Wednesday 22 March 2017 0 comments By: Naemah

PERTEMUAN YANG DITUNDA

Esok pagi sepatutnya aku ambil suami di hentian bas. Sepatutnya, ditemani anak-anak yang merindukan abinya. Sudah tidak sabar ingin bersua dengannya yang sudah beberapa hari berjauhan. Bersedia dengan masakan yang mungkin akan menambat seleranya. Hati girang menanti kepulangan yang tersayang.

Namun kerana takdir inginkan selainnya. Tiada apa yang seorang hamba yang lemah mampu lakukan lagi. Ditakdirkan suamiku tersalah membeli tiket. Dan esok pagi, kita tak mungkin bertemu. Perlu menanti lebih lama lagi. Anak-anak mungkin sedikit kecewa, abi yang dinanti masih belum muncul.

Begitulah hamba.. hanya mampu merancang. Namun yang menentukan tetap adalah Dia. Siapa sangka boleh 'tersilap', sedangkan sebelum ini tidak pernah.

Tiada mampu berbuat apa. Nak salahkan siapa? Mungkin atas kecuaian sendiri. Tapi ia juga sebahagian dari takdir dan ketentuan Allah. Bersangka baik pada Dia. Mungkin ada hikmah yang kita tidak tahu.

Aku, suamiku, anak-anakku... Allah mahu mengajar kita erti sabar. Sabar pada sebuah pertemuan yang dinanti. Sabar pada takdir yang tidak dipinta. Sabar yang Insya Allah akan membuahkan kemanisan.

Esok pagi mungkin Anas akan bertanya di mana abi. Ummi sudah bersedia dengan jawapan, walau mungkin akan mengundang sedikit rasa kecewanya. Sabarlah sayang. Insya Allah, kita akan jumpa abi :)


Yang menanti kepulangan abi
Tuesday 21 March 2017 0 comments By: Naemah

FACETIME PENGUBAT RINDU

Sudah 5 hari aku dan anak-anak kampung. Sudah 3 hari suami di Bintulu.

Sebentar tadi dapat FaceTime dengan suami yang jauh. Seperti biasa, anak-anak yang banyak bercakap dengan abinya. Terubat rindu dapat berbicara dan menatap muka :)

Sudah menjadi kebiasaan, suami akan call/FaceTime bila dia di hotel. Anak-anak memang sentiasa menanti untuk bercakap dengan abi. Bila abi sudah di laut, memang akan langsung terputus hubungan. Anak-anak juga faham hal itu.

Memang tak lengkap tanpa seorang suami/ayah. Namun apakan daya, memang kerjayanya memaksa untuk kami selalu jauh. 

Alhamdulillah, walau jauh masih ada teknologi yang dapat mendekatkan. Maka jauh itu hanyalah sekadar jarak. Yang penting dapat mendengar khabar, bercakap dan menatap muka, itu sudah memadai untuk melepaskan rindu. 

Anak-anak semakin membesar, semakin memahami. Ketiadaan abi pastinya membuahkan kerinduan. Namun kerana abi di sana tidak lupa, maka anak-anak akan terasa bahawa abi sentiasa sayang mereka.

Anas, Mussaab dan Miqdad, anak pelaut yang sering berjauhan dengan abi. Namun abi tak pernah lupa anak-anaknya. Abi sentiasa sayang, sentiasa ambil tahu dan sentiasa mendoakan.

Insya Allah. Ini takdir kehidupan yang terbaik untuk kita. Keluarga kita akan sentiasa hidup dengan cinta dan kasih sayang. Insya Allah :)


 
Miqdad FaceTime dengan abi
Monday 20 March 2017 0 comments By: Naemah

MASA BERSAMA BABY




Sebelum ada baby, teringin nak ada baby. Bila anak-anak dah membesar, rindu pula nak ada baby lagi :)

Hakikatnya hidup bersama baby terasa sangat mencabar. Baby perlukan jagaan rapi dan teliti. Keperluannya pula perlu didahulukan berbanding diri kita sendiri.

Baby lapar perlu segera disusukan. Bila dia tak mahu duduk, perlu juga didukung meski kita dah penat. Ada yang tak kena, dia menangis dan kita kelam kabut mencari punca. Apa lagi jika dia tidak sihat, bertambah sukar jadinya kita. 

Memang penat, memang berpeluh-peluh, nak menjaga si kecil, dan
nak penuhi hajat dan keperluan kita sendiri. 

