Dah sampai pun kita ke bulan November. Semakin dekat rasanya dengan penutup tahun 2026.
Ada apa dengan November?
Bulan ini terasa sedikit perlahan langkahnya. Tak banyak kejar-kejar masa seperti bulan-bulan sebelumnya. Maklumlah, anak-anak semuanya sudah selesai menduduki peperiksaan akhir tahun. Malah, banyak juga hari mereka ‘direhatkan’ di rumah. Kuranglah sikit urusan menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
Namun, ada juga beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Bulan ni anak-anak perlu pulangkan buku teks masing-masing. Jadi, perlu pastikan semua buku sudah siap dibalut dan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan. Tarikh pemulangan pun sudah dimaklumkan. Setakat ini, Angah dah pun selesai urusan buku teksnya. Yang lain akan menyusul minggu hadapan.
Selesai peperiksaan, maka keputusannya pun bakal menyusul juga. Malah, ada sebahagian result yang dah diketahui. Ummi cuba untuk bertenang dan tidak terlalu memikirkan soal keputusan exam anak-anak. Terima sahajalah apa pun hasilnya nanti. Insya-Allah, itulah yang terbaik buat mereka. Tahun hadapan usaha lebih gigih ya!
Selain itu, bulan ini ummi perlu segera menyiapkan planner 2027. Alhamdulillah, sudah 80% siap. Tinggal sikit je lagi untuk dilengkapkan. Tak sabar rasanya nak beralih kepada planner baru. Perlu disiapkan bulan ini juga kerana awal Disember nanti dah mula cuti sekolah. Bila dah balik kampung, malaslah pula nak fikirkan soal planner.
Dan November ini, Angah perlu jalani beberapa siri ujian untuk melangkah ke tingkatan satu. Angah pun dah besar, bakal menamatkan zaman sekolah rendahnya. How time flies. Ke mana Angah bakal melangkah tahun depan? Ummi serah segalanya pada Allah.
Begitulah November kali ini. Tidak terlalu sibuk, tidak juga kelam-kabut. Semuanya berjalan mengikut rentak sendiri. Tidak terlalu perlahan, tetapi cukup untuk memberi sedikit ruang berehat setelah berpenat lelah menguruskan rutin sepanjang tahun. Yang nyata, November ini mengajar untuk memperlahankan langkah seketika.
Hari-hari yang sebelum ini, terlalu sibuk menguruskan segalanya, mengejar jadual, menyelesaikan urusan dan memastikan semuanya berjalan seperti yang dirancang. Sedar-sedar, masa sudah jauh meninggalkan kita. Anak-anak semakin membesar, tahun semakin hampir ke penghujung dan banyak perkara yang sudah pun berlalu tanpa sempat kita hayati sepenuhnya.
Jadi, biarlah November menjadi ruang untuk bernafas sedikit lega. Menikmati hari-hari yang tidak terlalu padat, menghargai waktu bersama anak-anak dan mensyukuri perkara-perkara kecil yang mungkin selama ini terlepas daripada perhatian.
Tak semua bulan perlu dipenuhi dengan kesibukan. Tak semua hari perlu ada pencapaian besar. Ada kalanya, hari yang berjalan dengan tenang dan sederhana itu pun sudah cukup bermakna.
Alhamdulillah untuk November. Semoga baki hari dalam tahun ini terus membawa kebaikan. Kita tutup tahun 2026 nanti dengan hati yang lebih tenang, jiwa yang lebih lapang dan rasa syukur yang tidak pernah berkurang.