Sessi persekolahan 2026 dah masuk minggu ke-3. Dan kita masih lagi berada di bulan Januari. Masih baru bermula..
Tahun ini ummi berdepan dengan rutin yang tak jauh beza dengan tahun lepas. Tapi tetap ada bezanya, bila Suri dah masuk tahun satu dan bersekolah sessi pagi dan petang (di sekolah yang berlainan, sama seperti Mussaab).
Dan tahun ini juga Anas dah tak mahu berbasikal ke sekolah. Penat katanya. Bermula dengan tayar basikal bocor hujung tahun lepas, kini kelas pula berada di level paling atas, dan kedudukan kelas pula paling hujung. Alasan jelah tu. Nak tak nak, ummi kena ambil balik tugas hantar dan ambil dia dari sekolah. Makanya, tahun ini trip pergi dan balik sekolah, bertambah-tambah.
Baru 4 hari ummi mengambil sepenuhnya tugas menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah selepas abi kembali bekerja. Dan ternyata lebih mencabar berbanding sebelumnya.
6.45 pagi dah kena gerak hantar seorang demi seorang. Bermula dengan Mussaab (SKKR), Miqdad (SRAIPB) dan akhirnya Suri (KAFAI Al-Mustaqim). Alhamdulillah setakat ini semua dihantar pada masa yang sepatutnya. Kemudian bersambung pula ke sessi petang, dan menjemput balik pula seorang demi seorang. 6 sessi/6 kelas sehari, dengan 6 group whatsapp/telegram kelas nak kena follow dan alert segala info, hmmm ya Allah, padaMu saja aku bergantung agar tak ada yang terlepas pandang, tak ada yang aku tak mampu buat.
Dan hari ini, Rabu merupakan hari kokurikulum. Semua sekolah dah bermula. Perlu lebih awal keluar (6.30 pagi) sebab Anas pun perlu ke sekolah pagi untuk aktiviti koko. Alhamdulillah sekali lagi, semuanya sampai ke sekolah pada waktunya. Dan lancar saja urusan pada setiap harinya. Terima kasih ya Allah.
Kalau ikutkan penat juga, keluar masuk rumah, berada dalam kesesakan jalan, dan di rumah pula perlu uruskan makan minum, kemas rumah, basuh kain baju, dll, tapi memang inilah hakikat hari ini yang perlu dijalani.
Ada hari penat, tak mengemas, tak memasak, beli di luar sesekali, dan tumpukan pada yang perlu sahaja. Tak berdaya juga tubuh ini nak buat segalanya. Biarlah tak sempurna, yang penting sudah mencuba sebaiknya.
Syukur anak-anak sihat dan penuhi kehadiran ke sekolah pada waktunya. Syukur semuanya selamat dihantar dan diambil semula. Syukur cukup makan minum mereka. Syukur dapat sediakan pakaian ke sekolah setiap pagi. Syukur cukup wang saku untuk setiapnya. Syukur ummi ini masih berkudrat untuk menguruskan 5 anak bersendirian meskipun dalam keadaan yang tak pernah sempurna.
Alhamdulillah segalaNya dari Allah. Masih di awal permulaan kisah tahun ini. Semoga akan berjalan lebih baik, dan lebih lancar di depan hari. Insya Allah.
0 comments:
Post a Comment