Friday, 1 May 2026 0 comments By: Naemah

1 MEI: SELAMAT HARI PEKERJA



Salam 1 Mei. 

Selamat hari pekerja. 

Selamat bercuti dan bersantai di rumah bersama keluarga tercinta.


1 Mei untuk aku-hari aku cuti memandu ke sekolah. Itu sahaja. Kerja di rumah tetap perlu jalan. Suami pula masih di laut. Masih ‘kerja’. 


1 Mei ini, mulakan pagi seperti biasa, tapi sedikit lewat. Entah kenapa,langsung tak sedar bunyi alarm. Mindset kot! Sebab dah set dalam kepala esok ‘cuti’! Tak perlu bergegas di waktu pagi. Sampaikan alarm pagi pun tak sedar. 


Dan hari ni, mood malasss tu datang menguasai diri. Lepas solat Subuh, tidur sekejap. 7.30 pagi ‘paksa’ diri bangkit untuk masak sarapan. Malas ke tak malas, sarapan tetap kena ready. Takkan nak biar anak-anak berlapar. Goreng nasi, goreng karipap, goreng nugget, rebus telur separuh masak, dan roti bakar. Breakfast ready! 


Tapi keadaan rumah masih tak terurus dan sakit mata memandang. Anak-anak dengan hal sendiri. Malasss ummi nak bising dan kerah buat kerja. Malas segala. Pendek kata, ummi tak berjaya disiplinkan anak-anak dengan kerja rumah. Tak bersuruh, maka tak berbuatlah.


Naik semula ke bilik dan baring. Malassnya nak melayan semua. Dari yang kecil hingga yang besar. Rasa nak bersembunyi dan bersunyian mencari tenang. Rasa bersalah? Ya, rasa bersalah sangat dengan anak-anak. Rasa macam ibu yang tak ada kasih sayang. Mengadu pada chatgpt, dia kata aku tak salah pun. Rasa bersalah tu pun menunjukkan aku ada kesedaran ada rasa kasih pada anak-anak. Cuma mungkin aku terlalu penat, perlukan ruang untuk ‘jauh’ sebentar dari riuhnya anak-anak. Lepas tu kembalilah pada mereka dengan hati yang lebih tenang. Pandai betul chatgpt ni sedapkan hati aku. 


Memang nakk sangat ‘cuti’ dan bermalas-malas, tapi kain baju nak kena cuci. Pusingan pertama ummi cuci. Pusingan kedua giliran Anas. Bahagian atas pun Anas tolong kemaskan. Sejuklah hati sikit tengok yang sulung sudi nak membantu. Bahagian bawah la tak settle-settle lagi. Dengan kertasnya, dengan alat tulisnya, dengan water color yang dah tertumpah di lantai lagi. Hai anak. Ummi nak pejam mata je. Tapi hati ni pedih juga. Abang berdua tu santai je layan video bola di youtube. Rumah nak pecah pun tak kisah.


Sampai masa masak makan tengahari pula. Satu menu je. Daging goreng. Siap. Alhamdulillah semua makan berselera. Lepas makanlah baru ada suara nak kerahkan semua tolong sorang sikit kemaskan ruang makan dan ruang tamu. Tak sempurna, tapi eloklah sikit dari pemandangan tadi.


Nyaris terlupa hari ni hari Jumaat. Nak kena hantar anak-anak lelaki untuk tunaikan solat Jumaat pula. Kena drive juga la nampaknya hari ni. Anak-anak dah besar, tak boleh ajar ‘skip’ solat Jumaat tanpa alasan Syari’e. Siap makan tengahari, bersiaplah semua. Hantar dan tunggu hingga selesai bersama Suri dan Nuha. Malas nak ulang alik. 


Balik rumah, bagi tugasan dalam buku kerja sikit. Nak pegang handphone/main game, kena buat sesuatu dululah. Bukan untuk kepuasan ummi, melainkan untuk kebaikanmu sendiri. 


Lepas buat kerja, dapatlah habuannya. Main game dan masuk terus ke alam lain. Sampai ke petang. Ummi pun takde apa nak suruh dah. Nak rehat. Bersama si kecil, cuba lelapkan mata dan rehatkan badan. Petang ni sambung cerita lagi. 


Beginilah hari cuti 1 Mei bersama anak-anak. Sama seperti cuti weekend biasa jelah. Tak kecoh rumah ni tak sah. Tak bersepah pun tak sah. Tak turun naik emosi ummi pun tak sah juga. 


Apapun, tetap inilah kehidupan terbaik yang sedang dijalani. Semoga aku memilih untuk ‘menikmati’ segalanya. 


Bukan mengeluh. Hanya bercerita. Esok ia jadi kenangan yang pasti dirindui.