Friday 26 August 2016 0 comments By: Naemah

JEJARI AYAM SIMPLE

Semalam Anas mengadu lapar selepas selesai solat isyak. Petang tadi dah makan nasi. Malamnya masih lapar dan minta nak makan. Minta roti, roti tiada. Apapun tiada, kerana memang tengah nak habiskan stok makanan dalam peti ais sebelum balik ke kampung. Abinya pula tiada, nak ke kedai pun tak boleh. Last sekali goreng nasi simple2 je. Berselera pulak makan 2 beradik tu :D

Kerana abi masih belum balik, takut anak anak mengadu lapar lagi pada waktu malam (waktu ummi nak berehat), hari ni ummi usaha buatkan stok jejari ayam (resepi asalnya: CHICKEN NUGGET) Tapi bahan tak mencukupi, guna bahan yang ada saja. Senang dan simple sangat. Bentukkan memanjang, golek-golek, jadilah ia jejari ayam :)

Siap buat terus goreng untuk anak anak rasa. Licin... Oklah, walaupun bukan sedap sangat pun. Yang penting anak anak suka. 


Ini resepi ringkasnya,

Bahan bahannya: 
3 keping dada ayam saiz kecil- cincang halus, blend dengan sedikit air
Cheese mozarella- potong kecil, blend sekali dengan ayam
Garam secukupnya
Sedikit kiub ayam/ rencah ayam
Sedikit tepung ubi- tak nak bagi lembik sangat adunan
Breadcrumb

Cara-cara:
Campur semua bahan dalam bekas, kacau sebati
Perap seketika-lebih kurang setengah jam
Bentukkan ikut suka
Gelek di atas bread crumb
Sedia untuk digoreng atau disejukbekukan.










Thursday 25 August 2016 0 comments By: Naemah

BERI SEPENUH HATI

Pesan suamiku;  dalam memberikan/menyediakan sesuatu pada anak anak, kita perlu berikan yang terbaik dan dengan sepenuh hati. Contoh kalau masak, masak yang terbaik, bukan ala kadar, atau asal jadi. Sebagaimana mahu beri yang terbaik buat orang yang kita sayang, begitu juga jika ingin berikan pada anak anak. Mestilah yang terbaik, dan mestilah dengan sepenuh hati. Jangan fikirkan 'dia hanya budak kecil', maka dia takkan merungut dan complain apa apa. Panjang lagi syarahan suamiku :) :) :) terima kasih cinta <3

Ya, kata katamu benar duhai suami. Buat aku berfikir tentang segala katamu. Selama ini sudah cuba memberikan yang terbaik buat mereka, namun tanpa sedar, banyak juga kekurangannya. Lupa, meski dia anak kecil, dia juga mahu dilayan seperti kita yang dewasa. Mereka juga ada hati dan perasaan, cuma mereka masih tak mampu untuk meluahkan. 

Hal anak kecil.. Sering kita memandangnya remeh. Buat sekadarnya, beri sekadarnya. Alah... Budak budak je pun. Tak perlu nak susah susah untuk mereka. Mereka ok je..

Mungkin patut direnungkan kembali.. Segala bentuk layanan dan pemberian kita buat mereka. Adakah sudah memberi dengan sepenuh hati, dan penuh keikhlasan. Dengan usaha dan harapan, inilah yang terbaik dari ummi untuk anak anak... 

Ya, muhasabah. Mereka memang masih kecil, namun mereka berhak mendapat layanan istimewa dan yang terbaik dari ibubapa. Sebagaimana suatu hari, kita juga mengharapkan yang sama dari mereka apabila kita telah tua. 

Renung renungkan.. Apa yang kita beri, itu juga yang akan kita dapat.

Anak anak ummi.. Maafkan ummi atas segala kekurangan ummi. 


picture: here

PENTAS UJIAN INI



Kenapa ye... Nak berkeluh kesah dengan kesukaran dalam hidup? Bukan setiap saat kita diuji dengan perkara yang kita tak mahu. Bukan setiap masa, hanya sesekali saja kan??

Memang kita semua harapkan hidup ini mudah untuk dilalui. Biar segalanya lancar tanpa halangan. 

Namun hakikatnya hidup ini bukanlah begitu. Bukan semua yang dirancang menjadi nyata. Bukan semua dapat ditempuh tanpa halangan. Sesekali diuji.. Biasalah.

Walau terasa berat sekalipun, cuba tahan sebentar dari bertindak di luar kawalan. Tahan marah, tahan sedih, tahan sabar... Nak menangis, menangislah. Kalau boleh buat hati lebih lapang. Nak mengadu, mengadulah.. Tapi pada Allah, bukan pada manusia. 

Jalan di dunia ini memang banyak likunya. Tak boleh nak harapkan segalanya mudah dan indah. Nak jadi manusia berjaya, isteri solehah, ibu mithali, best student, pekerja terbaik, hatta hamba Allah yang soleh, pasti ada onak dan ranjau yang perlu ditempuh. 

Bertahanlah. Bersabarlah. Saat diuji dengan kesukaran demi kesukaran. 

Sesungguhnya dunia adalah pentas ujian. Menguji sejauh mana sabar dan kuatnya kita. Kemanisan hanya dapat dikecapi setelah segala kesusahan itu berjaya ditempuhi. 

Mohonlah pertolongan Allah sentiasa. Kita pasti dapat mengharunginya. Insya Allah.


~pesan buat diri yang sering kalah dengan perasaan~




ULANGKAJI BERSAMA MUSSAAB

Hari ini ambil sedikit masa untuk ulangkaji huruf hijaiyyah bersama Mussaab (2tahun 7 bulan). Dah lama flash card disimpan rapi tak bersentuh. Mussaab, susah sikit nak tarik fokusnya. Cara belajar memang sedikit berbeza dengan Anas yang memang sukakan huruf sejak baby lagi.

Sering soalan yang diajukan padanya dibiar tak terjawab. Suka alihkan perhatian pada benda lain. Entah dia tahu jawapannya atau tidak :)

Kalau di usia seperti Mussaab sekarang Anas dah advance sampai huruf berbaris (baris atas, bawah, depan dan tanwin) Mussaab masih belum sampai ke tahap itu. Mungkin kerana tidak terlalu diberi penekanan padanya. Yelah, ummi asyik fokus mengajar Anas je kan.  Lebih lebih lagi sekarang Mussaab hanya memilih topik yang dia suka dan enjoy saja.

Hari ini cuba main game dengan menggunakan flash card huruf hijaiyyah. Berjaya buat dia 'main sambil belajar' sekejap. Macam biasa, Anas yang paling excited, apatah lagi dia memang dah pandai. 

