Monday, 20 March 2017 By: Naemah

DIARI ANAKKU: 200317




Hari ini, sempena cuti sekolah, Anas, Mussaab dan Miqdad berada di kampung. Hari ini di rumah mek. Abi pula di laut kerana tugasannya. Semoga Allah permudahkan urusan abi tercinta.

Miqdad bangun paling awal hari ini. Seperti biasa bangun pagi tanpa tangisan seawal jam 6.15 pagi. Dapat whatsapp dari abi yang sudah menaiki bot ke pelantar. Anas dan Mussaab pula bangun jam 7.30 pagi. Kemudian Miqdad menyambung tidur di bilik mek sehingga jam 8.30 pagi. Anas dan Mussaab breakfast nasi berlauk yang cik beli. Anas makan nasi, Mussaab makan roti butter gula. Kemudian minta lagi nak makan hotdog. Ummi masakkan seorang satu.

Lepas makan, santai di ruang tamu. Berbual dan menonton video di hp ummi. Sempat juga ummi ajar Anas iqra'. Di sekolah, Anas mula membaca dari iqra' 1. Kini dah di iqra' 2, hampir masuk iqra' 3. Insya Allah bacaan Al Quran Anas akan lebih baik lepas ni.

Jam 10 ke kedai runcit bersama mek untuk membeli lauk dan keperluan memasak. Anas dan Mussaab juga beli something-ABC bracelets. Balik rumah, asyik seketika dengan benda tu. Miqdad baik saja menemani ummi di kedai dan menaiki kereta. Di rumah, menangis mahu disusukan. Mussaab juga, pantang ada yang tidak kena, menangis dan meraung ':

Untuk makan tengahari ummi suapkan Anas nasi berlauk tadi, dan gorengkan keropok lekor. Mussaab hanya makan keropok lekor, tak mahu nasi lagi. Dari semalam tak makan nasi. Entahlah, sangat susah untuk pancing selera Mussaab. Lepas makan, Anas dan Mussaab main seketika. Hp ummi juga turut menjadi sasaran.

Pukul 1, masuk bilik dan tidur bersama kecuali Anas. Anas asyik menonton video masakan abang Danish yang menjadi minatnya sejak dulu. Lepas tu cari pensel dan kertas, dan melukis seketika. Pukul 2.30, Miqdad dan Mussaab bangun. Anas bermain pula dengan adik-adik.

Jam 3, masuk ke dapur dan makan lagi. Makan nasi, keropok dan nestum. Miqdad duduk dengan mek sementara menunggu ummi dan abang-abang makan. Lepas makan masuk bilik semula. Bermain dan bergurau. Miqdad juga turut terhibur dengn lagak abang-abang.

Jam 5 petang keluar main di luar pula. Cuaca masih terasa panas. Miqdad hanya mahu didukung. Anas dan Mussaab kemudian turun ke bawah memanjat pokok rambutan mek. Ummi memerhati di beranda bersama Miqdad. Kemudian naik semula ke rumah. Cik datang dan bawa Anas dan Mussaab ke rumahnya. Miqdad yang mengantuk juga sudah tidur. Tinggal ummi sendirian. 

Hujan turun dengan sangat lebat. Miqdad bangun dari tidur. Anas dan Mussaab masih tak dapat balik dek hujan. Cik hantar gambar Anas dan Mussaab yang sedang makan biskut dan air sirap :) tinggal Miqdad keseorangan tanpa abang-abang. Mandi dan duduk dengan mek seketika, sementara ummi makan. 

Anas dan Mussaab balik selepas maghrib. Miqdad sudah lena. Hujan juga dah semakin reda. Cik buatkan donat untuk Anas dan Mussaab. Anas dan Mussaab turut serta di dapur. Pukul 9.30, siap donat yang ditunggu. Anas dan Mussaab makan bersama. Tapi masing-masing dah mengantuk. Mussaab makan sikit, kemudian masuk tidur bersama Miqdad. Anas juga tidur kemudiannya di luar. 

Jam 10, masing-masing dah lena. Suasana bertukar sunyi. Cik juga sudah balik. 

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Satu hari tanpa berita abi di lautan. Semoga Allah menjaga abi di sana. Semoga lena anak-anak ummi. Maafkan ummi di atas kekurangan hari ini. Ummi sayang Anas, Mussaab dan Miqdad. Semoga esok akan menjanjikan yang lebih baik buat kita semua.

Insya Allah


0 comments:

Post a Comment