Friday 25 December 2020 0 comments By: Naemah

JELI-KOTA BHARU-TUMPAT

Catatan (25/12/2020)


(15/12/2020-24/12/2020)

Genap 10 hari berada di kampung halaman. Alhamdulillah


Hari ni aku dan anak-anak ke Kota Bharu untuk berkunjung ke rumah ibu mertuaku. Kami pergi bersama abang dan ibuku yang memang berhajat nak ziarah mak yang baru keluar dari hospital dan nenek saudara yang juga sakit.


Bertolak jam 9 pagi dari Jeli, sampai di Kota Bharu sekitar jam 10.30 pagi. Tak semua ada, tapi agak meriah juga di rumah mak sebab ada cucu-cucu yang masih stay kat kampung (sebahagiannya dah balik ke rumah masing-masing). Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri dapat jumpa nenek dan sepupu yang dah lama tak bersua. Dapat main game sekejap dengan abang Aqil (hai game tak habis-habis).


Alhamdulillah keadaan mak baik, nampak cergas walaupun sebenarnya taklah sihat sangat. Jam 12 lebih, minta diri untuk balik. Singgah di Khalifa Suite Hotel (abang ada bilik kat situ), solat zohor dan meneruskan perjalanan ke Tumpat pula untuk ziarah keluarga di sana. Berada di sana lebih kurang 2 jam (3.30-5.30 petang), kemudian bertolak balik ke Jeli. Alhamdulillah sampai jam 7 petang.


Syukur di atas perjalanan hari ini walaupun penat (yela, sorang-sorang nak handle anak-anak). Syukur tetap semuanya dipermudahkan olehNya. 


Terima kasih buat abangku (dia yang ajak ziarah mak mertua aku sebenarnya sebab dia tahu suami aku lambat balik). Abang aku yang usianya dah 60 tahun, drive bawak adik dan anak-anak saudara dia jumpa family di sana. Memang terbaik abang aku! Selalu cakna dengan keadaan adiknya yang sorang ni. 


Suami di sana, dah tentu tahu tentang perjalanan isteri dan anak-anaknya hari ni. Dia pun (dalam keadaan sukar dan tak boleh balik jumpa mak dia) dah tentu bersyukur sangat bila aku dan anak-anak dapat ke Kota Bharu menjenguk ibunya. Insya Allah dah tak lama. Lebih kurang seminggu saja lagi, suamiku akan balik berjumpa isteri, anak-anak, maknya dan keluarga di sini. Insya Allah. Semoga Allah permudahkan. Semoga pertemuan kali ini tetap juga baik dan indah seperti selalunya.


Terima kasih ya Allah. Atas kehidupan hari ini. Yang seperti ini. Yang pastinya baik-kerana ia aturan dariMu. 








Wednesday 23 December 2020 0 comments By: Naemah

SABAR MENANTI KEPULANGANMU



Catatan  (20/12/2020)


Sudah 20 hari bulan Disember. Hanya 1 hari aku dan anak-anak dapat bersama suami. Masih berbaki (mungkin) 10 hari lagi, sebelum dapat kembali bersua.


Aku dan anak-anak kini di kampung. Dah hampir seminggu. Balik tanpa dia. Alhamdulillah setelah lama tak balik kampung, akhirnya dapat balik bertemu keluarga yang dirindui. Tapi jauh di sudut hati, tetap merindukan suami yang jauh. Akan lebih seronok jika dia ada bersama.


Malam ini berkumpul ahli keluarga. Solat berjemaah, sessi tazkirah dan makan bersama. Dah lama tak rasa suasana meriah seperti ini. Hampir terlupa, masih berada di musim covid. Betapa lama tak rasa nikmat berkumpul sekeluarga. Semoga Allah memberkati dan merahmati penyatuan keluarga ini. Semoga dilindungi dari segala bentuk musibah.


Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri sudah pastinya antara yang seronok dengan suasana meriah malam ini. Dah lama tak berkumpul ramai-ramai, jumpa sepupu dan anak sepupu mereka. Detik seperti ini sentiasa dinanti. Alhamdulillah untuk kegembiraan anak-anak malam ini.


Berkongsi detik meriah dengan suami yang jauh melaui whatsapp. Hanya sendiri dia di hotel sementara menunggu untuk ke laut. Semoga baik-baik juga dia di sana. Walau ku tahu, dia juga dah tak sabar-sabar nak balik.