Namun masih... saat bersama si kecil adalah saat yang membahagiakan. Biar sesukar mana, biar letih dan penat, masa bersamanya sangat berharga.

Sepantas masa berlalu, begitu juga singkatnya masa baby mereka. Sebulan, dua bulan, 3 bulan, akhirnya masa bersama baby sudah berlalu. Dia sudah besar. Boleh merangkak, kemudian berjalan dan berlari.

Rindu pada comelnya baby yang ketawa tanpa gigi. Rindu pada kemanjaannya. Comel setiap masa, meski dalam tidur atau jaga. Rindu mendakap tubuh kecilnya. Rindu pada wangiannya. Rindu nak cubit dan cium pipi bulatnya. Rindu segala-gala tentang dirinya.

Seorang baby, kerana tersangat comelnya, penat dan letih seakan tak terasa. Sejuk hati melihat senyum tawanya. Comelnya sangat menghiburkan dan mendamaikan. 

Kerana itu terasa rindu. Kerana itu masih teringin lagi. 

Saat-saat bersama si kecil ini, semoga dapat dinikmati sepuasnya. 

Ya, nanti akan rindu lagi :)



MAC: BALIK KAMPUNG KALI PERTAMA

Sudah lama tak cerita tentang balik kampung. Rupa-rupanya memang tahun ini kami sekeluarga dah tak kerap balik kampung seperti tahun-tahun sebelumnya. 

Awal tahun ini, sibuk urusan pindah rumah, dan tahun ini juga Anas dah mula bersekolah. Maka agak sukar untuk mencari peluang untuk balik kampung, kecuali cuti hujung minggu sahaja. 

Akhirnya dapat balik juga pada bulan Mac. Itupun Anas terpaksa ponteng sekolah selama seminggu. Kebetulan dia tak sihat, dan suamiku pula sedang bercuti, maka kampung menjadi destinasi kami. Alhamdulillah.

Kini (masih bulan Mac), kami balik ke kampung untuk kali kedua (tahun 2017). Balik sempena cuti sekolah selama seminggu. Suamiku menghantar kami ke kampung, kemudian ke Bintulu kerana bertugas. 

Dah lama tak balik, memang terasa rindunya. Masa berlalu pantas. Anak-anak dah besar dan bersekolah pula. Tak boleh nak balik kampung sesuka hati dah. Mahu juga selalu pulang menjenguk orang tua. Insya Allah, akan usaha sedaya mungkin untuk sering balik kampung ziarah orang tua yang pasti merindu anaknya.

Anas dan Mussaab juga happy di kampung. Happy bila dapat bertemu sepupu yang ramai, especially kat rumah nenek di kb. 

Masih berbaki seminggu di kampung. Menunggu kepulangan suami tercinta, akan ke rumah ibu mertua di kb dan seterusnya balik semula ke rumah kami. Insya Allah.

Semoga percutian ini juga meninggalkan kenangan yang manis buat anak-anakku. Semoga mereka juga mencintai 'kampung', tempat asal usul ummi dan abi :)
 

 
Bermain pasir bersama Eiman di rumah nenek

DIARI ANAKKU: 200317




Hari ini, sempena cuti sekolah, Anas, Mussaab dan Miqdad berada di kampung. Hari ini di rumah mek. Abi pula di laut kerana tugasannya. Semoga Allah permudahkan urusan abi tercinta.

Miqdad bangun paling awal hari ini. Seperti biasa bangun pagi tanpa tangisan seawal jam 6.15 pagi. Dapat whatsapp dari abi yang sudah menaiki bot ke pelantar. Anas dan Mussaab pula bangun jam 7.30 pagi. Kemudian Miqdad menyambung tidur di bilik mek sehingga jam 8.30 pagi. Anas dan Mussaab breakfast nasi berlauk yang cik beli. Anas makan nasi, Mussaab makan roti butter gula. Kemudian minta lagi nak makan hotdog. Ummi masakkan seorang satu.

Lepas makan, santai di ruang tamu. Berbual dan menonton video di hp ummi. Sempat juga ummi ajar Anas iqra'. Di sekolah, Anas mula membaca dari iqra' 1. Kini dah di iqra' 2, hampir masuk iqra' 3. Insya Allah bacaan Al Quran Anas akan lebih baik lepas ni.

