Sunday 12 May 2024 0 comments By: Naemah

3 MINGGU YANG STRUGGLE



3 minggu back to back abi perlu keluar mencari rezeki. Lumrah kerjanya yang bukan pergi dan balik setiap hari, tetapi pergi berhari-hari barulah dapat balik semula. Kali ini lebih sibuk, tak henti kerja (dan urusan lain). Tak mengapa, sebelum ni (masa nak lahirkan Nuha hingga Nuha dilahirkan) abi dah bercuti panjang. 


Dan 3 minggu ini memang struggle lah ummi nak uruskan segalanya di rumah sendirian. Tak biasa ke? Dah biasa… cuma kini bersama baby yang perlu diikut demandnya, tak kira masa. Tapi setakat ni, oklah.. baby Nuha ni baikkk sangat!


Bab paling memenatkan ialah nak hantar dan ambik anak sekolah. Pagi-pagi memang kena ready semua. Sorang tak ready (tak jumpa stokin la, tak susun jadual la, tak jumpa songkok la,dll), memang time tu ummi susah nak cool la. Hari-hari dah pesan kena lengkap semua sebelum tidur. Bab uniform ummi dah settle, yang lain anak-anak kena uruskan sendiri. Takkan itupun tak boleh.


Pernah sekali, yang si adik pakai kasut keduanya sebelah kiri. Abang (sekolah lain) terpaksa pakai yang keduanya sebelah kanan. Kasut sama, cuma berlainan saiz. Nasiblah.. siapa suruh tak cek betul-betul dan terus pakai kasut sebelum naik kereta tu kan. 


Cuma Alhamdulillah, setakat ni takde lagi kes terlewat hantar anak sekolah (3 buah sekolah kena hantar waktu pagi). 


Bab Nuha pula. Pagi-pagi selalunya Nuha diam je dalam carseat tu. Layan mengantuk dia je walaupun keadaan dalam kereta tu huru hara dengan suara abang kakak (yang berperang mulut kadang-kadang) dan suara ummi (yang membebel dan berpesan banyak benda). Alhamdulillah Nuha lena, sampai selesai tugas hantar sekolah waktu pagi. Adalah sesekali Nuha ber’bunyi’. Tak lama, sambung tidur.


Yang kadang mencabar tu ialah waktu ambik abang kakaknya. Waktu tak sama, dan trip berbeza. Berkalilah Nuha perlu diangkut keluar masuk kereta. Nak tidur pun tak tenang. Kadang menangis panjang kat dalam carseat tu. Tapi apa ummi boleh buat. Tunggu balik rumah/atau time tunggu abang keluar dari sekolah boleh la ambik Nuha sekejap.


Antara tips yang ummi cuba buat untuk elakkan Nuha menangis sepanjang trip ialah pastikan Nuha menyusu dan kenyang sebelum keluar rumah. Memang menjadilah, walaupun tak tidur, Nuha boleh je duduk diam dalam carseat tu. Tapi tak boleh lama sangatlah. Nanti dia ‘bunyi’ lagi. Dan ada juga Nuha akan tetap menangis atas sebab lain (bukan sebab lapar). Tapi Alhamdulillah, setakat ni segalanya baik saja walaupun teruji dalam pelbagai keadaan.


Masuk pulak bab kekemasan rumah. Tak payah cerita banyak la, sangat-sangat tak terurus. Kemas, dan sepah balik. Begitulah setiap hari. Hari cuti lagilah sepanjang hari bersepah-sepah keadaan rumah. Dengan kertas, dengan mainan, pensel warna,  dan macam-macam lagi. Dikerah kemas, akan kemas sekejap dan kemudian kembali ke keadaan yang sama. Begitulah kitarannya. Memang selalu nak kena suruh untuk kemaskan rumah, laundry (kerja Anas), kemas bilik, buang sampah, cuci pinggan cawan sendiri (dah tak perlu suruh sangat dah), buat homework, solat pada awal waktu, dll. 


