Tahun 2026, senyap-senyap menyaksikan aku berperang dengan emosi sendiri. Kecewa dengan perubahan fizikal, bergelut dengan perasaan sendiri, dan berkali-kali cuba bangkit untuk kembali sihat dan tenang.
Masuk tahun ketiga mengambil Depo, berat badan naik sedikit demi sedikit hingga aku dah tak sanggup nak tahu berapa berat aku sekarang. Selera makan pula bukan main-main. Nak salahkan Depo ke? Atau aku sendiri yang kalah dengan nafsu?
Setiap kali ujian darah (dah dua kali buat ujian darah tahun ni), bacaan HbA1c semakin meningkat. Aku dah agak. Tapi aku frust jugak! Nak salahkan apa lagi? Sampai bila mahu mencari sebab, sedangkan aku sendiri tahu kesihatan ini tanggungjawab aku sendiri, dan tak ada kaitan dengan orang lain.
Uban di kepala pula semakin memutih. Teruk sangatkah tekanan hidup aku? Entahlah. Kadang-kadang, dalam hal-hal yang sepatutnya aku boleh bertenang, aku memilih untuk berserabut. Dalam situasi yang sepatutnya aku boleh bersabar dengan anak-anak, aku mudah hilang sabar.
Aku yang hakikatnya seorang yang sensitif. Sukar mengawal emosi apabila berhadapan dengan tekanan, walaupun mungkin pada orang lain, perkara tu kecil je. Ada masanya aku sendiri tak faham kenapa susah sangat untuk aku bertenang. Aku tahu aku boleh memilih untuk bertindak dengan lebih baik, tetapi berkali-kali juga aku gagal melakukannya.
Tahun ni, aku memang tak pandang penimbang berat yang ada kat rumah ni. Kecuali apabila ke klinik, wajiblah kena timbang! Terpaksalah melihat realiti yang menyakitkan.
Aku juga semakin malas menghadap cermin. Takut dengan apa yang bakal terbit dari hati. Berbanding bersyukur, takut aku memilih untuk mencela diri. Gemuklah. Kusamlah. Hodohlah. Teruknya aku ni.
Macam-macam yang terbit di hati, sedangkan selama ini aku selalu percaya bahawa setiap nikmat yang Allah beri itu perlu disyukuri. Tapi apabila berhadapan dengan diri sendiri, entah kenapa aku boleh lupa semua tu kan?
Aku mahu bersyukur, tetapi dalam masa yang sama aku kecewa. Aku mahu menerima diri sendiri, tetapi aku juga sukar menerima perubahan diri hasil dari kesilapan diriku sendiri. Rupanya bab menjaga diri, aku masih fail. Nak kurus, nak sihat, nak cantik, mimpi dululah agaknya.
Dan belum masuk hal-hal lain yang aku sendiri malas nak tulis. Cukuplah kalau aku katakan bahawa tahun ini, aku banyak melalui hari-hari yang tidak menggambarkan keadaan diri yang aku mahu.
Apa pun, aku mahu terus belajar menjaga kesihatan diri dan berdamai dengan keadaan diri sendiri. Belajar menerima apa yang tak mampu diubah, memperbaiki apa yang masih boleh diusahakan, dan mensyukuri apa yang masih Allah pinjamkan.
Target lepas ni nak turunkan berat badan dan bacaan hba1c. Kolestrol tak tahu lagi apa ceritanya. Bulan Januari nanti akan ada temujanji ambil darah lagi. Harap oklah. Harap aku masih sempat perbaiki dan cantikkan bacaaan result darah semua nanti. Ameen.
Tapi.. nak balik kampung pula cuti sekolah nanti. Dapat aku bayangkan bagaimana lifestyle aku kat kampung. Dengan tak ada kerjanya, tak ada hobinya. Alahai…
Apapun, semoga aku tak berhenti berusaha, meskipun langkahnya kecil. Semoga aku kuat lawan nafsu dan keinginan yang tak bertepi. Sungguh, aku tak nak sakit lagi (back to memory Jun 2022). Ya Allah, lindungilah hambaMu ini. Dan pimpinlah hambaMu ini untuk sihat, tenang, lapang dan bahagia. Ameen.
0 comments:
Post a Comment