Tuesday, 23 August 2016 By: Naemah

TENTANG POLIGAMI

picture: here


Tentang poligami. Mungkin topik yang paling kurang digemari oleh kaum wanita. Bila sebut poligami, terbayang 'madu' yang mungkin pahit untuk ditelan. Berkongsi kasih seorang suami dengan wanita lain. Bukan semua, tapi kebanyakan wanita enggan dirinya dimadukan :)

Berpoligami hakikatnya sebahagian dari agama kita. Ia juga satu 'sunnah' kerana Rasulullah sendiri suatu ketika dahulu mempunyai ramai isteri. Hidup bahagia bersama, dan tiada sengketa. Poligami Rasulullah indah :) namun hakikat poligami hari ini sangat menjelikkan. Kerana bukan semua suami layak untuk berpoligami.

Ketepikan mereka yang berpoligami kerana nafsu, hingga tanggungjawab langsung terabai. Kita lihat pada poligami yang indah, di mana suami adil dalam melayani isteri isteri, hingga antara mereka hidup dengan saling berkasih sayang dan bahagia bersama.

Aku suka follow fb isteri isteri solehah yang redha dan bahagia hidup berpoligami. Aku membaca setiap cerita mereka tentang dunia poligami yang digambarkan indah. Aku cuba meletakkan diri di tempat mereka. Namun... Rupa rupanya hati aku tak semurni mereka. Terasa masih belum ada kesanggupan untuk menjalani hidup seperti mereka. 

Berkongsi kasih seorang suami. Entah mengapa rasa cemburu terlalu kuat untuk memikirkan tentang itu. Entah kenapa, ada perasaan 'dia hanya untukku', sedangkan dia bukan milik mutlakku. Dia juga punya hak untuk memiliki isteri selain aku. Ia halal di sisi Tuhan, dengan syarat dia mampu berlaku adil. 

Aku kagum pada mereka yang rela berkongsi kasih. Yang tidak merasakan cinta suami adalah hak mutlak buat dirinya seorang. Mereka rela masa suami dibahagikan, biar tak selalu dapat bersama. Mereka tak merasa sunyi, mereka pandai menyimpan rasa cemburu yang menjadi fitrah seorang wanita. 

Satu perkara yang perlu aku sentiasa ingatkan diri. Suami bukan hak milik mutlakku. Tetap dia pinjaman Allah buatku. Cintanya boleh jadi untukku seorang (sebagai isteri), dan tiada salah jika ada cinta kedua selepas aku, melalui ikatan yang dinamakan pernikahan. Itu adalah hakikat yang perlu aku terima. Kerana poligami ada 'tempat'nya di dalam agama.

Hari ini, ketika ini, aku merasakan manis dan bahagia hidup bersamanya sebagai satu satunya isteri untuknya. Di masa yang akan datang, walau bagaimana takdir Allah, aku memohon padaNya agar terus dilapangkan hati, dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah dalam kehidupan rumahtangga kami. 

Aameen.

~ Allah lebih tahu kemampuan hambaNya~

0 comments:

Post a Comment