Saturday 31 December 2016 0 comments By: Naemah

CERPEN: CINTA SETIA




Syifa' mengemas dapur rumahnya bersama jirannya, Kak Ani. Seperti biasa, setiap hari Jumaat rumahnya menjadi tempat orang ramai, khasnya wanita berkumpul untuk mendengar ceramah dari ustazah jemputan.

Jam menunjukkan pukul 12 tengahari. Segala peralatan dapur siap dikemas, dan makanan yang bersisa sudah dibahagikan kepada jiran berdekatan. Begitulah selalunya, dia akan memasak bersama kak Ani untuk dijamu kepada para tetamu yang hadir untuk mendengar  ceramah.

Syifa', gadis berusia 34 tahun yang masih solo. Selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah, dia mengambil keputusan untuk tinggal di kampung saja, membuat kebajikan yang nyata memberi kepuasan pada dirinya. Ayahnya telah meninggal dunia ketika dia masih kecil. Ibunya pula meninggal ketika dia baru menamatkan pengajian satu ketika dulu. Abang dan kakaknya yang sudah berkeluarga tinggal di bandar yang berhampiran. Dia memilih untuk tinggal di rumah pusaka peninggalan ibubapanya, di samping menjaga tanah pusaka yang banyak, hasil titik peluh ibubapanya. Dia ada ladang getah yang berekar, juga dusun buah buahan yang banyak, yang semuanya diupah orang untuk menguruskannya. Hasilnya akan sampai ke tangan Syifa' hampir setiap minggu. Maka, hal kewangan tidak pernah menjadi masalah kepadanya.

Selepas kerja mengemas sudah selesai, dan jirannya sudah balik, Syifa' terus membersihkan diri dan bersiap untuk solat zohor. Selepas solat, dia akan membaca al quran seperti kebiasaan. Ayat suci al quran menjadi penghibur hatinya, penghapus sunyinya. Petang ini dia tidak ke mana mana, hanya berehat di rumah. Membaca, atau menulis.

..........

Rumah Syifa' didatangi anak anak kecil seperti kebiasaan selepas jam 2 petang. Rumahnya menjadi tempat kanak kanak yang berusia 5-9 tahun berkumpul, bermain dan belajar. 

Sudah hampir 10 tahun rumahnya menjadi tempat persinggahan kanak kanak tersebut selepas waktu belajar mereka di sekolah. Dia sendiri yang mengundang dan membuka luas pintu rumahnya untuk kanak kanak tersebut hadir melakukan aktiviti yang berfaedah. Jika dulu, kanak kanak hanya merayau tanpa arah, bermain sesuka hati. Tapi sejak Syifa' menjadikan rumahnya sebagai tempat persinggahan mereka, masa kanak kanak tersebut lebih terisi. 

Kini kanak kanak tersebut ada yang sudah menjadi remaja dan bergelar mahasiswa. Mereka tak melupakan Syifa' yang banyak berjasa. Malah sering berkunjung melawat Syifa' dan menghulurkan bantuan. Syifa' bangga dan gembira melihat mereka yang sudah berjaya.

Perkhidmatannya hanya percuma, dia melakukan atas minatnya sendiri. Dia sukakan kanak kanak, juga suka melihat mereka belajar dan bermain. Setiap hari juga dia akan memasak untuk dihidangkan kepada kanak kanak yang datang ke rumahnya. Kanak kanak tersebut juga sangat suka berada di rumahnya. Syifa' tak kisah, walau sekadar datang untuk bermain.

syifa', penampilannya sentiasa berjubah, bertudung labuh malah berniqab bila di luar rumah. Ramai yang bertanyakannya tentang jodoh, termasuk abang, kakak dan anak anak saudaranya yang makin dewasa. Namun dia sendiri tiada jawapan. Belum ada jodoh, mungkin itu jawapan terbaik.

..........

Syifa' memandu perlahan menuju ke bandar berdekatan. Dia mahu ke kedai alat tulis untuk membeli keperluan untuk melakukan aktiviti dengan anak didiknya. Dia juga mahu membelikan hadiah buat mereka yang menang dalam kuiz yang diadakan semalam. Dia yakin mereka akan gembira dan seronok. 

Saat melalui sekolah lamanya, hatinya diundang sayu. Sekolah yang menyimpan terlalu banyak kenangan. Rindu pada guru dan teman teman. Ada di antara mereka yang kerap dia temui, dan ada juga yang dah lama menyepi tanpa berita. Yang pasti, boleh dikatakan kesemua mereka sudah berumahtangga.  Ada juga di antara mereka berkahwin sesama teman sekelas. Syifa' tersenyum sendiri. Kisah lama terbayang di ingatan.

Dia teringat pada Umar. Jejaka yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu. Seorang yang pemalu tetapi tegas. Agak pendiam, tapi disenangi ramai kawan. Bijak dalam pelajaran, malah antara saingan Syifa' semasa di bangku sekolah. 

Entah di mana dia sekarang. Kali terakhir bersua ketika sama sama melanjutkan pelajaran di universiti yang sama. Itupun jarang terserempak, kerana mereka berbeza kursus pengajian. Mungkin sekarang dia sudah bahagia bersama isteri dan anak anak. Hati Syifa' diusik cemburu. Cepat cepat dia mematikan lamunan dan bersegera ke tempat yang ingin dituju. Dia sudah berjanji pada diri untuk tidak memikirkan tentang Umar lagi. 

..........

Syifa' memerhatikan setiap kanak kanak yang sedang asyik mewarna gambar yang diberinya. Aktiviti mewarna antara yang menjadi kegemaran mereka. Syifa' bahagia melihat mereka asyik mewarna. Suasana sepi seketika, kerana masing masing sedang fokus mewarna.

Tengah asyik memerhati, Syifa' didatangi seseorang ke rumahnya. Dia sangat mengenali wajah tetamu yang hadir itu. Senyuman dihulurkan sambil salam dibalas. Rupa rupanya Faiz, anak Kak Ani jiran sebelah rumahnya. Dah lama tak bersua dengan Faiz yang kini sudah di tahun akhir pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan. Faiz memang rapat dengannya sejak kecil lagi. Faiz dah dianggap seperti adiknya sendiri. Dulu memang dia yang menjaga Faiz dan bermain dengan Faiz ketika Kak Ani sibuk bekerja. Kini Faiz dah besar, dan bergelar mahasiswa. Namun Faiz tak pernah melupakannya.

"Bagaimana pengajian Faiz sekarang? Dah di tahun akhir kan?"
Syifa' berminat untuk tahu. Faiz senyum.

"Ye kak.. Insya Allah bulan depan exam final. Doakan saya lulus cemerlang. Agak susah juga la kak.."
Balas Faiz. 

"Akak dengar Faiz bakal jadi hafiz juga ya. Alhamdulillah... Dah habis ke hafazan Faiz?"