Senang saja mainnya. Susun huruf, sebut huruf dan minta dia ambilkan. Kemudian minta dia sebut kembali huruf yang ada di tangannya. Mula dengan 4 huruf, kemudian ditambah dan ditambah lagi. 

Anas dan Mussaab main bersama. Bergilir mengambil huruf. 10-15 minit bermain, kira oklah tu. Dapat dengar juga suara Mussaab menyebut huruf. Kalau tak, penat nak bertanya "huruf apa ni... Whats this"... Dia buat donnow je ,:) 

Hasilnya, not bad la... Walaupun Anas yang banyak menjawab, tapi Mussaab juga dapat belajar semula benda yang dah lama tidak diberi fokus. 

Pada usia Mussaab sekarang, Ummi tak nak tekankan sangat Mussaab belajar. Just nak refresh benda yang asas seperti pengenalan pada huruf dan nombor. Mussaab dah banyak tahu sebenarnya. Insya Allah. Lain kali nak uji atau ulangkaji lagi, memang kena ajak 'main' juga. Tak boleh formal sangat :)








Wednesday 24 August 2016 0 comments By: Naemah

HOMADE CHICKEN PATTTY/BURGER AYAM

Pagi ini seperti biasa terfikir fikir nak masak apa untuk breakfast. Dah bukan pandai sangat masak, asyik ulang masak benda sama je la kan ':) yang paling penting, masakan tu anak memang suka.  

Ada nasi lebih semalam, dengan ayam goreng kunyit semalam, apa lagi. Buat nasi goreng sajalah. Zapp.. 5 minit dah siap :)

Tiba tiba teringin nak makan burger. Daging burger dah ada dalam freezer. Roti ada. Kira cukuplah tu. Anak anak tak suka sangat burger. Tak pandai nak makan kot. So, buat untuk ummi saja. 

Patty ayam ni dah lama buat, dalam 2 minggu lepas. Homade chicken patty, tak susah pun. Hasil carian google juga. Yang penting sedap, sihat dan jimat. Insya Allah. 

Boleh tengok resepi di bawah ye :)



Bahan bahan:
isi ayam bahagian dada 3-4keping
garam secukup rasa
sedikit serbuk lada hitam-optional
sebiji bawang besar
sebiji bawang merah
2 ulas bawang putih
***boleh tambahkan sayur spt carrot (hancurkan) jika suka***


cara caranya:
-blend semua bahan bersama (boleh -tambah sedikit air untuk memudahkan proses blend)
-siap blend, satukan dalam bekas
-bentukkan bulat atau segi empat
-bungkus dengan plastik wrap
-kukus hingga masak (10-15minit)
-angkat dan sejukkan
-simpan dalam freezer untuk tahan lebih lama
*** nak makan, bakar sekejap saja kerana ia dah sedia masak***





daging burger dr peti ais. kurang cantik bentuknya :)




daging yang sudah dibakar bersama roti gardenia



DIARI ANAKKU: 240816



Hari ini abi berangkat ke Bintulu lagi selepas 2 hari berada di rumah. Sangat singkat cuti abi kali ini. Tapi tak mengapalah, insya Allah lepas ni cuti abi lebih lama. Doakan abi selamat sampai dan dipermudahkan segala urusan di sana. Insya Allah.

Mussaab bangun jam 7.20 pagi. Bangun tanpa kata. Turun ke bawah dan berbaring di lantai. Abi sibuk membilas kain di bilik air. Kain terpaksa dibasuh tangan akibat mesin basuh rosak sejak semalam. 

Anas pula bangun jam 8 pagi. Abi sedang bersiap untuk keluar. Menunggu teksi sampai untuk ke airport. Abi menjemur kain baju dan bersiap. Anas dan Mussaab menonton video 'word world' yang kini menjadi kegemaran. Jam 8.30, bersalaman dengan abi yang bersedia untuk pergi. Anas dan Mussaab sambung menonton. 

Jam 9 pagi, breakfast nasi lemak yang ummi masak tadi. Mussaab hanya makan semulut saja. Lepas makan ummi ajak naik untuk mandi. Anas tak nak mandi. Ummi bagi masa hingga jam 9.30 untuk Anas dan Mussaab menonton video dan lepas tu perlu mandi. Tapi terlajak juga hampir ke pukul 10 pagi. Di bilik air, mandi dan main air pula, barulah keluar. Berpakaian dan masuk bermain di bilik mainan. Ummi teman Anas dan Mussaab main sekejap. Lepas tu ummi rendam kain untuk dibasuh, solat dhuha dan baca al Quran. Anas dan Mussaab terus bermain hingga ummi selesai. Jam 10.40, flight abi berlepas ke Bintulu. Semoga Allah menjaga abi dan memudahkan urusan abi. Insya Allah.

Jam 11 pagi, turun semula ke bawah. Mussaab minta nak makan keropok. Anas main car dan kereta control yang abi baru beli. Bacaan juzuk amma terpasang sejak tadi. Kemudian Anas minta nak menonton 'word world' lagi. Anas dan Mussaab menonton bersama. Dah bosan, Anas tutup komputer dan main car lagi. Mussaab juga main, dan sambung makan keropok.

Jam 12, Anas baca surah 'Abasa dan buku 'pantas membaca'. Satu muka surat saja. Anas dah takde mood nak teruskan. Mussaab masih bermain. Ummi minta baca surah An Nas. Mussaab cakap 'tak best'. Hai.. Geram betul dengar jawapan tu. Anas buka komputer semula. Menonton video yang baru ummi download pagi tadi. Sekejap saja, dah tak berminat. 

12.30, lunch dengan nasi lemak lagi. Mussaab masih tak nak makan nasi. Kenyang makan keropok. Lepas tu
Menangis berebutkan sekeping biskut dengan Anas. Lama menangis, campur mengantuk juga agaknya. Sudah puas menangis, habiskan biskut di tangan, kemudian makan coklat nutella pula. Anas main kereta sementara ummi kemaskan meja makan dan cuci pinggan.

Jam 1 petang, ummi rehat di bawah. Anas buka video dan menonton lagi.Selepas itu ambil marker dan buku untuk menulis. Ummi ambil flash card dan ajar Mussaab. Tapi sekejap saja fokusnya. Lihat Anas menulis, Mussaab juga nak menulis. Naik ke atas dan menulis di atas. Anas di bilik mainan. Ummi basuh kain, mandi dan solat. 