Jam 10 ke kedai runcit bersama mek untuk membeli lauk dan keperluan memasak. Anas dan Mussaab juga beli something-ABC bracelets. Balik rumah, asyik seketika dengan benda tu. Miqdad baik saja menemani ummi di kedai dan menaiki kereta. Di rumah, menangis mahu disusukan. Mussaab juga, pantang ada yang tidak kena, menangis dan meraung ':

Untuk makan tengahari ummi suapkan Anas nasi berlauk tadi, dan gorengkan keropok lekor. Mussaab hanya makan keropok lekor, tak mahu nasi lagi. Dari semalam tak makan nasi. Entahlah, sangat susah untuk pancing selera Mussaab. Lepas makan, Anas dan Mussaab main seketika. Hp ummi juga turut menjadi sasaran.

Pukul 1, masuk bilik dan tidur bersama kecuali Anas. Anas asyik menonton video masakan abang Danish yang menjadi minatnya sejak dulu. Lepas tu cari pensel dan kertas, dan melukis seketika. Pukul 2.30, Miqdad dan Mussaab bangun. Anas bermain pula dengan adik-adik.

Jam 3, masuk ke dapur dan makan lagi. Makan nasi, keropok dan nestum. Miqdad duduk dengan mek sementara menunggu ummi dan abang-abang makan. Lepas makan masuk bilik semula. Bermain dan bergurau. Miqdad juga turut terhibur dengn lagak abang-abang.

Jam 5 petang keluar main di luar pula. Cuaca masih terasa panas. Miqdad hanya mahu didukung. Anas dan Mussaab kemudian turun ke bawah memanjat pokok rambutan mek. Ummi memerhati di beranda bersama Miqdad. Kemudian naik semula ke rumah. Cik datang dan bawa Anas dan Mussaab ke rumahnya. Miqdad yang mengantuk juga sudah tidur. Tinggal ummi sendirian. 

Hujan turun dengan sangat lebat. Miqdad bangun dari tidur. Anas dan Mussaab masih tak dapat balik dek hujan. Cik hantar gambar Anas dan Mussaab yang sedang makan biskut dan air sirap :) tinggal Miqdad keseorangan tanpa abang-abang. Mandi dan duduk dengan mek seketika, sementara ummi makan. 

Anas dan Mussaab balik selepas maghrib. Miqdad sudah lena. Hujan juga dah semakin reda. Cik buatkan donat untuk Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab turut serta di dapur. Pukul 9.30, siap donat yang ditunggu. Anas dan Mussaab makan bersama. Tapi masing-masing dah mengantuk. Mussaab makan sikit, kemudian masuk tidur bersama Miqdad. Anas juga tidur kemudiannya di luar. 

Jam 10, masing-masing dah lena. Suasana bertukar sunyi. Cik juga sudah balik. 

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Satu hari tanpa berita abi di lautan. Semoga Allah menjaga abi di sana. Semoga lena anak-anak ummi. Maafkan ummi di atas kekurangan hari ini. Ummi sayang Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik buat kita semua.

Insya Allah


SEMOGA CEMERLANG ANAKKU

Keputusan SPM baru diumumkan. Kagum melihat kejayaan adik-adik yang cemerlang. Yang tak cemerlang juga tak dipandang rendah. Itu sudah rezeki masing-masing. Malahan, keputusan SPM bukanlah penentu segalanya.

Berbalik kepada pelajar yang cemerlang, sempat membaca tentang pencapaian pelajar terbaik SPM seluruh Malaysia dan pelajar terbaik YIK. Cemerlang bukan sahaja pada akademik, malahan hafiz/hafizah al- Quran yang lengkap dengan peribadi dan sahsiah yang unggul. Hati seorang ibu ini terpegun dan terpesona. Dalam hati, kalaulah anak-anakku kelak juga seperti mereka :)

Namun sebelum berfikirkan tentang anak-anak, adalah lebih baik aku fikirkan tentang diriku dulu. Apa usahaku untuk menghasilkan anak-anak yang hebat seperti itu? Terasa rendah dan kerdil diri ini...

Tak mustahil untuk mempunyai anak yang cemerlang, meski kita dulu tidak cemerlang dan hebat. Asal kita tahu tanggungjawab ibubapa, bersungguh menyediakan pendidikan terbaik, di samping doa yang tak putus buat anak-anak. 

