Thursday, 29 December 2016 By: Naemah

FAIZ AZHARI: HAMBA YANG DIPILIH

Coretan ini untuk abang (Faiz Azhari). Mana tahu, satu hari nanti abang 'terjumpa' nukilan mak tam di blog yang usang ini :)

Di hari pemergian abi, perhatian mak tam sering terfokus pada abang. Abang yang kepenatan pada malamnya berada di sisi abi di saat-saat akhir abi hingga nafas terakhirnya. Dan bermula dari situ, mak tam melihat besarnya tanggungjawab abang selepas ketiadaan abi, untuk menjaga ummi dan adik.

Abang anak yang sulung, dan satu-satunya lelaki. Kehilangan abi di usia 12 tahun. Semua orang pasti merasakan kesayuan yang sama saat melihat abang. Namun mak tam percaya, ini adalah perancangan Allah yang terbaik buat abang. Abang pasti mampu mengharunginya. Abang pasti mampu menggantikan tempat abi menjaga dan melindungi ummi dan adik.

Alhamdulillah, abang dikelilingi ahli keluarga yang sangat baik. Ada nenek, pak cik dan mak cik yang sangat penyayang. Insya Allah, mereka takkan pernah abaikan abang. Mereka sudi menjadi tempat abang bergantung dan berpaut. 

Abang, insan yang hebat. Allah memilih abang untuk menerima ujian ini. Ummi dan abi juga pastinya sudah mendidik abang sebaiknya sebelum ini. Abang ada nilai berdikari, bertanggungjawab dan penyayang. Insya Allah ia membentuk jati diri abang yang lebih matang dan tahan menempuh ujian. 

6 tahun mak tam kenal abang. Masa mula berkahwin dengan pak tam, abang baru masuk darjah satu. Masih kebudakan sangat. Setiap pagi menangis sebelum ke sekolah :) tahun ke tahun, abang lebih matang dan cerdik. Abang, bukan budak kecil yang dulu lagi. Abang ada nilai dan keistimewaan tersendiri. Pastinya hasil didikan ummi dan abi :)

Abang, semoga membesar menjadi anak soleh. Tahniah, bakal bersekolah di Maahad Tahfiz Sains. Langkah pertama untuk bergelar al-hafiz. Semoga menjadi saham untuk abi di sana juga. Jadi anak yang baik untuk ummi ya. Dan jadi abang yang baik untuk adik ya. Jadilah hero soleh yang sentiasa melindungi mereka. Melihat abang membesar menjadi insan berguna dan soleh, hati ummi pasti lebih terubat di atas pemergian abi. 

Pak tam dan mak tam sayangkan abang dan adik. Kami sentiasa mendoakan abang walau di kejauhan. Mengharap sinar dalam hidup abang, adik dan ummi. Sentiasa tabah mengharungi hidup tanpa abi. Semoga berbahagia selalu bersama cinta dan petunjuk Allah.





Gambar yang sempat 'dicuri' dihari persemadian abi. Moga syurga menjadi destinasi abi dan kita semua. Aameen

0 comments:

Post a Comment