Wednesday 21 August 2019 0 comments By: Naemah

PENGALAMAN BERSALIN: SURI LILYANA

Catatan pengalaman bersalin anak keempatku: Suri Lilyana Bt Mohd Suzainizam 

Seperti 3 kandungan yang lepas juga, aku positif gdm iaitu kencing manis ketika mengandung. Dan kali ini gdm on insulin pula, yang memerlukan aku untuk bersalin selewat-lewatnya pada usia kandungan 38 minggu.

Setelah bertemu pakar O&G, aku diberi tarikh untuk induce kandungan pada 13/8/19 dan perlu admit hospital sehari sebelum tarikh tersebut. Dan oleh kerana tarikh itu jatuh pada tempoh cuti persekolahan, dan raya haji pula, kami decide untuk bersalin di HRPZ, Kota Bharu.


12/8/19 (3 hari sebelum bersalin)

Hari ini aku perlu ke hospital untuk ‘serah diri’, kerana esok adalah tarikh aku bakal diinduce. Hari ni dah ready fizikal dan mental untuk datang ke hospital dan bersedia untuk ‘dipaksa’ bersalin.

Pada waktu paginya aku meminta suami membawaku berjalan di pantai. Suamiku membawaku ke Pantai Cahaya Bulan yang letaknya tak jauh dari rumah ibu mertuaku. Aku dibiarkan berjalan di tepi pantai, melayan perasaan sendiri. Aku mengambil masa selama 30 minit untuk berjalan, berdoa dengan penuh harapan agar mudah melahirkan anakku esok hari. 

Selepas itu kami balik ke rumah. Aku mandi dan bersiap untuk ke hospital. Kami meninggalkan rumah sekitar jam 11.30 pagi. Miqdad dibawa bersama, sementara Anas dan Mussaab ditinggalkan di rumah ibu mertuaku. Alhamdulillah di rumah mak ramai orang, dapatlah mereka bermain bersama sepupu mereka. 

Sebelum ke hospital kami singgah membeli keperluan untuk dibawa ke hospital dan singgah makan tengahari di sebuah kedai makan yang berdekatan dengan HRPZ II. 

Aku mendaftar di HRPZ sekitar jam 1 petang. Selepas melalui prosedur di ruang labor room, aku ditempatkan di wad 24 (wad bersalin). Selesai urusanku, suamiku dan Miqdad balik meninggalkan aku yang perlu ‘berkampung’ di sini untuk beberapa tempoh yang aku sendiri tak pasti. Hati tenang ditinggalkan di sini, sudah bersedia untuk sebuah perjuangan yang besar.

Hari ini di wad bersalin aku perlu membuat ctg, cek laluan bersalin (tiada bukaan), dan scan baby (anggaran 2.8 kg). Suami juga membawa anak-anak berjumpa denganku di wad pada waktu melawat. Tapi tak dapat bersembang lama kerana aku perlu ke labor room untuk scan baby. Pulak tu kena menunggu giliran seorang demi seorang, masa melawat dah hampir tamat masanya. Tak apalah sempat jumpa anak-anak sekejap, harap esok dah boleh bersalin dan balik ke rumah :) - malam ni juga ambil darah di lengan.

Dan hari ini aku lalui dengan baik. Esok aku perlu bersedia untuk di’induce’, bersedia untuk menikmati rasa ‘sakit bersalin’, dan aku sentiasa berdoa agar segalanya akan dipermudahkan. Berdoa agar cukup dengan sebiji ubat (max 3 biji), tidak perlu menahan sakit yang lama, tidak perlu berada lama di labor room, dan tak perlu teran banyak kali untuk lahirkan anakku. Itulah antara doaku..

Oh ya, malam ini aku ditukarkan ke wad 25, katanya untuk jawab soalan exam student medic. Aku tak jelas tentangnya, hanya setuju saja bila diminta.

Malam ini dapat tidur dengan tenang dan nyenyak.


13/8/19 (2 hari sebelum bersalin)

Hari ini aku bakal diinduce. Katanya akan dibuat pada jam 6.30 pagi, tapi rupanya pagi ini aku perlu menjawab soalan dari pelajar medic yang sedang menjalani exam mereka. Aku perlu jadi patient mereka, dan menjawab hal yang berkaitan dengan keadaanku. Di depanku juga mereka perlu ‘present’ pada examiner yang turut hadir pada hari tersebut. Lebih kurang 2 jam aku perlu ‘melayan’ soalan dan presentation mereka. Akhirnya selesai juga. Oh ya, dapat saguhati rm 50 dari pihak universiti (Lincoln University College). Alhamdulillah rezeki. Terima kasih :)

Pada jam 12.50 tengahari sebiji ubat induce dimasukkan. Aku perlu berbaring selama 1 jam (waktu melawat suami datang bersama anak-anak, tapi aku hanya mampu berbaring sebab masih belum dibenarkan untuk bangun) lepas tu buat ctg dan berpindah balik ke wad 24. Selepas satu jam tu aku rasa kontraksi yang sederhana kuat, dan tak konsisten jarak dan tempoh masanya. Harapanku, agar kontraksi ini membantu untuk bukakan ‘jalan’ bersalin, dan aku akan bersalin pada malam ini juga. 

Waktu melawat petang, suami datang bersama Miqdad, dan kakakku juga datang. Dia dah ready nak ‘jaga’ aku kalau malam ni aku ditakdirkan bersalin. 

Pada jam 7 petang, cek bukaan sekali lagi. Sudah 3 cm kata doktor. Hati dah berbunga. Rasanya malam ni dah boleh bersalin kot! Suka dalam debar. 

