Tuesday 27 April 2021 0 comments By: Naemah

DIARI RAMADAN 2021 (PART 1)


1 Ramadan 1442H

Hari pertama puasa, tanpa abi bersama. Alhamdulillah mudah dikejutkan untuk bersahur. Anas dan Mussaab cuti bersempena 1 Ramadan. Seharian di rumah sahaja. Agak mencabar juga puasa di hari pertama. Tapi Alhamdulillah semua dapat bertahan dan sempurnakan puasa. Miqdad puasa juga (separuh hari). Berbuka dengan nasi lemak McD (abi order dari Bintulu). Alhamdulillah seronok melihatkan air muka gembira anak-anak di saat waktu berbuka. Meski abi jauh, tak mengapa. Masih tetap boleh berhubung dan bertanyakan khabar. Dan penantian masih lama...





2 Ramadan 1442 H

Bersahur dan sudah kembali bersekolah. Waktu sekolah Mussaab dianjak lebih awal di bulan puasa. Anas ikut jadual biasa. Ummi meneruskan rutin menghantar dan mengambil anak-anak sekolah. Di petang hari, jalan agak sesak semua orang perlu bersegera untuk balik dan berbuka. Singgah di gerai dekat econsave selepas ambil Mussaab di sekolah. Belikan Mussaab sushi (asalnya nak cari takoyaki tapi tak ada), beli juga teh ais dan milo ais dan laksa johor. Balik ke rumah dan berbuka dengan lauk masakan ummi hari ni (kari ayam dan ayam goreng). Tak lupa untuk video call abi dan bercakap selagi abi masih di hotel (berkuarantin). Alhamdulillah genap 2 hari puasa Anas dan Mussaab. 






3 Ramadan 1442H

Genap 3 hari berpuasa. Alhamdulillah. Seminggu sudah abi berkuarantin. Hanya mampu video call saja setiap hari. Anak-anak bersekolah seperti biasa hari ni, ummi juga lakukan rutin yang biasa bersama Suri. Dapat berita mek tak sihat sejak hari pertama puasa. Dah 3 bulan tak jumpa mek. Moga Mek akan kembali sihat dan dapat menjalani hidup dengan baik :’ rindu nak bersua lagi. Berbuka bersama, solat, baca al-Quran dan berehat untuk bersekolah dan meneruskan puasa esok harinya pula





4 Ramadan 1443H

Hari terakhir sekolah minggu ni. Alhamdulillah sihat walafiat semua, dapat bersekolah macam biasa. Hidangan berbuka hari ni ialah siakap 3 rasa atas permintaan anak-anak. Jiran pula bagi kari terung dan ayam percik, Alhamdulillah banyak lauk dah. Tak jadi ummi nak masak tomyam. Lepas berbuka ummi rasa pening dan lemah badan. Nak terawih pun dah tak larat. Terpaksa tidur awal dari biasa. Sebelum tidur telan panadol. Jam 9 malam dah lena semuanya termasuk ummi. Alhamdulillah untuk hari ini.





5 Ramadan 1442H

Weekend. Sahur dan buat aktiviti masing-masing. Main game dan melukis. Tak lupa video call dengan abi. Hari ni ada kawan datang main di rumah. Walaupun cuti sekolah, seharian tak tidur juga. Alhamdulillah puasa sempurna sehari lagi. 





6 Ramadan 1442H

Masih bercuti di hujung minggu. Seharian terperap saja di dalam rumah. Hanya keluar sesekali. Gadget menjadi teman. Alhamdulillah Anas dan Mussaab terus kuat menahan lapar dan dahaga hingga saatnya berbuka. Hari ni dapat khabar tentang mek yang dirawat di klinik. Keadaan mek lemah, terpaksa dimasukkan air ke badan. Moga mek akan kembali sihat dan berkudrat. Kesian mek :, abi di kejauhan tak lupa video call dan bertanya khabar seperti selalunya. Ya Allah, rindu pada yang jauh. Tapi tak mampu nak berbuat apa. Pada Allah hati ini berserah.





7 ramadan 1442 H

Anak-anak kembali bersekolah. Abi masih berkuarantin-hari ke 11. Ummi kembali ke rutin menghantar dan mengambil anak sekolah, sediakan juadah bersahur dan berbuka serta tugas azali yang lain. Alhamdulillah segalanya lancar berjalan. Melalui hari ini dengan baik. Berbuka puasa bersama, video call abi beberapa kali, malamnya dapat main bunga api yang dibeli petang tadi. Alhamdulillah untuk hari ini. Genap sudah 7 hari Anas dan Mussaab berpuasa.





8 Ramadan 1442H

Anak-anak berpagian ke sekolah, ummi menguruskan semua sendiri. Suri teman sejati setiap hari. Lepas ambil Mussaab dari SRIPN, ke Econsave membeli keperluan. Ambil Miqdad, kemudian hantar Mussaab ke SKKR, dan ambil Anas di SRAIPB. Jam 5.30 dan yang terakhir, ambil Mussaab balik. Hari ni belanja semua berbuka dengan nasi lemak Marrybrown seperti dijanjikan abi, sebab berjaya cukupkan 7 hari pertama puasa. Alhamdulillah. 





9 Ramadan 1442 H

Meneruskan hari tanpa abi di sisi. Meneruskan rutin yang agak padat dan penat. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Hari ni hantar servis kereta viva di bengkel (semalam ada kes viva buat hal di jalan). Alhamdulillah sekejap je dah siap kereta. Last trip ambil Mussaab, hujan turun dengan lebatnya. Syukurlah semalam beli payung di econsave. Sampai ke rumah dengan selamatnya mengharung hujan lebat dan jem yang seperti selalunya. Alhamdulillah. Kan dah kata, Allah permudahkan meski bagaimana bentuk kesukaran yang perlu ditempuh. 





10 Ramadan 1442H

Alhamdulillah sudah menempuh 10 hari pertama Ramadan dengan sangat baik (meski tanpa abi bersama, meski ujian kiri dan kanan). Anas dan Mussaab masih berpuasa penuh dan masih bersemangat untuk cukupkan puasa sebulan. Masya Allah. Sekolah macam biasa. Abi hari ke-14 di Bintulu. Hari ni juga buka gelang kuarantin. Tapi masih menunggu hari untuk ke laut. Masih panjang penantian kita. Moga Allah anugerahkan kesabaran dan pertemuan yang manis. Insya Allah. 