"Oh... Insya Allah kak. Saya dalam usaha nak sempurnakan hafazan saya juga. Akak doakanlah saya mampu."
Faiz menjawab dengan senyuman. Sambil belajar, dia turut mengikuti kelas hafazan dan sangat rapat dengan guru bimbingan yang juga pensyarahnya. 

"Akak doakan Faiz berjaya dan cemerlang dalam keduanya. Akak yakin Faiz boleh pergi jauh lagi. Yang penting, usaha ya..."
Syifa' memberi semangat dan dorongan.

 Memang dia juga antara yang sering menjadi tempat Faiz meminta nasihat dan dorongan. Sejak kecil lagi dia memang mengkagumi Syifa' yang pandai dan baik. Namun dia juga hairan, mengapa Syifa' masih sendirian. Tapi dia tak berani nak bertanya. Mungkin belum jodoh..

..........

Syifa' dikunjungi anak saudaranya, Hafiz dan Hana yang juga sedang bercuti. Mereka berdua juga sudah meningkat usia remaja dan bergelar mahasiswa seperti Faiz. Malah mereka juga rapat dengan Syifa' sejak kecil. Kedatangan mereka disambut Syifa' dengan gembira. Rindu juga pada mereka. Mereka rancak berbual di beranda selepas menikmati makan tengahari. Sementara menunggu kedatangan anak anak kecil, Syifa' melayan Hafiz dan Hana berbual. Banyak perkara yang mereka bualkan. Hingga bab jodoh, seperti biasa akan menjadi topik penting juga. Syifa' hanya berlagak biasa, kerana dia juga sudah agak bosan dengan persoalan tentang jodoh. Entahlah.. Selepas Umar, tiada sesiapa lagi yang mengisi hati. Kosong...

Tengah asyik berbual, posmen datang menghantar sekeping surat yang dialamatkan kepada Syifa'. Syifa' lantas membukanya untuk mengetahui isi surat tersebut. Dah lama rasanya tak menerima surat seperti ini. Maklumlah, zaman moden dan serba canggih. Amalan surat menyurat dah tak menjadi trend lagi.

"Surat dari siapa su?"
Hana bertanya ingin tahu. Mata Syifa' masih tertatap pada isi surat itu. 

"Pakwe lama ke?"
Sempat Hafiz mengusik. Namun tak dilayan Syifa'.

"Surat dari ex classmate..."
Balas Syifa' ringkas.

" siapa su? Ada apa?"
Hana berminat untuk tahu.

"Erk.. Ketua kelas masa form 5 dulu. Diorang nak buat reunion"
Syifa' membalas teragak agak. Tak tahu apa perasaannya. Gembira? Segan? Berdebar? Yang pasti dia tak pernah menyangka akan mendapat surat seperti ini. Satu wajah terbayang di fikirannya, Umar!!

Lamunan Syifa' terhenti apabila anak anak kecilnya mula datang menghuni rumahnya seperti biasa. Dia menyimpan surat itu, dan menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Hana turut serta melayan kanak kanak tersebut, sedang Hafiz pula masuk ke bilik untuk tidur. Mengantuk katanya...

..........

Malam itu Syifa' bersendirian di rumahnya. Hana dan Hafiz sudah pulang ke rumah mereka petang tadi. Selepas solat isyak dan mentadabbur al Quran, Syifa' berehat di ruang tamu rumahnya. Hari itu terasa agak kepenatan, dan mata juga sudah mengantuk. 

Handphonenya menerima isyarat panggilan. Syifa' menatap nama yang muncul di skrin. Haliza... Sahabat baiknya sejak di bangku sekolah. Apa mimpi call malam malam ni. Segera dia menjawab panggilan.

"Assalamualaikum"
Syifa' memulakan bicara

"Waalaikumussalam... Syifa', sihat ke?"
Haliza menjawab salam dan bertanyakan khabar sahabatnya.

" Alhamdulillah.. Aku sihat. Kau macamana? Anak anak ok?"

" aku pun, Alhamdulillah.. Sihat semuanya."

" apa mimpi call aku malam malam ni? Anak anak kau dah tidur ke?"

"Belum.. Tengah main dengan ayahnya. Hai, takkan tak boleh nak call kawan aku ni. Aku ganggu kau eh.."

"Eh takdelah... Tak ganggu pun. Kebetulan aku pun tengah releks tak buat apa.."

"Hmmm.. Kau dapat tak surat jemputan reunion sekolah kita?"

Syifa' dapat mengagak itu antara topik perbualan yang akan mereka bicarakan pada malam itu. Haliza beria mahu memastikan dia hadir ke majlis tersebut. Sepertinya dia sangat excited untuk bertemu kawan kawan lama. 

Mereka berbual panjang malam itu. Dari topik reunion, hingga ke topik yang lain. Haliza merupakan antara  sahabat baiknya di sekolah dulu. Haliza menikahi Ikmal yang juga rakan sekelas mereka dulu. Tiada siapa menyangka jodoh mereka berdua. Di sekolah, tak pernah bercinta dan tiada gosip pun. Rupa rupanya Ikmal memang sudah lama menyimpan perasaan pada Haliza. Hanya terluah ketika mereka menyambung pelajaran di universiti. Kini mereka sudah dikurniakan 3 orang cahaya mata. Yang kecil baru berusia beberapa bulan. Sempat Syifa' melawat Haliza tempoh hari  selepas dia melahirkan anaknya yang ketiga ini.

Perbualan mereka berakhir. Hati Syifa' riang dan terhibur dapat berbual panjang dengan Haliza. Rupanya, idea reunion ini datang dari Ikmal and the geng, termasuk ketua kelas mereka, Arif. Jadi, Haliza sudah lama mengetahuinya. Haliza juga banyak bercerita tentang kawan kawan sekelas mereka dalam perbualan tadi. Sedikit sebanyak, Syifa' tahu tentang mereka setelah agak lama tak berjumpa dan mendengar khabar berita.

Namun Syifa' masih ragu ragu. Adakah dia akan menghadiri majlis tersebut? Hati  mahu, tetapi hati juga terasa malu dan segan. 

Dia mengambil album yang telah lama tersimpan di dalam almari, dan sudah lama juga dia tidak membeleknya. Sekeping gambar kelas tingkatan 5 terselit rapi. Dia menatap lama wajah teman sekelasnya. Ada rasa rindu dan syahdu mengingatkan zaman yang telah lama ditinggalkan. 

"Pasti mereka dah banyak berubah"
Bisik hatinya lantas tersenyum. 

Sekilas dia melihat wajah Umar. Ada getaran di hati. Cepat dia mematikan lamunan agar tidak terlalu asyik dengan khayalan. Album gambar juga ditutup perlahan. Dia kembali ke alam nyata.

..........

Hari ini Syifa' sibuk menolong jirannya, Kak Ani memasak di rumahnya. Kak Ani meminta tolongnya untuk menyediakan hidangan istimewa kerana mereka akan menerima tetamu pada hari tersebut. Syifa' tidak bertanya lanjut, mungkin tetamu istimewa. Atau mungkin yang istimewa untuk anaknya, Faiz. Siapa tahu... Faiz kan sudah tamat pengajiannya. 

