Monday, 26 April 2021 By: Naemah

SUAMIKU.. BIARPUN JAUH



19 hari suamiku di Bintulu. Fuh.. melalui hari-hari yang penuh liku di bulan yang penuh mulia ini. Sedar tak sedar, dah mendekati 3 minggu berjauhan dengannya.


Bukan tak biasa berpisah. Bukan tak pernah dia pergi lama (atau mungkin ini yang paling lama), lebih-lebih lagi sejak diuji dengan pendemik. Semakin sukar untuk punya masa berkumpul dan bersama. Kerana tanggungjawab mencari rezeki (dengan pekerjaannya yang seperti itu), maka akurlah kami pada takdirNya. Biar pahit untuk ditelan, namun sangka baik pada Allah sentiasa. Yang manis dan indah sedang menanti di depan hari.


Tak mudah perjalanan kali ini. Menempuh pengalaman yang berbeza lagi. Tahun ni 3 anak bersekolah, 4 buah sekolah, pengangkutan sendiri, dengan seorang lagi anak kecil yang perlukan perhatian, di bulan puasa pula, bila seorang diri perlu uruskan semua dari awal pagi sampai ke malam hari.. Ya Allah, memang tak ada kekuatan melainkan dariMu. Alhamdulillah aku dapat lalui semua ni dengan pertolongan Allah.


Suamiku walaupun jauh, aku percaya dia sentiasa mendoakan. Aku tahu dia pun tak ingin begini. Dia juga kesian, hanya berkurung di hotel tak jumpa sesiapa (begitulah setiap kali berkuarantin). Bersahur dan berbuka sendiri, sudah tentu dia rindukan keriuhan suara anak-anak di rumah.


Suamiku, walaupun jauh banyak guide aku time aku susah dan tak ada siapa nak mengadu. Nak jadi cerita, 2 hari sebelum dia berangkat pergi, mesin basuh buat hal. Sempat dia baiki, kalau tak susah juga aku nak fikirkan cara nak basuh baju yang bertimbun setiap hari. Baru-baru ni kereta viva buat hal (nyaris mati di tengah jalan dalam kesesakan jalan raya), suami suruh aku hantar ke bengkel untuk baiki. Dia guide aku pasangkan bateri kereta yang satu lagi (kereta ni kalau lama tak hidupkan pun bermasalah juga). Alhamdulillah urusan pengangkutan sekolah anak-anak hari tu settle.


Bab isi minyak kereta pula, bayangkan ulang alik hantar dan ambil anak sekolah, dalam tempoh seminggu minyak dah hampir kering. Dan aku pula tak ada pengalaman isi minyak kereta sendiri. Punyalah risau macam mana nak isi semua. Suami aku juga yang guide di samping aku tengok youtube. Macam susah sangatlah kan? Nak buat macam mana, first time kan? Sebelum ni tak pernah pun sempat habis minyak kereta bila dia balik. Ini dah dua kali aku perlu isi minyak kereta. Kali ke-2, dah tak ada masalah. Hal kecik je! 


Hari ni pula. Lampu di dapur padam tiba-tiba. Suami guide juga, sampai akhirnya lampu menyala. Alhamdulillah. Ini juga pengalaman pertama kali.


Berbalik pada kisah lama di mana aku takut nak memandu, tapi 2017 permulaan segalanya bila Anas masuk sekolah, aku perlu hantar dia time suami tak ada di rumah. Dari takut dah berani, dan hari ni semakin yakin berada di jalan raya walaupun skill memandu masih tak seberapa. 


Kesimpulannya, beginilah kehidupan. Tak diuji kita, jika kita tak mampu. Yang pertama kali itulah yang memberi pengalaman berharga sehingga kita mampu menjadi ‘lebih baik’ dari yang sebelum ini. Allah ‘menekan’ kita bukan kerana menzalimi, tapi untuk kita ‘upgrade’ diri jadi yang lebih baik, lebih kental, dan yang penting lebih merasakan Dia sangat dekat dengan kita. Iyalah, di saat tak ada sesiapa untuk berpaut, kita masih punya DIA yang tak pernah pergi meninggalkan kita. Tiap kali berdepan dengan kesulitan, pasti DIA tunjukkan jalan keluar dengan pelbagai cara. Cukup kita serahkan hati dan tawakkal padaNYa, takkan pernah DIA kecewakan kita.


Dan suamiku, aku tetap bersyukur walaupun dirimu jauh. Aku percaya restu dan doamu sentiasa mengiringi langkah dan perjalanan yang mencabar ini. Aku bersyukur kau setia mendengar, kau berusaha untuk bantu dan bimbing setiap kali aku dalam kesulitan. Walau dalam kemampuanmu yang terbatas juga. Tak apa, Allah ada. 


Suamiku, biarpun jauh, masih lagi kita dapat berhubung dan bertanya khabar. Hari-hari masih dapat video call sebelum dia ke laut. Masih boleh sembang dengan anak-anak, menasihati apa yang perlu. 


Dan sekurang-kurangnya aku, biar dalam penatnya fizikal, tercabarnya emosi, lelahnya mental, menempuh hari-hari yang menguji ini, aku masih punya suami yang bertanggungjawab mencari rezeki biarpun terpaksa menempuh perpisahan yang panjang. Alhamdulillah Allah berikan kecukupan rezeki, makan pakai cukup semua. Alhamdulillah. 


Dan ingat, orang lain diuji lebih lagi.


Maka untuk apa lagi aku mengeluh pada takdirNya? Segalanya cukup! Ujian itu sekadar sampingan untuk menguji iman, bahkan untuk menjadikan diri bertambah baik dari diri yang sebelumnya (bukan lebih baik dari orang lain). 


Aku redha pada ujianMu ya Allah.





0 comments:

Post a Comment