Melintas lalu sebuah video daripada Salmah Melor yang berkaitan dengan kenangan zaman COVID-19. Terhibur melihat videonya, walaupun hakikatnya ia tidak begitu menggambarkan kehidupan ‘aku’ pada zaman itu. Tentang joget-joget, mekap, dan dalgona coffee. Ya, memang mengimbau kenangan!
Tapi kalau ditanya apa yang paling aku kenangkan tentang zaman itu, tentulah tentang kehidupan berkurung di dalam rumah berbulan-bulan lamanya, PDPR yang melelahkan, beraya di perantauan, tidak dapat bertemu keluarga, pelitup muka, hidup berjarak, vaksin, dan macam-macam lagi nostalgia di zaman pandemik itu.
Siapa sangka kita pernah diuji dengan ujian sedemikian? Selama ini bebas ke mana sahaja, tiba-tiba terpaksa berkurung di dalam rumah dan tidak boleh bertemu sesiapa. Seolah-olah di luar sana ada peluru yang menanti jika kita melangkah keluar. Hidup dalam ketakutan. Ada yang murung, ada yang tertekan apabila terpaksa menjalani kehidupan terkurung dalam tempoh yang begitu lama.
Kita? Alhamdulillah, masih ada halaman rumah untuk bebas keluar menghirup udara. Masa nilah Abi pasang karpet rumput dan membeli kolam kecil supaya anak-anak dapat bermain dan tidak hanya terperuk di dalam rumah.
Namun, ujian itu tidak sama buat semua orang. Ada yang sekadar diuji dengan kehilangan kebebasan dan rutin kehidupan, tetapi ada juga yang diuji dengan kehilangan insan tersayang. Ada yang kehilangan ibu, ayah, pasangan, anak-anak dan ahli keluarga terdekat akibat virus ini. Lebih menyedihkan, ada yang terpaksa menerima hakikat kehilangan tanpa sempat berada di sisi, tanpa pelukan terakhir dan tanpa kesempatan mengucapkan selamat tinggal seperti yang diharapkan. Bagi mereka, COVID-19 bukan sekadar kenangan tentang sebuah pandemik, tetapi sebuah kehilangan yang akan dibawa sepanjang hayat.
Untuk kita sekeluarga pula, ketika orang lain diwajibkan bekerja dari rumah, Abi melalui pengalaman yang berbeza. Tiada istilah ‘stay at home’ buat Abi kerana tuntutan kerjanya memerlukan dia tetap keluar bekerja di lapangan. Bukan sekadar perlu bekerja seperti biasa, malah terpaksa menjalani kuarantin berminggu-minggu di hotel sebelum dan selepas bertugas. Menjadikan tempoh berjauhan dengan keluarga jauh lebih panjang daripada kebiasaan.
Ummi di rumah berdepan dengan cabaran menguruskan anak-anak dan PDPR, Abi pula terkurung sendirian di bilik hotel sebelum kembali bertugas. Pertemuan menjadi sesuatu yang sangat mahal buat kita sekeluarga pada ketika itu. Rindu yang terpaksa disimpan, pertemuan yang terpaksa ditangguhkan. Begitulah cara kita melalui fasa itu, dengan ujian dan cabaran masing-masing.
Tentang sekolah yang terpaksa ditutup dan digantikan dengan PDPR, alangkah mencabarnya buat ibu bapa, pelajar dan guru. Perlu ada peranti yang berfungsi, ruang belajar yang selesa, tugasan yang perlu dihantar tepat pada waktunya dan pelbagai lagi cabaran di luar kebiasaan.
Penatnya hendak mengawal dan memastikan semua anak benar-benar belajar serta menyiapkan tugasan masing-masing. Alhamdulillah, biarpun penuh cabaran, semuanya tetap berjalan dengan baik. Tiada anak yang ketinggalan.
Tentang tidak dapat pulang ke kampung untuk bertemu bonda dan keluarga, itu juga sesuatu yang sangat berat. Sebelum ini, sudah menjadi kebiasaan untuk pulang sekurang-kurangnya sebulan sekali. Pedihnya hati mengenangkan ibu yang semakin tua dan uzur, berbulan-bulan tidak dapat diziarahi. Puasa dan raya pun terpaksa dilalui tanpa bertemu.
Syukurlah, teknologi mampu mendekatkan yang jauh meskipun rasanya tetap berbeza. Dapat membuat panggilan video, melihat wajah dan memastikan semua dalam keadaan sihat pun sudah cukup melegakan.
Begitu juga dengan masjid dan surau yang terpaksa ditutup daripada menerima kehadiran jemaah. Tiada lagi solat berjemaah seperti biasa. Sepi. Sunyi. Sedih.
Kemudian, apabila kita mula dibenarkan keluar, pelitup muka menjadi sesuatu yang wajib dipakai. Kehidupan berjarak diteruskan, majlis keramaian dibataskan dan jumlah jemaah di masjid juga dihadkan. Sehinggalah sedikit demi sedikit, kehidupan kembali pulih dan kita mula menikmati kebebasan seperti dahulu.
Sedar tak sedar, sudah enam tahun berlalu sejak virus itu mula menyerang dan mengubah kebiasaan hidup kita. Kisahnya semakin jauh ditinggalkan, barangkali juga semakin dilupakan dek kesibukan menjalani kehidupan hari ini. Namun, apabila dikenang semula, kesan dan rasanya masih mendalam. Sebuah cerita gelap yang akhirnya bertemu sinar.
Namun, di sebalik segala ujian itu, tersimpan 1001 hikmah.
Mungkin kita pernah kehilangan banyak kebebasan, tetapi dalam masa yang sama belajar menghargai perkara-perkara kecil yang dahulu dianggap biasa. Pertemuan dengan keluarga, kebebasan keluar rumah, anak-anak ke sekolah, solat berjemaah dan kehidupan yang sederhana tanpa rasa takut.
Rupa-rupanya, dapat menjalani kehidupan seperti biasa itu adalah satu nikmat yang sangat besar.
Alhamdulillah atas segala yang telah berlalu. Semoga kita tidak lupa untuk terus mensyukuri nikmat yang hari ini kita miliki.
0 comments:
Post a Comment