Friday 30 June 2023 0 comments By: Naemah

AIDILADHA BERSAMA ANAK-ANAK


10 Zulhijjah 1444h jatuh pada 29/6/2023. Alhamdulillah Aidiladha disambut dengan serba sederhana bersama anak-anak.


Raya ni mengambil keputusan untuk tidak balik kampung memandangkan suami berada di tanah suci Mekah (sudah hari ke-12). Lagipun cuti sekolah sekejap je. Tak mengapalah tak balik.


Pagi Aidiladha, bersarapan dengan mi goreng simple saja. Lepas tu ke surau untuk solat raya, kemudian ke tempat sembelihan korban, dan kemudian balik berehat di rumah. Anak-anak memilih untuk main game dan buat hal sendiri saja. Untuk makan tengahari, just order nasi dagang (tertengok iklan di fb).


Dalam pukul 12, adik ipar maklumkan nak datang rumah. Mereka sekeluarga beraya di KL tahun ni. Seronoklah anak-anak, sepupu mereka nak datang. Lagipun dah lama tak jumpa. Mereka datang bawa juadah raya, nasi himpit, rendang, kuah kacang, sate, kuah lodeh, dan sambal jawa. Betul-betul raya dah ni. Itulah makan tengahari sampai malam. 


Lebih kurang jam 4 petang tetamu beransur balik. Anak-anak kembali ke hal masing-masing. Belum puas lagi sebenarnya bermain dengan sepupu. Takpelah, insya Allah jumpa lagi next time. 


Hari beransur petang, malam pula menyusul. Kembali ke rutin biasa. Solat, baca Quran dan tidur. Semua sudah kepenatan ‘berhari raya’. 


Aidiladha kali ini berbeza. Namun, Alhamdulillah tetap menyambutnya dengan penuh kesyukuran. Tiada apa yang kurang dari takdirNya. Syukur seadanya. 

Tuesday 27 June 2023 0 comments By: Naemah

UJIAN TETAP PASTI MENDATANGI


Menempuh hari yang baru, bersama cerita yang baru.


Hari ni hari terakhir anak-anak bersekolah sebelum bercuti selama 5 hari bersempena Aidiladha.


Malam sebelum tidur lagi dah ingatkan anak-anak nak bergerak awal ke sekolah sebab setiap Selasa Anas kena baca surah di sekolah sebelum kelas bermula. Tepat 6.30, bergeraklah meninggalkan rumah. Awal dari kebiasaan. Alhamdulillah kereta tak banyak pagi ni. 6.45 dah sampai sekolah. 


Lepas tu Mussaab mengadu bekal tertinggal di rumah. Oleh kerana masih awal, balik rumah dulu ambil bekal dia, patah balik ke SRIPN. Nasiblah sekolah dekat je. Selesai sudah Anas, Mussaab dan Miqdad.


Balik siapkan Suri pula. Pun Alhamdulillah, hantar ke sekolah pada waktunya. Now, ummi tinggal seorang. Semangat pagi ni berkobar nak kemas rumah, mop segala bagai, dan nak masak awal untuk anak-anak.


Tengah berkemas, teringat pula hari ni ada temujanji (ambil darah untuk hba1c ) di KK Beranang. Ya Allah.. dah terlambat. Dah pukul 9 pagi, dan sudah bersarapan. Ralat betul rasa. Padahal dah beringat. Padahal boleh kata hari-hari dok belek planner, tengok apa hal penting nak kena buat. Boleh pulak terlupa terus. Terus tak sempat nak masak, tak sempat mop lantai lagi, bersegeralah ke klinik, kononnya nak dapatkan tarikh appointment baru.


Tapi kata (orang yang jaga kat kaunter tu), tak perlu tarikh baru. Datang je next appointment (jumpa doktor) terus. Eh, macam tu pulak. Bukan ke doktor nak review result darah tu. Tapi tak naklah cakap banyak, sebab tengok dia pun macam stress dengan suasana klinik yang penuh sesak. Penat agaknya dia nak melayan sorang-sorang. Baliklah, apa nak buat lagi. Nanti explain la dekat doktor situasi sebenar.


Oleh kerana tak sempat masak, singgah beli di kedai, dan terus ambik Mussaab yang dah habis sekolah agama pukul 11 pagi. Sampai rumah perut berkeroncong minta diisi. Sebaik nak menyuap makan, teringatkan Suri yang balik sekolah pukul 11.30. Alahai terlupa lagi. Tak sempat suap makan, cepat-cepat ke sekolah Suri sebab dah sampai waktu balik. Lepas ambik Suri barulah makan dengan berseleranya.