Lebih kurang jam 10 pagi, tetamu yang dinanti tiba. Hajatnya Syifa' mahu saja pulang ke rumahnya selepas selesai memasak, tetapi Kak Ani minta dia tunggu. Faiz juga beria memintanya untuk menanti kedatangan tetamu istimewanya. Dia akur, mungkin hari ini dapat kenal calon isteri Faiz. Dia senyum sendiri. Beruntung siapa menjadi pilihan Faiz. Ada rupa, bijak dan pandai, akhlak baik, dan seorang hafiz pula. 

Syifa' hanya diam di dapur saat tetamu sudah naik ke rumah. Faiz dan kedua ibubapanya menyambut mesra kedatangan tetamu istimewa itu. Syifa' sudah semestinya rasa segan untuk keluar bersama mereka. Lagipun tak tahu siapa mereka. Dia biarkan mereka berbual di luar.

Kak Ani kemudian masuk ke dapur. Masa untuk hidangkan air pada tetamu. Kali ini Kak Ani minta tolong Syifa' untuk keluar bersamanya membawa hidangan. Dalam segan, rasanya seperti tak patut pula untuk menolak. Kak Ani dah minta tolongkan.. Hai.. Faiz mana Faiz?? Hanya mampu bertanya di dalam hati.

Syifa' menyusun langkah sopan ke ruang tamu. Dia hanya menunduk memandang lantai. Sekilas dia memandang ke arah tetamu yang hadir. Oh.. Hanya tiga orang sahaja. 2 lelaki dan seorang perempuan. Syifa' menghadiahkan senyuman kepada tetamu wanita yang seorang itu. Wanita yang sudah agak berumur, mungkin tua sedikit dari Kak Ani. Dia meletakkan air di atas meja di ruang tamu itu. Terasa segan dan janggal. Kerana dia merasakan setiap orang sedang memandang ke arahnya. Kemudian dia duduk di samping Kak Ani yang juga di sebelah wanita tadi. Dia menghulurkan tangan dan bersalam dengan tetamu itu. Wajahnya masih dimaniskan dengan senyuman.

Syifa' memberanikan diri memandang pula ke arah tetamu lelaki yang kini berhadapan dengannya. Seorang lelaki berusia, mungkin suami mak cik tadi, dan.. Allah.. Terasa mahu gugur jantungnya saat terpandang wajah lelaki yang seorang lagi. Malah, mata lelaki itu juga seperti terpaku memandangnya. Syifa' lantas tertunduk, bersama getaran yang bukan sedikit.

Semua orang seperti kehairanan melihatkan reaksi Syifa' dan Umar yang agak spontan itu. Seperti ada sesuatu..

"Erk.. Kenapa abang, kak Syifa'?"
Faiz cuba bertanya. Syifa' dan Umar masing masing terkelu dan memandang Faiz. 

"Oh.. ya, Syifa' kan? Tak.. Abang cuma terkejut. Syifa' is my ex classmate masa kat sekolah dulu"
Umar cuba tenangkan diri dan menjawab persoalan Faiz. Syifa' yang masih dalam keadaan malu, mengangguk kepalanya perlahan. 

" yeke bang.. Akak.. Masya Allah.. Tak sangkanya saya. Abang saya ni rupanya kenal dengan kakak saya ni."
Faiz menjawab dengan suara yang ceria meskipun tidak menyangka sama sekali.

"Akak, abang Umar ni lecturer Faiz, merangkap ustaz yang membimbing Faiz dalam hafazan al Quran, dan merangkap kawan baik dan abang Faiz."

"Abang, Kak Syifa ni jiran Faiz sejak kecil, merangkap kakak Faiz yang jaga Faiz dan ajar Faiz dalam pelbagai perkara"

" dan yang pasti, kak Syifa dan abang Umar ni dua-dua merupakan idola Faiz yang banyak mendorong Faiz untuk berjaya.."

"Allahu akbar... Faiz rasa happy sangat. Tak tahu nak luahkan macamana.."

Faiz bersuara lagi. Mereka menyambung bicara lagi. Lebih meriah, namun Syifa' dan Umar menjadi lebih berhati hati untuk berbicara. Syifa' pastinya tersangat malu dan segan. Ada debaran di hati, apatah lagi dia merasakan ada kerlingan dari mata Umar yang kembali mengganggu emosinya. 

Ya Allah.. Apakah cinta itu masih ada di hati??

..........

Seminggu selepas pertemuan itu, Syifa' menerima risikan yang pada mulanya datang dari Kak Ani. Kak Ani mewakili keluarga Umar, bertanyakan kesediaan Syifa' untuk menjadi isteri Umar yang masih solo. Dan rupa rupanya, memang Faiz sudah merancang untuk temukan mereka berdua pada hari tersebut, tanpa mengetahui Umar dan Syifa' sebenarnya saling mengenali. Dia hanya melihatkan banyak persamaan antara Syifa' dan Umar, dan dapat melihat keserasian mereka. 

Syifa' malu untuk mengatakan ya, walau hatinya seperti terbuka luas untuk menerima Umar yang dulu pernah dicintainya. Langkah pertama, dia minta berbincang dengan keluarganya dan beristikharah. Keluarganya sudah pasti menyambut baik risikan itu, kerana mereka sendiri sudah lama menanti saat itu. Dalam istikharahnya juga dia tenang dan hatinya kuat untuk menerima Umar sebagai teman hidupnya. Malah taman hatinya kini seperti sedang berbunga indah. Seperti sedang melayang di alam mimpi yang tersangat indah.

"Ya Allah.. Semoga ini pilihan yang terbaik untuk kehidupan dunia dan akhiratku."
Syifa' menadah tangan, memohon dan bermunajat pada Allah yang Maha Berkuasa dan lebih mengetahui yang terbaik untuknya.

..........

Umar senang hati menerima jawapan positif dari Syifa'. Hatinya juga turut berbunga. Alangkah indah perasaan ini. Bukan dia tidak memikirkan jodoh, namun kesibukannya hampir membuatkan dia tiada masa untuk fokus pada jodoh. Segalanya diserahkan pada Allah yang pastinya sudah menentukan yang terbaik untuknya. Ibunya antara orang yang paling risau memikirkan tentang dirinya yang masih belum berkahwin di usia sebegini. Tambahan pula dia anak sulung, dan memiliki seorang adik yang sedang menuntut di Mesir dalam bidang perubatan. Adiknya Hani akan pulang tak lama lagi. Adiknya juga asyik bertanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya. Kali ini insya Allah dah boleh bagi jawapan buat Hani.