Tetapi hati.. bersabarlah. Masa itu kan terus berjalan tanpa henti. Yang ditunggu pasti akan tiba, dengan izinNya. Insya Allah akan menikmati detik pertemuan yang membahagiakan sekali lagi - Hadiah Allah buat yang menanti dengan penuh sabar dan redha.


Alhamdulillah 

Allah dah aturkan yang terbaik

Anugerah Allah adalah yang teragung

Syukur itu membawa bahagia




MINGGU TERAKHIR SESSI PERSEKOLAHAN




(Catatan 19/12/2020)


Alhamdulillah sekarang sudah pun berada dalam suasana cuti sekolah yang sebenarnya. Tamat sudah sessi persekolahan tahun 2020. Bermulanya cuti sekolah pada 18/12/2020. 


Pada minggu terakhir kami sekeluarga (kecuali suami) sudah berada di kampung. Anas meneruskan rutin membuat kerja sekolah di kampung. Mussaab pula, memang dah cuti awal, iaitu bermula awal Disember. Just hadir ke sekolah untuk hari graduasi. 


Seminggu terakhir ini agak mencabar sedikit, bila di kampung tiada line internet. Bukan tak ada langsung, tapi sekejap-sekejap saja. Samalah macam tak ada kan? Bukan setakat nak buat kerja, nak whatsapp pun susah. 


Tambahan pula Anas banyak kena jawab soalan online, dan nak kena hantar juga video hafazan, lagilah susah. Setiap hari kena ‘keluar’ cari line internet. Hari pertama guna wifi kat rumah abang, hari seterusnya ke Ayer Lanas, parking tepi masjid dan setllekan kerja Anas. Alhamdulillah. Selesai juga tugasan dengan jayanya. Tinggal satu je lagi belum selesai iaitu tugasan matapelajaran sains. Yang ni tak kena jawab online, tapi kena jawab soalan di buku aktiviti. Tapi, buku pula tak bawa balik. Tak ada cara lain, minta mak kawan Anas tolong snap gambar page yang perlu dibuat tu, dan hantar ke whatsapp. Belum buat pun lagi latihan, insya Allah malam ni atau esok. Sekarang ni tengah seronok main dengan sepupu. Memang dah lupa terus la pada kerja sekolah!


Alhamdulillah, lepas ni dah tak terima lagi tugasan setiap hari seperti sebelum ini. Ummi pun dapat berehat sekejap jadi guru sementara. Tapi ada kemungkinan tugas itu akan disambung lagi, andai covid-19 masih menghantui. Yalah, sampai ke hari ni kes harian masih tak kurang dari 1000 kes. Ya Allah. Moga ada sinarnya nanti. 


Bukan tak suka mengajar anak, dah cuba sedaya mungkin, dan seikhlas mungkin. Tapi anak-anak dah tentu rindukan suasana pembelajaran di sekolah. Guru di sekolah taklah segarang guru di rumah kan :D


Akur pada takdirNya. Aku juga seperti ibubapa yang lain. Ada sedikit kebimbangan dalam bab pendidikan anak-anak andai mereka tak mendapat dari apa yang sepatutnya. Namun redhalah, jangan overthinking sangat. Insya Allah, masa depan yang cerah untuk anak-anak semuanya. 

BALIK KAMPUNG AKHIRNYA

(Catatan 16/12/2020)


Alhamdulillah balik kampung juga akhirnya (pada 14/12/2020)-walaupun tanpa suami tercinta yang masih berkuarantin di Bintulu, Sarawak.


Pada mulanya memang nak tunggu suamiku balik, tapi memandangkan lambat lagi dia boleh balik, dan ada pula yang sanggup datang ambil kami, maka balik kampunglah aku bersama anak-anak. 


Nak dijadikan cerita, pada mulanya kakakku dan suaminya yang nak datang ambil kami. Tapi lepas tu abang sulung dengan abang no.3 pula yang katanya nak datang, tapi kemudian anak saudara yang datang ambil di Semenyih dan bawa ke rumahnya di Bentong, dan kemudian balik dengan abang sulung yang datang sampai Bentong bersama kakak, abang ipar dan ibuku. Semua buat keputusan last minute. Semuanya plan abang sulung yang katanya ‘tak lena tidur’ sebab fikir macam mana nak ambil kami anak-beranak balik.


Itulah abang aku. Time aku perlukan, memang dia akan sedia membantu. Dari aku kecil lagi. Sebab dia abang sulung, memikul amanah menjaga adik bongsu yang bergelar yatim sejak kecil. Yang sangat-sangat bertanggungjawab, yang jaga aku sebaiknya. Cuma bila aku dah kawin (ya, tugas dia dah selesai), dia dah serahkan semua tanggungjawab pada suamiku. Tapi tiapkali aku perlu, dia akan sentiasa ada dan berusaha untuk ada. Pada usianya sekarang, 60 tahun, masih cergas, masih sihat. Alhamdulillah.