Sebenarnya kerja ‘ceramah’ kat anak-anak, bagi arahan pada anak-anak, semua tu abi yang banyak buat. Kalau abi ada ummi banyak diam je (penatlah cakap banyak!). Tapi tulah.. time abi takde memang perlu segalanya ummi. Jika abi, emosinya tak macam ummi. Sesekali je marah. Tu pun anak-anak takut. Kalau ummi, selalu sangat beremosi lebih dan selalu marah. Tapi… anak-anak bukan takut sangat pun! 


Sungguh, kini tetap struggle menjadi seorang ibu. Terasa gagal dalam banyak hal. Anak-anak tak cukup berdisiplin lagi, akhlak belum selayaknya untuk dipuji, bab belajar masih perlu dipaksa-paksa, bab solat walaupun cukup, masih belum sempurna, nilai-nilai baik dan tak baik masih ada bersama-sama… begitulah anak-anakku. Anak-anak dan umminya, sama-sama tak sempurna. Masih banyak kurang, dan insya Allah masih punya waktu untuk perbaiki. 


Dan setiap hari mendoakan kekuatan untuk menjalani hari-hari bersama anak- anak. Biar mampu menguruskan segalanya dengan kudrat yang ada. 


Ummi yang berjuang di sini, dan abi yang sedang berjuang di sana, moga Allah permudahkan segalanya. Memikul segala amanah dan tanggungjawab dengan ikhlas. Bertemu dan berpisah kerana Allah semata. Insya Allah hidup kita kan baik-baik saja. Dan sepanjang ini, biar bersilih ganti ujian mendatangi, bukankah kita masih baik-baik saja? 


ALHAMDULILLAH.






Friday 10 May 2024 0 comments By: Naemah

‘ANGAH’ YANG SELALU KENA PETIK

Anak kedua atau ‘angah’ sentiasa dianggap lain dari yang lain. Yang dikatakan paling nakal dan sukar dikawal, itulah angah. Sampai ada istilah ‘sindrom anak kedua’ yang sifatnya disenaraikan begitu dan begini. 


“Ini mesti anak kedua”

Jaranglah orang nak cakap anak sulung ke, anak ketiga ke, bila tengok gelagat yang ‘luar biasa’ atau yang ber’masalah’ kan? Betul ke anak kedua ni pelik dan lain perangainya dari anak-anak yang lain?


Anak kedua yang aku kenal; abang keduaku  orangnya pendiam, kreatif dan berseni tangannya. Bab pelajaran mungkin kurang sikit dari yang lain, tapi bab bertukang, baiki itu ini serah je kat dia. Semua menjadi. Pendiam tapi bila marah, menakutkan :D


Kedua, anak saudara (perempuan) yang hampir sebaya dengan aku. Orangnya kelakar, lasak (waktu kecik dulu selalu masuk kebun tolong ayahnya), dan sangat baik, dan pandai juga (kini dah jadi cikgu). 


Ketiga, arwah abang ipar (abang suamiku), yang aku hanya sempat kenal beberapa tahun. Orangnya juga baik, dan pendiam (pada pengamatan aku). Tak tahu banyak hal tentangnya, tapi teringat mak mertua pernah cakap waktu kecik-kecik dulu dia la budak yang paling baik (tak banyak karenah dan perangai la kot).


Itulah anak kedua yang aku kenal. Apa yang peliknya mereka ni? Semua baik je…


Dan bagaimana pula anak keduaku? Tak dinafikanlah, dia unik dan tersendiri. Tak sama dengan abangnya, tak sama dengan adiknya. Tapi padaku, sulung, kedua, ketiga tetap punya perbezaan dan ‘perangai’ mereka yang tersendiri. Tak tergamak nak cakap ‘anak kedua ni pelik sikit’. 


Tapi sebab nak cerita pasal anak kedua (sebab selalu kena petik), teringin jugalah aku nak tulis tentang anak keduaku yang sorang ni.


