Sunday, 4 October 2026 By: Naemah

TINTA CINTA BUAT ANAKANDA

Untuk anak-anak ummi,


Ada banyak perkara dalam perjalanan membesarkan kamu yang ummi harap dapat ummi lakukan dengan cara yang berbeza.


Ada kata-kata yang ummi harap tidak pernah keluar dari mulut ummi. Ada marah yang sepatutnya ummi tahan. Ada saat kamu cuma perlukan pelukan dan kata-kata baik, tetapi ummi memilih untuk meninggikan suara.


Maafkan ummi kerana tak jadi seperti seorang ummi yang kamu impikan. 



Untuk Along,


Along adalah yang pertama yang mengajar ummi bagaimana rasanya menjadi seorang ibu.


Dulu, ummi adalah seluruh dunia Along. Sekarang Along sudah besar, dan dunia Along semakin luas. Kadang-kadang ummi tertanya, cukupkah contoh yang ummi tunjukkan selama ini? Dan ummi sedar, tak cukup! 


Pada setiap kekurangan ummi yang Along nampak, tolong maafkan ummi.


Ummi tahu ummi bukan ibu yang sempurna. Ada masa Ummi terlalu keras, terlalu cepat marah, atau tidak cukup tenang untuk memahami.


Tapi ummi harap Along tahu, ummi juga sedang belajar.


Jangan terlalu lama menyimpan kesilapan ummi di dalam hati, ya. Ambillah yang baik daripada ummi, dan tinggalkan apa yang terlihat buruk di matamu.


Ummi mungkin tidak selalu tahu bagaimana menjadi ibu yang terbaik untuk Along.


Tapi Ummi akan sentiasa berusaha menjadi tempat untuk Along sentiasa pulang, akan sentiasa reda dan sentiasa merestui perjalanan Along.


Ummi sayang Along. Selamanya.



Untuk Angah,


Angah mungkin tidak selalu menunjukkan apa yang Angah rasa. Ummi tahu, ada banyak perkara yang Angah simpan sendiri.


Kalau selama ini ummi terlalu mudah melihat diam Angah sebagai “tak ada apa-apa”, maafkan ummi.


Kadang-kadang ummi terlalu sibuk menjadi ibu kepada semua orang sampai terlupa untuk berhenti dan benar-benar mendengar dari setiap kamu.


Ummi tahu Ummi pernah marah, pernah keras, dan mungkin pernah membuat Angah rasa lebih selamat untuk diam daripada bercerita.


Ummi sedang cuba memperbaikinya.


Bila Angah besar nanti, ummi harap Angah tidak hanya mengingati kekurangan ummi. 


Ingatlah juga bahawa di sebalik semua kekurangan itu, ada seorang ibu yang sangat bangga mempunyai Angah.


Ummi nampak Angah. Ummi sayang Angah.


Walaupun mungkin tidak selalu ummi pandai menunjukkannya.



Untuk Acik,


Acik mungkin antara anak yang paling banyak membuat Ummi belajar tentang sabar.


Kadang-kadang Acik terlalu manja. Terlalu kuat perasaan. Terlalu mendesak dan menekan.


Dan ada hari-hari Ummi kalah dengan semua itu.


Ummi marah. Ummi meninggi suara. Ummi jadi keras.


Kemudian bila semuanya reda, ummi tengok muka Acik dan hati ummi diusik sesal kerana sering gagal bersabar dengan sikapmu.


Maaf, sayang.


Bukan ummi tak cukup sayang pada Acik. Cuma kadang-kadang ummi terlalu penat untuk menerima semuanya dengan lembut.


Acik jangan pernah fikir kasih ummi berkurang hanya kerana ummi marah.


Kalau ada satu perkara yang Ummi mahu Acik tahu, ialah; Acik tetap anak ummi yang sangat disayangi, bahkan pada hari-hari ketika ummi tak cukup sabar dengan sikap Acik.