Kini sudah hari kedua di kampung. Sebenarnya masih belum cuti sekolah. Minggu ni minggu terakhir. Anas masih perlu siapkan tugasan setiap hari. Sangat menjadi masalah bila di sini line internet tersangat lembap. Nak whatsapp pun susah. Apatah lagi nak buat kerja lain. 


Semalam dah ke rumah abang aku guna wifi kat rumah dia jawab quiz, hari ni nak kena hantar video hafazan, kena cari line internet juga. Insya Allah, akan dipermudahkan juga nanti.


Sekarang di musim tengkujuh. Hujan setiap hari. Anak-anak pun tak ada aktiviti sangat. Banyak main dalam rumah je. Semalam dapat juga main dengan anak sepupu mereka kat rumah pok long. Alhamdulillah. Dapat video call abi sekejap, sebab kat rumah mek memang tak dapat nak call langsung dah. 


Meneruskan hari-hari di sini. Setia menanti kepulangan suami tercinta. Semoga Allah pertemukan kembali. Semoga dipermudahkan urusannya di sana, dan urusan kami di sini. Aameen.








Sunday 13 December 2020 0 comments By: Naemah

KESETIAANMU TIADA RAGU


Pada hari lahir suamiku (11-12-2020), seperti tahun-tahun lepas juga, FB akan remindkan pada ‘friends’ pada tarikh tersebut, maka ramailah yang tinggalkan ucapan di wall-kebanyakannya rakan kerja dia


Tiba-tiba ada rakan sekolah lama yang buat ucapan birthday. Amboi berderet ucapan dari ‘girls’. Dah tentulah aku baca satu persatu. Jelouse? Tak adalah sangat sebab pada umur sekarang, aku anggap mereka semua pun dah bergelar mak-mak orang kan? Kalau baru setahun dua kawin, harusss la jelouse :D suami pun perasan aku ‘like’ pada gambar kelas yang kawan dia tag tu. Dia siap tanya: ‘ummi jelouse?’ Hmmm.. kalau tanya lebih-lebih pasal ‘mereka’ kan, hati aku pula yang tak tenteram karang. 


Ya, aku isteri yang tak mahu mengorek kisah silam suamiku. Apatah lagi tentang hati dan perasaan yang satu ni. Tak pernah aku mahu tahu dari mulutnya sama ada dia pernah ‘jatuh cinta’  atau suka pada sesiapa. (Dia pun dah tentu tak suka soalan menjerat macam tu kan). Aku tahu ianya ‘normal’ pada semua orang untuk jatuh cinta pada sesiapa pun. Dan dia juga berhak untuk suka sesiapa pun sebelum aku. Tapi tak perlulah aku nak tahu atau korek kisah silam dia kan? Benda dah lepas.


Cukup 10 tahun ini, dia dah buktikan yang kesetiaan dia hanya untuk aku. So the past is past. Tak kiralah bidadari mana yang pernah mencuri hatinya (sebenarnya jelouse juga bila terfikirkan pasal tu). Cukup 10 tahun dia dah buktikan tak ada wanita lain dalam hatinya selain isterinya. Tak ada whatsapp atau apa-apa yang mencurigakan. Tak ada apa yang boleh buat aku syak dan tak percaya dia. Tak ada! 


Dia juga seorang yang sangat berterus-terang dan menjaga hati. Aku sedar apa yang tak sempurnanya tentang aku. Dia juga tahu. Nak dikira-kira, memang sangat banyaklah kurangnya. Tapi tetap dia ikhlas dan seadanya mencintai. 


Bila sebut bab cantik, aku sedarlah aku ni biasa-biasa je. Kerap juga aku puji orang tu cantik, orang ni cantik, depan dia. Yang selalu dia reply: ummi lagi cantik/ sayang lagi cantik, walaupun yang aku puji tu seorang Neelofa.Hehe.. bila dia reply macam tu takdelah pula aku nak perasan atau berbangga apa. Padaku masej yang dia nak sampaikan ialah, datanglah perempuan cantik manapun, dia tetap setia dengan aku, isterinya yang biasa-biasa ni. 