Ibunya, pertama kali memandang Syifa' sudah berkenan. Katanya Syifa' lemah lembut dan beradab. Malah, punya seraut wajah yang tenang dan mendamaikan. Ibunya jugalah insan pertama yang menyuarakan hasrat untuk melamar Syifa'. Agak terkejut juga Umar, tetapi sebenarnya dia juga ingin menyatakan hasrat yang sama.

Suatu ketika dulu, dia juga pernah menyimpan perasaan pada Syifa'. Tetapi ketika itu masih terlalu muda untuk menyatakan cinta. Setelah masuk ke universiti, dia turut gembira apabila mendapat tahu Syifa' juga menyambung pelajaran di tempat yang sama. Sesekali bertembung juga dengan Syifa' yang berlainan kursus. Hati lelakinya masih tertaut pada Syifa' yang mempunyai perwatakan yang berbeza. Sentiasa sopan dengan pakaian  yang menutup aurat. Namun kerana kesibukannya juga sejak di alam kampus, belajar dan mengikuti pelbagai aktiviti, dia seperti dapat melupakan Syifa' dan tidak menyimpan apa-apa harapan pada gadis itu. Sehingga kemudian bertemu kembali di rumah Faiz, pelajar kesayangan yang sudah dianggap sebagai adiknya. Malah, sudah merancang untuk temukan Faiz dengan Hani. Manalah tahu, jodoh mereka...

..........

Hari pertunangan Syifa' agak meriah dengan kehadiran abang, kakak, ipar, dan anak anak saudaranya. Pastinya semua orang menantikan saat ini. Masing masing juga tertanya tanya siapakah jejaka yang berjaya mencuri hati Syifa', sehingga akhirnya Syifa' terbuka hati untuk menerima lamaran ini. 

Majlis pertunangan berjalan lancar. Dalam debaran, Syifa' tersenyum manis saat ibu Umar menyarungkan cincin ke jarinya. Anak-anak saudaranya sibuk mengintai Umar di luar yang juga kelihatan malu-malu. 

" Mak su, orangnya boleh tahan hensem."
Hana berbisik di telinganya. Syifa' hanya senyum tanpa kata. Sekilas dia memandang ke arah Umar yang duduk di sebelah Faiz. Umar hanya menundukkan kepalanya. Mungkin malu...

Syifa' menghela nafas kelegaan sebaik majlis berakhir. Rasa tenang dan bahagia. Dia kini sah sebagai tunangan Umar. Bagaikan mimpi, insan yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dulu kini bakal menjadi suaminya. Semuanya dengan Kuasa Allah. Benarlah, jodoh itu rahsia Allah. Dan Allah sebaik baik yang mengaturkan.

..........

Tinggal beberapa hari lagi majlis reunion akan tiba. Syifa' menanti kehadiran hari itu. Yang pasti, tak siapa tahu tentang pertunangannya dengan Umar. Kad undangan perkahwinan juga akan diedarkan pada hari tersebut kepada rakan-rakan. Tak pasti apa reaksi mereka nanti. Terkejut, mungkin. Dalam hati Syifa' ada juga rasa malu dan segan. Tetapi, kawan-kawan semua perlu dijemput. Mungkin juga akan jadi majlis reunion kedua mereka. Majlis perkahwinan akan dilangsungkan seminggu selepas tarikh reunion mereka. Ada debaran di hati Syifa'. Debaran menanti kedua majlis penting itu.

Benarlah, jodoh itu rahsia Allah. Segalanya sudah ditentukan sejak azali. Jauh atau dekat, sampai masanya akan bersatu juga. Syifa' sendiri hampir melupakan Umar dan tidak menyimpan apa-apa harapan pada cintanya yang dulu. Tapi takdir Allah menentukan Umar untuknya. Maka, hati tenang dan redha menerima ketentuan ini walaupun bukan pada suatu ketika dulu, ketika dia sedang mengharap. 

"Alhamdulillah.. Terima kasih Allah di atas takdirMu yang terindah"
Syifa' melafazkan syukur bersama titisan air mata.





Thursday 29 December 2016 0 comments By: Naemah

KESIBUKAN SEORANG IBU

Bila jadi ibu, tak kira anak sorang atau ramai, kehidupan kita akan jadi lebih sibuk. Tambahan pula kalau anak tu masih kecil, dan berderet pula :)

Seorang tarik kanan, seorang lagi tarik kiri. Yang sana menjerit nak air, yang kat sini mengadu sakit. Yang ini mahu bercerita, yang tu pun nak cerita jugak. Ada yang tak kena, menangis meraung. Nak kena pujuk pulak. Kalau bergaduh, nak kena leraikan pulak. 

Yang pasti, hidup bersama anak kecil tak pernah sunyi.  Tak ada istilah 'duduk rehat sebentar' bagi seorang kanak-kanak. Kecuali di waktu tidur mereka. Atau di saat sedang fokus berimaginasi dengan barang atau permainan mereka. Selain dari itu, riuh dan rendah. Dan segala barang di dalam rumah pasti diselongkar untuk pelbagai jenis eksperimen. Bersepah itu biasa :)

Kadang sakit kepala, dan sakit hati juga. Rumah bersepah nak kena kemas. Makan minum tertumpah nak kena bersihkan. Cawan mangkuk di merata tempat nak kena kutip. Dan segala macam situasi yang serupa. Bukan tak pernah pesan, tapi yelah.. mereka dalam proses belajarlah tu :) Setiap hari, kita mengulang rutin yang sama. 

Lumrah, andai sesekali hadir rasa stress dan hilang sabar. Kita pun manusia, bukan robot. Ada masa penat tak terkata. Tak mampu nak berfikir lebih panjang. Sudahnya bertukar menjadi 'singa' kelaparan. Ya, tidak sepatutnya begitu. Rawatlah hati dengan istighfar. Hakikatnya anak-anak tak pernah berdosa. 

Walau sesukar mana, kita tetap merasakan anak-anak adalah penyeri hidup. Tanpa mereka, terasa kosong. Berpisah seketika pun, terasa rindu yang amat. Apalagi kalau mereka sakit demam. Hati kita yang terlebih merana. 

Tak kisahlah setiap hari hidup bersama keringat, demi menjaga dan membesarkan mereka. Redha atas kepayahan yang sebentar. Percaya Allah memberi ganjaran. Sampai satu saat mereka membesar dewasa, mereka tak lagi berkepit dengan kita. 


FAIZ AZHARI: HAMBA YANG DIPILIH

Coretan ini untuk abang (Faiz Azhari). Mana tahu, satu hari nanti abang 'terjumpa' nukilan mak tam di blog yang usang ini :)

Di hari pemergian abi, perhatian mak tam sering terfokus pada abang. Abang yang kepenatan pada malamnya berada di sisi abi di saat-saat akhir abi hingga nafas terakhirnya. Dan bermula dari situ, mak tam melihat besarnya tanggungjawab abang selepas ketiadaan abi, untuk menjaga ummi dan adik.