Dari Maghrib ke Isyak, dan selesai solat isyak, kontraksi dirasakan semakin kuat. Aku mengira jarak dan kekerapan kontraksi. Anggaran 2-4 minit sekali, dalam tempoh sakitnya 30-50 saat. Makin tak tertahan rasanya. Sampai tahap menggigil-gigil menahan sakit kontraksi. Sekitar jam 10.15 malam aku maklumkan pada nurse. Doktor yang tadi juga memeriksa bukaan sekali lagi, tapi hampa rasanya bila bukaan masih sama iaitu 3cm. (Nurse pesan kalau sakit makin kuat atau rasa seperti nak meneran, just maklumkan pada mereka)

Aku akur, masih belum masanya untuk aku bersalin. Aku cuba menahan sakit itu dengan berbaring dan tidur. Alhamdulillah, akhirnya lelap juga. Tapi kerap terjaga dek gangguan kontraksi yang tak henti.


14/8/19 (sehari sebelum bersalin)

Seawal jam 4.30 pagi aku dikejutkan untuk buat ctg. Pagi ni juga sudah ada ‘show’ iaitu lendir dan darah yang keluar dari faraj ketika mandi dan bersiap untuk solat. Lepas solat subuh, sekali lagi ke bilik rawatan untuk ‘cek jalan’. Kontraksi masih aktif. Perut sentiasa mengeras dan menyakitkan. Bila di’seluk’ sekali lagi, doktor katakan bukaan serviks ialah 2cm. Terkejut aku, kan semalam katanya dah 3 cm.. tapi lebih percayakan doktor hari ni sebab yang ni ialah doktor pakar. Aku tak diberi ubat kedua sebab kata doktor kontraksi sudah ada. Aku berehat saja di katil melayan kontraksi. Tak lupa doa semoga bukaan akan bertambah bersama sakit ini.

Sekitar jam 9.30 aku diberi ubat tahan sakit untuk mengurangkan rasa sakit kontraksi. Pada mulanya aku tak nak, kononnya masih boleh bertahan. Tapi doktor kata lebih baik ambil ubat, sebab takut nanti semakin lemah bila di labor room. Dan ada risiko untuk pecah rahim jika sakit kontraksi semakin kuat (sedangkan bukaan tiada). Takut pula aku mendengarnya. Terus aku setuju untuk diberi ubat tahan sakit. 

Lepas dicucuk ubat tahan sakit, terus aku jadi mengantuk dan mamai. Tak boleh nak angkat kepala, dan berjalan ke mana-mana. Sekitar jam 10 pagi doktor datang ke katil untuk cek jalan sekali lagi. Masih sama, 2cm. Aku biarkan doktor lakukan dalam keadaan mamai dan mengantuk. Sekadar ikut arahan doktor, langsung tak rasa apa. Dah selesai, sambung tidur.

Sekitar jam 12 nurse pula kejutkan aku untuk buat ctg. Terpaksa bangun, berjalan dalam keadaan mata mengantuk dan masih mahu pejam. Dekat mesin ctg itu juga, aku terus layan mengantuk dan tidur. 

Balik ke katil, suamiku dah menunggu di situ sebab dah masa orang melawat. Aku katakan yang aku sangat mengantuk. Nak buka mata tengok dia pun aku tak mampu. Aku baring saja, ditemani suamiku. Sambil berbual, sambil pejam mata. Dah rasa ok sikit, aku cuba buka mata perlahan-lahan. Alhamdulillah, walau masih mengantuk masih boleh tahan dari pejam mata. Suamiku suapkan aku makan sebab aku masih dalam keadaan mamai, tak boleh nak buat apa. Habis waktu melawat suamiku balik, dan aku sambung tidur. Masih tak termampu nak tahan rasa mengantuk. 

Jam 3.30 aku dikejutkan untuk cek bukaan sekali lagi. Rasa mengantuk dah berkurang. Bila diperiksa, bukaan sudah 3 cm. Oklah, dari tak ada progress langsung kan. Dan lepas diberi ubat tahan sakit tadi kontraksi juga sudah semakin kurang. Jarak kontraksi semakin jauh, dan rasa sakit juga sekejap dan tak kuat lagi. Makin lama makin kurang, dan makin tak rasa. Alahai, kalau tak ada kontraksi, nak bersalin macam mana? Atau kena masukkan ubat induce yang kedua? Aku biarkan saja. Sekurang-kurangnya aku dapat releks seketika, selepas semalaman menanggung ‘sakit ‘ kontraksi. 

Waktu melawat petang, suamiku setia datang menjengukku. Petang ini mak mertua dan kakak iparku juga datang bersama. Kakakku juga singgah sekali lagi melawatku. Rasa mengantukku sudah beransur hilang. Kontraksi juga hanya datang sesekali. Entahlah, aku pasrah jika memang belum masanya.

Hari ini seperti sudah tidak ada harapan untuk aku bersalin. Sudah 3 hari di hospital. Rindu pada anak-anak di rumah. Entah bilalah penantian dan debaran ini akan berakhir.

Malam ini tidur dengan tenang dan tanpa rasa sakit. Tidur dengan doa dan harapan, akan bersalin secepatnya dan dapat balik ke rumah jumpa anak-anak yang lain.


15/8/19 (hari bersalin)

Jam 4.15 pagi aku dikejutkan untuk buat ctg. Nurse maklumkan pada aku yang kemungkinan aku akan dihantar ke labor room pagi ni. Katanya semalam lagi aku sepatutnya ke labor room untuk ‘dipaksa’ bersalin. Tapi oleh kerana labor room sentiasa penuh ia ditangguh ke hari ini. Oh yeke.. terkejut juga aku mendengarnya. Dalam keadaan tak sakit ni, takkan dah nak suruh aku masuk labor room.

Lepas solat subuh cek bukaan sekali lagi. Oleh doktor pakar juga. Risau juga aku kalau dia masukkan ubat kedua pula. Tapi pasrah jelah, sebab dia doktor dia lebih tahu buat keputusan. Tapi memang dah tak diberi ubat kedua sebab bukaan dah 3 cm. Cuma katanya aku perlu bersedia untuk dibawa ke labor room hari ni. 