Lepas tu hantar Mussaab ke SKKR dan balik rehat sekejap, pukul 3.15 keluar ambik Anas dan Miqdad di SRAIPB. Part ambik Anas dan Miqdad pun sedikit menguji bila terpaksa ikut laluan yang tak pernah lalu disebabkan ada pasar hari ni kat depan sekolah (pesta mantai ke apa namanya tu). Agak berliku jalan masuk. Lewat sikitlah sampai sekolah.


Dalam perjalanan balik, dah masuk seksyen 6, kawasan rumah dah, hampir eksiden dengan sebuah motor yang keluar simpang tanpa tengok kiri kanan. Boleh pulak dia keluar macam tu je. Nasib baik sempat brek mengejut. Dan dia pun terkejut. Ya Allah, masa ni rasa panasnya hati. Kalaulah terlanggar tadi. Sempatlah istighfar dan berlalu pergi. Cepat-cepat hati ni maafkan dia, moga Allah maafkanku juga. Teringat balik wajah orang tu (orang Bangladesh rasanya), dengan muka penat, bawa mesin rumput, rasa kesian. Entah apa yang menerawang dalam fikiran dia tadi. Ingatkan keluarga yang jauh barangkali? Syukurlah Allah selamatkan dari musibah.


Balik rumah solat dan rehat sekejap, keluar ambik Mussaab pula jam 6 petang. Trip terakhir hari ni. Balik rumah, dah boleh tarik nafas lega. Urusan di luar dah selesai. Settle makan malam semua, sambil menonton live di arafah. Rindu tak terhingga pada suami tercinta. Dan rindu juga nak sampai sana. Moga Allah makbulkan. Ameen .


Maghrib, naik atas teruskan rutin biasa. Solat dan ajar anak-anak al-Quran. Tak lupa memanjangkan doa malam ini mengambil berkat dan mustajab doa di hari Arafah ini. Moga Allah makbulkan. Ameen.


Lepas isyak, seorang demi seorang tidur. Malam kembali sepi tanpa suara. Semoga lena dan bermimpi indah semua, setelah satu hari menempuh penat belajar dan bermain.


Hari ini hampir kepada penutupnya. Biar apa yang telah dilalui, tetap syukurku mengatasi. Allah menguji dan Allah jua yang bantu untuk mengatasi. Akhirnya kusut di hati berlalu pergi.


Hari esok belum pasti apa yang bakal dihadapi. Namun usah bimbang dan takut, Allah sentiasa ada. Tiada ujian melainkan yang kita mampu saja. Tenanglah duhai hati. 

Monday 26 June 2023 0 comments By: Naemah

SEMOGA ALLAH MEMBERKATI USIAKU


Jun 1985-Jun 2023


Alhamdulillah genap usiaku 38 tahun.

Seluruh kesyukuran aku panjatkan pada Allah yang masih meminjamkanku usia dan kudrat untuk meneruskan kehidupan di dunia ini.


Hari lahir tahun ini, berkebetulan jatuh pada musim haji. Dan pada hari dan ketika ini, berjauhan dengan suami yang dijemput untuk menjadi tetamu Allah. Masya Allah. Biar jauh, namun aku sangat bersyukur kerana dia antara insan yang terpilih. Meskipun aku tak dapat bersamanya, tetap juga aku bersyukur atas perancangan Allah yang pasti terbaik buat kami.


Apatah lagi jika dibandingkan dengan hari lahirku tahun lalu, di mana pada hari tersebut aku menjalani pembedahan kerana masalah kesihatan. Tahun ini keadaanku jauh lebih baik dan lebih sihat, Alhamdulillah. Namun seiring meningkatnya usia, sudah tentu badan tak segagah masa muda. Itu juga sebagai peringatan buat diri, bahawa sudah jauh kaki ini berjalan di atas dunia ini. 


Pada hari lahirku ini, aku jalani kehidupan yang biasa bersama anak-anak. Siapkan makan minum dan keperluan sekolah mereka, menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, pagi hinggalah petang harinya. Cuma hari ni aku pilih untuk ‘cuti’ memasak (kecuali breakfast la). Nak duduk diam-diam tenang-tenang je, sebelum kembalinya anak-anak ke rumah. Bila semua sudah kembali. Hai, kecohlah satu rumah. Tak ada lagi masa ‘bertenang’ hinggalah semua masuk tidur.


Dan satu hari telah pun berlalu. Hari ini ku tempuh dengan lebih baik, Alhamdulillah. Hari ini juga suamiku di sana berangkat untuk bermalam di Mina, seterusnya esok hari akan bergerak ke Arafah untuk kemuncak haji. Aku percaya, doanya sentiasa ada buatku. Bahkan hari ini menerima ‘surprise’ dari dia yang jauh. Tanda ingatan dan cinta dari dia. 