Pada anak-anak yang cemerlang itu, pasti di belakang mereka adalah ibubapa yang terbaik juga. Meski mungkin mereka tak kaya, mereka tak terkenal, mereka kerja biasa-biasa, mereka tak berpendidikan tinggi.. namun mereka telah usahakn yang terbaik buat anak-anak mereka. 

Ya, aku juga hendaknya. Mencontohi ibubapa tersebut. Bukan hanya mahu anak berjaya, lebih dari itu usaha dan doaku juga sangat diperlukan untuk mempersiapkan anak-anak sedari mereka kecil lagi. 

Ummi doakan anak-anak ummi, Anas Zaydan, Abdullah Mussaab dan Ilham Miqdad menjadi insan yang berjaya dan cemerlang juga. Cemerlang akademik, cemerlang akhlaq, dan pencinta al- Quran, Sunnah dan kebenaran. Insya Allah. Dan semoga ummi dan abi juga mampu mempersiapkan diri, menjadi ibubapa yang terbaik buat kalian. Insya Allah 


 
Wednesday 15 March 2017 0 comments By: Naemah

MUSSAAB: UMMI SAYANG KAMU

 


Ummi menulis kerana ummi terasa sangat rindu pada Mussaab. Mussaab tak pergi jauh pun, Mussaab sedang lena di bilik Mussaab dan Anas.

Ummi rindu dan sedih, mengenangkan Mussaab yang tidak sihat badan, malah mungkin kurang mendapat perhatian dari ummi.

Benarlah anak kedua tersepit di antara yang sulung dan adiknya. Yang sulung, pastinya mendominasi. Yang masih kecil, pastinya mendamba sepenuh perhatian. Maka Mussaab di tengah-tengah antara Anas dan Miqdad. 

Ummi mencuba, namun ummi tahu ummi tak mampu memberi yang terbaik. Mussaab, dari kecil lagi seorang anak yang baik dan mudah diuruskan. Tak banyak karenah. Namun bila ada yang tak kena, Mussaab juara tantrum :) sometimes.. biasalah Mussaab masih kecil. Namun dari situ juga ummi perlu muhasabah diri. Mungkin Mussaab mahukan lebih perhatian ummi dan abi.

Ummi akui, untuk Mussaab, banyak yang ummi 'tak sempat'. Nak fokus ajar abata, al-quran, abc, reading, nak main sama-sama, nak suapkan makan setiap masa, nak melayan itu ini, nak mendengar cerita dan celoteh, nak potty train, dan lain-lain... ummi tak sempat :'(

Kerana itu ummi takkan sekali-kali membandingkan Mussaab dengan Anas. Memang Anas dan Mussaab berbeza. Namun pada ummi, keduanya istimewa. Anas ada pencapaian yang mampu dibanggakan. Namun Mussaab juga, tiada kurang, sekadar berbeza :)

Mussaab masih terlalu kecil untuk ummi menilai. Satu masa Ummi percaya dan berdoa, Mussaab juga akan jadi manusia hebat. Yang paling penting, hebat di sisi Allah. 

Hari ini hati ummi sayu melihat Mussaab yang kurang sihat. Badan kecil, kurang makan. Ummi rasa bersalah dan berdosa. Mungkin ummi yang tak pandai jaga Mussaab. Mungkin ummi tak beri apa yang sepatutnya untuk Mussaab. 

I'm sorry sayang. Ummi janji pada diri untuk menjadi yang lebih baik untuk Mussaab dan anak-anak ummi semuanya. Bila fikirkan rasa bersalah dan berdosa, bukan hanya pada Mussaab. Pada Anas dan Miqdad juga. Ada 'dosa' ummi pada kalian :,(

Maafkan ummi, Anas, Mussaab dan Miqdad. Insya Allah ummi akan mencuba, dan mencuba lagi, untuk jadi ibu yang terbaik buat kalian. Moga Allah ampunkan dosa ummi di atas apa yang terkhilaf.
Tuesday 14 March 2017 0 comments By: Naemah

KOTA KINABALU WITH LOVE: DAY 4

Sambungan dari;


KOTA KINABALU: DAY 3


Hari keempat (hari terakhir) di Kota Kinabalu

(11/03/17)



Kundasang-Kota Kinabalu


Kami memulakan pagi dengan menunaikan solat subuh berjemaah. Selepas itu bersiap untuk meninggalkan Kundasang. Anak-anak dikejutkan dan ditukarkan pakaian. Tepat jam 7 pagi, kami check out dari greenhill homestay. Kami singgah di kedai makan yang berhampiran untuk sarapan pagi, kemudian meneruskan perjalanan.