Pukul 2, ummi ajak tidur. Macam biasa, susah nak tidur. Anas panjat kerusi dan lap habuk di tingkap. Mussaab sambil baring sambil pegang mainan. Lepas tu dua dua masuk bilik air dan main air. Kemudian keluar dan masuk bilik mainan lagi. Tak nak tidur. Jam 3 petang unmi terlelap dan bangun semula jam 3.30. Anas dan Mussaab masih leka bermain.

Jam 4 petang, turun ke bawah. Ummi buka tv, Anas dan Mussaab menonton 'word world' lagi. Lepas tu Anas minta nak makan roti bakar+kaya. Ummi buatkan untuk Anas dan Mussaab. Kemudian ummi naik solat asar, tinggalkan Anas dan Mussaab di bawah. 

Lepas solat asar, bermain dengan flash card. Dah lama flash card ni tersimpan. Cuba nak uji Mussaab dengan huruf huruf hijaiyyah. Nampaknya Mussaab kurang berminat. Jawab sesuka hati. Ada jawapan yang betul, banyak juga yang salah. Ummi confuse, Mussaab ni main main ke betul betul tak tahu. Banyak main, dari fokus pada soalan ummi. Ummi cuba 'bermain' dengan flash card untuk tarik perhatian Mussaab. Flash card dah berterabur, ummi sebut huruf, Anas dan Mussaab berlarian mencari. Of course, Anas yang banyak jumpa. Ummi minta Anas bagi peluang pada Mussaab untuk dapatkan huruf yang ummi sebut. Nampaknya Mussaab seronok bermain macam tu. Dapat huruf, baca bersama Anas. Senang pulak dia nak ikut :) main sambil kemas. Selesai.

Jam 5 petang, ummi menggunakan komputer sementara Anas dan Mussaab bermain dan buat hal sendiri. 5.30, Ummi memasak. Anas dan Mussaab menonton video lagi hingga selesai ummi memasak. Ummi ajak dinner, dan ummi pasang juzuk amma. Anas makan, Mussaab tak nak makan. Ambil buku dan membelek buku di lantai, hingga ummi dan Anas selesai makan.

Jam 7 petang, naik ke atas. Mussaab dah mula menangis dan meragam. Tak tahu apa sebabnya. Mungkin juga penat dan mengantuk. Anas dan Mussaab mandi bersama. Seperti biasa, mandi dan main. Hingga masuk waktu maghrib. Selesai mandi, Mussaab menangis lagi. Risau ummi dibuatnya. Takut sakit atau ada yang tidak kena. Ummi sapukan minyak mastika ke perut  Mussaab, pakaikan baju dan seluar, dan memangku Mussaab. Mussaab diam di pangkuan ummi. Sekejap saja, dah terlena. Sayu hati ummi.. Mungkin Mussaab hanya mahu dipeluk dan dimanja. Kesian, ummi hampir tiada masa untuk memeluk dan membelai manja Mussaab yang masih kecil :,)

Tak lama kemudian abi call/facetime. Hanya bercakap dengan ummi dan Anas. Mussaab sudah lena. Sekejap saja berbual dengan abi. Ummi mandi dan solat maghrib. Anas bermain sendirian di bilik mainan. Kemudian masuk ke bilik ummi. Main di bilik ummi pula, bersepah segala barang. Sunyi, tanpa suara Mussaab. Hati ummi masih terasa sayu. Mahu menangis rasanya. Malah rindu pada abi yang jauh. Kesian pada Anas dan Mussaab. Tak lepas dari rasa berdosa dan bersalah. Ummi hanya diam tanpa kata. Menambah lagi sunyi, membiarkan Anas bermain tanpa teman.

Lepas solat isyak, turun ke bawah. Ummi rebahkan badan di sofa. Nak menonton tv, tapi tiada rancangan yang menarik. Anas makan roti kaya dan menonton video lagi. Lepas tu ummi ajak naik tidur. Mata ummi dah mengantuk, Anas juga tak tidur siang tadi. Baring di katil. Anas tidur akhirnya, jam 9.30. Ummi juga mahu tidur..

Alhamdulillah, satu hari tanpa abi dah berlalu. Menanti hari kepulangan abi. Anak anak ummi, semoga sentiasa dalam keadaan baik dan sihat. Syukur atas kehidupan hari ini. Semoga hari esok akan lebih baik untuk kita. Insya Allah.










SERONOK MEMBACA AL QURAN


Antara pelajaran penting yang perlu diterapkan pada anak anak ialah pelajaran al Quran. Siapa yang tak nak anak pandai membaca al Quran kan?? Kalau boleh, biarlah pelajaran al Quran didahulukan dan ditekankan berbanding pelajaran akademik yang lain. 

Namun bukan mudah juga nak tarik minat anak kecil pada al quran, melainkan kita dah 'terapkan' al quran seawal yang mungkin dalam kehidupan mereka. Mungkin ketika mereka di alam rahim lagi :) dan berterusan hingga lahirnya si anak. 

Aku sendiri, berbagai cara sudah dicuba agar anak anak minat dan pandai membaca al Quran. Dalam situasi anak anak yang semakin membesar, kita tak boleh hanya menggunakan satu cara saja. Anak anak boleh jadi bosan, boleh jadi juga kita yang jemu dan tak mampu nak konsisten mengajar.

Fokus mengajar al Quran banyak diberikan pada anak sulungku Anas Zaydan yang kini berusia 4 tahun 7 bulan. Setelah mencuba berbagai cara dan teknik mengajar, dia kini boleh dikatakan masih di peringkat awal dalam kebolehan membaca al Quran. 
Sedang fokus pada satu surah, dan mengulang baca surah tersebut sehingga lancar (betul sebutan dan betul ayat yang ditunjuk)

Fokus mengajar al Quran pada Anas bermula ketika usianya 3 tahun lebih (2015). Mula dengan hafazan, bukan membaca. Boleh tengok di entri ini: CETUSAN IDEA DAN TEKNIK HAFAZAN.

Selepas 8 bulan, dia berjaya menghafaz 27 surah dan hafazan terhenti di situ atas pelbagai sebab (pernah cerita juga dlm entri lepas). Hafazan dah lama tak diperdengar semula, mungkin banyak yang dah ingat ingat lupa, dan tertukar ayatnya. Takpe, kita cuba cover balik. Insya Allah :)

Selepas tak fokus pada hafazan, cuba mengajar Anas membaca al Quran menggunakan buku iqra'. Mula dengan iqra' 3 kerana iqra' 1 dan 2 dia sudah boleh dikatakan lulus. Hingga beberapa muka surat, dia dah mula tak minat nak teruskan (mungkin atas faktor ummi yang kadang kadang garang ketika mengajar (:) juga cuba gunakan buku iqra' at taisir, dan buku yang lain. Tapi fokusnya tak lama. Malah susah nak pujuk dia duduk membaca.