Jam 8.45 pagi aku ditolak ke labor room (dalam keadaan aku dah tak rasa sakit kontraksi). Allah, dah sampai masanya. Dalam debaran, cuba bertenang. Ya, aku sudah bersedia. Aku ditempatkan di bilik bersalin no.13. Aku maklumkan pada suami yang masih berada di rumah. Dia segera datang, tapi hanya menunggu di luar dulu. Aku pun kali ni memang tak nak dia masuk awal, takut lama nak menunggu sampai masa aku melahirkan anakku. Jadi biarlah dia di luar dulu. Lagipun aku belum rasa sakit lagi. Suamiku mendoakan dari luar. Sesekali berbalas whatsapp menyatakan keadaan aku di dalam. 

Jam 9.30 ketuban dipecahkan. Doktor cakap sikit saja air ketuban. Patutlah aku tak rasa apa masa dia pecah kan ketuban. Masa ni bukaan sudah 4 cm. Doktor akan cek balik selepas 4 jam. Maknanya jam 1.30 nanti akan cek balik bukaan seterusnya. 

Sejam pertama aku masih belum rasa sakit walaupun ketuban sudah dipecahkan. Sekitar jam 11 pagi, aku diinduce (cecair pitocin). Jam 11.30 kontraksi dah mula menyerang. Perlahan-lahan dia datang. Makin kuat, makin lama. Makin dekat jaraknya, makin lama tempoh sakitnya. Ya, bukan pengalaman pertama. Memang dah bersedia dengan ‘serangan’ serta merta ni. 

Sejam kemudian aku diberi pilihan untuk ambil ubat tahan sakit seperti semalam. Berfikir panjang aku sama ada nak ambil atau tidak. Kalau ikutkan sakit ni, memang nak ambil. Tapi fikirkan kesannya yang boleh buatkan aku mamai dan mengantuk, rasa was-was pula. Nanti macam mana kalau tiba masa aku kena push baby ni, dalam keadaan mengantuk macam tu boleh ke?? Aku minta tangguh dulu.

Mengikut pengalaman aku yang lepas, bila kontraksi dah semakin kerap, maknanya dah tak lama lagi aku akan lahirkan anakku. Aku perlu buat pertimbangan sendiri sama ada mahu mengambil ubat tahan sakit atau tidak. Risau jika salah buat keputusan. Aku masih keseorangan, belum panggil suamiku masuk ke dalam. Hati kuat meminta aku ‘bertahan’ dengan rasa sakit ini. Mungkin masanya dah tak lama.

Dan ya, rasa seperti nak meneran datang sikit demi sikit. Dari rasa boleh tahan, hingga rasa tak boleh nak tahan. Sekitar jam 12.45 pm aku melaung memanggil bidan yang bertugas menjaga bilik aku ditempatkan (sebab masa ni aku sorang-sorang kat dalam bilik tu). Aku katakan pada dia yang aku dah rasa nak teran. Dia cek bukaan, sudah 8cm katanya. Dia tahan dari meneran dulu. Perlu cukupkan 10cm. Ya Allah.. aku makin tak tertahan. Dengan kontraksi yang semakin kuat, dengan rasa nak meneran yang semakin kuat. Dia minta aku call suami untuk masuk ke labor room. Sebentar kemudian suamiku muncul dan menemani aku yang tengah menanggung sakit kontraksi.

Sempat suamiku menghabiskan bacaan surah yasin sambil menggenggam kemas tanganku tanda memberi sokongan. Aku menahan dalam tangis. Sakit yang amat. Suara mengerang yang tadi kutahan dah mula keluar . Suamiku mengurut pinggangku dan meminta aku bersabar. 

Bila rasa nak meneran semakin kuat, dan makin tak tertahan aku minta suami panggilkan bidan yang berada di luar. Aku dah tak boleh nak tahan lagi. Seorang bidan masuk (bukan yang menjagaku tadi) dia cek bukaan tapi masih belum 10cm, tapi dia suruh aku teran sekuat hati. Tapi masa tu kontraksi dah tak ada. Teran pun baby tak keluar, nafas dah habis. Sekali lagi datang kontraksi aku tarik nafas sedalamnya, kumpul tenaga dan kekuatan. Teran, teran, curi nafas, teran lagi, curi nafas, teran... Alhamdulillah dengan sekali percubaan anakku selamat dilahirkan. Masya Allah, perasaan paling lega yang pernah dirasa seorang ibu yang melalui detik kelahiran. Syukur tak terhingga. Aku selamat melahirkan anak perempuan pada jam 1.27 petang ditemani suami dan 2 bidan terlatih. 

Subhaanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Bidan menunjukkan anakku dan bertanyakan jantina anakku. ‘Perempuan’ balasku dalam senyum kepenatan. Comel dan ‘tembam’ kelihatan dia. Anakku diletakkan di dadaku untuk seberapa ketika. Aku memeluknya dengan penuh rasa syukur dan bahagia. Dia juga kelihatan tenang berada dekat denganku, mendengar degup jantungku. Suamiku membisikkan azan dan iqamah ke telinganya, dan kemudian suamiku diminta untuk menunggu di luar sehingga sampai waktu aku dihantar ke wad bersalin.

Alhamdulillah penantian sudah pun berakhir. Anak yang ku kandung 38 minggu sudah selamat dilahirkan ke dunia. Pengalaman bersalin kali ini tetap berbeza dengan pengalaman yang lepas-lepas. Yang tak seronoknya, bila aku perlu berada dalam tempoh yang lama di hospital. Ingatkan hari ni induce, esoknya dah bersalin. Tapi hakikatnya bukan begitu jalan ceritanya. Allah jualah sebaik-baik Perancang. 