11 Ramadan 1442 H

Hari last sekolah untuk minggu ni. Lakukan rutin harian seperti biasa juga. Hari ke-15 abi di Bintulu dan entah untuk berapa lama lagi. Balik sekolah, semua dah start dengan game dan gadget (mood cuti sekolah). Petang hari sama-sama ambil Mussaab di sekolah dan singgah beli chicken chop untuk Mussaab (sebab dia tak makan nasi arab yang ummi masak untuk menu berbuka). Berbuka sama-sama, solat dan lipat kain baju (cuti baca Quran malam ni). Kemudian tidur dengan lenanya. Alhamdulillah





12 Ramadan 1442H

Weekend. Bangun sahur, solat subuh dan terus dengan aktiviti (game) masing-masing. Miqdad ke Library Semenyih bersama teacher Zeeda sehingga jam 12, Anas dan Mussaab habiskan masa dengan game dan tv saja. Ummi juga tak larat nak pantau dan suruh buat kerja lain.  Hari ni rasa nak rehat (walaupun ada kerja wajib yang tak boleh ditinggalkan). Ummi tak masak, cari makanan di bazar dekat econsave untuk hidangan berbuka. Mussaab agak lemah hari ni. Masuk waktu berbuka hanya makan sedikit. Muntah dan tak berdaya. Lepas makan terus tidur. Mungkin esok tak puasa. Miqdad pula dah start selesema dan jari pula terkepit di pintu. Riuh rendah dengan tangisan. Alhamdillah Suri baik-baik je. Melepasi cabaran hari ini, bersedia mendepani hari esok. Moga kan lebih baik, insya Allah.





13 Ramadan 1442H

Masih berhujung minggu. Mussaab tak puasa hari ni, sengaja ummi tak kejut sahur sebab semalam sangat lemah dan makan sedikit saja waktu berbuka. Anas terus berpuasa seperti biasa. Hanya aktiviti sendiri di rumah. Banyak main game, dan buat aktiviti dalam work book sikit. Pagi bawa ke petang, hanya dengan aktiviti sendiri (Hafiz datang main kat rumah). Petang teman ummi beli barang dapur di kedai Aceh. Berbuka bersama dan naik ke atas. Solat dan baca Quran, lepas tu mewarna sekejap dan tidur. 





14 Ramadan 1442H

Kembali bersekolah dan berpagian meninggalkan rumah. Pagi hinggalah ke petang, bergiliran menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Agak kepenatan hari ni. Rasa nak rehat dan tidur saja. Namun ada tanggungjawab yang perlu digalas. Masak untuk berbuka pun dah lewat petang, ngam-ngam dekat waktu berbuka siap dihidang semua. Oh ya, Mussaab tak puasa lagi hari ni. Entahla, tak tahan haus. Moga esok akan kembali berpuasa. Alhamdulillah Anas masih bertahan. Moga dapat puasa penuh sebulan seperti tahun lepas. Insya Allah. Syukur, semua dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah. Alhamdulillah- hari ke-18 abi di Bintulu. Masih belum turun ke laut. Moga dipermudahkan urusan abi. Rindu sangat!





15 Ramadan 1442H

Separuh Ramadan berlalu. Alhamdulillah. Anas berpuasa penuh. Mussaab pula 2 hari tak cukup puasanya. It’s ok. Mussaab dah cuba yang terbaik. Hari ini dilalui dengan baik. Alhamdulillah. Hari ke-15 puasa, abi belanja nasi lemak McD. Alhamdulillah. Sempat video call untuk kesekian kali, sebelum esok hari, abi akan ke laut dan bertugas setelah melalui panjangnya tempoh berkuarantin. Semoga esok juga kan baik-baik saja. Dipermudahkan olehNya untuk meneruskan hari. Melalui Ramadan ini dengan cemerlang, insya Allah. 

Monday 26 April 2021 0 comments By: Naemah

SUAMIKU.. BIARPUN JAUH



19 hari suamiku di Bintulu. Fuh.. melalui hari-hari yang penuh liku di bulan yang penuh mulia ini. Sedar tak sedar, dah mendekati 3 minggu berjauhan dengannya.


Bukan tak biasa berpisah. Bukan tak pernah dia pergi lama (atau mungkin ini yang paling lama), lebih-lebih lagi sejak diuji dengan pendemik. Semakin sukar untuk punya masa berkumpul dan bersama. Kerana tanggungjawab mencari rezeki (dengan pekerjaannya yang seperti itu), maka akurlah kami pada takdirNya. Biar pahit untuk ditelan, namun sangka baik pada Allah sentiasa. Yang manis dan indah sedang menanti di depan hari.


Tak mudah perjalanan kali ini. Menempuh pengalaman yang berbeza lagi. Tahun ni 3 anak bersekolah, 4 buah sekolah, pengangkutan sendiri, dengan seorang lagi anak kecil yang perlukan perhatian, di bulan puasa pula, bila seorang diri perlu uruskan semua dari awal pagi sampai ke malam hari.. Ya Allah, memang tak ada kekuatan melainkan dariMu. Alhamdulillah aku dapat lalui semua ni dengan pertolongan Allah.


Suamiku walaupun jauh, aku percaya dia sentiasa mendoakan. Aku tahu dia pun tak ingin begini. Dia juga kesian, hanya berkurung di hotel tak jumpa sesiapa (begitulah setiap kali berkuarantin). Bersahur dan berbuka sendiri, sudah tentu dia rindukan keriuhan suara anak-anak di rumah.


Suamiku, walaupun jauh banyak guide aku time aku susah dan tak ada siapa nak mengadu. Nak jadi cerita, 2 hari sebelum dia berangkat pergi, mesin basuh buat hal. Sempat dia baiki, kalau tak susah juga aku nak fikirkan cara nak basuh baju yang bertimbun setiap hari. Baru-baru ni kereta viva buat hal (nyaris mati di tengah jalan dalam kesesakan jalan raya), suami suruh aku hantar ke bengkel untuk baiki. Dia guide aku pasangkan bateri kereta yang satu lagi (kereta ni kalau lama tak hidupkan pun bermasalah juga). Alhamdulillah urusan pengangkutan sekolah anak-anak hari tu settle.


Bab isi minyak kereta pula, bayangkan ulang alik hantar dan ambil anak sekolah, dalam tempoh seminggu minyak dah hampir kering. Dan aku pula tak ada pengalaman isi minyak kereta sendiri. Punyalah risau macam mana nak isi semua. Suami aku juga yang guide di samping aku tengok youtube. Macam susah sangatlah kan? Nak buat macam mana, first time kan? Sebelum ni tak pernah pun sempat habis minyak kereta bila dia balik. Ini dah dua kali aku perlu isi minyak kereta. Kali ke-2, dah tak ada masalah. Hal kecik je! 