Abang anak yang sulung, dan satu-satunya lelaki. Kehilangan abi di usia 12 tahun. Semua orang pasti merasakan kesayuan yang sama saat melihat abang. Namun mak tam percaya, ini adalah perancangan Allah yang terbaik buat abang. Abang pasti mampu mengharunginya. Abang pasti mampu menggantikan tempat abi menjaga dan melindungi ummi dan adik.

Alhamdulillah, abang dikelilingi ahli keluarga yang sangat baik. Ada nenek, pak cik dan mak cik yang sangat penyayang. Insya Allah, mereka takkan pernah abaikan abang. Mereka sudi menjadi tempat abang bergantung dan berpaut. 

Abang, insan yang hebat. Allah memilih abang untuk menerima ujian ini. Ummi dan abi juga pastinya sudah mendidik abang sebaiknya sebelum ini. Abang ada nilai berdikari, bertanggungjawab dan penyayang. Insya Allah ia membentuk jati diri abang yang lebih matang dan tahan menempuh ujian. 

6 tahun mak tam kenal abang. Masa mula berkahwin dengan pak tam, abang baru masuk darjah satu. Masih kebudakan sangat. Setiap pagi menangis sebelum ke sekolah :) tahun ke tahun, abang lebih matang dan cerdik. Abang, bukan budak kecil yang dulu lagi. Abang ada nilai dan keistimewaan tersendiri. Pastinya hasil didikan ummi dan abi :)

Abang, semoga membesar menjadi anak soleh. Tahniah, bakal bersekolah di Maahad Tahfiz Sains. Langkah pertama untuk bergelar al-hafiz. Semoga menjadi saham untuk abi di sana juga. Jadi anak yang baik untuk ummi ya. Dan jadi abang yang baik untuk adik ya. Jadilah hero soleh yang sentiasa melindungi mereka. Melihat abang membesar menjadi insan berguna dan soleh, hati ummi pasti lebih terubat di atas pemergian abi. 

Pak tam dan mak tam sayangkan abang dan adik. Kami sentiasa mendoakan abang walau di kejauhan. Mengharap sinar dalam hidup abang, adik dan ummi. Sentiasa tabah mengharungi hidup tanpa abi. Semoga berbahagia selalu bersama cinta dan petunjuk Allah.





Gambar yang sempat 'dicuri' dihari persemadian abi. Moga syurga menjadi destinasi abi dan kita semua. Aameen
Wednesday 28 December 2016 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 291216



Dah lama tak catat aktiviti harian anak-anak ummi. Setiap hari terasa sangat sibuk. Masa berlalu terasa sangat cepat dan penat. Sela masa yang ada, ummi hanya rasa nak rehat saja :)

Alhamdulillah, hari ini berada di rumah sewa kita di Semenyih. Abi berada di Bintulu, masuk hari kedua. Anas, Mussaab dan Miqdad seperti biasa bersama ummi. Ketiganya baru kebah dari demam. Tapi masih dalam keadaan selesema dan batuk. 

Bangun hari ini semuanya dalam keadaan tenang tanpa tangisan seperti semalam. Sebelum mandi dan makan, menonton 'Dora the explorer' dan 'Paw Patrol'. Lepas tu makan spaghetti dan membaca buku 'Strawberry Obeys Allah' dan 'The Yellow Car'. Kemudian naik mandi, meninggalkan Miqdad yang lena di bawah. Alhamdulillah Miqdad juga dah kurang menangis berbanding semalam. 

Lepas mandi bermain di atas seketika. Mussaab hanya berbaring, masih lemah. Selesema membuatkan Mussaab tak selesa dan ada saja yang tidak kena. Kerap menangis hari ini. Maafkan ummi, tak mampu nak tumpukan perhatian sepenuhnya pada Mussaab yang ingin dimanja. 

Turun kebawah dan menonton video train dan video sains. Makan spaghetti lagi untuk lunch. Miqdad tidur lama, mungkin kerana semalam sukar tidur. Sesekali bangun menangis dan menyusu. Kemudian Mussaab juga tidur bersama Miqdad. Anas layan video sendirian. Lepas menonton, cari kereta mainannya pula. Ummi solat zohor dan baring bersama Mussaab dan Miqdad. 

Anas minta nak makan cocoa crunch dan susu pula. Ummi ambilkan untuk Anas. Mussaab kerap terjaga dan menangis. Badan masih sedikit panas. Demam belum kebah sepenuhnya. Selesema dan batuk juga kuat. Kesian Mussaab.

Pukul 3 petang, belum sempat ummi lelapkan mata, semuanya dah bangun dari tidur. Layan Miqdad yang dah makin baik keadaannya. Anas dan Mussaab menonton video magic english: mountains. Kemudian sambung ke cerita Zootopia. Jam 4 petang, Anas makan nasi, dan Mussaab makan roti 2 keping. Miqdad sambung tidur kembali. Masih menonton sambungan Zootopia. Ummi selesai solat asar dan angkat kain di jemuran. Mussaab masih lemah dan dalam keadaan batuk dan selesema. Ummi lapkan badan Mussaab dengan kain lembap. 

Habis cerita Zootopia, Mussaab terlelap sekali lagi. Miqdad juga masih lena tidurnya. Anas kebosanan tak tahu nak buat apa. Ummi makan nasi, dan minum kopi bersama Anas. Selesai makan, Miqdad bangun dan menangis. Mussaab juga bangun dari tidurnya. Ummi mandikan Miqdad dan buatkan roti butter untuk Mussaab. Lepas tu naik ke atas. Anas dan Mussaab mandi. Mussaab masih lemah dan tak ceria. Hari ini tiada senyuman dan omelan seperti biasa :(

Selepas maghrib, Anas, Mussaab dan Miqdad baring dekat ummi di atas sejadah. Anas dan mengantuk dan rindu abi. Mussaab hanya diam melayan perasaan. Miqdad saja yang kelihatan ceria dengan senyuman. Hati ummi dibuai sayu lagi. Kesian anak-anak ummi. 

8 malam, ummi susukan Miqdad dan Miqdad lena di pangkuan ummi. Anas dan Mussaab juga lena di sisi ummi. Masih awal malam. Ketiganya dah terlena. Sunyi sepi rumah ini, tak seperti kebiasaan. 

Tapi tak lama, Anas bangun dan menangis rindukan abi lagi. Lama tangisnya, sampai tersumbat hidung jadinya. Dah la tengah selesema. Kesian.. sukar nak bernafas. Miqdad pula bangun dan menangis. Miqdad batuk dan muntah susu. Allah.. kesiannya anak ummi. 

Lepas solat isyak, ummi sapu vicks ke badan Mussaab dan Anas. Anas sambung tidur. Miqdad juga sudah lena. Sayu hati ummi melihat satu persatu. Anak-anak ummi masih belum sihat sepenuhnya. Semoga esok akan lebih baik, insya Allah.