Yang dari kecil suka buat memek muka pelik time nak tangkap gambar (selalu jadi photobomb). Berkali-kali ‘take’ dan jerit baru dapat gambar yang elok sikit. Sekarang pun masih.


Yang terpaling santai bila disuruh buat sesuatu sampai umminya naik hantu. Bangun pagi paling last, nak bersiap punyalah lama, mengelamun lebih, bagi kerja banyak main dan beralih fokus, buat homework pun last minute.


Yang jarang-jarang sekali menangis, tapi sekali menangis mak oii, meraung terus. 


Yang ‘ada je nak menjawab’ time ummi membebel. Kita serius dia melawak. Ada 2 keadaan, nak tergelak atau makin membuak marah sebab tak ambik serius pada nasihat dan salahlaku diri.


Yang pantang nampak kotak besar-besar, bersinar matanya macam kucing nampak ikan. Ada saja idea nak ‘menyepah’ rumah. Yang lain buat sepah kertas dan alat tulis, dia pula penuh dengan kotak, gunting, gam, salotape, lidi, dll. 


Yang ada kreativiti, cipta game, buat video animasi, bina lego, walaupun kadang-kadang buat sekerat jalan je.


Yang ada dalam dunia dia sendiri, kadang tengah kumpul ramai-ramai dia sorang takde sebab tengah fokus kat benda lain. 


Cukuplah dulu tentang anak keduaku. Padaku, ‘angah’ ini dia tersepit antara abang dan adiknya. Abang yang dominan, dan adik yang mencari perhatian lebih. Seperti dia merasakan suara hatinya adalah yang paling kurang didengari. Sebab tulah mungkin dia banyak ‘buat hal’ semata untuk mencari perhatian. Dia jadi yang berbeza walaupun dengan cara yang mengundang marah, semata untuk dipandang. Betul ke begitu?


Hakikatnya anak kedua bukanlah yang pelik atau suka buat masalah, melainkan dia hanyalah unik dan tersendiri. Yang jadi anak bermasalah bukan semuanya anak kedua. Yang menyerlah, cemerlang dan hebat pula, ramai di kalangan mereka anak kedua juga. Sama je. 


Walaubagaimana pun, nak jadi baik atau tak baik itu adalah pilihan sendiri. Anak sulung ke, kedua ke, ketiga ke, dengan perbezaan sikap dan cara mereka, jika berusaha untuk jadi baik dan berjaya, Allah pasti bawa setiapnya ke arah itu. Dan begitu juga sebaliknya.


Oleh itu, jangan ada pandangan tertentu (yang kurang menyenangkan) pada anak kedua ya! 


Anak pertama, kedua, ketiga, keempat, dan kelima, semua ummi sayang! Sedang struggle nak faham dan didik tiap sorang yang karakternya berbeza. Hmmm… 



Angah





PESAN BUAT DIRI


3 minggu kebelakangan (sejak lepas cuti raya), abi busy amat. Tak dapat spend masa bersama keluarga. Macam biasa, ummi ambil peranan sepenuhnya di rumah. Dengan semangat dan kudrat yang ada turun naiknya.


Sempat terdetik dalam kepala ni; kalaulah dapat satu hari yang boleh aku tak perlu bangkit pagi untuk sediakan makan minum, kejut askar-askar untuk solat, diam dari ‘berperang’ dan membebel tentang banyak perkara, tak payah masak langsung, order je nak makan apa tanpa hiraukan harga, tak sibuk bersesak di jalan raya, bebas nak baring di katil bila-bila masa, bersenang lenang menonton cerita best sambil mengunyah dengan senang hati dan tak terkejar-kejar dengan masa, nyaman dari membayangkan kain baju yang bertimbun, periuk belanga yang bersusun, keadaan rumah yang tunggang-langgang, yang semuanya menunggu untuk diuruskan…


Allah, jauh perginya kehendak tu. Nak, tapi tak boleh. Atau boleh, tapi diambil segala yang ada dan yang sedang disibukkan hari ini… Nau’zubillah. 