Hari ni pula. Lampu di dapur padam tiba-tiba. Suami guide juga, sampai akhirnya lampu menyala. Alhamdulillah. Ini juga pengalaman pertama kali.


Berbalik pada kisah lama di mana aku takut nak memandu, tapi 2017 permulaan segalanya bila Anas masuk sekolah, aku perlu hantar dia time suami tak ada di rumah. Dari takut dah berani, dan hari ni semakin yakin berada di jalan raya walaupun skill memandu masih tak seberapa. 


Kesimpulannya, beginilah kehidupan. Tak diuji kita, jika kita tak mampu. Yang pertama kali itulah yang memberi pengalaman berharga sehingga kita mampu menjadi ‘lebih baik’ dari yang sebelum ini. Allah ‘menekan’ kita bukan kerana menzalimi, tapi untuk kita ‘upgrade’ diri jadi yang lebih baik, lebih kental, dan yang penting lebih merasakan Dia sangat dekat dengan kita. Iyalah, di saat tak ada sesiapa untuk berpaut, kita masih punya DIA yang tak pernah pergi meninggalkan kita. Tiap kali berdepan dengan kesulitan, pasti DIA tunjukkan jalan keluar dengan pelbagai cara. Cukup kita serahkan hati dan tawakkal padaNYa, takkan pernah DIA kecewakan kita.


Dan suamiku, aku tetap bersyukur walaupun dirimu jauh. Aku percaya restu dan doamu sentiasa mengiringi langkah dan perjalanan yang mencabar ini. Aku bersyukur kau setia mendengar, kau berusaha untuk bantu dan bimbing setiap kali aku dalam kesulitan. Walau dalam kemampuanmu yang terbatas juga. Tak apa, Allah ada. 


Suamiku, biarpun jauh, masih lagi kita dapat berhubung dan bertanya khabar. Hari-hari masih dapat video call sebelum dia ke laut. Masih boleh sembang dengan anak-anak, menasihati apa yang perlu. 


Dan sekurang-kurangnya aku, biar dalam penatnya fizikal, tercabarnya emosi, lelahnya mental, menempuh hari-hari yang menguji ini, aku masih punya suami yang bertanggungjawab mencari rezeki biarpun terpaksa menempuh perpisahan yang panjang. Alhamdulillah Allah berikan kecukupan rezeki, makan pakai cukup semua. Alhamdulillah. 


Dan ingat, orang lain diuji lebih lagi.


Maka untuk apa lagi aku mengeluh pada takdirNya? Segalanya cukup! Ujian itu sekadar sampingan untuk menguji iman, bahkan untuk menjadikan diri bertambah baik dari diri yang sebelumnya (bukan lebih baik dari orang lain). 


Aku redha pada ujianMu ya Allah.





Monday 12 April 2021 0 comments By: Naemah

SALAM RAMADAN 1442H


Kisah semalam

Hari terakhir sebelum menjelangnya Ramadan, aku meneruskan rutin seperti biasa tanpa suami di sisi (yang sedang berkuarantin di Bintulu hari ke-4). Anak-anak bersekolah seperti biasa. Pagi menghantar ketiganya ke sekolah masing-masing ‘satu jalan’. Hantar dan ambil beberapa trip, cuaca juga sangat panas hari ni, jalan raya pun sesak macam biasa, agak kepenatan kelesuan jugalah.


Petang hari , trip terakhir sekitar jam 6 petang, ambil Mussaab di SKKR. Dalam masa yang sama masak sambal nasi lemak untuk hidangan sahur esok harinya-tinggal sekejap minta Anas tengokkan sambal di atas dapur. Jalan pula jem, cari kedai makan untuk beli makan malam, tapi semua kedai tutup awal hari ni. Maklumlah, esok dah nak puasa. Baliklah masak burger untuk anak-anak untuk makan malam. Ngam-ngam Maghrib selesai urusan kat bawah (rumah masih bersepah).


Naik atas tunaikan tanggungjawab (solat) seperti biasa. Anak-anak melafaz niat puasa bersama abi (melalui video call). Cuba memberi semangat pada anak-anak untuk melaksanakan puasa sebaiknya, dan memberi harapan agar semua boleh berusaha jadi yang lebih baik di bulan penuh kemuliaan ini. 


Solat terawih, dan tidurkan semua. Anas dan Mussaab tidur di bawah di ruang tamu (untuk mudahkan kejut sahur esoknya). Miqdad paling lambat tidur sebab siang tadi dah tidur. Sempat video call dengan abi sekali lagi. Abi bertanyakan khabar semua. First time tanpa abi menyambut hari pertama Ramadan. Abi pesan berkali kunci jam semua (risau dia ummi tak bangun :b)


Begitulah hari berlalu, sebelum menjelangnya Ramadan yang dinanti. Agak kelam kabut dengan rutin, dalam masa yang sama berusaha untuk buat persediaan secukupnya untuk menyambut Ramadan, tetamu yang sangat istimewa. Untuk anak-anak cuba untuk hidupkan ‘jiwa ramadan’, bukan semata untuk puasa menahan lapar dan dahaga. Cuba sekadar yang termampu atas keterbatasan masa dan ilmu juga.


Sahur hari pertama selesai sudah. Anak-anak agak kurang berselera (biasalah hari pertama). Nasi lemak dijamah sikit sorang, padahal mereka yang memilih menu nasi lemak untuk sahur mereka. Tak mengapalah, semoga anak-anak diberi kekuatan untuk sempurnakan puasa hari ni. (Walaupun dah terngiang dialog-dialog yang ‘mungkin’ akan didengar di hari pertama ni).


Pada Allah jua ku berserah. Moga hari pertama Ramadan ini akan dilalui cemerlang. Insya Allah.


Selamat berpuasa buat semua.

Moga keberkatan Ramadan akan menghadirkan limpahan rahmat dan kasih sayang Allah dalam seluruh kehidupan kita. Insya Allah.





Friday 9 April 2021 0 comments By: Naemah

RAMADAN TAHUN INI




3 hari lagi bakal menyambut Ramadan. Alhamdulillah sudah bersedia fizikal dan mental nak menempuh Ramadan ini bersama anak-anak. Anas dan Mussaab juga menghitung hari, ingin mengulangi episod puasa mereka seperti tahun lepas.