Maafkan ummi, tetap tak mampu berikan yang terbaik untuk Anas, Mussaab da Miqdad. Ada saja kekurangan dan kekhilafan. Maafkan ummi. Ummi sayangkan Anas, Mussaab dan Miqdad. Terlalu sayang :'(

CAMERON HIGHLAND: SHORT VISIT



Pada 24/12/16, perjalanan pulang Jeli-Semenyih, kami sempat singgah di Cameron Highland. Singgah sebentar saja, membeli sedikit sayur dan menikmati enaknya kopi strawberry, roti bakar, strawberry coklat, jagung dan ubi keledek madu. Kali terakhir ke sini ialah pada bulan julai lepas, sebelum melahirkan Miqdad. Bermakna, ini yang pertama kali buat Miqdad, menjejakkan kaki ke Cameron Highland. Dan yang entah ke berapa kali buat ummi, abi, Anas dan Mussaab :)

Seperti biasa, tempat persinggahan kami ialah di kedai berdekatan Time Tunnel. Dari anak seorang, hingga anak dah 3, tempat itu sering menjadi persinggahan kami. Sampai bila pun, mesti takkan lupa :) 

Selepas perut sudah diisi, kami meneruskan perjalanan. Dan seperti biasa juga, Lata Iskandar menjadi tempat persinggahan seterusnya. Katanya nak melihat air terjun saja, tapi lepas tu basah kuyup semuanya bermain air. Dah agak dah :) kami makan tengahari di kedai makan di situ. Kemudian, sambung perjalanan semula ke Semenyih.

Bertolak dari rumah jam 8 pagi, tiba di Cameron Highland jam 12, di Lata Iskandar jam 2 petang, dan akhirnya tiba di Semenyih jam 8 malam (lebih kurang), selepas perhentian demi perhentian (untuk solat dan sebagainya).

Alhamdulillah untuk kenikmatan yang diberikan hari ini. Alhamdulillah selamat kembali ke rumah selepas percutian singkat di kampung.



Tuesday 27 December 2016 0 comments By: Naemah

3 HERO DEMAM

27/12/16

3 hero ummi demam serentak. Bermula dengan Mussaab, dikuti Anas dan Miqdad. 

Pertama kali buat Miqdad, diuji dengan demam di usianya 2 bulan setengah. Kesian anak ummi :'(

Alhamdulillah abi masih ada di rumah. Abi uruskan Anas dan Mussaab, dan ummi hanya tumpukan pada Miqdad yang merengek sepanjang hari. Langsung tak boleh diletak. Tidur juga perlu dipangku ummi. Kesian Miqdad :'(

Malamnya, bawa Miqdad ke klinik keluarga dan pakar wanita asyifa. Anas dan Mussaab makan ubat yang abi beli di farmasi. Tidur malam ketiganya lebih lena berbanding malam sebelumnya. Alhamdulillah.

Flight abi jam 8.30 pagi esok harinya. Abi tangguhkan penerbangan, tukar ke waktu petang. Alhamdulillah, masih ada abi yang boleh uruskan anak-anak. Pagi ini keadaan anak-anak dah semakin baik. Badan dah tak panas. Miqdad juga dah boleh tersenyum, dan ditinggalkan seketika. Tapi masih belum baik sepenuhnya.

Malam hari, badan Anas kembali panas. Mussaab juga, sedikit panas. Keduanya batuk dan selesema. Miqdad dah tak demam, tapi batuk dan selesema juga. Kuat menangis, mungkin tak selesa. Hingga serak suaranya. Kesian Miqdad. Malam ini, abi dah tiada bersama. Ummi juga dah rasa sakit kepala. Telan panadol, Alhamdulillah hilang sakit kepala.

Ummi masukkan ubat punggung untuk Anas. Demam kian kebah. Mussaab juga dah semakin baik. Batuk dan selesema mungkin agak memakan masa untuk pulih. Insya Allah esok hari, akan lebih baik. Anas, Mussaab dan Miqdad akan lebih sihat dan ceria. Tak ada yang merengek panjang lagi. Makan juga lebih berselera. Insya Allah.

Semoga abi di sana juga sihat dan dalam rahmat Allah. Semoga dipermudahkan urusan abi mencari rezeki, dan selamat kembali semula ke pangkuan kita. Insya Allah.

Don't worry, be happy. Allah is always there, with us :)

 
Wednesday 21 December 2016 0 comments By: Naemah

MALU BERGAYA DEPAN MAK MERTUA

Bergaya means, pakai pakaian yang nampak mahal dan mewah. Kasut, handbag dan tudung yang bertukar ganti, dan seumpamanya. 

Perasaan yang layak buat aku yang hanya seorang suri rumah dan tidak bekerja. Means, tak ada pendapatan sendiri. Yang bekerja sendiri tu tak ada masalah lah. Dah duit dia punya. Biarlah dia nak belanja apa untuk kepuasan sendiri :)

Aku hanya isteri yang banyak masa hanya di rumah. Segalanya di bawah tanggungan suami. Alhamdulillah suami tak kedekut dan tak berkira. Segala keperluan dicukupkan. 

Namun pada seorang ibu mertua, aku malu untuk tampil 'mewah'. Biarlah aku dipandang bersederhana dan hidup sekadarnya. Bimbang, akan timbul rasa kecil hati, jika suami tak memberi yang sama buat ibunya. 

Bukan maksudku ibu mertua akan cemburu, kerana aku tahu itu bukan sifatnya. Sekadar menjaga hatinya, lantaran cuba merasakan 'sukarnya' dia membesarkan suamiku ketika dulu tanpa kemewahan. Kini suami berjaya dan boleh dikatakan hidup senang. Tak lain, hasil dari susah payah seorang ibu (dengan pertolongan Allah). Kalau fikir logik, ibulah yang patut dapat lebih berbanding isteri (meski seorang ibu tak mengharap pun pada balasan material).

Biarpun bagaimana, aku memilih untuk hidup sederhana. Dalam ingin bersederhana, kadang aku merasakan hidupku sudah 'lebih' dari orang lain. Aku amat bersyukur pada kehidupan ini. Namun begitu, perasaan segan, malu dan tak layak tetap muncul bila melihat apa yang aku ada di hadapan seorang ibu mertua. Ya, aku tak sepatutnya 'lebih' dari dia yang banyak berkorban untuk suami. Itu yang aku rasakan sebenarnya.

Aku mendoakan suamiku akan menjadi anak yang tak lupa pada ibunya. Dan aku tahu dia tak pernah lupa. Semoga dia menjadi anak yang taat dan menyenangkan hati ibunya. Aku percaya, bukan balasan harta benda yang seorang ibu harapkan. Namun lebih dari itu ialah ingatan dan doa dari seorang anak buat ibunya. Ingatan, dengan sering pulang dan bertanya khabar. Doa, agar Allah merahmati dan mengasihani ibu sebagaimana ibu mengasihani anaknya.