Dalam perjalanan, sempat singgah di 2 tempat untuk bergambar. Semalam tak sempat ambil gambar berlatar belakangkan gunung kinabalu. Maka pagi ini kami tak melepaskan peluang :) meskipun kabus hampir saja menutupi pemandangan gunung. 


Kami kemudiannya singgah di Pekan Nabalu untuk membeli sedikit souvenir dan t-shirt untuk anak-anak. 


Selesai membeli di situ, kami meneruskan perjalanan ke airport. Tiba di KKIA jam 10 pagi. Serahkan kereta di situ, dan menanti penerbangan kami.


Sementara menanti, sempat kami makan tengahari di kaya kopitiam dan membeli dunkin donut. Anas dan Mussaab cergas berlarian ke sana sini. 






Siap sedia berangkat







Bergambar di depan homestay 






Berhenti bergambar lagi





KKIA-KLIA


Jam 1.30, kami meninggalkan Kota Kinabalu bersama kenangan yang tak mungkin dilupakan :)


Tiba di KLIA  jam 3.30 petang. Menaiki Klia transit ke stesen Salak Tinggi, dan seterusnya memandu pulang ke rumah kami di Semenyih. 


Alhamdulillah di atas musafir yang dipermudahkan oleh Allah, meskipun diiringi ujian tidak sihat badan. Suamiku pula terpaksa menanggung banyak beban di atas tidak sihatku dari menguruskan anak-anak, memasak, memandu dan sebagainya. 


Terima kasih ya Allah di atas percutian yang indah ini. Terima kasih suamiku, hadiah ini amat berharga meski tanpa dirancang :)







Di KKIA




Bye! Bye! Kota Kinabalu!



 

Miqdad in the train


TAMAT



Day 4 spending 


Breakfast: rm20

T-shirt n souvenir: rm100

Petrol : rm20

Makan@airport: rm45



TOTAL: rm185




TOTAL SPENDING (4days)


Flight ticket: rm1212

ERL: rm56.80

Car parking: rm12

Day 1: rm668

Day 2: rm264

Day 3: rm358.50

Day 4: rm185


TOTAL: RM2,756.30



MIQDAD: 5 MONTHS OLD




Alhamdulillah, syukur ummi panjatkan pada Allah. Kini genap sudah usia Miqdad 5 bulan. Miqdad membesar dengan baik dan sempurna. Semakin hari semakin comel dan bijak :)

Check up Miqdad di klinik juga sudah. Kali ini ditemani abang-abang. Jika dulu, setiap kali check up Anas dan Mussaab di klinik ditemani abi, nampaknya ia berbeza untuk Miqdad. Ummi yang drive sendiri :) keterpaksaan membuatkan ummi mampu memandu walaupun dulu sangat takut. Ummi terpaksa, memandangkan abi selalu jauh. 

Oh ya, Miqdad sekarang dah ada 1 batang gigi yang baru tumbuh. Patutlah asyik nak menggigit je :) tinggal sebulan saja lagi untuk Miqdad disuap makan selain susu ibu. Ummi tengah berfikir-fikir nak mulakan dengan puri apa. Walaupun ummi dah ada pengalaman lepas, namun perasaan teruja dan tak sabar tetap ada. Tak sabar nak tengok Miqdad makan, merangkak, berjalan, dan seterusnya. 

Miqdad baru saja menempuh perjalanan yang jauh bersama ummi, abi dan abang-abang. Miqdad naik kapal terbang buat pertama kali dan menjelajah bumi Kota Kinabalu :) Alhamdulillah.

Miqdad anak ummi yang sangat istimewa. Ya, sama seperti Anas dan Mussaab. Tiada berbeza. Ummi sayang ketiganya. 

Semoga membesar dengan baik ya sayang. Insya Allah. Allah pasti menjaga anak-anak ummi.