Dari pengalaman bersalin hari ini dapat aku simpulkan, ianya pengalaman yang jauh lebih baik dari yang aku sangkakan. Meskipun perlu ‘dipaksa’ bersalin 2 minggu lebih awal dari tarikh jangka bersalin, ia tidaklah berbeza sangat dari pengalaman bersalin yang lepas.

Ya, ini pengalaman kedua diinduce (tablet) selepas anak yang sulung dulu. Persamaannya, cukup hanya satu tablet (tak perlu yang kedua dan ketiga) untuk akhirnya aku bersalin secara normal. Tapi dari bukaan 2cm agak mengambil masa untuk ke bukaan seterusnya. Tapi Alhamdulillah bila sudah sampai 4cm bukaan sudah semakin cepat.

Persamaaan dengan kelahiran kedua dan ketiga ialah bila aku dibawa masuk ke Labor room dalam keadaan ‘tidak sakit’ atau tiada kontraksi. Di dalam labor room aku diinduce (cecair pitocin), dan sakit kontraksi kali ini selama lebih kurang 2 jam sahaja, sebelum akhirnya berjaya melahirkan anakku (which is lebih singkat tempoh sakit kontraksi berbanding yang lepas)

Dan kali ini tangan suamiku ‘selamat’ dari menjadi mangsa cengkamanku :D satunya sebab dia masuk pun dah dekat masa nak bersalin. Dan satu lagi aku memang cuba control supaya tak pegang tangan dia masa menahan sakit kontraksi tu. Aku banyak berpaut pada besi katil masa menahan sakit, tak nak sakitkan suami aku lagi macam sebelum-sebelum ni. Kesian dia :)

Alhamdulillah. Pengalaman berharga ini aku simpan sebagai kenangan dan ingatan. Buat tatapan anak-anakku, bahawa ini adalah perjuangan ummi. Perjuangan atas dasar kasih dan cinta. 



Foto pertama Suri 

Dalam labor room; jam 2:07 pm


Catatan pengalaman bersalin abang-abang suri;

ANAS ZAYDAN

ABDULLAH MUSSAAB

ILHAM MIQDAD







SUNNAH HARI KE-7




Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, yang disembelih pada hari ketujuh dari hari kelahiran-nya, dicukur rambut kepalanya, dan diberi nama.” (HR. Abu Dawud 2838, shahih)

Alhamdulillah sunnah hari ke-7 dapat kami laksanakan sebaiknya, insya Allah.

Hari ke-7 (21/8/19)

Suri Lilyana binti Mohd Suzainizam nama diberi. Suri yang merujuk kepada sang puteri yang sangat istimewa dan mulia duduknya. Lilyana pula merujuk kepada nama sejenis bunga (Bunga Lili) lambang kecantikan, kesucian dan kelembutan. Semoga puteriku ini juga, menjadi seorang yang sangat istimewa dan berperibadi yang menawan. Insya Allah.

Hari ini disempurnakan aqiqah untuk Suri, dan dicukur rambut Suri ( juga ditahnikkan). 

Alhamdulillah. 

Semoga Suri membesar menjadi hamba Allah yang taat, berjasa pada orang tua, dan berjuang untuk agama. Insya Allah.

Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri. Permata hati ummi dan abi yang tak ternilai harganya. Semoga membesar bersama, saling berkasih sayang, saling menjaga dan saling mendoakan.  

آمين

Monday 19 August 2019 0 comments By: Naemah

YANG PALING SEMPURNA UNTUK AKU



Entah berapa kali aku bersyukur di sepanjang usia pernikahan ini. Bersyukur kerana dikurniakan seorang suami seperti kamu. Entah, mungkin hanya boleh dibilang dengan jari, syukur yang tak pernah sepadan, berbanding nikmat yang tak terhitung banyak.

Mungkin dalam kebanyakan masa aku seperti tidak menghargai. Dari hanya kamu satu-satunya yang menjadi teman dalam hidup, sehingga ke hari ini ditambah lagi dengan 4 cahaya mata, penghibur dan pelengkap kehidupan. Banyaknya peranan yang telah kau mainkan dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan ini. Tanpa aku sedar, apalagi syukur dan berterima kasih.

Sesekali aku disapa dan disentak rasa, bahawa tak mungkin ada yang lebih baik darimu-untuk aku. Aku yang tak pernah memilihmu, tetapi Allah yang menghadiahkan dirimu untukku. Aku yang dulu penuh dengan pengharapan untuk memiliki cinta dan bahagia, lalu bersamamu aku dihadiahkan segala rasa indah ini. Meski di celahannya onak dan ujian.

Benar jika mahu diingat satu persatu, takkan termampu aku senaraikan setiap budi baikmu. Yang sentiasa berusaha untuk ikhlas melayani dan menyayangi, yang sedaya mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, yang sedaya mungkin berusaha untuk membahagiakan, dan memenuhi setiap tuntutan dan keperluan.

Denganmu aku tak banyak bersusah, itupun banyak yang aku keluhkan kononnya ‘susah’. Bersamamu keperluanku sentiasa cukup, yang tak cukup itu mungkin hanya yang berbentuk ‘kehendak’ yang boleh aku pejam mata dan cuba lupakan. Adanya dirimu menjadikan kerjaku sangat mudah, lantaran dirimu yang sentiasa bersedia untuk membantu. Cukup dengan kembalinya dirimu ke pangkuan, sering aku rasakan hidup ini sempurna, anak-anak mendapat perhatian dan kasih sayang. 

Mungkin tak mampu aku senaraikan semua. Tapi aku perlu akui kau punya banyak kebaikan dan keistimewaan di hatiku. Dan sebagai manusia aku tak menuntut kesempurnaan darimu. Aku sedar setiap kita punya kelebihan, dan kekurangan. 