Bermula tahun ini (2016) mula mengajar Anas dengan menggunakan mashaf al Quran (Al Quran pertamaku, juzuk amma). Mulakan mengajar membaca surah terakhir (an Naba'), mengeja dan membaca, satu ayat demi satu ayat. Oklah, dia boleh ikut. Tapi masih kurang berminat dan cepat bosan juga. Puas juga nak memaksa/ memujuk untuk membaca bersama. Tambahan ummi juga kurang konsisten dalam mengajar.

Bermula ramadhan lepas (Jun 2016), cuba cara baru pula. Aku cuba tulis ayat  perkata di atas kertas A4 untuk dia senang nampak, senang eja dan baca. Mula dengan surah 'Abasa. Alhamdulillah, nampaknya dia  suka cara begini. Senang ikut, mudah tangkap, dan tak perlu paksa membaca. Satu hari satu ayat dah cukup. Kini dah habis satu surah 'Abasa (42 ayat). Walaupun tak konsisten juga mengajar, dek banyak travel dan masalah kesihatan :) tetapi Anas dah berjaya baca dengan sebutan yang betul, dan tepat ditunjukkan pada ayat yang dibaca, satu persatu. Alhamdulillah, satu pencapaian dan peningkatan. Amazingly, sambil membaca, dia menghafaz. Kalau disuruh baca tanpa menatap al Quran juga dia boleh. Alhamdulillah.. Bermakna jumlah surah hafazan Anas juga bertambah.

Kini Anas lebih seronok membaca al Quran. Tak perlu paksa, mudah diajak, walau ada ketika dia perlu dipujuk berkali kali. Maklumlah budak budak, ada ketika dia leka bermain, tiba tiba nak ajak dia belajar, memang panjang sikitlah ceritanya :) tapi yang pasti, kini Anas makin rajin dan seronok membaca al Quran.


Sehingga setakat ini, inilah cara yang terbaik buat Anas. Di masa akan datang tak tahu bagaimana pula teknik yang paling sesuai :) Sedang proses melancarkan lagi bacaan surah 'Abasa sebelum beralih ke surah baru (Anas pilih surah an Naazi'at). Insya Allah bukan September nanti akan mula surah baru. Sempat fokus pada Anas sebelum lahirkan adik bulan Oktober, Insya Allah :)


Itulah sedikit perkongsian. Nak mengajar anak, tetap perlukan usaha dan idea, agar anak suka dan seronok belajar, terutamanya al Quran. Setiap anak, cara belajar mereka berbeza. Dan setiap ibu, ada cara mereka tersendiri dalam menarik minat anak. Yang penting, para ibu jangan berputus asa. Kalau cara yang begini tak sesuai, boleh cuba cara lain. Usaha dan usaha. Walau kadang kita rasa macam susah, tapi Allah pasti akan tunjukkan jalan jika kita mahu dan terus berusaha.

Kini fokus masih pada Anas. Pada Mussaab boleh jadi berbeza pula caranya. Nak usahakan mengajar al quran pada Mussaab juga, biar anak anak celik al quran. Insya Allah. Semoga diberi kekuatan dan ditunjukkan jalan. Tak terhenti sehingga dia pandai membaca sahaja. Tak lupa pada pengisian al Quran, dan cara hidup berpandukan al Quran. Tak lain, ibubapa sendiri perlu menunjukkan contoh buat anak anak. 

Semoga diterangkan hati, ditunjukkan jalan, agar hidup terang bersuluhkan cahayaNya. 

Aameen













Tuesday 23 August 2016 0 comments By: Naemah

TENTANG POLIGAMI

picture: here


Tentang poligami. Mungkin topik yang paling kurang digemari oleh kaum wanita. Bila sebut poligami, terbayang 'madu' yang mungkin pahit untuk ditelan. Berkongsi kasih seorang suami dengan wanita lain. Bukan semua, tapi kebanyakan wanita enggan dirinya dimadukan :)

Berpoligami hakikatnya sebahagian dari agama kita. Ia juga satu 'sunnah' kerana Rasulullah sendiri suatu ketika dahulu mempunyai ramai isteri. Hidup bahagia bersama, dan tiada sengketa. Poligami Rasulullah indah :) namun hakikat poligami hari ini sangat menjelikkan. Kerana bukan semua suami layak untuk berpoligami.

Ketepikan mereka yang berpoligami kerana nafsu, hingga tanggungjawab langsung terabai. Kita lihat pada poligami yang indah, di mana suami adil dalam melayani isteri isteri, hingga antara mereka hidup dengan saling berkasih sayang dan bahagia bersama.

Aku suka follow fb isteri isteri solehah yang redha dan bahagia hidup berpoligami. Aku membaca setiap cerita mereka tentang dunia poligami yang digambarkan indah. Aku cuba meletakkan diri di tempat mereka. Namun... Rupa rupanya hati aku tak semurni mereka. Terasa masih belum ada kesanggupan untuk menjalani hidup seperti mereka. 

Berkongsi kasih seorang suami. Entah mengapa rasa cemburu terlalu kuat untuk memikirkan tentang itu. Entah kenapa, ada perasaan 'dia hanya untukku', sedangkan dia bukan milik mutlakku. Dia juga punya hak untuk memiliki isteri selain aku. Ia halal di sisi Tuhan, dengan syarat dia mampu berlaku adil. 

Aku kagum pada mereka yang rela berkongsi kasih. Yang tidak merasakan cinta suami adalah hak mutlak buat dirinya seorang. Mereka rela masa suami dibahagikan, biar tak selalu dapat bersama. Mereka tak merasa sunyi, mereka pandai menyimpan rasa cemburu yang menjadi fitrah seorang wanita. 

Satu perkara yang perlu aku sentiasa ingatkan diri. Suami bukan hak milik mutlakku. Tetap dia pinjaman Allah buatku. Cintanya boleh jadi untukku seorang (sebagai isteri), dan tiada salah jika ada cinta kedua selepas aku, melalui ikatan yang dinamakan pernikahan. Itu adalah hakikat yang perlu aku terima. Kerana poligami ada 'tempat'nya di dalam agama.

Hari ini, ketika ini, aku merasakan manis dan bahagia hidup bersamanya sebagai satu satunya isteri untuknya. Di masa yang akan datang, walau bagaimana takdir Allah, aku memohon padaNya agar terus dilapangkan hati, dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan rumahtangga kami. 