Namun apa yang berbeza, Ramadan kali ini akan disambut tanpa suami di sisi. Terimbas kenangan puasa tahun lepas (2020) walaupun PKP dan tak boleh balik kampung dan ke mana-mana, suami ada bersama selama 30 hari berpuasq. Memang satu rahmat yang besar sebab first time dia dapat puasa dengan family sebulan genap (walaupun sebenarnya kerja dia tak terikat dengan PKP). Dan bila dia ada, sudah tentu beban kerjaku banyak yang ringan. Hampir setiap hari dia masak, dan uruskan yang lain-lain. 


Tapi nampaknya tahun ni tak serupa. Awal Ramadan sudah berjauhan. Kuarantin di Bintulu sebelum bekerja, dan entah bila akan kembali ke pangkuan. Raya, entah dapat bersama atau tidak. Hanya mampu berdoa, moga apapun takdirNya, kita tetap mengharapkan sinar pada Ramadan dan Syawal ini. Insya Allah. Aturan Allah sudah tentunya yang terbaik.


Bezanya juga kali ini, anak-anak juga bersekolah seperti biasa pada Ramadan ini. Tak seperti tahun lepas, sekolah ditutup kerana pandemik covid-19. Anak-anak hanya berada di rumah sahaja. Tahun ni oleh sebab suami juga tak ada, akulah yang akan memikul tanggungjawab dalam menguruskan anak-anak sekolah. Banyak trip pula tu- 3 anak, 4 buah sekolah. Insya Allah akan dipermudahkan jua.


Ramadan dinanti penuh rasa teruja. Mengharapkan keberkatan dan yang baik-baik sahaja untuk Ramadan kali ini. Mungkin tak boleh balik kampung, tiada kepastian suami akan ada bersama atau tidak di hari raya nanti. Pada Allah jualah aku pasrahkan rasa. Mengharapkan redhaNya, mengharapkan sinarNya, mengharapkan ampunNya, mengharapkan tenang dan bahagia pada tiap ketentuanNya.


Ya, tahun kedua meraikan Ramadan bersama ‘covid’ yang masih belum lenyap dari bumi Allah ini. Mudah-mudahan Ramadan yang akan datang kan lebih baik. 


Ramadan. Kami sedang menantimu.

Saturday 3 April 2021 0 comments By: Naemah

AKU DAN PENA





Catatan dari instagram: Aku dan Pena
.
Sekolah rendah- aku berjaya siapkan satu novel kanak-kanak (ala-ala cerita bawang putih bawang merah gitu). Entah ke mana hilangnya dah buku tu.

Aku juga punya diari dengan ‘bahasa rahsia’ yang aku cipta sendiri dan hanya aku seorang yang faham. Entah ke mana sudah buku tu. kalau baca balik tentu tak faham dah.

Sekolah menengah- aku sertai banyak peraduan (termasuk menulis) dan pernah menang hadiah termasuk wang tunai (tak banyak sangatlah, sesuai umur dan bentuk peraduan tu). Hampir semua peraduan aku pakai nama anak saudara (agak2 mereka tahu ke tak ye). 

Aku pernah ada beberapa sahabat pena 
termasuk seorang dari Brunei, Tak kira jantina (bukan niat nak bercinta sekadar suka menulis). Tapi satu kejadian yang tak dapat dilupakan, abang pernah jumpa segala surat dan menasihati penuh hikmah sampai aku menangis teruk, dan selepas itu tiada lagi ‘sahabat di surat’.
.

Tingkatan 5- aku hasilkan beberapa novel (novel cinta oooii) sampai akhirnya kena rampas oleh pihak sekolah sebab ia sampai ke banyak tangan (lupa macam mana boleh dapat ke tangan cikgu disiplin). Tak lupa nasihat Cikgu Nasir (guru sains yang sangat baik sebenarnya): dia puji aku pandai menulis tapi dia nasihatkan aku untuk hasilkan penulisan yang lebih baik (berunsur dakwah gitu). Dan novel-novel aku tak dikembalikan (aku pun dah lupa kisah cinta apa yang aku dah khayalkan sebenarnya?)

Matrikulasi- laptop jadi medium untuk aku menulis. Berjela-jela aku menulis segala yang terdetik di hati. Ada yang masih tersimpan, ada yang entah tak tahu save di mana atau sudah hilang semua. Tak mengapa. 

Main campus UIA- aku hasilkan blog pertama. Menulis sekadar suka-suka. Ada penulisan sendiri, banyak yang copy paste penulisan orang (salah sebenarnya sebab tak bagi kredit pada tuan empunya). 

Dah berkahwin dan mempunyai anak- dah ada 4 buah blog, tapi hanya satu yang masih ‘hidup’ sampai ke hari ni. Yang lain-lain masih wujud cuma tak ada update terbaru. 

Now, menulis di blog (dan instagram), itu adalah satu bentuk terapi untuk jiwa sendiri. Orang lain punya kepetahan untuk berkata-kata, sebaliknya aku lebih selesa menulis sebagai bicara rasa.

Itulah.. serba ‘ringkas’ tentang ‘aku dan pena’.

CERPEN: CINTA KHAYALAN ZULAIKHA




Zulaikha tekun menghadap laptop sejak sejam yang lalu. Selesai sudah assignment yang ditugaskan untuknya. Terasa lega setelah tugasan yang susah itu mampu diselesaikan dengan baik. Hanya tinggal untuk diprint dan dihantar kepada pensyarahnya.

Zulaikha membuka emelnya. Ada senyuman terukir sebaik melihat nama pengirim emel yang baru diterimanya hampir sejam yang lalu. Ia juga satu satunya emel yang dinanti saban hari. Terus dia membuka dan membaca emel tersebut.

" Assalamualaikum..ke hadapan gadisku Zulaikha yang sangat abang rindui. Semoga sihat-sihat sentiasa hendaknya di dalam rahmat Ilahi.
Terima kasih di atas kiriman emel. Abang pun rindukan Zulaikha juga. Tapi nak buat macamana, abang sekarang tengah sibuk dengan exam. Tak boleh nak balas segera emel Ika. Maafkan abang ya sayang? 
Ika tengah buat apa sekarang? Dah makan ke? Study ok? Abang doakan segalanya baik. Abang rindu nak balik Malaysia, dan rindu nak jumpa Zulaikha yang abang cintai.

Terima kasih ya, di atas doa ika. Abang dah cuba buat yang terbaik untuk exam abang. Semoga abang lulus dengan cemerlang. Teruskan doa untuk abang ya. Ini semester terakhir abang. Tak sabar sabar nak balik jumpa mama, papa, family dan kekasih hati abang yang sangat abang rindu ni.

