Sudah sangat lama tak update tentang hafazan Anas yang telah dimulakan pada bulan Mac 2015. Alasan biasa, banyak kekangan demi kekangan yang menghalang diri untuk menulis tentang hafazannya.
the latest update: UPDATE HAFAZAN ANAS
Target utama ialah nak pastikan Anas sempurnakan hafazan juzuk amma (36 surah) pada Disember 2015.
Tetapi apakan daya, target tak mampu dicapai. Akhirnya, sehingga surah al Ghasyiah saja. Atas banyak sebab dan alasan :) Namun tetap bersyukur walau sehingga tahap itu.
Fokus pada hafazan terhenti sehingga bulan November 2015. Kenapa??
Antara sebabnya, ketika itu aku sedang mengandung ditambah pula dengan kandungan yang bermasalah dan membawa kepada keguguran. Ketika itu, hafazan Anas tak dipedulikan sangat. Tambahan pula sibuk dengan urusan mengemas rumah dan seterusnya berpindah rumah. Kesibukan membuatkan fokus pada pengajian anak juga lari. Faham faham sajalah bila sudah berhenti, terus tertangguh dan tertangguh.
Bulan Februari, aku ditakdirkan mengandung lagi. Kali ini mengalami alahan yang agak teruk, perlukan banyak rehat dan hampir tiada masa nak fikirkan tentang hafazan si anak. Masuk trimester kedua (April) barulah keadaanku semakin baik dan cergas. Masa ni baru nak kembali fokus pada hafazan Anas yang dah lama tertangguh. Bukan itu saja, hafazan yang dulu juga dah lama tak diperdengarkan semula. Akibatnya, banyak yang dia tertukar dan tak lancar. Sangat menyedihkan :(
Tetapi... Ia tak akan dibiarkan begitu saja. Hafazan lama perlu ditasmik semula. Hafazan baru perlu diteruskan.
Cabaran..dah tentu ada cabarannya. Kerana dah lama tak menghafaz, dan tak ditasmik, semangatnya untuk menghafaz juga tak seperti dulu. Sering memberi alasan bila diminta membaca surah. Maklumlah, dah besar dah :)
Tambahan pula di akhir akhir juzuk amma, surahnya makin panjang, terasa makin sukar untuk menghafaz.
Dan aku juga sedar, aku tak boleh memaksa si anak. Aku perlu mengikut rentaknya.
Hari ini, hafazan tidak aku tekankan sangat. Maksudnya, tidak memaksa atau meminta dia membaca jika dia tidak mahu.
Hari ini, aku pastikan bacaan juzuk amma diperdengarkan kepadanya setiap hari. Berulang ulang, ketika dia bermain, belajar, melukis dan ketika mahu tidur. Aku mahu dia mendengar dan mendengar, dan aku yakin hafazan akan menjadi lebih mudah untuknya. Di samping refresh surah lama, tanpa sedar surah baru juga akan lekat di ingatannya. Insya Allah. Buat masa ini, mungkin cara begini yang terbaik.
Di samping itu, aku akan membaca surah bersamanya pada setiap kali lepas waktu maghrib. Baca dengan melihat mashaf al Quran. Bermula dari surah yang terakhir (an naba'), beberapa ayat sahaja. Baca bersama, sehingga dia juga lancar, kemudian berpindah ke ayat ayat seterusnya. Alhamdulillah kini sedang membaca surah an nazi'at. Di samping membantu hafazan, dapat juga membiasakan diri membaca al Quran bermashaf, bukan sekadar di mulut.
Sesekali, jika berkesempatan aku akan cuba tasmik surah yang lama. Cuba juga, walaupun bukan selalu. Niat hati ingin dia membaca dengan selesa dan seronok, bukan dipaksa paksa. Aku juga, minta di saat aku rasa tenang mendengar dan menegur setiap kesalahan. Bukan dengan marah marah apabila dia tersilap.
Ya, belajar dari kesilapan yang lepas, ummi juga tersilap. Hanya harapkan kesempurnaan dari si anak yang masih kecil.
Begitulah cerita Anas dan hafazannya. Masih belum mencapai target, namun akan tetap cuba yang terbaik. Pernah seseorang menyatakan, untuk seseorang itu menjadi ahli al Quran atau Hafiz al Quran, itu adalah urusan Allah. Allah yang memilihnya, bukan kita sebagai ibu bapa yang membuat keputusan ke atasnya apalagi memaksanya. Ada yang bergelar Hafiz ketika masih kecil, ada pula yang sudah meningkat dewasa, juga apabila dia sudah tua. Itu semua urusan Allah.
Sebagai ibubapa, apa yang perlu kita lakukan?? Ya, teruskan usaha mendekatkan anak anak dengan al Quran. Biasakan mereka dengan al Quran, mendengar dan mengajar. Malahan al Quran bukan sekadar dibaca, tapi juga diamalkan. Itu yang paling utama.
Aku menginsafi diri. Aku punya cita cita besar ingin anak anak hafaz al Quran. Namun banyak kekurangan diri dan sering pula tersilap cara. Semoga aku dapat memperbaiki diri, dan terus berusaha mendekatkan anak anak dengan AlQuran, baik dari kepada bacaan, hafazan dan amalan. Insya Allah.
Sama samalah kita...
0 comments:
Post a Comment