru sebahagian yang diterima. Alhamdulillah, keputusan yang ada juga menunjukkan hasil yang baik. Apa pun keputusan yang bakal menyusul, Ummi tetap bersyukur dan berbangga dengan usaha Angah.


Sepatutnya, ada satu lagi majlis graduasi yang Angah perlu hadiri, iaitu majlis graduasi sekolah KAFA. Namun, atas kekangan yang tidak dapat dielakkan, Angah tidak berkesempatan untuk menyertainya.


Takpelah. Bukan semua kenangan perlu diraikan di atas pentas kan? Ada kejayaan yang cukup diraikan dalam diam, dalam doa dan dalam hati orang-orang yang sentiasa menyayangi Angah.


Apapun, tahniah sekali lagi, Angah.


Angah dah buat yang terbaik. Enam tahun ini bukan sekadar tentang menghabiskan silibus atau memperoleh keputusan yang baik. Ia tentang Angah yang semakin membesar, semakin mengenal diri, semakin matang dan semakin bersedia untuk menghadapi kehidupan yang lebih luas.


Selepas ini, perjalanan Angah mungkin akan menjadi lebih mencabar. Alam sekolah menengah pastinya membawa pengalaman, tanggungjawab dan cabaran yang berbeza. Akan ada perkara baru yang perlu dipelajari, akan ada langkah yang perlu diperkuatkan, dan mungkin juga ada hari-hari yang tidak mudah.


Namun, Ummi percaya Angah mampu melaluinya.


Ummi sentiasa mendoakan agar Angah terus bersemangat, terus berusaha dan tidak mudah berputus asa. Semoga setiap langkah Angah dipermudahkan Allah, setiap ilmu yang dipelajari menjadi ilmu yang bermanfaat, dan setiap usaha Angah diberkati.


Teruslah menimba ilmu, anakku. Teruslah mengejar cita-cita. Semoga ilmu semakin penuh di dada, akhlak semakin indah, dan hati sentiasa dekat dengan Allah.


Ummi reda pada Angah sentiasa. Semoga Allah juga sentiasa reda pada Angah. Ameen. 


Ucapan Terima Kasih setulus hati buat warga pendidik di SK Kampung Rinching dan SRI Permata Nusaybah yang telah mendidik Abdullah Mussaab selama 6 tahun menjadi pelajar di sekolah berkenaan. Jasa guru sekalian takkan mampu dibalas. Semoga Allah mengganjari setiapnya dengan sebaik-baik ganjaran di sisiNya.

Ameen.









0 comments:

Post a Comment