Masuk pula bab masak, aku ni asalnya tak pandai sangat memasak masa awal kawin dulu. Nak banding dengan dia, lagi sedap masakan dia. Tapi dia tak pernah nak complain yang menyakitkan hati. Apa yang aku masak, dia makan je. Tegur-tegur tu memang ada, tu pun dengan cara yang paling nak menjaga hati sebab dia tahu isterinya kuat sentap! Hihi. Cukup 10 tahun, dapur tu dah jadi ‘ofis utama’ aku. Nak cakap terer sangat memasak takdelah, tapi banyak la improve berbanding dulu :) dapat pula suami yang tak suka makan kat luar, sedap tak sedap semua dia hadap, tak pernah beri komen yang menyakitkan hati. 


Dan akhirnya, untuk hingga ke hari ini aku sangat bersyukur atas jodoh kurniaan Tuhan ini. Walau tak pernah mengenalinya sebelum diikat sebagai suami isteri, aku rasa sangat bertuah menjadi isterinya. Walaupun selalu kena tinggal (kerana kerjanya), banyak yang tak sempurna aku dan dia, namun cinta tetap mekar di hati. Kemesraan tetap ada sampai ke hari ni. Padaku, dia dah cuba yang terbaik untuk menjadi suami yang membahagiakan isterinya. Ya, aku tak perlu nak fikirkan kisah silamnya. Siapa yang pernah ada dalam hatinya. Cukuplah 10 tahun ini, dah dia buktikan akulah satu-satunya permaisuri di dalam hatinya.


Terima kasih suamiku :)


Thursday 10 December 2020 0 comments By: Naemah

BINGKISAN DI HARI LAHIR DAN ULANGTAHUN PERKAHWINAN



(11/12/1982-11/12/2020)

Genap usiamu 38 tahun

Terima kasih mak, lahirkan insan yang sebaik kamu


(11/12/2010-11/12/2020)

Genap 10 tahun usia perkahwinan kita

Sekali lagi terima kasih mak, restui aku sebagai isterimu


Di hari ulangtahun kelahiranmu dan juga ulangtahun perkahwinan kita, kau tiada bersamaku. Bahkan bukan pertama kali, dah kerap berjauhan pada tarikh istimewa ini. Tapi tak mengapa, kita pun tak pernah nak celebrate beriya sangat pun kan. Cukup saling ingat, saling mendoakan dan syukur sebanyaknya. Masih diberi usia, masih bahagia bersama.


Masih aku ingat pada ulangtahun pertama perkahwinan kita, kau jauh di Singapura. Tahun-tahun berikutnya pun, hanya berapa kali saja kau ada bersama. Pada banyak ketikanya, kau sedang jauh demi sesuap nafkah. Ya, tetap tak mengapa. Kita bukan ingin meraikan. Cukup aku dan kamu tak pernah lupa. Dan tak pernah berhenti untuk bersyukur.


Tahun ni kamu di Bintulu, sedang jalani kuarantin sebagai syarat untuk bertugas. Bahkan kali ini pergimu agak lama. Penantianku dan anak-anak agak panjang. Ya, tahun ni diraikan bersama ‘corona’. Sepanjang tahun, masih dalam belenggu sang covid ini. Bertahan dan bertabahlah.


Yang lebih membebankan rasa, pada tarikh ini mak sedang berada di hospital kerana sakitnya. Aku tahu hatimu meronta mahu balik, tapi apakan daya, tak boleh. Hari ni hari ke-3 mak di hospital. Alhamdulillah, dikhabarkan keadaan mak makin baik. Sikit sebanyak melegakan hatimu juga. Hari ni juga mak memberikan ucapan di hari lahirmu. Pasti itulah yang paling bermakna buatmu kan? Ya, seorang mak tak pernah lupa pada tarikh dan detik dia melahirkan anaknya. Dalam tak sihat pun masih tak lupa.


Aku dan anak-anak di sini juga tak lupakan hari istimewamu. Sekadarnya memberi ucapan tanda ingatan. Aku mendoakan agar usiamu diberkati, dikurniakan pahala berganda di atas penat lelah mencari rezeki buat keluargamu ini, agar cukup segala, biarpun dirimu di sana hanya makan pakai sekadarnya. 


Terima kasih sayangku.

Ku bersaksi bahawa dirimu sudah sebaiknya mencuba dan berusaha untuk menunaikan amanah sebagai suami dan ayah. Moga syurga tempat kembalimu.


Moga sentiasa sihat suamiku.

Moga kita akan  bertemu lagi.

Moga mak juga akan kembali sihat.

Moga ada rezeki kita untuk balik kampung lagi, jumpa mak dan semua.