Alhamdulillah. Bertambah usiaku. Semoga bertambah juga amalku. Dunia hanya persinggahan. Bila-bila masa saja Allah menjemput pergi. Moga sisa usia yang ada ini, dapat aku manfaatkan ke jalanNya. Bimbing hambaMu yang penuh dosa ini ya Allah. 



Ucapan dari yang tersayang. Yang teramat dirindui. 



Minta doa dari anak-anak juga bersempena hari lahir ummi. 



Surprise dari jauh

TQ LOVE ❤️




Tuesday 20 June 2023 0 comments By: Naemah

PULAU PANGKOR: OUR SHORT VACATION


Catatan kenang-kenangan, sebuah percutian singkat di Pulau Pangkor pada 10-11 Jun 2023.


Oleh kerana pada cuti sekolah yang lepas abi berada di laut, tak dapat nak bawa anak-anak berjalan. Balik kampung pun naik bas je, sebab abi tak sempat hantar. Bila abi balik dari laut, masih berbaki 2 minggu lagi masa untuk bersama keluarga sebelum berangkat ke tanah suci menunaikan haji.


Abi plan percutian ke Pulau Pangkor. Tak jauh sangat perjalanan, 2 hari 1 malam sudah memadai untuk hiburkan anak-anak dan cipta kenangan bersama.


Pagi selepas solat subuh, sekitar jam 6.45 pagi, bertolak dari rumah ke jeti Marina Island. Singgah dulu breakfast di R&R Rawang, sambung perjalanan dan sampai di jeti jam 11.30 pagi. Naik feri pukul 12.15, dan tiba di Pulau Pangkor jam 12.30 (ye, 15 minit je).


Pertama sekali ambil kereta sewa (di jeti tu juga), lepas tu cari kedai makan untuk makan tengahari. Sebelum tu sempat juga la singgah satu kedai, beli mainan untuk anak-anak. Makan tengahari di kedai makan Kak Gee, lepas tu check in Suria Beach Resort (dekat dengan Pantai Teluk Nipah). Masuk bilik dan solat sekejap, lepas tu turun semula untuk aktiviti Island Hopping. Naik bot, dibawa dari satu tempat ke satu tempat, last sekali aktiviti snorkeling. Lebih kurang jam 5.30 petang, balik semula ke homestay. Sebelum naik ke bilik, sambung mandi kolam dulu satu round. Seronok sungguh hari ni dapat main air sepuasnya.


Lepas maghrib, turun semula untuk makan malam. Jalan kaki saja, makan di kedai makan berdekatan dengan homestay dan pantai (Yuen Thai food dan western). Lepas makan ambil angin di tepi pantai, best juga malam-malam lepak tepi pantai. Kat sini juga ada pertunjukan api. Anak-anak terhibur dengan persembahan dibuat. Dah puas tengok pertunjukan api, balik semula ke bilik. Semua dah mengantuk menempuh perjalanan dan aktiviti di sini. Masa untuk berehat.


Esok harinya breakfast di homestay, mandi kolam lagi, dan main di pantai juga sebelum check out dan kembali ke jeti. Lepas check out, menuju ke Kota Belanda (antara tarikan di sini), melihat batu bersurat, membeli sedikit hasil laut (ikan bilis dan sotong kering) di ‘Kedai Hasil Laut Pak Su’ dan akhir sekali singgah bergambar kenangan di Masjid al-Khairiah yang juga dikenal sebagai Masjid seribu doa atau masjid cina. 


Kemudian ke jeti Pulau Pangkor, serahkan kereta kepada pemiliknya. Sempat juga makan tengahari sementara menunggu feri ke Marina Island (pukul 2.15 petqng).


Tiba masanya, kaki melangkah meninggalkan Pulau Pangkor dengan kenangan yang tak akan dilupakan. Singkat saja percutian ini, namun cukup bermakna buat kita sekeluarga. Semoga dengan izinNya, dapat kita cipta lebih banyak kenangan bersma, selepas abi kembali nanti. Insya Allah. 


Terima kasih abi, untuk momen yang kita cipta bersama.


Terima kasih ya Allah, atas nikmat dan rezeki dariMu.



Kenangan di Pulau Pangkor 



Menunggu feri ke  Pulau Pangkor 



Lunch: asam pedas utara, sup tulang dan nasi goreng udang
















Island hopping 






Mandi kolam









Tengok pertunjukan api




Hari ke-2 
 


Breakfast









Main pantai dulu sebelum chek out







Kota Belanda dan Batu Bersurat











Masjid al-Khairiah



Bye! Bye! pangkor!