Tuesday, 27 April 2021 By: Naemah

DIARI RAMADAN 2021 (PART 1)


1 Ramadan 1442H

Hari pertama puasa, tanpa abi bersama. Alhamdulillah mudah dikejutkan untuk bersahur. Anas dan Mussaab cuti bersempena 1 Ramadan. Seharian di rumah sahaja. Agak mencabar juga puasa di hari pertama. Tapi Alhamdulillah semua dapat bertahan dan sempurnakan puasa. Miqdad puasa juga (separuh hari). Berbuka dengan nasi lemak McD (abi order dari Bintulu). Alhamdulillah seronok melihatkan air muka gembira anak-anak di saat waktu berbuka. Meski abi jauh, tak mengapa. Masih tetap boleh berhubung dan bertanyakan khabar. Dan penantian masih lama...





2 Ramadan 1442 H

Bersahur dan sudah kembali bersekolah. Waktu sekolah Mussaab dianjak lebih awal di bulan puasa. Anas ikut jadual biasa. Ummi meneruskan rutin menghantar dan mengambil anak-anak sekolah. Di petang hari, jalan agak sesak semua orang perlu bersegera untuk balik dan berbuka. Singgah di gerai dekat econsave selepas ambil Mussaab di sekolah. Belikan Mussaab sushi (asalnya nak cari takoyaki tapi tak ada), beli juga teh ais dan milo ais dan laksa johor. Balik ke rumah dan berbuka dengan lauk masakan ummi hari ni (kari ayam dan ayam goreng). Tak lupa untuk video call abi dan bercakap selagi abi masih di hotel (berkuarantin). Alhamdulillah genap 2 hari puasa Anas dan Mussaab. 






3 Ramadan 1442H

Genap 3 hari berpuasa. Alhamdulillah. Seminggu sudah abi berkuarantin. Hanya mampu video call saja setiap hari. Anak-anak bersekolah seperti biasa hari ni, ummi juga lakukan rutin yang biasa bersama Suri. Dapat berita mek tak sihat sejak hari pertama puasa. Dah 3 bulan tak jumpa mek. Moga Mek akan kembali sihat dan dapat menjalani hidup dengan baik :’ rindu nak bersua lagi. Berbuka bersama, solat, baca al-Quran dan berehat untuk bersekolah dan meneruskan puasa esok harinya pula





4 Ramadan 1443H

Hari terakhir sekolah minggu ni. Alhamdulillah sihat walafiat semua, dapat bersekolah macam biasa. Hidangan berbuka hari ni ialah siakap 3 rasa atas permintaan anak-anak. Jiran pula bagi kari terung dan ayam percik, Alhamdulillah banyak lauk dah. Tak jadi ummi nak masak tomyam. Lepas berbuka ummi rasa pening dan lemah badan. Nak terawih pun dah tak larat. Terpaksa tidur awal dari biasa. Sebelum tidur telan panadol. Jam 9 malam dah lena semuanya termasuk ummi. Alhamdulillah untuk hari ini.





5 Ramadan 1442H

Weekend. Sahur dan buat aktiviti masing-masing. Main game dan melukis. Tak lupa video call dengan abi. Hari ni ada kawan datang main di rumah. Walaupun cuti sekolah, seharian tak tidur juga. Alhamdulillah puasa sempurna sehari lagi. 





6 Ramadan 1442H

Masih bercuti di hujung minggu. Seharian terperap saja di dalam rumah. Hanya keluar sesekali. Gadget menjadi teman. Alhamdulillah Anas dan Mussaab terus kuat menahan lapar dan dahaga hingga saatnya berbuka. Hari ni dapat khabar tentang mek yang dirawat di klinik. Keadaan mek lemah, terpaksa dimasukkan air ke badan. Moga mek akan kembali sihat dan berkudrat. Kesian mek :, abi di kejauhan tak lupa video call dan bertanya khabar seperti selalunya. Ya Allah, rindu pada yang jauh. Tapi tak mampu nak berbuat apa. Pada Allah hati ini berserah.





7 ramadan 1442 H

Anak-anak kembali bersekolah. Abi masih berkuarantin-hari ke 11. Ummi kembali ke rutin menghantar dan mengambil anak sekolah, sediakan juadah bersahur dan berbuka serta tugas azali yang lain. Alhamdulillah segalanya lancar berjalan. Melalui hari ini dengan baik. Berbuka puasa bersama, video call abi beberapa kali, malamnya dapat main bunga api yang dibeli petang tadi. Alhamdulillah untuk hari ini. Genap sudah 7 hari Anas dan Mussaab berpuasa.





8 Ramadan 1442H

Anak-anak berpagian ke sekolah, ummi menguruskan semua sendiri. Suri teman sejati setiap hari. Lepas ambil Mussaab dari SRIPN, ke Econsave membeli keperluan. Ambil Miqdad, kemudian hantar Mussaab ke SKKR, dan ambil Anas di SRAIPB. Jam 5.30 dan yang terakhir, ambil Mussaab balik. Hari ni belanja semua berbuka dengan nasi lemak Marrybrown seperti dijanjikan abi, sebab berjaya cukupkan 7 hari pertama puasa. Alhamdulillah. 