آمين




10 TENTANG KAMU



(11.12.2010-11.12.2020)


Bersempena 10 tahun usia perkahwinan. Aku ingin nukilkan ‘10 tentang kamu’. Kamu yang kunikahi 10 tahun yang lalu. 10 tahun genap berkenalan denganmu, tak lebih dan tak kurang :)


Dan ini aku persembahkan ‘10 tentang kamu’ :D 



1. Diam dan sembunyi ketika marah

Kamu bukan jenis yang cepat marah padaku. Tapi aku faham bila kau marah. Kau takkan tinggikan suara, apatah lagi ‘naik tangan’. Tapi kau akan menjauh dan bersendiri. Dan ia selalunya tak lama, bila sejuk hatimu, kau akan kembali mendekati semacam tak ada apa yang berlaku. Tika itu aku tahu kau sudah memaafkan. Walaupun cuma ‘begitu’, cukup untuk ‘menghukum’ aku. Sebolehnya aku tak mahu buat kau marah lagi. Takuttt..



2. Sangat membantu dalam urusan rumah

Boleh dikatakan semua urusan rumah kamu akan cuba lakukan tanpa disuruh-suruh. Memasak, laundry, kemas rumah, dll. Aku tahu kau penat bekerja dan bermusafir jauh, jika boleh mahu rehat saja di rumah. Tapi aku nampak, kau juga tak senang jika hanya duduk goyang kaki saja di rumah. Bahkan kamu paling sakit mata dan sakit hati tengok rumah tunggang langgang tak terurus baik. Hmmm



3. Tiada perkongsian peribadi di media sosial

Padamu, kisah bahagia kita tak perlu dicanang, atau ditunjuk kepada umum. Baik wajah isteri, anak-anak dan insan kesayangan yang lainnya, tak pernah kau pamerkan di media sosial. Apa lagi bercerita panjang kehidupan sendiri. Sembang dan kongsi hal peribadi di media sosial? Haih.. itu bukan kamu.



4. Hadiah tak bergantung pada tarikh tertentu

Setiap kali membeli dan memberi sesuatu padaku, katamu itu hadiah birthday, hadiah anniversary, dan sebagainya(padahal jauh sangat dari tarikh sebenarnya). Yang pastinya hadiah darimu akan datang bila-bila masa, sepanjang tahun. Makanya, tak adalah aku nak merajuk atau terasa hati bila kamu lupakan tarikh-tarikh yang sepatutnya :)



5. Peminat sukan bola sepak

Seperti kebanyakan lelaki yang lain, kamu sangat minat pada sukan bola sepak. Sentiasa ikuti perkembangan bola sepak dunia (penyokong Liverpool sejak sekian lama). Akan ada harinya (hari perlawanan bola sepak) kamu akan tidur lewat atau bangun seawal pagi yang boleh, semata-mata tak nak lepas dari menonton perlawanan. Tapi sayangnya isterimu tak berminat, makanya seorang diri sajalah melayan bola di depan tv :)



6. Penggemar apam balik dan murtabak

Aku perasan sejak sekian lama, kalau pergi pasar malam, pasar pagi, atau di mana-mana, yang akan menjadi perhatianmu adalah apam balik dan murtabak. Suka sangat makan, kalau jumpa pasti beli. Sayangnya, aku sendiri tak pandai dan tak pernah cuba nak masak makanan tu kat rumah. Hmm.. 



7. Tenang mendepani banyak masalah, kecuali melibatkan hal anak-anak.

10 tahun bersama, dah tentu menempuh banyak liku bersama. Tapi aku sukakan dirimu yang sentiasa kelihatan ‘cool’ bila timbulnya masalah ataupun ketika berdepan dengan hal yang tak terduga. Boleh bersikap rasional, dan tangani dengan sabar. Tapi satu hal yang tak boleh disorok, bila ia melibatkan hal anak, kamu akan kelihatan panik. Betul kan?