Oklah sayang, sampai di sini dulu dari abang ya. Abang online ni pun kat cc je. Singgah kejap lepas habis paper tadi. Now nak ke cafe, nak makan. Lapar sangat. Tahan dulu coz nak reply emel buah hati abang ni. Hehe..

Ada masa nanti abang hantar emel lagi ye. Take care sayang. Assalamualaikum.."

Zulaikha membaca isi emel dari awal hingga akhir. Bibirnya tak lekang dari senyuman. Hati berbunga ria. Emel yang sudah beberapa hari dinantinya. Selagi belum mendapat reply dari si buah hati, selagi itu hatinya bermuram dan kecewa. Kini tidak lagi. Semangatnya seperti ditiup kembali. Hatinya benar benar diulit bahagia.

Ryan, hadir dalam hidupnya sejak 6 bulan yang lalu. Mereka bertemu di alam maya, berkenalan dan akhirnya bercinta. Hakikatnya sehingga kini, dia dan Ryan tak pernah sekali pun bersua muka. Hanya berbalas emel. Lelaki itu sekadar memperkenalkan diri sebagai Ryan, menyatakan dia kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perundangan di peringkat master di university of Cairo, Mesir. 4 tahun lebih tua darinya. Zulaikha mempercayainya, dan buat pertama kali dalam hidupnya menerima salam perkenalan dari seorang lelaki.

Pada mulanya mereka hanya bersembang biasa, berbalas chatting dan berkenalan. Lama kelamaan perhubungan di alam maya itu menjadi lebih intim dan mesra. Zulaikha menyenangi sikap dan cara Ryan dalam mengambil hatinya. Penuh jenaka dan menghiburkan. Tambahan pula, Ryan banyak menasihatinya tentang banyak perkara. Dia pula tak teragak untuk menceritakan masalah dan mengadu pada Ryan. Ryan melayaninya dengan baik dan penuh hormat. Sesuatu yang tak pernah dia rasa sebelum ini. Segera tangannya menaip laju membalas segera emel yang baru diterimanya. Hatinya bahagia diulit cinta dan rindu.

..........

Zulaikha teringatkan zaman kecilnya yang telah berlalu. Zaman kecil dan remaja yang tak seindah insan lain. Ibu dan ayahnya bercerai sejak dia masih kecil. Ketika itu baru berusia 5 tahun. Masih terlalu kecil untuk mengerti. Dia hanya tinggal bersama ibunya. Ayahnya hilang entah ke mana. Langsung tidak bertanyakan khabarnya.

Dia membesar dengan kehadiran seorang ibu saja. Ibunya yang bekerja keras menyara kehidupannya. Dari kecil, hingga bersekolah dan sehingga masuk ke universiti, segalanya hasil dari penat lelah ibunya. Dia yang dulu tidak mengerti kepentingan seorang ayah, akhirnya sedikit demi sedikit merasakan kekurangan dan kesunyian tanpa kehadiran seorang lelaki bernama ayah. Dia cemburu melihat kawan kawan bercerita tentang ayah, melihat mereka bermanja dan bermesra dengan ayah, hatinya terusik. Dia mahu seperti mereka juga. Tapi di mana ayah...

Dia membesar sebagai seorang anak dan gadis yang kesunyian. Ibunya juga hampir tiada masa untuknya dek sibuk bekerja mencari rezeki. Dia tak pernah menyalahkan ibunya. Sedikit pun tidak. Ibunya terlalu banyak berkorban untuknya.

Di sekolah juga dia tiada kawan lelaki, malah tidak pernah ada teman lelaki. Dia rasa rendah diri. Dia bukan gadis yang cantik. Pakaian pula sering tak terurus dan jarang bergosok. Siapa yang sudi nak menjadikan dia teman? Hadir juga rasa cemburu, melihat kawan ramai yang berteman. Dia cuba membandingkan dirinya dengan mereka. Jauh berbeza.

Masuk ke universiti, dia perlahan lahan cuba mengubah penampilan diri. Malu dan segan melihat orang lain cantik dan kemas berpakaian. Pandai menjaga penampilan dan menata wajah. Zulaikha rasa rendah diri. Dia mahu menjadi seperti mereka juga. 

Roommate nya, Adila, Syahira dan Syuhada semuanya berasal dari bandar. Mereka cantik, banyak cakap dan ada keyakinan diri. Membuatkan Zulaikha rasa dia serba kekurangan. Namun mereka baik, dan mereka banyak membantu Zulaikha untuk tampil lebih baik dan yakin. Mereka tak memandang Zulaikha sebagai budak kampung yang kurang serba serbi. Zulaikha bersyukur ditakdirkan menjadi teman sebilik mereka. Di antara mereka, Zulaikha lebih rapat dengan Syuhada yang padanya lebih simple dan humble.

Perkenalan Zulaikha dengan Ryan diketahui Syuhada. Dia sering bercerita pada Syuhada, dan Syuhada juga sering bertanya tentang perkembangan hubungan mereka. Malah sering juga Syuhada mengingatkan dirinya agar lebih berhati hati dalam menjalinkan cinta. Tambahan pula, dia tak pernah kenal siapa lelaki itu. Zulaikha hanya mengiakan, namun jauh di sudut hati dia benar benar meletakkan kepercayaan pada Ryan. Dan dia merasakan hatinya sangat mencintai Ryan. Tiada apa yang nak diragukan tentang Ryan. Begitu kuat dan dalam cintanya pada lelaki itu.

..........

"Assalamualaikum abang.. Semoga abang sihat dan baik saja di sana. Bagaimana dengan exam abang? Dapat jawab dengan baik ke? Alhamdulillah.. Nampaknya abang dah hampir nak menamatkan pengajian master abang. Ika tumpang gembira dan bahagia untuk abang. Bermakna, tidak lama lagi abang akan pulang ke tanah air. Tak sabar Ika nak menunggu saat itu. Tapi.. Ika malu dan segan nak jumpa dengan abang. Ika ni siapalah berbanding abang dan keluarga abang. Ika tak cantik, keluarga ika tak sempurna. Abang berbeza... Dari keluarga yang ada nama dan berharta. Ika jadi takut untuk bertemu dengan abang. Lebih takut untuk berhadapan dengan keluarga abang. Bimbang hati abang berubah, bimbang penerimaan keluarga abang...

