Monday, 19 October 2026 By: Naemah

‏OKTOBER: VIBE YANG BERBEZA



Aku rasa Oktober kali ini hadir dengan vibe yang berbeza. Dalam ujian, ada rahmat. Ujian kali ini ialah jerebu yang banyak mengubah rutin harian kami.


Pemandangan yang sepatutnya indah menjadi kabur. Bukit Broga yang setiap hari terhidang di depan mata pun hilang daripada pandangan. Entah bila akan muncul kembali.


Bulan oktober yang anak-anak sepatutnya exam dan dah hampir selesai examnya, tertangguh pula dek ujian jerebu ni. Sekolah tutup beberapa hari. Perlu hadap pdpr setelah sekian lama tak berpdpr (zaman covid dulu). Kena jadi ‘cikgu’ untuk semua anak-kecuali sulung yang dah pandai belajar sendiri tanpa disuruh. Kena duduk tepi anak-anak dan pastikan tugasan siap. Kembali lagi, watak ‘cikgu garang’ ni. 


Oleh sebab banyak masa dihabiskan di rumah, terasa seperti musim cuti sekolah pula. Padahal, cuti akhir tahun masih lebih sebulan lagi. UASA anak-anak pun belum selesai semuanya. Namun, Alhamdulillah, setakat ini semuanya masih terkawal. Minggu ini anak-anak sudah kembali ke sekolah. Harapnya jerebu tak bertambah teruk dan anak-amak dapat selesaikan exam masing-masing dengan baik.


Oktober ini juga menyaksikan Abi berada sepenuh masa di rumah, belum turun ke laut. Sejak mula bekerja secara freelance, kekerapan Abi ke laut pun semakin berkurang. Alhamdulillah, Allah masih mencukupkan rezeki buat keluarga kita. Semoga rezeki yang dikurniakan sentiasa mencukupi, membawa keberkatan dan menjadi asbab kebaikan buat kita sekeluarga.


Hikmah lain yang dirasakan, bulan ini ummi tak perlu terlalu rushing keluar masuk rumah untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Tak perlu terlalu bergegas pada awal pagi untuk menyediakan sarapan, memastikan kelengkapan sekolah semuanya tersedia, sambil membebel itu ini. Rutin terasa lebih lapang dan terkawal. Ada juga bisingnya, tetapi itu cerita lain pula.


Yang pasti, Oktober kali ini mengajar ummi untuk bergerak sedikit perlahan. Tidak perlu terlalu pantas mengejar waktu. Santai-santai sahaja menguruskan apa yang perlu, selagi semuanya berjalan dengan baik.


Begitulah. Tidak semua yang mengganggu perancangan kita datang tanpa hikmah. Jerebu mungkin mengaburkan pemandangan dan mengubah rutin, tetapi dalam keterbatasan itu, Allah hadirkan ruang untuk kita memperlahankan langkah dan menikmati waktu bersama.


Semoga jerebu segera berlalu, urusan anak-anak dipermudah dan rezeki keluarga sentiasa dicukupkan serta diberkati. Kerana dalam setiap ujian, pasti ada ruang untuk kita belajar melihat rahmat-Nya. Alhamdulillah, untuk Oktober yang berbeza ini.

0 comments:

Post a Comment