8. Kurang melibatkan diri dalam pendidikan anak-anak

Maksud aku, hal-hal yang melibatkan kerja sekolah, akademik, belajar  al-Quran, kamu seperti menyerahkan semuanya padaku, kecuali bila aku yang minta ajarkan anak-anak. Aku faham kamu jarang ada di rumah, makanya bab pendidikan kamu harapkan aku dapat ambil tanggungjawab sepenuhnya. It’s ok. Walaupun jarang-jarang, ada juga time anak-anak dapat belajar dengan abi :)



9. Semua nak buat sendiri

Apa-apa kerosakan pada harta benda di rumah, atau nak pasang apa-apa je kat rumah, sebolehnya kamu nak cuba buat sendiri. Kadang-kadang jadi pomen kereta, jadi tukang paip, jadi tukang baiki handphone, technician, dan macam-macam lagi. Sebolehnya nak jimatkan kos, selagi ada daya dan kudrat. Selalunya menjadi, walau mungkin tak perfect :b yang pasti aku bangga dapat suami yang ‘serba boleh’ sepertimu :)



10. Menyayangi anak isteri dengan cara tersendiri

Aku pun tak tahu nak explain macam mana pasal ni. Tapi cukup la aku rasa kamu sangat menyayangi kami dari apa yang dah kamu beri, dan lakukan untuk kami. Walau sering jauh, walau tak sering mengungkapkan sayang, walau tanpa menukilkan madah cinta, namun cukuplah semuanya yang kamu buat, yang kamu berikan, menjadi bukti bahawa kamu sangat mencintai anak dan isterimu. Dan aku.. tak pernah ingin untuk membandingkan suamiku dengan sesiapa pun. Kerana padaku, kamu satu dalam berjuta. 



Cukup 10- dirimu yang kukenal, yang kucinta sepenuh hati kerana Allah. Walaupun sebenarnya banyak lagi ‘tentang kamu’. Cukup kau tahu aku mencintai segalanya tentang dirimu.


10 tahun- kita tak punya cerita indah sebelum berkahwin. Tapi kita mampu membina kehidupan indah selepas perkahwinan. Belum cukup sempurna, dah tentu masih banyak yang perlu diperbaiki untuk membina kehidupan yang lebih baik sebagai pasangan dan sebagai hamba. 


Terima kasih untuk 10 tahun yang terlalu indah buatku. Seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan di atas hadirnya dirimu. Syukur padaNya, rahsia jodoh yang sampai sekarang aku terasakan kagum. Betapa kebesaranNya!


Dan maafkan aku yang tak cukup sempurna untukmu. Terima kasih atas cinta dan kesetiaan.


Moga Allah kurniakan kesihatan dan usia, untuk kita ‘kenal’ lagi. 10 tahun yang kurasakan terlalu pantas. Moga cinta ini kekal sampai syurga. Ø§ٓمين











Monday 7 December 2020 0 comments By: Naemah

ABDULLAH MUSSAAB: 3 TAHUN DI LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN




Sudah 3 tahun berlalu (2018-2020). Mussaab akhirnya bergraduasi dari sekolah pertamanya-Little Diamond Kindergarten. Alhamdulillah. Tahun depan melangkah ke tahun 1, bukan lagi bergelar 'budak tadika'. 


Catatan ini adalah tentang perjalanan Mussaab selama 3 tahun di Little Diamond Kindergarten. Sekolah pertama Mussaab, yang banyak mengajar, mendidik dan memberi dengan penuh kasih sayang. 




Oktober 2017


First time jejakkan kaki di Little Diamond Kindergarten pada open day yang diwar-warkan dalam WhatsApp group penduduk Seksyen 6. Lokasinya hanya berselang beberapa buah rumah saja. Dan Little Diamond Kindergarten adalah sekolah baru yang akan mengambil students untuk tahun depan (2018). Tak berniat nak mendaftar, sekadar nak join aktiviti mewarna yang dibuka pada anak-anak. Lagipun masa ni Mussaab baru 3 tahun (tapi dah selalu minta nak sekolah), Anas pula 5 tahun, ingat nak teruskan dia belajar kat sekolah lama je. 


Pada hari tersebut Anas dan Mussaab sertai pertandingan mewarna dan dapat hadiah (walaupun tak menang). Hari ni juga mendengar serba sedikit maklumat tentang sekolah dari teacher Zeeda (principal LD). 




Disember 2017


Anas dan Mussaab menyertai program cuti sekolah yang dianjurkan oleh Little Diamond Kindergarten. Pada hari tersebut juga merupakan hari orientasi pelajar yang sudah mendaftar lebih awal. Dan kali ini, masih belum terfikir untuk daftarkan Anas atau Mussaab di sini. Sebabnya seperti yang di atas tadi juga. 


Selesai program 2 hari tersebut, Anas dan Mussaab asyik bercerita tentang 'bestnya' join program tersebut. Bila ditanya berkali-kali nak sekolah kat situ ke? Keduanya excited cakap Nak! Mussaab yang paling teringin nak sekolah, sebab sebelum ni hari-hari hantar Anas ke sekolah, nampak macam seronok je. Selalu cakap nak sekolah, tapi umur tu belum melayakkan. 