Abang, tak lama lagi Ika juga akan berhadapan dengan final exam. Ika juga akan menamatkan pengajian di peringkat ijazah tidak lama lagi. Alhamdulillah, berjaya juga Ika sampai hingga ke peringkat ini. Terima kasih atas nasihat dan dorongan abang selama ini. Ika tambah bersemangat untuk belajar selepas abang hadir dalam hidup ika.
Tak lama lagi, abang juga akan pulang ke tanah air kan?? Hmm... Tak tahu nak gambarkan apa yang Ika rasakan. Happy, of course. Tak lama lagi akan bersua dengan abang yang Ika cintai. Tapi... Dalam masa yang sama Ika takut. Bagaimana jika hati abang berubah selepas bertemu Ika, dan bagaimana penerimaan family abang pada Ika. Ika takut dan nak menangis memikirkan semua itu abang...

Zulaikha berhenti sejenak. Jemarinya tidak lagi laju dan lancar menaip. Entah kenapa, hatinya terasa sayu. Dalam tidak sabar menanti kepulangan Ryan untuk bertemu dengannya, dia juga sangat takut bagaimana nanti reaksi Ryan selepas bertemu dengannya. Apakah Ryan akan menerima dirinya dan mengotakan segala janjinya? Hatinya tiba-tiba menjadi sangsi. Keikhlasan Ryan dipersoalkan. Apakah selama ini lelaki itu benar-benar mencintainya? 

Jika benar, dia tahu saatnya makin tiba. Saat debaran bertemu buat pertama kali dengan insan yang dicinta. Debaran menanti ke mana hala tuju cinta ini. Debaran untuk berhadapan dengan kenyataan bagaimana penerimaan keluarga Ryan terhadap dirinya.

..........

Zulaikha kini di minggu-minggu terakhir pengajiannya. Dia bakal berhadapan dengan exam terakhirnya tidak lama lagi. Dia cuba fokus mengulangkaji pelajarannya. Dia sentiasa ingat pada pesanan Ryan yang sering menjadi pendorongnya agar lebih cemerlang dalam pelajaran. 

Dan kini juga, sudah 2 minggu dia tidak menerima sebarang khabar dari Ryan. Ryan sudah tamat exam di sana, namun Zulaikha masih tertanya-tanya bilakah Ryan akan pulang ke tanah air. Sudah dia tanyakan di emel terakhirnya, namun masih belum ada jawapan. Dalam cuba bersabar dan bertenang, hatinya tak lepas dari rasa gelisah. Dia sangat merindui Ryan. Tidak pernah emelnya tak berbalas sebegini lama. Mungkin Ryan tak mahu mengganggu dirinya yang sedang exam. Dia meneka sendiri, cuba sedapkan hati. Dia juga tidak mahu terlalu memikirkan. Dia perlu fokus mengulangkaji.

..........

2 minggu, 3 minggu, sebulan, 2 bulan, dan kini sudah 6 bulan berlalu. Alam universiti sudah Zulaikha tinggalkan. Tamat pengajian dengan keputusan yang sangat cemerlang. Kini menanti pula untuk menyambung pengajian di peringkat master atas restu dan dorongan ibunya yang telah banyak berkorban.

Namun, sehingga hari ini hatinya sepi dari khabar Ryan, kekasih hati yang dinantinya selama ini. Selepas final exam tempoh hari, segera dia menghantar emel kepada Ryan menyatakan kelegaan hatinya dan rasa tidak sabar menanti kepulangan Ryan. 

Selang sehari, dia menghantar emel lagi, dan lagi. Hingga akhirnya dia terasa sangat penat dan pedih. Emelnya, tiada satu pun yang berbalas. Allah saja yang tahu bagaimana sakit hatinya. Sakit menahan rindu. Sakit menanggung cinta yang tiada kepastian. Jika sebelum ini dia hanya bersangka baik, lama kelamaan dia rebah dalam tangisan. Tiada lagi sangka baik buat insan yang bernama Ryan.

Dia menangis semahunya. Terasa bodohnya diri selama ini. Terasa seperti dipermainkan. Terasa diri bertepuk sebelah tangan. Menaruh cinta dan harapan pada insan yang entah wujud, entahkan tidak. Kononnya student master di Cairo, kononnya anak orang ternama, menasihati itu dan ini, manis mengayat cinta dan memberi harapan...ALLAH... terasa seperti ada batu besar menghempap ke kepalanya. Setelah hanyut, kini baru nak sedar??

..........

Saban hari, air mata tumpah menanggung kesakitan hati dan keresahan jiwa. Zulaikha tak mampu berbuat apa. Hanya mampu mengadu pada Dia yang Maha Kuasa. Meskipun begitu, Zulaikha masih bijak menyembunyikan kesedihan hatinya dari pengetahuan ibunya. Sepertimana selama ini dia banyak berahsia dan tidak mengadu kesusahan yang dialaminya pada ibunya, begitu juga hal kesedihan hatinya ini. Dia tak akan membuatkan ibunya turut bersedih. Cukuplah kesengsaraan yang dilalui ibunya selama ini. 

Malahan dia merasa berdosa pada ibunya. Dan lebih berdosa pada Tuhan. Dia tak sepatutnya hanyut dengn cinta. Cinta manusia yang belum terikat dengan ikatan yang halal. Dia sedar selama ini hidupnya hanyut dengan khayalan dan fantasi indah yang hakikatnya hanya permainan syaitan yang mengaburi mata dan hatinya. Zulaikha malu pada Tuhan. Malu pada diri sendiri. Malah malu pada ibu dan teman-teman meski mereka tidak pernah tahu. 

Bagai sekelip mata, impian terasa sudah musnah. Impian untuk bahagia bersama yang tercinta. Kerana selama ini dia merasakan hidupnya kosong dan terlalu sunyi. Hanya ada ibu, tiada siapa yang pernah peduli. Hadirnya Ryan bersama cinta dan kata manis, benar-benar membuatkan harinya selepas itu berwarna indah. 

Dan kini kembali suram, malah terlalu sakit di jiwa. Amat mengambil masa untuk kembali pulih. Zulaikha bertaubat pada Allah menyedari dosanya selama ini. Dia sedar dia sudah melampaui batasan agama, dengan menjalin cinta dan hanyut dalam khayalan cinta. Tak jemu dia berdoa, agar hatinya terubat dan kembali tenang. Dia berdoa bersama tangisan yang panjang. Tanda penyesalan dan pengharapan.

Alhamdulillah, rasa kusut dan sengsara di hati beransur pergi. Perlahan-lahan dia dapat melupakan Ryan. 

..........

Seminggu lagi Zulaikha akan kembali ke alam kampus, menyambung pengajian dan terus mengejar cita-citanya. Kisah cinta semalam sudah dia lupakan. Hatinya kembali tenang beroleh kedamaian. Pengalaman lalu banyak mengajarnya erti sabar dan tabah. Usah terlalu berharap pada cinta manusia.

