Friday, 31 May 2024 By: Naemah

TABUNG HAJI DAN PTPTN



Tabung haji dan PTPTN? Ada kaitan ke 2 tabung ni?


Sebenarnya takde kaitan antara satu sama lain pun. Tapi berkebetulan dengan musim haji dan langsainya hutang ptptn pada tahun ni (Selepas 14 tahun grad. Alhamdulillah!). Aku punya cerita yang berkaitan dengan 2 tabung ini. Yang aku dedikasikan kisah dan penghargaan ini buat suami tercintaku.


Bermula dengan perkahwinan kami pada bulan Disember 2010, selepas beberapa bulan tamat belajar di UIA (grad bulan April 2010). Aku masa tu belum bekerja, dan tiada pendapatan. Dan masa tu akaun tabung haji pun aku takde lagi.


Perkara pertama yang suami aku buat ialah ajak aku buka akaun tabung haji dan daftar haji (dah lupa hari keberapa selepas pernikahan kami, tapi dalam minggu pertama selepas bernikah). Semua duit hantaran dimasukkan dalam akaun tabung haji. Tahun giliran haji aku ialah 1454H (suami pula giliran tahun 1442H). Tapi pihak tabung haji menyatakan aku boleh ikut sekali nanti dah tiba giliran suami menunaikan haji.


Nak jadi cerita, suami dah selamat mengerjakan haji pada tahun lepas, dan aku tak dapat ikut sekali kerana keadaan tak mengizinkan. Takpelah aku reda, giliran aku pun dah tak lama, insya Allah. Moga masa tu masih sihat dan cergas untuk beribadah, dan harapannya suami dapat ikut sekali. Ameen. 


Tentang PTPTN pula. 

Selesai bab tabung haji, suami tolong aku settlekan bab ptptn pula. Masa tu aku dah buat bayaran balik dalam amaun lebih kurang 2k-3k. Aku bayar tak ikut jadual, just ikut berapa yang ada di tangan masa tu. Sebab tak kerja lagi, buat tak tahulah dulu. 


Tapi suami aku bertanyakan tentang PTPTN. Seganlah juga, kita baru je kenal dia, tak nak membebankan dia dengan hutang belajar kita. Tapi dia bersungguh, tukar daripada pinjaman biasa kepada ujrah, ke LHDN selesaikan apa yang patut, jumpa penghulu dan sebagainya, dan setiap bulan bayaran ditolak melalui akaun secara direct debit. Sungguh, dia ambik tanggungjawab sepenuhnya. Katanya hutang wajib dibayar. 


Sampailah, hampir 14 tahun lamanya langsai juga hutang belajar aku (pada 27/5/2024). Alhamdulillah. 


Begitulah kisahnya. Sudah tentu, aku rasa sangat terhutang budi pada suamiku yang sangat ambil berat tentang dua perkara ni. Kerana dia(dan dengan izinNya), aku berdaftar untuk giliran haji, dan aku bebas hutang ptptn (walaupun lepas belajar tak merasa nak bekerja dan ada gaji sendiri). Atas kerana rasa tanggungjawabnya terhadap isteri yang baru dia kenal beberapa hari je masa tu, dia bertindak dengan bijaksana sebagai seorang suami.


Mungkin dia tak ingat. Mungkin dia tak menganggap itu jasa besar dia untuk aku. Tapi aku merasakan dua perkara ini adalah hal yang sangat besar yang meringankan beban aku dan memudahkan urusanku. 


Bayangkan kalau dia tak ajak aku buka akaun tabung haji, entah bila aku sendiri nak ada kesedaran untuk buka sendiri. Dan entah tahun bila pula giliran aku untuk mengerjakan haji. 


Bayangkan kalau dia tak ambik tahu pasal hutang ptptn aku, aku sendiri pun macam tak ambik tahu hutang aku tu, mungkin sampai dapat surat amaran. Yelah, takde duit kan!


Yang pasti, 5 anak kami semuanya masing-masing dah ada akaun tabung haji (dan daftar haji sekali), dan dah buka akaun sspn juga. Mudah-mudahan, memberi kebaikan pada urusan masa depan anak-anak kami nanti. InsyaAllah. 


Terima kasih suamiku. 2 hal ini (tabung haji dan ptptn) sangat bermakna buatku, dan pasti aku tak lupa akan baik dan bertanggungjawabnya dirimu buatku, isterimu ini. Sudah tentu di samping hal-hal yang lain juga, di sepanjang 13 tahun lebih usia pernikahan ini. Segala nilai tanggungjawab, cinta, usaha keras, kasih sayang, kesetiaan, kejujuran, kesolehan, dan sebagainya darimu yang bernama suami, aku perakui dan bersaksi padaNya. 


Aku ini yang jauh dari sempurna.

Dan kau juga yang tak mungkin sempurna.

Namun aku percaya, sudah kau berusaha untuk berikan yang terbaik. 


Untuk segalanya ini, aku bersyukur padaMu ya Allah. Indah, cantik, dan tersusun sempurna tiap takdirMu ya Allah. 




0 comments:

Post a Comment