Jangan risau sayang. Apa yang kurang atau tak mampu kamu ‘beri ‘ atau kamu ‘jadi’, aku berlapang dada atas segalanya. Cukup aku tahu kamu sudah berusaha sesungguhnya, menjadi yang terbaik untukku dan anak-anak. 

Suamiku yang tercinta, kamu yang paling sempurna untukku. Paling sempurna di hatiku. Terima kasih untuk segala-galanya. Mendekat usia 9 tahun pernikahan, aku sedar cintamu tak pernah berubah. Sentiasa ada, sentiasa dirasa. Biar banyak mana diuji dengan sikapku, dengan bermacam ujian dalam rumahtangga, masih kau setia bersama cinta dan berusaha menunaikan hak dan tanggungjawab.

Terima kasih tak terhingga suamiku. Allah saja yang mampu membalasnya. 

Janjiku untuk juga berusaha menjadi yang lebih baik. Berusaha untuk membuatmu bahagia. Moga bahagia sentiasa untukmu. Moga Allah sentiasa redha pada setiap langkah dan hela nafasmu.

آمين

Thursday 15 August 2019 0 comments By: Naemah

RINDU PADA SEMUA

Masuk hari ke-5 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Dah jemu ‘berkampung’ di sini. Sangat merindui anak-anak yang ditinggalkan di rumah nenek. Alhamdulillah kat rumah nenek ramai kawan, dan ada orang yang boleh tengok-tengokkan Anas, Mussaab dan Miqdad. Abi pun tak selalu ada di rumah nenek, sebab kena datang ke hospital untuk melawat dan memenuhi keperluan ummi.

Alhamdulillah, sudah masuk hari ke-2 bersalin. Tapi dah 2 hari juga tak dapat jumpa Anas, Mussaab dan Miqdad. Rindu rasanya. 

Bukan hanya pada Anas, Mussaab dan Miqdad. Pada baby pun ummi rindu. Walaupun semalam bersalinkan dia, dapat peluk dan susukan dia, tapi sekejap saja dapat masa ‘bersama’ dia. Adik ditahan di wad yang berasingan untuk dipantau keadaannya. Sebab ummi gdm masa mengandungkan dia, maka keadaan adik perlu dipantau dan diberi lebih perhatian.

Ummi ‘keseorangan’ di katil hospital. Rindu yang amat pada semua. Tapi bila tengok gambar anak-anak ummi yang gembira bersama sepupu dan dilayan baik oleh pakcik dan mak cik, ummi lega. 

Insya Allah hari ni ummi akan dibenarkan balik ke rumah. Keadaan ummi baik, dah boleh balik. Cuma kini masih ternantikan ‘adik’ yang ummi sempat jumpa sekejap saja semalam selepas lahirkan dia. Kesian adik, tak dapat menyusu dengan ummi. Kesian adik, tidur tanpa pelukan ummi. Entah macamana keadaan adik :,( tapi insya Allah itu yang terbaik untuk adik. Moga adik baik-baik saja. 

Insya Allah tak lama lagi dapat jumpa semua anak-anak ummi. Anas, Mussaab, Miqdad dan adik yang baru lahir. Kita akan berkumpul bersama. Mencipta bahagia bersama-bersama. 

Sabarlah.. dah tak lama. Dengan izin Allah pasti bertemu. 







MENGHITUNG DETIK: SEBUAH CATATAN DAN INGATAN



6/8/19 (37w1d)

Seminggu lagi ke tarikh aku akan diinduce (13/8/19). 

Keadaanku masih seperti biasa. Tiada sebarang tanda untuk bersalin dalam masa terdekat. Yelah, baru 37 minggu kan. Lagipun 3 anak sebelum ini pun memang tak pernah ada pengalaman bersalin awal. Semua melepasi 39 minggu.

Masih cakna pada kiraan pergerakan anakku setiap hari. Alhamdulillah, dia aktif. Kadang-kadang rasa dia mengeras, tapi tak hingga menyakitkan. Means, belum ada kontraksi. Cuma badan je rasa cepat penat, sakit pinggang dan lenguh badan yang buat diri rasa nak duduk dan baring saja.

Cuba tanamkan dalam diri rasa positif, cuba bertenang walau hakikatnya penuh debaran, baca kisah-kisah positif di labor room yang dikongsikan di blog-blog, cuba belajar tips-tips menghadapi masa bersalin, dll.

Ya, walaupun sudah 3 kali berpengalaman di labor room, masih takut dan berdebar. Kerana tiap pengalaman itu juga tak sama. Kini mampu berusaha, berdoa, dan tawakkal, semoga dipermudahkan urusan nanti.

Hari ini dah install apps ‘contraction timer’, sebagai langkah persediaan menghadapi sakit kontraksi.

Juga try tips nak bagi cepat bersalin; turun naik tangga. 20x dah lenguh kaki..

Hari ni bsp kali ke-16 (5.5/5.5/5.5/5.7)

Semoga Allah permudahkan 

آمين



7/8/19 (37w2d)

6 more days to go

Memenuhi temujanji terakhir di KD Rinching Tengah. Check up seperti biasa, dan jumpa doktor untuk review bsp. Semuanya baik-baik saja, cuma bacaan bsp waktu pagi semalam kena ‘tegur’ sikit sebab tinggi sikit. Yang lain-lain ok je. Alhamdulillah. 

Tiada lagi appointment di klinik, dan tak perlu buat bsp dah. Cuma tunggu masa serah diri ke hospital.. dupdap.. dupdap..

Di rumah lakukan rutin seperti biasa, sempat kemas keperluan untuk balik kampung esok, berjalan ambil Mussaab di sekolah (tak jauh sangat pun), masa ni ada rasa yang mencucuk-cucuk di laluan bersalin ketika berjalan. Terpaksa perlahankan langkah dan cuba menahan rasa ‘sakit’ tu. Bukan pertama kali, hari-hari sebelum ini juga pernah rasa mencucuk seperti ini. Mungkin normal, sudah di minggu-minggu terakhir.