Sejak menamatkan pengajian di peringkat ijazah, dan sementara menanti pendaftaran masternya, Zulaikha banyak melibatkan diri sebagai sukarelawan, melakukan aktiviti amal di luar. Dia tidak mahu masanya berlalu tanpa berbuat apa. Malah dia juga bimbang, jika dia tidak sibukkan dirinya dengan aktiviti di luar, dia akan kembali memikirkan perkara yang memberi duka pada hatinya. Kerana dia memilih untuk melupakan, maka dia perlu berusaha untuk benar-benar melupakan. Hatinya juga lebih tenang dengan melakukan aktiviti kebajikan seperti ini.

Ini adalah penyertaan terakhirnya sebagai sukarelawan, kerana selepas ini dia akan disibukkan pula dengan urusan pengajian. 

Tugasan kali ini bertempat di rumah anak yatim. Para sukarelawan diminta bergotong-royong membersihkan seluruh kawasan rumah anak yatim dan menyediakan hidangan untuk anak-anak yatim di sini. Zulaikha diberi tugasan menjaga kaunter pendaftaran. Dia mengambil nama para sukarelawan yang terlibat dalam program yang dianjurkan. 

Agak ramai juga yang mendaftarkan diri sebagai sukarelawan kali ini. Kebanyakan mereka adalah pelajar  universiti yang sedang bercuti. Alhamdulillah, mereka memilih untuk terlibat dalam kerja amal. Bukan semua orang diberi kesedaran seperti mereka. Masih ramai yang memilih untuk menghabiskan masa di rumah sahaja. Ya, itu pilihan masing-masing yang dirasakan terbaik.

“Boleh beri saya ic?”
Zulaikha meminta dari pendaftar seterusnya. Lelaki itu menghulurkan padanya. Zulaikha memandang wajahnya sekilas. Lelaki itu juga.

Tanpa membuang masa, Zulaikha mencatat nama dan maklumat yang diperlukan. 

“Putera Rayyan bin Ahmad Nasaie”
Zulaikha membaca nama yang tertera ic. Hanya membaca di dalam hati. Selesai menulis maklumat yang diperlukan, dia menyerahkan kembali ic tersebut kepada tuannya. Lelaki itu memandang wajahnya, sekilas memberi senyuman. Zulaikha membalas acuh tak acuh. Hatinya sedikit bergetar, namun dia segera mengalih pandangan, tidak melayan getaran di hati yang pada anggapannya hanya mainan syaitan.

Lelaki itu beredar meninggalkan kaunter. Memberi giliran kepada sukarelawan yang lain pula untuk mendaftarkan diri. Zulaikha fokus pada tugasannya.

............................

Setiap sukarelawan menjalankan tugasan masing-masing sebagaimana yang telah ditetapkan. Zulaikha dari tadi banyak menolong kerja kebersihan di kawasan rumah anak yatim tersebut. Kini masa untuk mereka berehat dan mengisi perut yang sudah kelaparan. Mereka menjamu selera bersama anak-anak yatim di situ. 

Di satu sudut, Putera Rayyan yang pertama kali terlibat dalam aktiviti sukarelawan itu tidak lepas-lepas memandang dan memerhati tiap gerak dan langkah Zulaikha yang lincah membuat kerja. Terasa ingin mendekati gadis itu dan membisikkan sesuatu padanya.

Dia Putera Rayyan, atau pernah dikenali Zulaikha sebagai Ryan. Dia kekasih hati Zulaikha yang tidak pernah bersua muka dan tak pernah didengar suaranya. Dia yang dicintai Zulaikha sepenuh hati tanpa syarat. Rayyan menyedari hakikat itu. Dan hatinya diulit sayu dan rasa berdosa yang belum berkesudahan.

......................

Maklumat diri yang diberikan pada Zulaikha suatu ketika dulu semuanya benar belaka. Dia pelajar master tahun akhir di Cairo University, menunggu masa untuk tamatkan pengajian dan balik ke Malaysia. Yang tidak benar adalah tentang cintanya. Mana mungkin dia jatuh cinta pada gadis yang belum pernah dia jumpa dan kenal. Pada mulanya dia hanya mahu seronok bermain dan berkenalan. Seperti yang dia pernah lakukan sebelum ini dengan perempuan lain. 

Tapi lain jadinya dengan Zulaikha. Dia tak menyangka gadis itu benar-benar mencintainya. Hairannya, gadis itu menolak bila dia minta untuk bercakap melalui telefon. Enggan pula bertukar gambar. Tapi boleh pula meluahkan cinta pada insan yang tidak dikenali. Rayyan membalas seakan dia juga cinta. Dia membaca setiap coretan cerita dan luahan gadis itu dari bab belajar, keluarga, dan segala harapan dan cita-citanya. Dia dapat menduga bahawa gadis itu benar-benar kesunyian. Dia jatuh simpati. Dia ingin menjelaskan hal yang sebenar, tetapi makin lama makin tidak sampai hati. Bila menyedari gadis itu benar-benar mencintainya.

Rayyan bertekad untuk menyatakan hal sebenar selepas Zulaikha menamatkan exam akhirnya. Jika dijelaskan lebih awal, dia bimbang akan memberi kesan pada emosi Zulaikha yang akan berhdapan dengan exam pentingnya. Maka emel terakhirnya, dia hanya memberi semangat kepada Zulaikha untuk membuat yang terbaik dalam examnya. Ya, itulah yang terakhir. 

......................

Takdir Allah tiada siapa yang menduga. Ketika di dalam perjalanan ke airport, untuk penerbangan balik ke Malaysia, Rayyan terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga menyebabkan dia koma selama 4 bulan. Maka dalam tempoh itu jugalah dia sepi dari sebarang khabar. Dalam tempoh itu juga Zulaikha menanti dalam kesakitan yang tiada ubatnya. Hingga akhirnya Zulaikha menyerah kalah, kembali ke alam nyata, bahawa dia tak perlukan cinta manusia yang padanya penuh tipu daya.

Sebaik terjaga dari tidur yang panjang, Rayyan hanya terbayangkan Zulaikha. Rasa berdosa yang menggunung, yang tak mampu dia luahkan. Air mata lelakinya mengalir. Betapa selama ini dia mempermainkan perasaan suci seorang gadis yang benar-benar mengharapkan kehadirannya. 