Aameen.

~ Allah lebih tahu kemampuan hambaNya~
Friday 19 August 2016 0 comments By: Naemah

AKU SURI RUMAHTANGGA

picture: here



Usia perkahwinanku kini dah masuk 5 tahun 8 bulan. Dah melepasi 5 tahun pertama. Alhamdulillah :) Bahagia menjadi isteri pada suami yang sangat kucintai. Meskipun dalam tempoh ini juga la kami mula berkenalan dan bercinta. Dan dalam tempoh ini juga lah aku bergelar seorang suri rumahtangga, walaupun aku ada kelulusan yang 'mungkin' melayakkan aku untuk mendapat kerjaya yang baik di luar sana.

Menjadi suri rumahtangga.. Pertamanya atas pilihan sendiri. Suamiku tidak memaksa, namun aku tahu dia lebih suka  isterinya tidak bekerja. 

Hari ini, ramai isteri yang berkerjaya. Mereka bekerja di atas sebab tersendiri. Namun wanita bekerja bukan lagi dipandang pelik pada hari ini. Mereka ada pendapatan sendiri, sedikit sebanyak membantu suami dalam perbelanjaan isi rumah yang kian meningkat. Alhamdulillah, itu pilihan mereka dan rezeki yang Allah takdirkan buat mereka.

Aku sebagai suri rumahtangga, bahagia dengan pilihanku. Dari tak tahu apa apa bab menguruskan rumahtangga, aku belajar dan terus belajar, meski masih  banyak kekurangan dan masih kurang cekap lagi. Bab masak memasak, mengemas rumah, menjaga anak anak, dulunya sangat aku jahil, dan pandang mudah saja. Kini dah bergelut dalam dunia rumahtangga ini, baru tahu segalanya tak mudah, malah sangat mencabar :) 

Menjadi suri rumah juga boleh dikatakan kita tak bergaji. Tak pegang duit sendiri, kecuali jika suami yang berikan. Sikit atau banyak, terima saja dengan pasrah dan syukur. Bagiku, cukup sudah suami sediakan makan pakai dan segala keperluan. Tak pegang duit pun tak apalah. Aku belajar melupakan semua kehendak yang kurang penting. 

Alhamdulillah suamiku telah menyediakan kecukupan buatku. Malah, sudah lebih dari cukup hingga aku rasa tak ada apa yang nak diminta lagi. Apa yang dirasakan perlu, suarakan saja. Dia tak lokek untuk cuba memenuhi permintaan isterinya.

Mungkin ada hikmahnya bila aku ditakdirkan untuk tidak bekerja. Pertama, anak anak sudah semestinya dijaga dan diasuh oleh ibu mereka sendiri. Buat anak anakku, dijaga ibu sendiri adalah yang terbaik buat mereka. Untuk anak orang lain (jika ibu mereka bekerja), mungkin ada takdir lain yang lebih baik buat mereka.

Kedua, bila tidak 'berduit', aku belajar menahan nafsu dan kemahuan yang tidak terbatas. Tak dinafikan, kita ada kemahuan yang tersendiri. Bila sedar diri tak berduit, kita akan lebih berfikir panjang apakah ia keperluan atau sekadar kehendak. Jika rasa  perlu, boleh saja minta pada suami. Jika sebaliknya, lupakan saja :)


Mungkin ramai yang di luar sana yang sedang berkira kira untuk berhenti bekerja dan menjadi suri rumah. Namun pastinya sukar untuk memilih dan membuat keputusan kan? Istikharah adalah yang terbaik, semoga Allah tunjukkan jalan keluar dari dilema yang sedang dihadapi. 

Pesanku, untuk menjadi suri rumahtangga kita tetap perlukan persediaan mental dan fizikal. Pertama, jadikan anak anak sebagai motivasi utama kita. Ingat pada anak anak yang perlukan perhatian kita sebagai ibu. Jika sebelum ini kita sudah berikan yang terbaik buat mereka, mungkin kita boleh beri lebih baik lagi buat mereka sekiranya kita tidak bekerja, Insya Allah. Kedua, jika sebelum ini kita sudah biasa 'mewah' kerana ada pendapatan sendiri, dan boleh beli apa saja tanpa halangan sesiapa, lepas ni bila dah tak kerja kita perlu belajar melupakan segala kehendak yang tidak penting. Pada mulanya mungkin sukar, lama kelamaan insya Allah akan jadi biasa. 

Yang penting, memilih menjadi suri rumahtangga tetap perlukan keikhlasan dan kesabaran yang kuat. Orang kata kita tak bekerja, sebenarnya kita penat di gelanggang yang kecil ini. Malahan kita juga perlu berhadapan dengan karenah anak anak kecil yang belum sepenuhnya mengerti, setiap hari, 24 jam. Mereka perlukan perhatian, layanan, pantauan, dan bantuan kita hampir setiap masa. Dalam situasi mencabar, kita perlu bijak menjaga emosi dan mengatasi rasa marah.

Sampai di sini saja, tentang 'aku suri rumahtangga'. Bukanlah bermaksud suri rumahtangga lebih baik dan lebih mulia dari mereka yang bekerja. Siapa pun boleh jadi lebih baik, asalkan tahu di mana tempat diri dan tanggungjawab. Hidup ini tetap diberi pilihan. Hanya diri kita yang tahu mana lebih baik buat kita, dan yang mana akan buat kita lebih happy dalam menjalani hidup. Ya, suri rumah adalah pilihanku, dan aku bahagia dengan pilihan ini. 

Isteri, berkerjaya atau tidak, tetap seorang isteri dan ibu yang perlu sedar bahawa rumahtangga adalah yang utama buat mereka. Semoga kita mampu menjadi isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan anak anak. insya Allah.
Thursday 18 August 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 190816


Hari kedua abi di Bintulu. Ummi hari ini masih dalam keadaan batuk dan selesema, dah nak masuk 2 minggu. Alhamdulillah keadaan hari ini lebih baik dan lebih bertenaga. 


Mussaab bangun jam 7 pagi. Bangun dengan senyuman, bermain tren dan sarapan bersama ummi. Anas bangun jam 8 pagi. Terus mandi bersama Mussaab, berpakaian dan bermain permainan. Kemudian turun ke bawah untuk sarapan. Mussaab juga makan nasi goreng bersama Anas. Anas dan Mussaab makan sendiri, sementara ummi solat dhuha dan baca al Quran. Alhamdulillah Anas dah makin pandai makan sendiri, Mussaab juga asyik nak makan sendiri sekarang bila tengok Anas makan sendiri. Tapi masih tumpah tumpah. Takpelah, belajar perlahan lahan. Nanti dah tak tumpah lagi :) Anas banyak melayan permintaan Mussaab di meja makan. Alhamdulillah, Anas belajar menjadi abang yang baik. Insya Allah.




