19 Januari 2026
Genaplah usia Mussaab 12 tahun. Alhamdulillah. Sudah di tahun terakhir di sekolah rendah. Alhamdulillah, juga membesar dengan sihat, di samping ahli keluarga yang sentiasa dekat.
‘Angah’ juga kini sudah melangkah ke dunia remaja, walaupun hakikatnya belum cukup matang lagi sikap dan perangainya.
‘Angah’ yang ummi harapkan dapat berubah menjadi yang lebih baik sebagai anak, sebagai abang dan adik, sebagai student, dan sebagai hamba Allah. Jadi anak yang mendengar kata dan nasihat, adik yang menghormati abang sulungnya, abang yang tunjukkan sayang dan tak kuat menyakat adik-adiknya, student yang tekun belajar dan menghormati guru-gurunya sentiasa, dan yang utama, jadi hamba Allah yang beramal soleh, cintakan ibadah dan menjauhkan diri dari hal yang sia-sia.
Hari ni masuk minggu kedua persekolahan untuk tahun ini. Minggu ni dah mula belajar, dah tak boleh nak main-main sangat dah. Tahun 6, perlu usaha lebih baik dalam pelajaran sebagai persediaan ke sekolah menengah yang lebih mencabar. Dan tahun ni, bakal berdepan dengan PSRA pula. Kini masih menunggu result UPKK. Semoga cemerlanglah hendaknya.
Hari ini bersekolah pagi (SKKR) dan petang (SRIPN). Bila semua dah balik, abi bawa makan malam di Pawang Corner (atas permintaan Mussaab). Makan special lagi sempena hari lahir Mussaab. Meraikan seadanya, tanda ingat dan syukur. Alhamdulillah atas rezekiNya.
Selamat hari lahir angah! Semoga usiamu diberkati Allah, hidupmu sentiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNya. Semoga tercapai segala impian dan cita-citamu. Membesarlah baik, jadi insan berguna dan bermanfaat pada yang lain.
Love you always, Angah!
Semoga bahagia dan cemerlang dunia dan akhirat. Ameen.
Dinner
0 comments:
Post a Comment