Terjatuh dari tangga, Alhamdulillah tak sampai terhempap punggung, ditahan kaki. Tapi kakilah yang perit menanggung sakit *_* Tak teruk sangat pun, Alhamdulillah. Allah sentiasa melindungi :)

Masih try2 tips untuk mudahkan bukaan bersalin; turun naik tangga sampai tercungap :D duduk dengan merapat dua tapak kaki, zikir Nabi Yunus, ya Lathiff (yang Maha Lembut), bacaan surah Maryam... sekadar Ikhtiar, bersama doa dan pengharapan, semoga Allah permudahkan segala.



8/8/19 (37w3d)

Hari travel balik kampung. Pagi sebelum tu ke IOI Mall, saja sementara tunggu Anas balik sekolah jam 3.30 petang, suamiku mengajak untuk menonton ‘Boboiboy the movie 2’ yang baru ditayangkan hari ni. Ingatkan dia belikan tiket untuk Mussaab dan Miqdad saja. Rupanya untuk aku sekali. Hai.. mengusung perut ke pawagam pula hari ni. 

Lepas ambil Anas di sekolah terus bertolak balik kampung. Perjalanan dari 4 petang sampai 12 tengah malam, termasuk berhenti makan dan solat. Dalam tempoh tu anakku tetap aktif bergerak seperti biasa. Kadangkala mengeras tapi tak menyakitkan. Kadangkala ada juga rasa perit dan nyeri di bahagian rahim dan jalan bersalin. Tapi sakit yang tak lama. On off dan tak tetap kadar masanya. 

Sampai di kampung dah mengantuk sangat, badan pun penat dan lenguh. Tambahan pula memangku Miqdad yang sudah terlena. Sakit badan dan sakit pinggang. Rasa mahu baring dan rehat saja sampai esok.



9/8/19 (37w4d)

Hari ni lemah semacam. Makin ‘sakit’ rasanya di bawah tu tika berdiri dan berjalan. Sakit dari pinggang ke peha. Jalan pun senget-benget (eh, persis penguin dah rupanya). Cuba untuk tidak banyak baring (tapi nak berjalan ke mana pun tak tahu), sekejap duduk, sekejap berjalan, itu jelah. Sempat masak untuk makan tengahari juga, tapi tulah... rasa lemah, takde mood, melayan rasa perit di ‘bawah’ tu. Tertanya juga, mungkinkah baby dah makin turun ke bawah? Mungkinkah masanya dah tak lama? Sebab tulah sakit semacam.. harap-harap betullah. Nanti tak perlu tunggu lama-lama di hospital nak tunggu dia keluar.

Tapi setakat ni tak ada kontraksi yang kuat. Mengeras manja je. Lepas tu hilang. Dan tak kerap juga. Hmm.. sabar jelah. Sebenarnya takut juga bila dibayang-bayangkan rasa sakit tu dah ‘menyerang’. Tapi perlu tetap positifkan diri. Sakit tu, nak ke, tak nak ke, dia akan datang juga. Insya Allah tak lama, segalanya akan berakhir juga. 

Cek bsp pagi ni, ya Allah tingginya bacaan (8.1) rupanya semalam penat sangat travel sampai lupa nak cucuk insulin.

Makan tengahari, tercucuk tulang ikan di gusi. Sakit dan gusi mula bengkak. Allah... ujian di penghujung kehamilan :,)

Dan ya Allah.. hari ni banyak sangat makan buah; durian, manggis, rambutan, limau.. lagi satu ujian bila balik kampung. Di tengah musim buah pula. Allah.. kesian anakku. Lindungi dia ya Allah.



10/8/19 (37w5d)

Travel lagi (Jeli-Kb) tapi tak jauh sangatlah. 2 jam perjalanan. 

Hari ni pun sama seperti semalam. Masih rasa sakit dan rasa tak selesa yang sama. Perit di bahagian bawah ni bila berjalan. Masih juga kurang selesa di bahagian pinggang hingga ke peha. Memang rasa dah tak larat sangat mengandung ni. Rasa nak akhiri cepat-cepat. Tapi.. berdebar dan takut pun bercampur rasa juga ‘:)

Tak banyak berjalan hari ni. Di rumah mak, tidur dan baring saja tak tahu nak melangkah ke mana. Jalan keluar masuk bilik sajalah...

Tiada kontraksi, tiada tanda bersalin yang lain, tawakkal menunggu masanya yang kian hampir.



11/8/19 (37w6d)

Hari raya Aidiladha. Raya macam biasa. Cuma tak lama di tempat sembelihan lembu, balik rumah dan banyak rehat di rumah saja.

Hari ni buat bsp, bacaan pagi dan after breakfast masih ok, cuma bacaan after lunch dan dinner sangat tinggi. Aduhai.. nak buat macam mana banyak makan manis, kek lagi, serawa durian lagi, makan nasi pula langsung tak ada sayur. Daging semata. Raya haji lah katakan... salah sendiri la sebab gagal jaga diet dengan betul :(

Sakit pinggang yang masih menghantui. Tak boleh nak cerita macam mana sakitnya. Bila bangun tidur dan bangkit dari duduk, mulalah rasa mencucuk yang amat sangat. Bila dah start jalan slow-slow, makin kurang rasanya. 

Sakit yang menekan di bawah perut/jalan bersalin rasa-rasanya dah kurang, berbanding semalam. Sesekali saja rasa mencucuk tu datang, dan rasa sakitnya tak lama.