Oleh itu perlu padamkan rasa ingin itu dengan kembali ingatkan hati untuk bersyukur dan menghadapi segalanya dengan sabar. 


Alhamdulillah, bersyukur dengan apa yang ada hari ini, dan apa yang perlu dilalui hari ini. Bersabar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang dianugerahkan dengan sebuah keluarga sempurna.


Bersabar mengulangi rutin harian dari bangkit pagi hingga malam harinya. Bersabar mendepani ragam anak-anak yang pelbagai, bersabar menguruskan urusan di rumah A to Z biarpun bersendirian, bersabar bila nak makan dan mandi pun kena ‘rushing’ takut si kecil memanggil-manggil. Bersabar bila tetap kena masak walaupun tak larat, sebab tak boleh nak beli hari-hari supaya duit tak mengalir laju sangat, bersabar mengusung si kecil keluar masuk kereta berkali-kali sehari dan bersesak di jalan raya, dan bersabarlah untuk segalanya. Kerana tiada pilihan lain, melainkan sabar dan ikhlas.


Siapa je dalam dunia ini yang hidupnya senang lenang dan bebas dari tekanan? Biarpun kita semua diletakkan dalam situasi kehidupan yang berbeza, tetaplah semuanya berdepan dengan cabaran hidup yang tersendiri. Kerana itulah tak patut untuk kita membandingkan hidup kita dengan orang lain, apatah lagi mencemburui kehidupan orang lain yang kita anggap ‘lebih baik’ dari kita.


Hiduplah dengan apa yang sedang kita jalani sekarang ini. Segalanya sudah diatur Allah dengan sebaik-baik perancanganNya. Begini untuk kita, dan begitu untuk mereka. Adil Allah meletakkan kita pada setiap situasi kehidupan ini. 


Mudah-mudahan segala payah, penat, lelah, dan segala rasa yang tak terluah, Allah ganjari dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat nanti. Jika di sini berpenat lelah, mudah-mudahan di sana nanti menjadi kerehatan yang abadi buat kita. Ameen.


Ingat ya, pelihara ikhlas dan teruskan bersabar dan berdoa, mengharap hanya kepada DIA-pesan diri buat diri. 

Wednesday 1 May 2024 0 comments By: Naemah

SELAMAT DATANG MEI



1 Mei 2024

‘Selamat hari buruh’


Abi masih di laut. Biarpun hari pekerja, tetap abi masih perlu bekerja sehingga selesai tugasnya di sana. Dah hari ke-5, insya Allah esok balik ke darat.


Anak-anak tak bersekolah hari ni. Spend masa seharian di rumah. Buat hal masing-masing, dengan aktiviti masing-masing. Ada ketika main bersama hingga riuh rendah sekampung. Keadaan rumah, ya ampun. Tunggang-langgang! Segala kertas dan kotak diangkut. Pensel dan pensel warna bertaburan. Dan bermacam hal lagi.


Hujan turun di petang hari, semua keluar main hujan. Basah kuyup sampai ke dalam rumah. Dah puas main, kerahan tenaga untuk kemas rumah. Alhamdulillah kembali bersih dan rapi walaupun tak sempurna.


Malam, selesai solat isyak semua dah masuk tidur. Tidur awal sepeti biasa (kecuali bulan Ramadan sebab tarawih). Alhamdulillah dah lena pun semua.


Syukur pada Allah untuk hari ini yang dilalui bersama. Satu hari lagi mencipta kisah bersama. Kisah yang biasa-biasa, namun tetap akan menjadi kenangan.


Esok akan kembali ke sekolah lagi. Moga sihat semua. Moga tetap semangat semua. Insya Allah, esok kita akan jumpa abi. Insya Allah, hari esok kan lebih baik. 


Ummi sayang kamu semua. 




Sentiasa laparrr.. 



Abi yang masih bekerja di hari pekerja