Sunday, 24 May 2026 By: Naemah

BELUM BERSEDIA UNTUK JAUH






Aku adalah ibu yang tak memilih untuk hantar anaknya masuk asrama. Jika ditanya, itulah yang mungkin akan aku jawab.


Tetapi sebaliknya pula, suami mahukan anak-anaknya masuk asrama. Dengan alasan anak-anak akan jadi lebih berdisiplin dan berdikari. Maklumlah kat asrama segalanya diatur mengikut masanya. Masa tidur dan bangun pagi, masa belajar dan ulangkaji, masa solat, makan dan main, dan hampir 24 jam student terikat dengan jadual yang telah ditetapkan. Tak ikut peraturan, hukuman menanti. 


Aku tahulah, aku dulu pun budak asrama. Dan ironinya, suamiku tak pernah duduk asrama di zaman sekolahnya.


Aku faham hati suamiku yang kuat inginkan anaknya jadi lebih baik dan lebih berdisiplin, juga lebih berjaya dalam pelajaran mereka. Kerana di rumah, dia tak selalu ada untuk pantau anak-anak. Kerana di rumah, anak-anak belum berada pada tahap disiplin diri yang dia mahukan. 


Anak sulung kami tak berjaya masuk sekolah berasrama. Walaupun pencapaian di sekolah rendah dulu boleh dikatakan agak baik, namun kerana perlu bersaing dengan yang lebih baik, dan tambahan pula perlu diambil kira taraf ekonomi keluarga, maka senang cerita, tak ada rezekilah untuk anak kami masuk sekolah berasrama yang dipilih. Tak mengapa. Suamiku pasrah. Aku? Sejujurnya lega. Belum betul-betul bersedia untuk berpisah dengan anak yang saban hari ada bersama. 


Tak lama lagi tiba giliran anak kedua untuk masuk ke sekolah menengah. Perasaan bercampur baur datang kembali. Suami, pastinya akan usaha untuk memohon ke sekolah berasrama. Dapat atau tidak, itu juga tergantung pada rezeki. Aku tak halang. Aku langsung takkan membantah. Walau jauh di sudut hati, masih mahukan anak dekat denganku.


Aku sedar sebagai ibu, aku perlu terima hakikat yang anak-anak ini takkan selamanya akan ada bersama. Akan sampai masanya anak-anak ini akan melangkah keluar mencari haluan masing-masing dalam kehidupan mereka.


Namun aku sebagai ibu, selagi ada ruang dan masa, selagi itu masih ingin mereka dekat denganku. Walau bersama mereka, hakikatnya tak mudah. Segala macam kepenatan terpaksa ditanggung. Bersama naik turunnya emosi. Begitulah resam nak membesarkan tiap mereka. Dan aku juga akui, aku tak sempurna mendidik . Tak mampu memberikan yang terbaik. 


Namun hati ibu ini masih belum bersedia untuk melepaskan mereka keluar. Banyak kerisauan dan kebimbangan menyaksikan dunia hari ini. 


Namun padaNya jua aku berserah. Memohon sentiasa agar anak-anak ditempatkan di tempat yang terbaik. Diarahkan ke jalan yang baik dan benar. Pada akhirnya, aku takkan mampu ‘memegang’ mereka. Yang termampu, hanya menyerahkan urusan anak-anakku pada Allah yang Maha Sempurna menjaga. 


Doa ini takkan terhenti. Semoga dunia ini tidak ‘kejam’ terhadap mereka. Semoga anak-anakku dalam lindungan dan kasih sayang Allah sentiasa. Ameen.


Berbalik ke topik ‘asrama’. Syukur Along masih dekat dengan ummi. Belum ditakdirkan jauh. Takdir Angah bagaimana pula? Kita serah pada Allah yang Maha Mengatur kehidupan hamba-hambaNya. 









0 comments:

Post a Comment