Boleh katakan hari ni banyak diganggu oleh rasa sakit pinggang, sukar nak bangun duduk. Sesekali dijentik rasa takut dan berdebar, sebab esok dah nak kena ‘serah diri’ ke hospital. Tak tahulah apa yang bakal terjadi. Sentiasa doa dan harapkan yang mudah dan baik-baik saja. Insya Allah.

Masih mengira pergerakan anak di kandungan. Alhamdulillah, masih aktif walaupun dah terhad ruang pergerakannya. 

Tapi masih belum merasakan kontraksi. Masih selesa anakku di dalam rahim ini. Belum ada sign yang kuat yang menunjukkan dia akan keluar dalam masa terdekat. Namun tetap berdoa agar dipermudahkan. Biar nanti perlu ‘dipaksa’, moga dia juga akan mudah untuk keluar. Insya Allah :)



12/8/19 (38w)

Bangun pagi macam biasa, masih perlu menanggung rasa sakit pinggang. Tapi badan rasa lebih ringan dan selesa hari ni. Entahlah, mungkin dah siapkan mental, yang hari ni akan masuk wad untuk bersalin esok hari. Hati lebih tenang, rasa lebih bersedia. 

Lepas breakfast jalan-jalan di luar rumah mak.   Lepas tu ke pantai berjalan kaki di pantai lebih kurang 30 minit. Harap-haraplah, anakku akan makin meluncur turun ke bawah. 

Tinggalkan rumah sekitar 11 pagi membeli keperluan, makan tengahari dan terus ke hospital. Cuba bertenang setenangnya. Tiada sakit, biasa-biasa saja. Daftar dan ikut prosedur hospital, cek bp, jantung baby, timbang berat, dan cek urin. Ditempatkan di wad 24, malamnya pindah ke wad 25.

Ujian ultrasound; anggaran berat baby 2.8kg. Doc decide masukkan ubat esok hari (pilihan antara ubat dan belon)

Malam ni lalui hari dengan tenang. Tiada sakit, tiada kontraksi. 



13/8/19 (38w2d)

Pagi perlu jawab questions dari students medic yang tengah buat exam. Buat ctg, dan masuk ubat indùce jam 12.50pm. Sejam kemudian rasa kontraksi (yang tak kuat), selang antara 5 minit dan lebih. 

Cek ctg sekali lagi, dan pindah balik ke wad 24. Masih merasakan kontraksi tak seragam seperti tadi juga. 

9 malam kontraksi semakin kuat dan seragam. Jarak antara 3-5 minit sekali dalam tempoh 30-50 saat. Cek jalan jam 10.30 malam. Masih 3cm kata doktor.

Tidur macam biasa. Kerap terjaga dek kontraksi yang tak henti mengganggu. Tapi nampaknya dia masih belum mahu keluar pada tarikh ini :)



14/8/19 (38w3d)

Pagi buat ctg dan cek jalan. 2 cm kata doktor pakar (aik semalam kata 3cm). Tak masuk ubat induce kedua sebab kontraksi aktif sangat (dan sakit sangat dah). 

Cucuk ubat kurangkan rasa sakit kontraksi. Seharian mengantuk dan mahu tidur saja. Tak boleh nak buka mata. Makan pun suami suapkan. Cek jalan masih 2 cm. Kontraksi makin berkurang, makin jauh jarak dan durasinya. Aish.. lambat lagi ke nak bersalin ni?

Cek jalan sekali lagi jam 3.30 petang (dalam keadaan masih mamai dan mengantuk).Dah 3cm. Katanya nak hantar ke labor room untuk ‘dipaksa’ bersalin. Tapi labor room penuh. Tahan dulu di wad. Alahai dah hari ke-3 di hospital. Bila baby nak keluar jumpa ummi ni?



15/8/19 (38w4d)

Alhamdulillah selamat bersalin. 

Catatan pengalaman bersalin akan menyusul.

Insya Allah 

Sunday 11 August 2019 0 comments By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: DI AKHIR TRIMESTER KETIGA



Alhamdulillah sudah di penghujung trimester ketiga. Kandungan sudah berusia 38minggu. Esok (13/8/19) aku bakal diinduce, tak boleh ‘tunggu-tunggu’ lagi. Terpaksa. Ya,tak lain kerana masalah GDM yang aku hadapi sepanjang kehamilan ini. 


GDM on insulin dan BSP

Seawal usia kandungan 18 minggu, sudah disahkan ada GDM, dan seawal itu juga aku perlu melakukan bsp setiap 2 minggu (jika result ok) atau seminggu sekali (jika ada bacaan kurang cantik).

Dan pada minggu ke 22 aku sudah perlu mencucuk insulin (buat pertama kalinya) sehari sekali pada waktu malam, sampailah ke hari ni. Pernah dua kali terlupa cucuk masa awal-awal kena buat dulu. Maklumlah tak pernah, tapi sekarang dah tak lupa. Jam 10 malam biasanya dah ready dengan ‘gadget’ cucuk insulin tu :D  tapi masa travel balik kampung hari tu sekali lagi terlupa nak cucuk dek penat dan mengantuk terlampau.

Dari bsp pertama, sampai yang terakhir ini sudah 16 kali semuanya total membuat bsp, dan berjumpa doktor untuk review bsp. Alhamdulillah, terkawal baik bacaan gula sepanjang buat bsp, cuma sesekali terkantoi pada bacaan pagi (dan malam sekali). 

Akhirnya tak perlu buat bsp lagi, sebab masa bersalin pun dah dekat, dan harapnya aku akan istiqomah menjaga makan minum, dan anakku ini akan baik-baik saja. 


Masalah kesihatan yang lain

Di minggu-minggu yang terakhir ini macam biasalah, badan cepat penat bila buat kerja, ‘berperang’ dengan 3 hero lagi, langkah makin perlahan dan perlu lebih berhati-hati, duduk dan baring yang terlalu lama pula menyebabkan sakit pinggang yang amat, sukar menukar posisi badan, duduk bangun dalam solat pun tak semudah dulu. 

