Tuesday, 2 August 2016 By: Naemah

HARI INI DIA KEMBALI

Jam 8 pagi. 3 heroku masih lena dan hanyut dibuai mimpi.

Si ayah, setelah menempuh perjalanan yang panjang dari petang semalam, hingga sampai ke kampung jam 5 pagi ini, menyambung tidur yang tergendala selepas sarapan pagi tadi.

Si anak, semalamnya agak lewat tidur mereka, masih tak mampu nak membuka mata meski sudah kedengaran suara abi mereka. Mungkin menyangka hanya sekadar mimpi :)

Akhirnya..setelah 10 hari berpisah jauh, kami ditemukan kembali, dengan izinNya. Semalam gelisah menanti kepulangannya. Tak lupa doa, agar dia selamat tiba dan dipermudahkan segala. Bukan tidak biasa berpisah jauh dan lama, namun setiap kali perpisahan, hati tak lepas dari rasa gelisah. Risaukan dia yang jauh. Apatah lagi perpisahan tidak selalunya menjanjikan pertemuan. 

Namun hanya dengan izin Allah, perpisahan tetap akan diiringi dengan pertemuan. 

Hari ini aku bersyukur, dia yang dirindui muncul kembali di depan mata. Kerinduan berlalu, kemanisan menyusup di hati. Kerana dia insan istimewa yang sentiasa didambakan untuk selalu ada di sisi, bersama kami.

Namun takdir jua yang menentukan perpisahan ini terjadi. Kerana ia takdir dariNya yang maha Kuasa, maka aku yakin takdir yang begini adalah yang terbaik buat kami. 

Pagi ini, suasana masih sunyi sepi kerana masing masing masih melayan lena. Sekejap lagi, akan riuh rendah kembali. Akan kedengaran lagi suara suara 'biasa' yang sering menjadi kerinduan :)

Tambahan pulang si ayah tak pernah dengan tangan kosong. Ada saja buah tangan untuk anakanda yang dirindui. Anak anak, pasti gembira tak terkata. Maka si ayah, tersenyum penuh bahagia.

Benar, yang ditinggalkan terasa sangat rindu. Namun yang terpaksa pergi meninggalkan, tak kurang rasa rindu dan sakit menahan. Namun beginilah takdir buat keluarga kecil kami, buat masa ini. Di masa akan datang tak siapa tahu.

Aku mendoakan agar keluarga ini sentiasa dirahmati Allah. Semoga setiap perpisahan yang kami lalui akan diiringi dengan pertemuan yang manis dan indah. Semoga Allah mengumpulkan kami dengan rahmah dan mawaddah. Semoga di dunia bersatu bahagia, di syurga akan tetap bersama dengan kenikmatan dan cinta Allah. 

Aameen



0 comments:

Post a Comment