Anas Zaydan anak sulungku kini berusia 4 tahun 3 bulan. Selain minatnya pada permainan kereta, dia juga suka melukis. Dulu, tidaklah suka sangat. Bagi pen dan kertas pun kurang berminat.
Aku sangat berharap dia akan suka menulis dan melukis. Bimbang juga kalau asyik melekat pada video dan iPad saja.
Antara langkah awal untuk hadirkan minat si anak pada pen dan kertas ialah dengan membeli kertas mahjung dan menampalnya di dinding rumah. Sediakan pensel, pensel warna dan krayon untuk dia menconteng. Memang pada awalnya hanya contengan yang dihasilkan Anas dan Mussaab. Tak ada rupa lukisan langsung. Namun aku kerap menggantikan kertas mahjung yang ditampal. Alat tulis dan krayon juga kerap beli baru kerana rosak dan hilang entah ke mana. Tak mengapalah...
Lama kelamaan, dari menconteng, terhasil juga sesuatu. Dari kurang cantik, jadi lebih cantik. Dari tak pandai pegang pen, akhirnya pandai.
Lama kelamaan juga kertas A4 pula yang sering diangkut untuk melukis. Lepas satu, satu pula. Dia cuba menghasilkan sesuatu di atas kertas. Kalau tak mampu, minta ummi dan abi yang lukiskan. Ummi dan abi akur, meski benda yang sama terpaksa dilukis hampir setiap hari. Hasil lukisan ditampal di dinding atas permintaannya. Turutilah saja, walau keadaan rumah dah macam bilik pameran :)
Kemudian abi belikan whiteboard/blackboard pula untuk Anas berkarya. Marker dan kapur tulis bertukar ganti. Dia melukis dan melukis. Lukisannya sama saja setiap hari. Pokok, bukit, jalan, matahari, sungai, dan yang sewaktu dengannya. Itu juga sebagai gambaran minatnya pada perkara tersebut.
lukisan pertama Anas |
Kini lukisannya masih bertemakan yang sama, namun lebih baik dari hari ke hari. Ada banyak perkara yang dulunya dia minta ummi dan abi lukiskan, kini dia boleh lukis sendiri. Ada juga yang sebelum ini dia tidak pernah cuba untuk lukis, kini ditambah pula ke dalam lukisannya.
Dia menjadi leka bila mula melukis. Masa berlalu tanpa sedar. Aku hanya membiarkan jika dia sedang asyik melukis. Sesekali memanggil ummi untuk lukiskan sesuatu yang dia tak mampu hasilkan.
Begitulah cerita Anas dan lukisannya. Aku sebagai ibu senang hati melihat dia asyik dengan lukisan. Biarkan dia berkarya, meski hasilnya tak hebat sangat di mata kita. Sekurang kurangnya dia sedang berusaha menghasilkan yang terbaik, dan insya Allah akan menjadi lebih baik.
Selain itu, daripada lukisannya dapat kubaca minatnya. Malah bukan semua lukisannya dapat kufahami. Aku akan mendengar penjelasannya, dan cuba memahami maksudnya. Adakala lucu, adakala kagum dan tak percaya.
Lukisannya pernah kukumpul dan simpan suatu masa dulu. Tapi lepas berpindah rumah, lukisan dah hilang entah ke mana. Akan cuba simpan dan kumpul semula semoga jadi kenangan dan tatapan buatnya di masa akan datang. Dinding rumah juga masih menjadi tempat untuk menampal hasil karyanya.
Biarkan Anas terus melukis. Meskipun belum mampu menulis. Insya Allah perlahan lahan akan belajar menulis pula.
Mussaab juga nampaknya perlu diasah minat dengan cara yang sama. Buat masa kini dia kurang berminat, kertas mahjung pun ummi dah lama tak beli.
Bukan saja saja nak paksa anak pegang pen dan kertas. Sekurang kurangnya masa si anak terisi dengan perkara berfaedah. Bukan video dan iPad saja yang diketagihkan. Biarkan dia berkarya, dan otaknya terus berjalan. Mudah mudahan ada manfaatnya di masa akan datang. Bukan dengan paksaan, tapi dengan menghadirkan minat. Dan bukan dengan menghalang dia dari bermain.
0 comments:
Post a Comment