Kesinambungan dari catatan lalu:
Catatan bagaimana 2026 bermula dengan rutin yang baru, yang ternyata lebih mencabar berbanding tahun sebelumnya.
Kini, sudah berada di penghujung tahun. Berbaki tiga minggu saja lagi sebelum sesi persekolahan 2026 melabuhkan tirainya. Tak sedar masa berlalu. Hampir setahun kita menempuh pelbagai perkara. Ada pahit dan manis, ada perjuangan yang melelahkan, dan ada pertolongan Allah yang datang tepat pada waktunya. Sesungguhnya, Allah tidak pernah membiarkan hamba-Nya berjalan sendirian.
Anak-anak masing-masing sudah pun menamatkan sesi pembelajaran tahun ini. Peperiksaan sudah selesai, sebahagian keputusan sudah diterima dan buku-buku teks juga sudah diserahkan. Tiada banyak perkara yang perlu dikejar lagi. Kini, mereka hanya perlu hadir ke sekolah dengan rentak yang lebih santai sementara menunggu cuti persekolahan bermula.
Aku melihat kembali hari-hari yang telah berlalu dengan satu rasa yang sukar diungkapkan. Penuh syukur. Kerana apabila dikenang satu persatu, hari-hari yang telah dilalui sebenarnya sarat dengan nikmat dan rahmat Allah.
Ada ujian, tetapi bukan yang tidak mampu ditanggung. Ada episod sedih dan kecewa, tetapi rupanya lebih banyak cerita manis dan indah yang Allah pinjamkan untuk dikenang.
Hari-hari yang bermula sejak awal pagi. Menguruskan anak-anak, menyediakan keperluan mereka, menghantar dan mengambil dari sekolah, menghadap segala rutin serta drama harian yang tidak pernah habis. Ada hari yang terasa panjang, ada ketika kesabaran benar-benar diuji. Namun, semua itulah yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kenangan berharga yang tersimpan kemas di dalam jiwa.
Tahun depan mungkin membawa cerita yang hampir sama, atau mungkin juga sedikit berbeza.
Tanggungjawab masih ada. Anak-anak masih memerlukan perhatian dan bimbingan. Anas bakal melangkah ke Tingkatan 3, Mussaab pula akan memulakan alam sekolah menengah, Miqdad akan melangkah ke Tahun 5, manakala Suri ke Tahun 2.
Pastinya, ada rutin yang akan berulang. Ada urusan yang masih perlu diselesaikan, ada perjalanan pagi yang masih perlu ditempuh dan ada tanggungjawab yang tidak akan pernah selesai selagi mereka masih di bawah jagaan ummi.
Cuma mungkin, bentuknya tidak lagi sama seperti hari ini.
Adakah tahun depan akan menjadi lebih mencabar, atau sebenarnya lebih mudah untuk diharungi? Entahlah. Allah saja yang Maha Mengetahui.
Apa pun, aku mahu melangkah ke tahun baru dengan hati yang lebih lapang.
Terima kasih, ya Allah, untuk setiap hari yang telah Kau izinkan kami lalui. Untuk kesihatan, kesempatan, rezeki, kekuatan dan perlindungan-Mu. Untuk setiap kesulitan yang Kau permudahkan, setiap kesedihan yang Kau gantikan dengan ketenangan, dan setiap perkara yang pada awalnya terasa berat tetapi akhirnya mampu juga kami harungi.
Buat anak-anak ummi, semoga kalian terus membesar dalam rahmat dan perlindungan Allah. Semoga dipermudahkan setiap urusan, diterangkan hati dalam menuntut ilmu, dikurniakan kefahaman dan kejayaan yang membawa kebaikan. Semoga kalian menjadi anak-anak yang baik akhlaknya, lembut hatinya, teguh imannya dan sentiasa tahu menghargai setiap nikmat yang Allah berikan.
Ameen.
0 comments:
Post a Comment