Jam 9 pagi, Anas dan Mussaab naik ke atas dan bermain di bilik permainan. Ummi selesaikan kerja di bawah. 10 pagi, Anas buka video 'Bob the train' dan menonton bersama Mussaab. Sambil menonton, sambil bermain.


10 pagi, Anas membaca al Quran. Mussaab setia menonton. Kemudian ummi goreng jemput pisang ditemani Anas. Lepas tu makan bersama sama. Kemudian main lagi. Sekejap di bawah dan sekejap di atas. Video trains tetap terpasang, sesekali berhenti menonton.








Jam 11 pagi, Anas mengadu lapar, tapi ummi  masih belum memasak. Ummi masuk ke dapur dan masakkan nasi ayam untuk Anas dan Mussaab. Jam 12, siap. Makan bersama sama. Alhamdulillah, Anas dan Mussaab makan dengan sangat berselera. Lepas makan, Anas dan Mussaab mandi dan main air. Ummi kemas meja makan, basuh pinggan, mop lantai, jemur kain dan vacum karpet. Alhamdulillah, banyak kerja ummi boleh buat hari ni. Badan rasa sihat dan bertenaga, tak seperti semalam yang lemah dan lesu saja. Agak lama Anas dan Mussaab main air, hingga basah lantai dapur dibuatnya.


Jam 1 petang, ummi minta keluar dari bilik air. Bersiap untuk naik atas dan solat zohor pula. Anas dan Mussaab leka lagi di bilik mainan, menyusun track dan kereta mainan. Selesai solat, ummi ajak tidur macam biasa. Tapi biasa la, masih nak bermain. Mussaab berbaring sebelah ummi sambil main tren. Akhirnya terlena jam 2.30 petang. Tiba tiba terima whatsapp dari abi. Eh, tak sangka dapat whatsapp abi walaupun dia kat tengah laut. Alhamdulillah. Lepas tu ummi juga tidur. Bangun dari tidur, Anas juga dah lena di kaki ummi. 


Jam 4.30 petang, semua dah bangun. Ummi solat asar, Anas dan Mussaab sambung main lagi. Selesai solat, turun ke bawah. Ummi angkat kain dan hidupkan enjin kereta abi. Anas dan Mussaab main lagi. Ummi berehat di sofa sambil menonton tv dan baca buku. Anas dan Mussaab makan keropok, cereal dan main seperti biasa. 


Jam 6 petang, ummi masak nasi dan goreng ayam. Anas dan Mussaab makan bersama. Lepas tu ummi buatkan burger ayam (homade). Anas dan Mussaab makan lagi. 


7 petang, selesai makan dan naik ke atas semula. Anas dan Mussaab mandi bersama dan main air dan mainan di dalam bilik air. Hampir masuk waktu maghrib, ummi minta keluar dari bilik air. Berpakaian dan sambung bermain lagi. Ummi mandi dan solat. Kemudian ajar Anas mengaji. Mussaab bermain permainan blocks dan mengaji juga bersama Anas. Lepas mengaji, main lagi. Ummi sempat whatsapp abi bertanya khabar dan menghantar gambar Anas dan Mussaab. 


Lepas isyak, turun ke bawah. Anas dan Mussaab masih cergas, tak mengantuk. Siang tadi dah tidur banyak. Sambung bermain di bawah pula. Ummi biarkan Anas dan Mussaab bermain sepuasnya. Hari ini memang banyak bermain saja. Tiada aktiviti lain. Menonton video pun dah bosan agaknya. Buku tak bersentuh, pen dan kertas juga seakan dilupakan. Mungkin tiada mood untuk melukis dan membaca. Ummi juga tak nak paksa. Mainlah, ummi tak kisah Anas dan Mussaab banyak main. Suka tengok Anas dan Mussaab asyik dengan mainan. Menyusun, mengatur, dan diam berfikir. Semoga ada manfaatnya.


Bila ummi ajak naik tidur, sempat pula Anas capai buku 'Skip and Digger ' dan minta ummi bacakan. Bacalah sekejap. Lepas tu, Anas ambil buku 'Toys' pula dan ajar Mussaab. Mussaab asyik mengunyah kerepek sambil layan buku bersama Anas. Masih tak mahu tidur. Ummi tunggu sehingga Anas dan Mussaab bersedia nak tidur. Sambil WhatsApp abi yang jauh di lautan. Lepas baca buku, Anas minta hp ummi dan tonton video. Mussaab masih dengan kerepek bawangnya.




Jam 10 malam, ummi paksa juga naik ke atas untuk tidur. Tutup lampu dan baring di katil. Masih tak mahu tidur, mulut masih ringan bercakap, Mussaab pula seperti biasa bawa bersama mainannya ke atas katil. Memang sudah biasa, mainan yang sedang dia main sebelum tidur, akan dibawa sekali untuk tidur bersamanya.

Anas menyentuh perut ummi untuk merasai gerakan baby dan berbual dengan baby yang sedang aktif malam malam macam ni. Sudah kebiasaan, Anas suka rasa gerakan baby dan berbicara dengan baby. Tak mengapalah abi selalu tak ada untuk belai dan bercakap dengan baby. Along kan ada :) Along sayang baby, tak sabar tunggu kelahiran baby.

Mussaab lena lebih kurang jam 10.30 malam. Anas juga lena kemudiannya. Mungkin jam 11 lebih. Ummi yang terlebih dulu lena. 

Sudah berlalu hari ini. Anak anak ummi baik dan bagus semuanya. Anas lebih cerdik, lebih bersifat 'abang' sekarang. Tapi ya, Anas masih belajar menjadi abang yang lebih baik, Insya Allah. Anas banyak mengalah dan banyak menbantu Mussaab dalam banyak hal. Thanks to be so nice, along. Ummi love you. Mussaab juga mesti sayang dan hormat along ya :) semoga anak anak ummi sentiasa hidup dengan saling berkasih sayang. Insya Allah.

ANAS BELAJAR MENJADI ABANG YANG BAIK



Anas Zaydan, anak sulung ummi kini dah berusia 4 tahun 7 bulan. Along gelaran diberi, abang kepada Mussaab dan adik yang bakal lahir. Anak sulung ummi yang baik, cerdik dan soleh, insya Allah.