Namun Alhamdulillah tiada masalah lain seperti sembelit, dan pening kepala ( tak sekerap dulu). 


Scan baby dan jantina

Di trimester ketiga ni sempat scan baby sebanyak tiga kali ( 7 kali semuanya dalam tempoh kehamilan ini). Yang pertama, scan di KK Beranang pada minggu ke 34 sebab masa ni nurse expect saiz baby kecil, bila scan doktor cakap normal je. Alhamdulillah. Kali kedua pula pada minggu ke 36, di Hospital Kajang. Masa ni appointment dengan doktor pakar untuk decide tarikh bersalin. Alhamdulillah, semuanya normal juga. Baby membesar baik. Dan yang terakhir ialah pada minggu ke-37, di KK Beranang. Dan syukur Alhamdulillah juga, perkembangan anakku normal. 

Berkenaan dengan jantina pula, dalam 7 kali scan hanya dua yang boleh di’agak’kan jantinanya. Keduanya kata ‘girl’. Tapi biasalah ia tak 100% confirm, doc tu pun ada cakap, kalau 3 kali scan nampak girl, maka 90% kemungkinan ianya betul. Jadi aku pun takdelah 100% confident lagi. Bila orang tanya pun aku masih cakap tak pasti, sebab memang masih tak pasti kan. Tunggu jelah dia lahir nanti. Boy atau girl, aku akan tetap bersyukur. Yang aku harapkan dia sihat dan sempurna. Aku akan sayang dia macam anak-anak yang lain juga. Insya Allah.


Appointment di Klinik dan Hospital

Pada trimester ke-3 ini masih memenuhi temujanji di klinik seperti biasa, setiap 2 minggu. Hanya bermula minggu ke-36, barulah perlu ke klinik seminggu sekali. Yang sering ‘bermasalah’ ialah pada bacaan hb. Dari bacaan 12, turun ke bacaan 9.0. Dua kali perlu ambil darah di KK Beranang. Alhamdulillah pada minggu ke-37 hb naik ke bacaan 11.2. Syukur sangat :) masalah lain tak ada.

Dan pada minggu ke 36 memenuhi temujanji dengan doktor pakar O&G pula di Hospital Kajang untuk dapatkan tarikh untuk bersalin (induce) dan tarikh ditetapkan pada 13/8/19. 

Setakat ini sajalah update tentang kehamilanku di trimester ke-3. Tak ada yang teruk sangat pun, Alhamdulillah. Biasalah Bergantian susah dan senang. Namun pastinya, yang senang itu sentiasa lebih mengatasi. Yang susah itu sekadar ujian untuk dirasa, ditempuh, ditangani dengan bijaksana. Sudahnya nanti tetap yang indah dan baik saja yang akan datang. Alhamdulillah :)

Kini sedang menghitung detik. Dah tak lama. Dah semakin dekat. 

Aku hanya mengharapkan segalanya dipermudahkan oleh Allah. Mudah lalui setiap detik bersalinkan anakku. Mahu melalui detik paling tenang, paling mudah, dan tak menyerikkan. 


Ya Allah.. permudahkanlah...


آمين


Thursday 1 August 2019 0 comments By: Naemah

ANAS: HARI PERTAMA MENAIKI VAN KE SEKOLAH

1/8/19: hari pertama Anas menaiki van ke sekolah. Bermula Ogos ini, dan mungkin sehingga ke penghujung tahun ini, Anas akan menaiki van ke sekolah. 

Memandangkan due bersalin ummi pun dah dekat (tak sampai dua minggu lagi nak kena induce), dan lepas tu dalam tempoh berpantang dan menjaga baby pula, ummi dah tak dapat nak lakukan rutin menghantar dan mengambil Anas dari sekolah lagi. Maka tiada pilihan lain, Anas terpaksa pergi dan balik dengan menaiki van dengan kawan-kawan yang lain.

Alhamdulillah Anas sudah lalui pengalaman hari pertama menaiki van ke sekolah (hari ni juga abi terbang ke Labuan). Van datang ambil Anas di rumah jam 6.50 pagi, Anas pun dah ready menunggu van dan tak kelam kabut pada hari pertama. Hari ni juga ummi membuat bayaran sebanyak rm 130 (sewa bulanan). 

Anas sampai balik ke rumah jam 3.55 petang. Alhamdulillah. Banyak ummi bertanya tentang hari pertama Anas menaiki van. Anas cakap ok saja. Tak ada masalah. Yang sebenarnya ummi agak risau juga melepaskan Anas naik van. Yelah, pertama kali ‘orang lain’ yang bawa Anas ke sekolah. Dalam tempoh sessi persekolahan Anas (7.30 pagi-3.30 petang), asyik teringat saja. Tapi ummi cuba positifkan fikiran. Insya Allah semuanya baik-baik saja. Bukan Anas seorang yang van/bas sekolah kan?

Bila Anas dah sampai rumah, Alhamdulillah lega rasa hati ummi. Anas dah berjaya lalui pengalaman hari pertama menaiki van ke sekolah. Insya Allah tak ada apa yang ummi nak risaukan. Teruskan berdoa semoga Allah sentiasa melindungi Anas, dan mempermudahkan urusan Anas. Insya Allah.

Ummi dapat ‘berehat’ panjang. Menunggu tahun depan untuk menyambung rutin menghantar Anas ke sekolah. Mungkinkah akan lebih mencabar? Yelah, masa tu dah ada baby yang akan ummi ‘angkut’ sekali nanti. Di samping abang yang seorang lagi (Miqdad).

Insya Allah, akan baik-baik saja. Dengan izin Allah, akan mudah semua :)



Menuju ke sekolah



Balik dari sekolah


Alhamdulillah :)