Kerana aku tahu, syurga kami ada bersama keredhaan ibu mertuaku pada anak lelakinya ini.
Saturday 17 December 2016 0 comments By: Naemah

KITA MULAKAN SEMULA

Alhamdulillah. Anas, Mussaab dan Miqdad sudah kembali ke rumah. Tempoh berpantang ummi juga sudah habis. Miqdad hari ini sudah berusia 67 hari. 

Sudah sangat lama Anas bercuti dari meneruskan hafazan dan belajar al-Quran yang sepatutnya diusahakan untuk istiqomah setiap hari.

Di kampung, bermula hari-hari terakhir ummi menanti kelahiran, pelajaran al-Quran Anas sudah terhenti, hingga balik semula ke rumah. Bermakna, lebih kurang dua bulan 'bercuti'.

Kini ummi dah kembali sihat dan boleh mengajar Anas. Cuba tasmik semula hafazan lama. Agak sedih, banyak yang Anas dah lupa. Maklum saja, hafazan perlu sering diulang untuk ia kekal dalam ingatan. Terbantut hasrat untuk sambung hafazan surah baru.

Ya, kita mulakan semula. Mula dari awal (al-fatihah). Ummi pun tak nak memberi tekanan pada Anas. Bukan lupa terus, cuma ingat-ingat lupa. 

Maka setiap malam selepas maghrib, Anas, Mussaab, ummi dan Miqdad duduk sama-sama membaca surah dari mula. 

Alhamdulillah, mungkin buat masa sekarang inilah yang terbaik. Kita gerak perlahan-lahan, jangan gopoh. Cuma satu ummi harapkan. ANAS DAN MUSSAAB SUKA MEMBACA AL QURAN TANPA ADA RASA TERPAKSA. Dan ummi tenang mengajar, tanpa memberi tekanan yang membuatkan Anas dan Mussaab hilang minat pada al Quran.

Insya Allah, kita mulakan semula. Semoga kita seronok membaca al Quran.

HILANG BERGANTI


8/12/15: aku mengalami keguguran kali yang kedua. Di ketika itu, aku dan suami sangat mengharapkan kehadiran anak ketiga.

Kini setahun sudah berlalu. Tanpa diduga, yang dinanti itu sudah berada dalam pelukanku. Allah, begitu cepat Engkau menggantikannya. Tak terjangkau dek akalku untuk memikirkan hakikat yang manis ini di saat berdepan dengan ujian kehilangan itu. Nah, kelukaan itu sudah terubat sepenuhnya. Masya Allah. Nikmat Allah yang mana lagikah yang ingin kita dustakan??

Ilham Miqdad, ummi dan abi menanti kehadiranmu. Menanti dengan harapan. Alhamdulillah, kini harapan itu sudah menjadi kenyataan melalui takdir yang tidak pernah disangka. Allah itu Maha Kuasa, Maha Pemurah. Sabar itu indah :')


 

TWO PLUS ONE

 



Back to normal life. Sudah 20 hari kembali ke rumah selepas berada lama di kampung. 

Super busy day!! Itulah yang aku rasakan sekarang, especially ketika suami ke laut. Tak menang tangan bak uruskan rumah dan anak-anak sendirian. Yang kecil, sudah tentulah perlukan perhatian setiap masa. Yang dah besar, juga masih perlu dipantau dan diuruskan.

Rutin memasak, menyapu lantai, mencuci pinggan mangkuk, menjemur kain, itu juga perlu dilakukan sendirian. Yang paling last ialah kemas rumah. Bila anak- anak dah tidur semuanya. Tapi kemas sekejap sajalah. Bila dah celik mata hero berdua tu, kembalilah pemandangan rumah kepada asal. 

Ya, agak mencabar menjaga 3 anak yang masih kecil. Perlu kekuatan jasmani dan emosi. Tambahan pula semuanya hero :) 

Namun syukur di atas anugerah ini. Aku tahu aku mampu. Masa mereka kecil, memang kita akan terasa susah sikit. Insya Allah bila mereka dah besar, kita tak akan rasa susah lagi. Sabar dan ikhlaslah menjaga amanah Allah ini. 

Insya Allah
Monday 12 December 2016 0 comments By: Naemah

BIG BAD WOLF 2016

Pada 9/12/16, berkesempatan ke book fair 'Big Bad Wolf' yang diadakan saban tahun di MIECC. Hari ini adalah hari pertama BBW yang berlangsung dari 9/12-19/12/16.

Kami sekeluarga bertolak dari rumah (semenyih) sekitar jam 6.30 pagi. Anak-anak yang masih lena dikejutkan dan diangkut terus ke dalam kereta tanpa mandi dan menukar pakaian. Miqdad saja yang sempat disiapkan kerana bangun lebih awal berbanding abang-abang :)

Sampai di MIECC jam 7 lebih. Tukarkan pakaian dan pampers Mussaab, dan terus ke tempat yang ingin dituju. Tahun lepas dan sebelumnya bersama 2 anak, hari ni bersama 3 anak pula. Mungkinkah lebih mencabar??

Ye, agak mencabar juga. Yang kecil, kerap meminta susu. Yang dah besar, kerap pula mengusik sesama mereka dan menangis. Bila dah lama di dalam, mereka jadi bosan dan mula tunjuk perasaan. Adakalanya juga teruja melihat buku yang berjaya memancing minat mereka.

Keseluruhannya, buku-buku agak banyak seperti sebelumnya. Namun, pada harga yang lebih tinggi. Dan kami tak membeli sebanyak tahun-tahun yang lepas. Lebih kurang 60 biji yang sempat dibeli, dengan harga rm600++. Alhamdulillah. 

Walaupun tak banyak seperti biasa, namun agak lama juga masa dihabiskan di situ. Sempat mengisi perut di cafe yang disediakan di dalam kawasan tersebut (tapi agak mahal harga makanan yang dijual). Kami meninggalkan bbw sekitar jam 12 tengahari. Penat dan sakit kepala sangat rasanya. Balik ke rumah, telan panadol dan tidur semahunya. Alhamdulillah, yang kecil pun ok dan tak meragam. Lena tidur bersama ummi :)



 






























 
Sunday 11 December 2016 0 comments By: Naemah

6th ANNIVERSARY: CERITA KITA





11/12/10
Masihkah kau ingat Sayang... Detik indah dan bersejarah ini. Detik penuh bermakna buat diriku dan dirimu.

Hari ini kita disatukan, hari ini kita berkenalan dan memulakan cinta.
Tahukah kamu Sayang.. Hari ini hatiku sudah terpikat dan jatuh cinta padamu.
Manis senyumanmu, lembut tutur katamu, menawan peribadimu, mana mungkin kulupa.
Hari ini kamulah insan yang paling tampan di mataku. Kamu mencuri seluruh hatiku.
Hari ini, apa yang kita kecapi adalah sebuah kemanisan di atas ikatan suci pernikahan, juga kemanisan sebuah cinta yang baru mula berputik.

11/12/11
Setahun sudah kita membina ikatan cinta dan kasih berlandaskan syariat. Saat ini kita masih mengenal hati dan budi. Bahagia bercinta dan bahagia berdua.