Bincang dengan abi, akhirnya decide untuk daftarkan Anas dan Mussaab di Little Diamond Kindergarten next year (2018). Sebenarnya sukar juga nak membuat keputusan. Banyak faktor yang perlu diambil kira. Memanglah 'tadika' je. Tapi tadika inilah yang nanti akan menjadi rumah kedua anak-anak, yang akan membantu dalam membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak. Yang menentukan anak-anak 'seronok' atau tidak untuk kembali pada esok harinya ke sekolah. Tak daya nak hadap  drama pagi-pagi kalau anak tak seronok nak ke sekolah. 


Akhirnya muktamad, Anas dan Mussaab berdaftar sebagai pelajar Little Diamond Kindergarten pada 27/12/2017.




2018: Anas dan Mussaab belajar bersama-sama


Tahun ni masih tak ramai pelajar. 4 orang pelajar 6 tahun termasuk Anas, 4 orang pelajar 4 tahun termasuk Mussaab dan selebihnya pelajar 5 tahun. Tahun ni boleh dikatakan mereka semua ni dah 'terlebih' mendapat perhatian dari guru-guru. Yelah, student masih tak ramai kan. 


Alhamdulillah tak silap memilih, Anas dan Mussaab memang enjoy ke sekolah tahun ni. Tak ada masalah tak nak ke sekolah langsung. Jarang sekali tak hadir ke sekolah kecuali tak sihat atau balik kampung. 


Banyak aktiviti best kat sekolah, banyak main, mesra berkawan, join lawatan sekolah, join pertandingan, buat persembahan dan sebagainya. 


Tamat sessi persekolahan 2018, Anas sudah tamat zaman tadikanya, tinggal Mussaab meneruskan persekolahan di Little Diamond untuk tahun seterusnya




2019- Mussaab tak bersama Anas lagi


Tahun berikutnya, risau juga kalau Mussaab jadi kurang seronok untuk ke sekolah sebab Anas dah tak ada. Tapi Alhamdulillah Mussaab ok dan baik-baik je. Kali ni Mussaab sorang saja, jadi diri sendiri, dah tak ada watak abang yang sedikit sebanyak jadi 'shadow' pada Mussaab sebelum ni. 


Tahun ni students pun dah bertambah. Mussaab ada lebih ramai kawan. Sama juga dengan tahun lepas, Mussaab join semua aktiviti di sekolah seperti menjual di bazar Ramadan, lawatan sekolah, karnival sukan dan sambutan Merdeka, dan banyak lagi. Setahun lagi meningkat usia, Mussaab lebih cerdik dan lebih banyak belajar di sekolah. Dan memang tak ada masalah langsung nak bersiap setiap pagi ke sekolah. Alhamdulillah. Mussaab memang seorang anak yang mudah di uruskan. 


Sebagai menutup sessi persekolahan 2019, Mussaab sertai majlis graduasi LD untuk kali yang ke-2 dan membuat persembahan bersama kawan-kawan. 




2020- Tahun terakhir Mussaab di Little Diamond Kindergarten 


Tahun ni Mussaab meneruskan pembelajaran di sekolah yang sama. Sebelum tu dah bagi pilihan untuk Mussaab untuk terus kekal di Little Diamond Kindergarten atau memilih sekolah yang lain. Akhirnya Mussaab pilih LD juga. 


Walaubagaimanapun, tahun ni takdirnya berbeza. Kerana ujian Covid-19, sessi persekolahan terpaksa ditangguhkan dalam tempoh yang agak lama-bermula Mac sehingga Jun. Kembali bersekolah pada bulan Julai sehingga pertengahan Oktober. Itulah kehadiran yang terakhir di sekolah. Ujian wabak yang tak siapa pun menjangka, memberi kesan yang sangat besar pada dunia pendidikan anak-anak bahkan seluruhnya. Di tahun terakhir ini, anak-anak banyak menghabiskan masa di rumah, berbanding di sekolah. Memang situasi yang sangat berbeza dari sebelumnya. 