Sebaik pulang ke tanah air, dia cuba menjejak Zulaikha. Emel Zulaikha yang tersusun dibaca satu persatu. Hingga emel terakhir, di mana dia sedar bahawa Zulaikha telah berhenti berharap padanya, selepas penantian yang panjang. Sekali lagi Rayyan menangis. Hatinya kuat ingin mencari Zulaikha. Jika dapat memohon kemaafan, itu barangkali sudah cukup.

Atas pelbagai usaha, akhirnya dia dapat menjejak di mana Zulaikha. Dan akhirnya di rumah anak yatim ini mereka dipertemukan, tanpa pengetahuan Zulaikha bahawa dia adalah insan yang pernah diharapkan dan dicintai sepenuh hati.

............................

Kerlingan mata Rayyan tepat ke wajah suci Zulaikha. Hatinya berdebar lagi. Bagai dipanah cinta pandang pertama. Kata Zulaikha dia tidak cantik. Tetapi matanya kini seperti melihat bidadari yang sangat anggun dan tenang wajahnya. 

Rayyan tidak pasti bagaimana untuk mendekati. Tetapi dia tetap mahu mencuba. Rayyan tidak pasti, apakah Zulaikha kini sudah ada yang berpunya. Jika belum, dia harap dia tidak akan terlambat. Rayyan tidak pasti, apakah Zulaikha akan memaafkannya setelah mengharung derita hati yang perit. Dia berjanji akan melakukan apa saja, asal dapat menebus segala dosanya. 

...........................

Zulaikha termenung sebaik kerja terakhir tamat hari itu.  Dia dibuai perasaan tenang setenangnya. Selepas ini tidak pasti mungkinkah dia akan ada masa lagi untuk terlibat dalam kerja amal sebegini. Selepas ini akan sibuk dengan urusan belajar pula. Dia berharap agar keputusan yang dibuat ini tepat. Dia mahu meneruskan hidup ini dengan penuh keyakinan dan senyuman. Dia yakin bahagia akan hadir mengiringi hidupnya. Selepas menempuh kesedihan yang panjang satu ketika dulu.

WELCOME APRIL: MOGA KAN LEBIH BAIK

Berlalu sudah Mac 2021, kini sudah berada di dalam bulan April. Mengharapkan yang baik-baik bakal ditempuhi bersama April ini dan bulan-bulan yang mendatang. Insya Allah.



Cuti sekolah pertengahan penggal berakhir


Cuti sekolah yang bermula pada 27/3 bakal berakhir pada 4/4/2021. Masa cuti anak-anak hanya dihabiskan di rumah semata. Kebetulan abi kerja, memang tak ke manalah. Lagipun masih tak boleh merentas negeri, nak balik kampung pun memang tak boleh. 


Di rumah, masa terisi dengan pelbagai aktiviti sendiri. Main game dan menonton video, siapkan homework dan buat latihan dalam workbook, mandi kolam, berbasikal, dan aktiviti sampingan yang lain. 


Abi balik bila cuti sekolah hampir  berakhir. Sekian lama terperap di rumah, hari Sabtu (3/4/21) abi bawa ke Hutan Rekreasi Sg. Tekala (tak tahu nak ke mana). Kali kedua ke sini, tapi tak semeriah yang pertama dulu (sebab ramai kawan). Air sungai pun cetek sebab musim kemarau. Datang makan breakfast, mandi sekejap lepas tu balik ke rumah.


Satu hari berbaki sebelum kembali bersekolah. Esok mungkin tak kemana juga. Spend masa di rumah sahaja. Insya Allah akan kembali ke sekolah dengan semangat baru (mudah-mudahan).


Mussaab pun dah habis minggu transisinya. Kelas disusun semula berpandukan keputusan ujian penilaian hari tu. Alhamdulillah Mussaab kekal dalam kumpulan 1 (1 Orkid). 




Abi kembali selepas seminggu berkuarantin dan bekerja


Alhamdulillah bulan Mac abi ada banyak masa di rumah. Hanya seminggu terakhir barulah abi kembali bekerja. Itupun abi dihantar ke Kota Bharu. Lepas kerja dan kuarantin semua, abi ambil kesempatan ziarah nenek di kampung (PCB). 


Abi kembali ke rumah pada 1/4/21, pada hari-hari terakhir cuti sekolah. Sempat bawa anak-anak potong rambut yang dah panjang, top up keperluan dapur yang dah susut, bawa ‘piknik’, dan selainnya, sementara menunggu panggilan kerja yang seterusnya (belum tahu bila tarikhnya, di mana dan berapa lama).


Sementara diberi peluang untuk bersama lengkap satu family, semoga dapat kita manfaatkan sebaiknya tiap detik yang Allah kurniakan ini.




Ramadan bakal menjelang


10 hari sahaja lagi ummat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan. 1 Ramadan tahun ini jatuh pada 13/4/21, minggu ke-2 anak-anak kembali bersekolah. Kalau tahun lepas sebulan berpuasa stay kat rumah je (sebab PKP), tahun ni akan berpuasa dan bersekolah juga. Semoga Anas dapat sempurnakan puasa penuh seperti tahun lepas, Mussaab juga harapnya (tahun lepas tinggal 5 hari kalau tak silap). Semoga Allah beri kekuatan pada kita semua untul sebaiknya melaksanakan tanggungjawab yang satu ini sebagai umat Islam.




Kes Covid-19 yang masih tinggi setiap hari


Dah lebih setahun pandemik covid-19 melanda dunia, namun di Malaysia ia masih mencatat angka harian yang masih tinggi setiap hari. Turun naik pada angka yang lebih kurang sama (1k++), dan ia semacam hal yang ‘normal’, dan kelihatannya warga Malaysia semakin bebas melakukan aktiviti harian (tak seperti setahun yang lepas). 


Pun begitu, semua tetap perlu berhati-hati dan tahu menjaga diri dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan. Virus covid-19 yang tak mengenal mangsa, hanya pada Allah tempat mohon perlindungan.


Itulah sekadar coretan pembukaan April ini. Alhamdulillah pada hari-hari yang telah dilalui dengan baik meskipun tetap diiringi ujian. 


Syukur pada Allah, pada sebuah kehidupan yang membawa kepada hari ini. Syukur ada suami dan anak-anak yang masih setia di sisi. Jalani kehidupan bersama, mencipta kenangan demi kenangan, mencuba sedaya mampu memperbaiki hubungan, menjadi yang lebih baik untuk semua. Mudah-mudahan Allah pandu hati-hati kita. Berkasih sayang kerana Allah, meredhai pada setiap takdirNya yang tercipta buat kita, moga bahagia selayaknya buat kita. 


Aameen




Cuti sekolah ini;