Banyak cerita dan update tentang Anas. Kenapa Anas? Mussaab macamana? Ye.. Mussaab pun ada juga. Bila ummi banyak menulis tentang Anas, bukan maknanya ummi lebih sayangkan Anas. Ummi sayang semua anak ummi. Hanya kerana Anas yang sulung, Anas akan menjadi contoh ikutan pada adik adik, maka ummi banyak fokus pada pencapaian Anas dan sifat baik Anas.

Anas di usia sekarang, ummi melihat semakin cerdik dan mengerti. Anas dah makin pandai menjadi seorang 'abang'. Kalau sebelum ni asyik adik yang kena mengalah ketika bermain, sampai menangis nangis, sekarang Anas dah banyak mengalah. Dah jarang kedengaran suara adik menangis berebut mainan. Sesekali ada juga, tapi yalah, Anas masih dalam proses belajar menjadi abang.

Begitu juga bab melayan permintaan adik. Jika sebelum ini apa yang adik nak, Anas buat tak tahu saja. Ummi dan abi yang perlu penuhi permintaan adik. Kini Anas menjadi abang yang lebih mendengar dan prihatin. Adik minta apa apa, Anas cuba penuhi jika yang diminta itu mudah untuk Anas memenuhinya.

Bila adik bertanya, Anas cuba menjawab. Bila adik meragam dan menangis, Anas cuba bertanya kenapa..

Pendek kata, Anas semakin menjadi 'abang'. Walaupun Anas still anak manja ummi. Tapi Anas tahu Anas juga seorang abang, yang perlu melayan adik dan buat baik pada adik. Dan ya, Anas memang sangat sayangkan adik. Jangan ada yang nak ambil adik, Anas takkan biarkan. 

Sekarang ummi mengandungkan seorang lagi adik Anas. Anas dah tunjukkan rasa suka dan tak sabar menanti kelahiran. Sering bertanya bila baby nak keluar, sering mengusap perut ummi untuk rasa gerakan baby, malah sering juga bercakap cakap dengan baby.

Anas, di usia sekarang hakikatnya masih kecil untuk menjadi abang yang matang dan sempurna. Cuma selangkah demi selangkah, Anas belajar menjadi abang yang lebih baik. Setiap hari ummi bersama Anas. Ummi dapat rasakan perubahan demi perubahan pada sikap Anas. Ummi bangga dan bahagia.

Namun tetap menjadi tanggungjawab ummi dan abi untuk membentuk Anas dalam menjadikan Anas seorang abang yang lebih baik. Ummi dan abi perlu terlebih dahulu menunjukkan contoh, dan tak jemu berpesan.

Sering, Anas dimarah ummi dan abi akibat berkasar dengan adik, dan buat adik menangis. Percayalah, ummi dan abi cuma mahukan Anas berkelakuan baik pada adik. Maafkan ummi dan abi jika kami tersilap cara, tapi hakikatnya kami hanya mahu Anas menjadi abang yang lebih baik. Sayang pada adik, baik melayani adik, berkongsi barang dan mainan dengan adik, dan merasa adik sebahagian dari kehidupan Anas. 

Hari ini ummi gembira melihat Anas sudah menunjukkan sikap yang lebih baik pada adik. Memang ada ketikanya masih ada yang tak kena, ummi tak expect Anas sempurna. Cuma ummi doakan Anas akan menjadi abang yang lebih baik, dan terbaik untuk dicontohi adik adik. 

Anas abang yang sulung. Anas yang akan menjadi contoh dan ikutan adik adik. Thats why..ummi sentiasa tekankan banyak perkara pada Anas. Semoga Allah tunjukkan jalan buat ummi dan abi dalam mendidik dan membentuk peribadi Anas dan adik adik. Insya Allah

SEJENAK DI KLINIK


Sepanjang mengandung 9 bulan, sepanjang tempoh itu jugalah aku perlu berulang alik mengunjungi klinik desa dan klinik kesihatan untuk check up kandungan dan temujanji doktor. Dah makin sarat ni, makin keraplah ke klinik :)

Dalam tempoh ini, ada sekali dua aku ditemani anak anak. Selebihnya hanya sendiri saja di klinik tanpa ada yang menemani. Suami hanya menghantar dan mengambilku dari klinik. Ketika aku di klinik, tugasnya menjaga dan melayan anak anak di rumah. Itu sudah lebih dari cukup. Kerana tanpa dia, agak sukar bagiku kerana perlu membawa anak anak sekali ke klinik. Kalau sekejap tak mengapa, ini makan masa berjam jam di klinik. 

Di klinik, aku banyak melihat ibu ibu yang sepertiku, seorang diri tanpa ditemani, dan tak kurang juga yang datang ditemani suami atau saudara. Bertuahlah, bagi mereka yang sering ditemani suami. Mungkin suaminya tak bekerja waktu tu, atau ambil cuti semata nak teman isteri. Mungkin juga, pasangan baru yang menanti kelahiran anak pertama. Dan segala yang mungkin. Mereka beruntung dikurnia suami yang penyayang dan mengambil berat, insya Allah. 

Namun yang datang sendiri tanpa ditemani suami (termasuk aku), adakah kerana suami tak sayang dan tak ambil berat? Eh, tak juga. Jangan terus nak menghukum. Ada isteri yang lebih selesa datang sendiri tanpa ditemani suami. Ada isteri yang suaminya perlu bekerja, pada masa dan ketika itu. Makan gaji pulak tu. Tak boleh ambil cuti sesuka hati. Ada isteri, yang suaminya perlu menjaga anak anak yang lain di rumah semasa isteri tiada, seperti aku :) kalau bawa sekali ke klinik, takut sukar nak kawal pula. Dan berbagai alasan lagi yang membuatkan suami tak mampu menemani isteri. 

Kalau bertanya padaku, aku juga suka jika suami datang menemaniku.Seperti  mengandungkan anak sulung dulu, hampir setiap temujanji dia datang bersama. Bila mengandung anak kedua, ada juga sesekali dia teman sambil jaga yang sulung. Kini yang ketiga, dah tak mampu nak teman sebab anak anak tengah lasak, tak boleh bawa bersama dan berada di klinik lebih lama. Takut menganggu staf dan pesakit lain juga :) maka aku sangat faham.. Bukan suami tak mahu teman, cuma suami perlu pilih yang lebih baik, iaitu menjaga anak anak di rumah. 