Saat ini, sedang menantikan kelahiran cahaya mata kita yang pertama, selepas berhadapan dengan keguguran dan rezeki yang belum menjadi milik.
Melalui saat perpisahan yang panjang, diiringi dengan pertemuan yang manis. Ada cerita sedih, banyak cerita bahagia.

Saat ini dirimu sudah tidak bersama MISC lagi. Berhenti belayar, menanti kehadiran cahaya mata, mengintai peluang dan rezeki di tempat lain pula.

Masihkah kamu ingat Sayang... Di hari ulangtahun yang pertama ini Sayang tiada di sisi. Berhadapan dengan interview nun di bumi Singapura. Diriku bersama kandungan, menanti penuh rindu.

11/12/12
2 tahun sudah kita melayari bahtera rumahtangga bersama. Dulu berdua, kini sudah bertiga. Anak soleh Anas, menghampiri usia 1 tahun. Comel, cerdik dan membahagiakan hati ummi dan abi.

Di ketika ini, kita sudah berhijrah ke bumi Melaka. Mula hidup sendiri, jauh dari keluarga dan orang tua.
Sayang kini bersama petronas maritim. Meninggalkan MISC dan Bourbon. Meninggalkan dunia pelayaran demi untuk keluarga. Terima kasih Sayang, walau ku tahu cita citamu dalam dunia pelayaran belum kamu gapai sepenuhnya.

Kita lebih mengenal hati budi, melihat baik buruk, belajar menerima segala kelemahan dan kekurangan. Pahit manis lalui bersama. Ada saat tenang dan tegang, kerana begitu lumrah dan realiti di alam rumahtangga.

Namun Alhamdulillah 2 tahun kita tetap bahagia bersama. Tetap bertahan bersama cinta.
Ketahuilah Sayang, dirimu sentiasa kucintai. Kerana kamu suami yang sangat baik dan bertanggungjawab, bapa yang penuh kelembutan dan penyayang.

11/12/13
3 tahun sudah kita hidup bersama. Saat ini sedang menanti kelahiran cahaya mata yang kedua.

Kita masih di bumi Melaka. Berpindah dari Taman Bidara Palma ke Taman Bertam Setia yang lebih selesa. Alhamdulillah, rezeki kita masih di sini. Bahagia menanti kelahiran yang kedua.

Anas sudah hampir 2 tahun, sudah pandai banyak perkara. Setiap masa menghiburkan dan membahagiakan.

Dirimu tetap seorang bapa dan suami yang baik dan bertanggungjawab. Sering memdamaikan dan membahagiakan. Banyak bersabar dengan karenahku.
Kita lalui saat suka duka bersama. Debaran demi debaran, dugaan demi dugaan. Walau tak semuanya manis, aku sentiasa bahagia bersamamu.

Hari ini berusaha order kek untuk sambut birthday Sayang dan anniversary. 1st time nak celebrate... Konon kononnya :)

Percayalah Sayang... Tika ini aku tetap mencintaimu. Mencintaimu sepenuh hati.

11/12/14
4 tahun membina kehidupan bersama. Melalui lebih banyak pengalaman pahit getir, manis dan indah bersama.

Dulu bertiga, kini sudah berempat. Anak soleh Mussaab menjadi ahli baru dalam keluarga kita. Menghampiri usia 1 tahun, Anas pula menghampiri usia 3 tahun. Anak anak yang comel, sihat, baik, cerdik dan menceriakan.

Kini Sayang sudah bertukar tempat kerja. Dari petronas maritim ke xilog pula. Masih di Melaka, dan sedang sibuk urusan berpindah rumah ke kajang.
Hari ini kita berjauhan... Sayang memenuhi tuntutan kerja nun jauh di Labuan. Kerja baru membuat kita sering terpisah, namun aku redha mungkin ini takdir yang terbaik. Perpisahan membuahkan rindu, menyuburkan cinta. Saat berjauhan juga saat untuk bermuhasabah diri. Kerana aku bukan isteri yang sempurna, sering tindakanku mengguris hati lelakimu. Maafkan aku Sayang..

Percayalah Sayang...hingga saat ini, cintaku teguh dan setia untukmu. Kerana bagiku, dirimu tiada pengganti.

11/12/15
5 tahun sudah, kita bergelar suami dan isteri, jalani hidup bahagia bersama. Ditemani anak soleh Anas dan Mussaab yang semakin membesar. Aku keguguran buat kali kedua. Belum rezeki.

Masih di Kajang, menyewa di apartment ria prima. Pertama kali buatku, tinggal di rumah apartment seperti itu.

Sayang masih bersama xilog, berulang ke Labuan dan Bintulu. Adakala singkat waktu bersama, adakalanya pula lama, hingga sempat bercuti ke sana sini.
Sudah biasa berjauhan denganmu. Namun tetap rindu, tetap risau memikirkan dirimu yang jauh. Doa sebagai penawar. Dirimu tetap seorang suami yang baik dan bertanggungjawab seperti dulu.

Banyak sudah tersingkap segala kelemahan dan kekurangan, namun kita tetap masih saling mencintai. Banyak tingkahku yang menduga sabarmu, namun dirimu tetap bertahan dengan sabar.

Meskipun yang kita kecapi tak semuanya manis, namun kehidupan bersamamu adalah yang terindah dan membahagiakan.

Hari ini juga Sayang tidak di sisi. Untuk kesekian kali kita berjauhan di atas tuntutan kerjamu.
Sayang.. Walau jauh, dirimu tetap kurindu dan kucinta.

11/12/16
Genap 6 tahun kita jalani hidup bersama. Kini sudah hadir yang ke-5 dalam keluarga kita. Anak soleh Ilham Miqdad, anak ketiga kita sudah pun berusia 2 bulan. Kelahirannya sebagai hadiah istimewa di hari ulangtahun ke-6 perkahwinan kita.

Hari ini juga sayang tiada bersama. Nun, jauh di Bintulu. Genap 2 tahun sayang bersama xilog. Juga sudah hampir setahun kita sekeluarga menetap di Semenyih. Dari berdua, kini kita sudah berlima. Alhamdulillah, di atas anugerah keluarga yang suatu ketika dulu hanya sebuah impian. Aku bahagia bersamamu dan anak-anak.

Terima kasih sayang, dirimu masih seorang suami yang membahagiakan. Yang sentiasa memberikan yang terbaik buat anak dan isteri. Terima kasih di atas cinta dan kelembutanmu. Terima kasih di atas keringatmu mencari rezeki. Terima kasih kerana sering memaafkan diriku. Terima kasih menerima dan mencintaiku seadanya. Terima kasih membuatkan hariku berlalu indah dengan kehadiranmu.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-6. Dan selamat hari lahir sayang. Semoga Allah sentiasa merahmatimu. Semoga dikurniakan kesihatan dan iman. Semoga dapat memimpin keluarga kita ke jalan yang diredhaiNya. Aameen