9 Ramadan 1442 H

Meneruskan hari tanpa abi di sisi. Meneruskan rutin yang agak padat dan penat. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Hari ni hantar servis kereta viva di bengkel (semalam ada kes viva buat hal di jalan). Alhamdulillah sekejap je dah siap kereta. Last trip ambil Mussaab, hujan turun dengan lebatnya. Syukurlah semalam beli payung di econsave. Sampai ke rumah dengan selamatnya mengharung hujan lebat dan jem yang seperti selalunya. Alhamdulillah. Kan dah kata, Allah permudahkan meski bagaimana bentuk kesukaran yang perlu ditempuh. 





10 Ramadan 1442H

Alhamdulillah sudah menempuh 10 hari pertama Ramadan dengan sangat baik (meski tanpa abi bersama, meski ujian kiri dan kanan). Anas dan Mussaab masih berpuasa penuh dan masih bersemangat untuk cukupkan puasa sebulan. Masya Allah. Sekolah macam biasa. Abi hari ke-14 di Bintulu. Hari ni juga buka gelang kuarantin. Tapi masih menunggu hari untuk ke laut. Masih panjang penantian kita. Moga Allah anugerahkan kesabaran dan pertemuan yang manis. Insya Allah. 





11 Ramadan 1442 H

Hari last sekolah untuk minggu ni. Lakukan rutin harian seperti biasa juga. Hari ke-15 abi di Bintulu dan entah untuk berapa lama lagi. Balik sekolah, semua dah start dengan game dan gadget (mood cuti sekolah). Petang hari sama-sama ambil Mussaab di sekolah dan singgah beli chicken chop untuk Mussaab (sebab dia tak makan nasi arab yang ummi masak untuk menu berbuka). Berbuka sama-sama, solat dan lipat kain baju (cuti baca Quran malam ni). Kemudian tidur dengan lenanya. Alhamdulillah





12 Ramadan 1442H

Weekend. Bangun sahur, solat subuh dan terus dengan aktiviti (game) masing-masing. Miqdad ke Library Semenyih bersama teacher Zeeda sehingga jam 12, Anas dan Mussaab habiskan masa dengan game dan tv saja. Ummi juga tak larat nak pantau dan suruh buat kerja lain.  Hari ni rasa nak rehat (walaupun ada kerja wajib yang tak boleh ditinggalkan). Ummi tak masak, cari makanan di bazar dekat econsave untuk hidangan berbuka. Mussaab agak lemah hari ni. Masuk waktu berbuka hanya makan sedikit. Muntah dan tak berdaya. Lepas makan terus tidur. Mungkin esok tak puasa. Miqdad pula dah start selesema dan jari pula terkepit di pintu. Riuh rendah dengan tangisan. Alhamdillah Suri baik-baik je. Melepasi cabaran hari ini, bersedia mendepani hari esok. Moga kan lebih baik, insya Allah.





13 Ramadan 1442H

Masih berhujung minggu. Mussaab tak puasa hari ni, sengaja ummi tak kejut sahur sebab semalam sangat lemah dan makan sedikit saja waktu berbuka. Anas terus berpuasa seperti biasa. Hanya aktiviti sendiri di rumah. Banyak main game, dan buat aktiviti dalam work book sikit. Pagi bawa ke petang, hanya dengan aktiviti sendiri (Hafiz datang main kat rumah). Petang teman ummi beli barang dapur di kedai Aceh. Berbuka bersama dan naik ke atas. Solat dan baca Quran, lepas tu mewarna sekejap dan tidur. 





14 Ramadan 1442H

Kembali bersekolah dan berpagian meninggalkan rumah. Pagi hinggalah ke petang, bergiliran menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Agak kepenatan hari ni. Rasa nak rehat dan tidur saja. Namun ada tanggungjawab yang perlu digalas. Masak untuk berbuka pun dah lewat petang, ngam-ngam dekat waktu berbuka siap dihidang semua. Oh ya, Mussaab tak puasa lagi hari ni. Entahla, tak tahan haus. Moga esok akan kembali berpuasa. Alhamdulillah Anas masih bertahan. Moga dapat puasa penuh sebulan seperti tahun lepas. Insya Allah. Syukur, semua dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah. Alhamdulillah- hari ke-18 abi di Bintulu. Masih belum turun ke laut. Moga dipermudahkan urusan abi. Rindu sangat!





15 Ramadan 1442H

Separuh Ramadan berlalu. Alhamdulillah. Anas berpuasa penuh. Mussaab pula 2 hari tak cukup puasanya. It’s ok. Mussaab dah cuba yang terbaik. Hari ini dilalui dengan baik. Alhamdulillah. Hari ke-15 puasa, abi belanja nasi lemak McD. Alhamdulillah. Sempat video call untuk kesekian kali, sebelum esok hari, abi akan ke laut dan bertugas setelah melalui panjangnya tempoh berkuarantin. Semoga esok juga kan baik-baik saja. Dipermudahkan olehNya untuk meneruskan hari. Melalui Ramadan ini dengan cemerlang, insya Allah. 

0 comments:

Post a Comment