Namun suami, hal menemani isteri di klinik adalah hal yang sangat kecil. Isteri boleh faham jika suami tak mampu nak teman. Lebih dari itu, isteri nak suami ambil berat tentang isteri yang sedang mengandung. Keadaan mengandung dan tidak mengandung sangat berbeza. Kalau tak teman pun, apa salahnya mendengar apa yang isteri nak luahkan. Kadang dia rasa lemah tak berdaya, adakalanya sakit kepala, tak berselera makan, datang rasa risau macam macam, di klinik pula diingatkan dengan berbagai pesanan... Nak juga suami ambil tahu dan cuba faham keadaan diri. Jika suami tak sudi nak bertanya, nak mendengar pun jauh sekali... Itulah yang buat isteri jauh hati dan sedih sebenarnya.

Isteri, demi kesihatan diri dan anak yang dikandung, teruskan memenuhi temujanji yang telah ditetapkan. Siapa lagi yang akan lebih mengambil berat pada kesihatan diri kita dan anak yang dikandung, jika bukan kita sendiri. Tak mengapa tidak berteman, dan tak perlu jealous tengok orang lain ditemani suami. Soal berteman atau tidak, itu hanya soal kecil. Yang penting suami ambil berat tentang diri kita yang sedang mengandung :)

Senang melihat situasi isteri yang ditemani suami di klinik, namun meski tanpa dia menemani, tetap dia yang terbaik untukku. Bersyukur sepanjang mengandungkan anak yang pertama, kedua, dan ketiga ini, dia tetap suami yang baik, yang menjaga dan mengambil berat dengan cara yang tersendiri. My husband is the best! Dan untuk anda, sudah pasti suami andalah yang terbaik :)

Belajar bersyukur dan menghargai

ANAS DAH MAKAN SENDIRI



4 Ogos 2016, tarikh bermulanya Anas makan sendiri, tak bersuap lagi sehingga hari ini. Sudah boleh dikatakan satu kejayaan, kerana sebelum ini juga pernah mencuba, tapi hanya bertahan untuk beberapa hari saja. Selepas itu dah tak nak makan sendiri. Mahu ummi suapkan juga. Nak dengan ummi saja, dengan abi pun selalu menolak untuk disuapkan. Maka dah menjadi tugas ummi suapkan Anas dan Mussaab, setiap hari dan setiap kali waktu makan.

Dah berkali pujuk untuk dia makan sendiri. Namun tak berjaya juga meskipun dah berumur 4 tahun. Sering juga motivasikan dia dengan menyebut nama sepupu sebayanya yang dah cekap makan sendiri. Umar, Uwais, Eiman, Muhammad... Mereka semua dah lama makan tak perlu disuap. Tapi, macam tu juga la. Nak ummi suapkan juga. 

Kadang ummi pernah marah membentak, kerana penat nak melayan setiap kali waktu makan. Bukan sekejap masa diambil di meja makan, tambahan banyak kerja lagi nak dibuat. Tapi Ummi tahu ummi silap. Maafkan ummi ya. Ummi sepatutnya lebih bersabar.

Baru baru ini ummi ditegur. Ditegur melalui pembacaan ummi. Kenapa nak merungut marah jika anak masih nak makan bersuap. Tak kira berapa umurnya sekarang, percayalah anak anak takkan selamanya mahu makan disuap. Sampai masanya, anak anak dah tak mahu disuap lagi. Ya, begitulah antara tegurannya. Malah dihuraikan lagi kebaikan kebaikan menyuapkan anak makan. Tak kira seorang, dua orang atau lebih, sangat banyak manfaatnya. Seperti merapatkan hubungan ibu dan anak,antara adik beradik, dan banyak lagi. Hati ummi disentap sayu. Benar, inilah yang ummi sedang lalui dan rasai. Bukan semua orang dapat pengalaman sebegini kan??

Selepas itu ummi lapangkan hati, biarlah sampai bila pun Anas nak ummi suapkan makan, ummi takkan paksa Anas makan sendiri lagi. Hingga sampai saatnya Anas rela hati mahu makan sendiri. 

Ya, tak lama lepas tu Anas sendiri yang minta nak makan sendiri. Ummi terpana, dalam gembira ada rasa terharu. Rupanya dah tiba masanya Anas bersedia untuk makan sendiri. Ummi sedih, sebenarnya ummi patut lebih bersabar dari dulu. Tapi tak mengapa, kini masa untuk Anas belajar kemahiran baru, kemahiran untuk makan sendiri. Jika kanak kanak sebaya Anas dah cekap makan sendiri, Anas baru nak mula belajar. Cara pegang sudu masih perlu dibetulkan. Cara kaut nasi dan suapkan nasi juga sama. Masih tertumpah sana sini. 

Namun tak sangka sampai hari ini Anas dah tak minta ummi suapkan makan lagi. Anas mencuba, dan semakin pandai menyuap makan sendiri. Ummi gembira dan bangga. Anak ummi dah besar kan :,)

Mussaab lain pula ceritanya. Dari dulu sering minta nak makan sendiri. Tapi faham faham saja, tertumpah sana dan sini. Dia rela disuap, melihat abangnya makan bersuap. Tapi kini bila Anas dah makan sendiri, dia juga asyik minta nak makan sendiri. Sesekali biarkan saja dia menyuap makan sendiri. Masih banyak yang tertumpah. Tapi lebih cekap berbanding sebelum ini. Alahai... Ummi dah tak perlu suap anak makan lagi ke? Ummi rasa terlepas satu tanggungjawab, tapi ummi rindu sebenarnya :,) Mussaab nampaknya tak lama nanti, memang dah tak mahu ummi suapkan lagi. Tak mengapalah, mana yang terbaik. Tak lama lagi ummi juga akan lahirkan adik, tak boleh juga nak suapkan makan lagi. Harapkan abi saja lepas ni. 

Begitulah sedikit catatan tentang anak sulungku yang akhirnya dah tak makan bersuap lagi. Di umurnya 4 tahun 7 bulan, dia tak mahu lagi ummi suapkan makan. Lama juga tempoh menyuap dia makan. Benarlah, menyuapkan anak makan merupakan satu momen yang indah dan mengeratkan hubungan ibu dan anak. Masa makan dia dekat dengan kita. Saling berbual dan menatap mata, alangkah bahagianya. Bila dia tak makan bersuap lagi, seolah dia selangkah jauh dari kita. Sedih juga rasa. Tapi terima saja, kerana dah tiba masanya...

Pengajaran buat diriku, agar pada anak anak yang akan datang, aku akan lebih ikhlas melayan. Suapkan mereka makan selagi mereka mahu disuapkan. Ye, takkan selamanya dia mahu makan bersuap. Sampai masanya dia takkan mahu disuap lagi. Kita pula yang akan merindu saat menyuap makan anak anak :,)