Ada 2 kategori surirumah; surirumah yang tiada pendapatan, dan surirumah yang ada pendapatan. Dan aku adalah yang pertama itu.
Ada surirumah, walaupun dia duduk rumah dan uruskan rumah, tapi pandai dan rajin cari duit untuk kegunaan sendiri. Join affiliate ke, baking ke, masak apa-apa yang dia pandai dan jual, menjahit ke, dan banyak lagi jenis kerja yang boleh surirumah buat untuk dapatkan wang saku sendiri. Aku kagum, tapi itu bukan aku.
Ada pula surirumah yang seperti aku. Uruskan rumah dan anak-anak semata. Tiada pendapatan lain, melainkan yang suami hulurkan. Bila bergantung dengan pemberian suami semata, maka terimalah dengan besar hati, berapa pun yang dia mampu beri.
Suami yang bertanggungjawab, tak kira isterinya bekerja atau tidak, pasti mendahulukan nafkah wajib buat isterinya — tempat berlindung, makan dan pakaian.
Namun, dalam hidup berumah tangga, ada keperluan yang tidak semuanya termasuk dalam senarai nafkah asas. Ada keinginan kecil, ada perkara yang teringin dibeli, ada sesuatu yang kita mahu lakukan untuk diri sendiri. Bukan semuanya keperluan mendesak, tetapi tetap sesuatu yang boleh menggembirakan hati seorang perempuan. Namun sebagai surirumah yang tiada pendapatan, perlu pandai-pandailah mengawal kehendak yang tak bertepi itu. Tak boleh la semua nak.
Ada surirumah yang dapat duit saku banyak, ada pula yang sekadarnya saja. Yalah, ikut kemampuan suami masing-masinglah, kan. Setiap keluarga ada pendapatan dan tanggungan yang berbeza. Ada suami yang mampu memberi lebih, ada yang sekadar cukup untuk keperluan harian. Jadi, tak bolehlah kita menyamakan jumlah yang diterima oleh setiap isteri.
Sebagai isteri, kita juga perlu belajar memahami kemampuan suami. Bukan semua yang kita lihat pada kehidupan orang lain boleh kita jadikan ukuran untuk kehidupan sendiri. Mungkin orang lain mampu membeli itu dan ini, sedangkan kita perlu berkira-kira sebelum berbelanja. Tak mengapa. Selagi keperluan dipenuhi dan suami sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuannya, belajarlah menghargai apa yang ada. Rezeki setiap keluarga berbeza, dan hidup kita tidak perlu sama seperti hidup orang lain untuk kita merasa cukup.
Maka, duhai surirumah, belajarlah merasa cukup dengan apa yang ada. Bukan bermaksud kita tidak boleh menginginkan lebih, tetapi belajar menerima bahawa setiap keluarga mempunyai kemampuan dan rezeki yang berbeza. Tidak semua yang kita mahu perlu kita miliki, dan tidak semua yang kita tidak mampu miliki perlu membuatkan kita berasa kekurangan.
Sebagai isteri, aku belajar bahawa rasa cukup itu bukan terletak pada banyak atau sedikit yang kita terima, tetapi pada hati yang tahu menghargai. Selagi suami sudah berusaha memberikan yang terbaik mengikut kemampuannya, semoga aku juga mampu menjadi isteri yang tahu bersyukur, tidak membandingkan, dan sentiasa mendoakan agar Allah memberkati setiap rezeki yang dibawa pulang. Ameen.
0 comments:
Post a Comment