(13/3/2017)


KOTA KINABALU WITH LOVE: DAY 3

Sambungan dari;


KOTA KINABALU: DAY 2



Catatan hari ketiga (10/03/17)



Kota Kinabalu-Kundasang


Pagi itu seperti yang dirancang, kami bertolak meninggalkan Bandar KK menuju ke Kundasang seawal jam 8 pagi. Sempat juga suamiku memasak nasi goreng untuk bekalan perjalanan kami. Aku sempat mengisi perut dengan nasi goreng air tangan suami tercinta. Pagi itu terasa sangat lapar akibat muntah dan tiada selera makan semalam. Lepas makan terasa badan kembali bertenaga. Anak-anak yang lena dikejutkan dan ditukar pakaian. 


Singgah di restoren berdekatan homestay untuk menikmati sarapan pagi. Aku yang sudah kenyang hanya menyuap Anas makan. Suamiku pula makan bersama Mussaab. Kami juga membeli kuih di kedai bersebelahan. Kemudian, terus pecut menuju ke Kundasang. Begitu asyik melihat cantiknya pemandangan gunung dan puncak Kinabalu di sepanjang perjalanan. 








Desa Cattle Dairy Farm


Tiba di Kundasang sekitar jam 10 pagi. Tempat pertama yang dituju ialah Desa Cattle Dairy Farm. Alhamdulillah hari ini orang tak ramai. Kami membeli hotdog, susu dan aiskrim untuk dinikmati bersama. Meninjau seketika di kawasan tersebut, dan selebihnya mengambil gambar sebanyak yang mungkin :) memang agak lama juga kami di situ.


Hampir jam 12, kami meninggalkan Dairy Farm dan menuju ke homestay (greenhill homestay) yang sudah dibooking. Katanya pukul 12 dah boleh check in, tapi memandangkan bilik masih belum ready, kami turun semula menuju ke pasar pagi. Hanya lepak di situ menunggu masuk waktu solat jumaat. 


Azan Zohor, kami menuju ke masjid. Suamiku menunaikan solat jumaat, sementara aku dan anak-anak menunggu di dalam kereta. Aku menikmati nasi goreng sekali lagi bersama anak-anak. Selesai solat jumaat, kami kembali ke homestay. Terus check in dan masuk ke bilik untuk berehat seketika. Aku menunaikan solat, sementara suamiku tidur bersama Mussaab dan Miqdad. 
























Tagal Sg. Moroli Fish Spa


Jam 4 petang, kami bertolak menuju ke Tagal Sg. Moroli Fish Spa yang jaraknya lebih kurang 45km dari homestay. Berpandukan Google map, kami tiba di sana dalam pukul 5 petang. Hujan turun renyai-renyai. Pengunjung juga tak begitu ramai. Kami membeli tiket, dan terus dibenarkan masuk. Seronok melihat ikan yang berlumba berebut makanan yang dilemparkan, dan mengerumuni kaki yang masuk ke dalam sungai tersebut. Anas dan Mussaab ketakutan, dan enggan menghampiri ikan-ikan tersebut. Hanya mahu melihat dari jauh. Miqdad turut dibawa abinya masuk ke dalam sungai dan bermain air.


Lebih kurang setengah jam kemudian, kami meninggalkan tempat itu. Membeli sedikit buah dan air, dan kembali menaiki kereta.












Ladang Teh Sabah


Kali ini menuju ke ladang teh Sabah yang terletak tidak jauh dari spa ikan tadi. Memandu di jalan berbukit, dengan keadaan jalan yang tidak bertar. Hujan pula masih renyai turun membasahi bumi. 


Tiba di sana, kami terus menuju ke restoren yang terdapat di situ dan menghirup teh sabah. Oleh kerana hujan, kami hanya berteduh di situ. Suamiku juga membeli teh uncang dan biskut yang dijual. Selepas minum dan bergambar, kami bertolak balik. Hari juga sudah beransur senja.


Makan malam kami di restoren KFC Kundasang. Anas dan Mussaab makan berselera. Kemudian balik ke homestay dan berehat di bilik sepanjang malam. Kemas segala barang kepunyaan, dan tidur. Esok akan kembali ke rumah, dan bakal menempuh perjalanan yang panjang lagi.



 











BERSAMBUNG


KOTA KINABALU: DAY 4



Day 3 spending:


Breakfast: rm17

Homestay: rm150

Dairy farm (hotdog+susu+aiskrim+tiket masuk+fridge magnet): rm65.20

Spa ikan: rm10.40

Buah+air: rm10

Serunding tahau: rm15

Teh: rm16.30

Biskut+teh: rm19.60

Kfc: rm38

Mini market: rm17


TOTAL: rm358.50