Tahun ini anak-anak banyak belajar di rumah. Bermacam cara guru mengajar dan memberi tugasan, semuanya sudah mencuba yang terbaik - demi anak-anak tak ketinggalan dalam pelajaran, Alhamdulillah dan terima kasih. Mussaab juga tak miss buat worksheet dan belajar melalui Google classroom dan Google meet. Alhamdulillah ada pengisian juga walaupun tak ke sekolah. Tapi sudah tentulah, tak sebanding dengan belajar secara berdepan dengan guru dan berjumpa kawan-kawan di sekolah :)


Alhamdulillah kini dah berakhir. Tiada lagi kelas online untuk Mussaab. Majlis graduasi pun dah selesai. Walaupun PKPB masih berlanjutan, syukur kini dah boleh merentas negeri (walaupun kita tak dapat ke mana-mana juga sebab abi bertugas di Sarawak). Insya Allah ada rezeki kita akan balik bercuti di kampung. Dah terlalu lama tak balik kampung kan?


3 tahun dirasakan terlalu pantas berjalan. Mussaab bakal melangkah ke tahun 1. Semoga tahun depan akan lebih baik. Semoga anak-anak akan dapat kembali ke sekolah, tidak lagi berkurung di rumah. 

Insya Allah.


Mussaab.. ummi akan sentiasa mendoakan Mussaab dalam setiap langkah dan perjalanan Mussaab. Semoga cemerlang anakku, dunia dan akhirat.


Aameen



Foto di sekitar majlis graduasi Little Diamond Kindergarten

(Dari page FB)


*oh ya, majlis graduasi pada tahun ini juga berbeza dari sebelumnya, hanya dibuat di sekolah, tak ada dewan, tak ada persembahan, tak berkumpul ramai-ramai juga, seorang demi seorang datang bergambar dan menerima scroll, mengikut waktu yang telah ditetapkan. Tak semeriah dulu, namun anak-anak tetap rasa diraikan. Alhamdulillah. Terima kasih guru*












Tuesday 24 November 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 241120



Hari ni masih di dalam tempoh PKPB (minggu ke-6 rasanya). Alhamdulillah lengkap keluarga kita, abi dah 2 hari berada di rumah selepas balik dari Bintulu. 


Pagi ni bangun awal seperti biasa, solat subuh berjemaah dan breakfast bersama. Hari ni abi beli nasi lemak di luar. Lepas makan dan kemas (sekitar jam 8 pagi), mula ‘masuk kelas’ seperti biasa. Anas menyiapkan tugasan matematik dan Tauhid, Mussaab siapkan latihan english dan Sains, Miqdad pula melukis. Suri ummi tinggalkan menonton video omar dan hana, sebab ummi perlu beri perhatian pada abang-abang. Abi juga sibuk dengan kerjanya.


Dah selesai homework, masing-masing duduk di depan tv dan menonton video kegemaran (dan main game sama-sama di iPad). Suri dah mula mengantuk. Jam 9, ummi bawa Suri naik, susukan dan akhirnya tertidur. Jam 10 pagi abi ke KL (masuk ofis hari ni). Ummi rehat bersama Suri, biarkan abang-abang Suri dengan hal masing-masing.


Jam 11 pagi turun ke bawah bersama Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad masih di depan tv. Ummi minta tengokkan Suri, sebab masa untuk ummi memasak. Setengah jam kemudian selesai masak, makan sama-sama. Hanya Mussaab yang tak join, kenyang katanya. Lepas makan lepak depan tv lagi. Abi balik sekitar jam 12.15. Keluar sekejap bermain basikal di halaman. Abi makan dan sambung kerja di depan laptop lagi. Suri menonton video Didi&Friends pula. 


Jam 1 naik ke atas untuk solat Zohor. Selesai solat, turun semua sebab it’s time to ‘play game’. Itu memang saat ditunggu-tunggu. Ummi rehat dan tidur bersama Suri. Abi masih dengan kerja yang belum selesai (di bawah bersama anak-anak).


Jam 3.30, ummi dan Suri bangun. Abi baru nak tido. Abang-abang Suri masih leka bermain di bawah. Jam 4 ummi dan Suri turun ke bawah. Suri menonton video Omar dan Hana dan duduk bersama abang-abang. Masuk asar, semua naik ke atas dan solat. Lepas solat turun semula ke bawah. Abi keluar beli pizza untuk makan malam. Makan sama-sama, lepas tu keluar berbasikal di luar ditemani abi.


Hampir masuk waktu maghrib, naik mandi dan solat berjemaah. Lepas maghrib lipat kain baju masing-masing bersama-sama (cuti baca al-Quran malam ni). Dah selesai, main sekejap, solat isyak dan ready untuk tidur. Alhamdulillah jam 9 malam, sudah lena semuanya.


Semoga lena tidur semua. Moga bermimpi indah semua. Dan moga esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab,  Miqdad dan Suri.


Love you all


Nota kaki: hari ni kes harian COVID-19 mencatat angka tertinggi (2188 kes)