Untuk Kakak,


Kakak sedang membesar menjadi seorang perempuan-seperti ummi.


Dan mungkin tanpa ummi sedar, banyak perkara tentang diri Kakak sedang dibentuk daripada apa yang Kakak lihat pada ummi.


Itulah yang sering membuat Ummi takut.


Ummi sendiri masih belajar menjadi perempuan yang sabar, lembut dan kuat. Jadi jangan jadikan semua kekurangan Ummi sebagai ukuran bagaimana seorang perempuan sepatutnya hidup.


Ambillah keberanian ummi. Ambillah kasih sayang Ummi. Ambillah apa yang baik. Dan janganlah ikut apa yang buruk dari ummi. Kerana ummi mengharapkan kakak menjadi yang jauh lebih baik dari ummi.


Insya Allah suatu hari nanti Kakak juga akan menjadi seorang ibu, kala itu mungkin Kakak akan lebih faham bahawa seorang ibu juga manusia.


Dia boleh penat. Dia boleh tersilap. Dia boleh menangis dan masih sangat menyayangi anak-anaknya.


Dan kalau suatu hari nanti Kakak melihat ummi sebagai seorang wanita yang banyak kekurangan, ummi cuma mahu Kakak tahu satu perkara, ummi sentiasa cuba menjadi lebih baik kerana kamu semua. Ummi sayang semua biarpun bersama kekurangan ummi yang banyak ini.



Untuk Adik,


Adik mungkin belum memahami banyak perkara tentang ummi sekarang.


Adik cuma tahu ummi tempat untuk dipeluk, tempat untuk dicari, tempat untuk menangis dan tempat untuk pulang.


Kalau suatu hari nanti Adik sudah besar dan membaca coretan ummi ini, (jika ummi masih ada) mungkin ketika itu ummi sudah sangat tua, lemah dan lupa banyak perkara tentang hari-hari kecil Adik.


Tapi ummi harap Adik tahu bahawa ummi sangat menyanyangi Adik. Ummi bersyukur atas kehadiran Adik, ummi terhibur dengan kaletah Adik. Ummi bahagia melihat Adik membesar dengan sangat baik di samping Along, Angah, Acik dan Kakak.


Namun ada waktunya, ummi  sangat penat dan ummi tak cukup sabar. Ummi tak mampu layan Adik lebih baik. Maafkanlah ummi.


Tetapi tidak pernah sekali pun ummi rasa tidak cukup sayang kepada Adik.


Adik adalah anak kecil yang mengajar ummi bahawa cinta boleh datang bersama penat, tangisan, kekacauan dan hari-hari yang panjang.


Dan walaupun ummi kadang-kadang keras ketika Adik sedang banyak ragam, hati Ummi tetap tempat Adik. Ummi sayang adik sangat-sangat. 


Anak-anakku, ketahuilah bahawa, di sebalik segala kekurangan ummi, tidak pernah ada satu hari pun ummi berhenti menyayangimu. Namamu sentiasa ada di dalam doa ummi. Ummi yang ingin sentiasa memaafkan tiap salahmu, biar mungkin salah ummi lebih besar lagi. Ummi yang sentiasa ingin melafazkan reda pada setiap kamu, kerana ummi tahu reda Allah pasti hadir bersama keredaan ibu. 


Anak-anakku, teruslah hidup dengan baik-baik. Sebagai ibu, ummi mendoakan kehidupan yang kamu lalui akan jauh lebih baik dari kehidupan yang telah ummi lalui. Kebahagiaanmu adalah kebahagiaan ummi. 


Semoga anak-anak ummi membesar menjadi hamba Allah yang paling bahagia, saling berkasih sayang, bertaqwa, berakhlak mulia, sentiasa disenangi manusia, dan sentiasa dicintai Allah. Semoga kita semua dapat bersama-sama lagi di syurgaNya. Ameen.


Ummi sayang kamu semua. 

Kerana Allah. 

0 comments:

Post a Comment