Friday, 10 May 2024 By: Naemah

PESAN BUAT DIRI


3 minggu kebelakangan (sejak lepas cuti raya), abi busy amat. Tak dapat spend masa bersama keluarga. Macam biasa, ummi ambil peranan sepenuhnya di rumah. Dengan semangat dan kudrat yang ada turun naiknya.


Sempat terdetik dalam kepala ni; kalaulah dapat satu hari yang boleh aku tak perlu bangkit pagi untuk sediakan makan minum, kejut askar-askar untuk solat, diam dari ‘berperang’ dan membebel tentang banyak perkara, tak payah masak langsung, order je nak makan apa tanpa hiraukan harga, tak sibuk bersesak di jalan raya, bebas nak baring di katil bila-bila masa, bersenang lenang menonton cerita best sambil mengunyah dengan senang hati dan tak terkejar-kejar dengan masa, nyaman dari membayangkan kain baju yang bertimbun, periuk belanga yang bersusun, keadaan rumah yang tunggang-langgang, yang semuanya menunggu untuk diuruskan…


Allah, jauh perginya kehendak tu. Nak, tapi tak boleh. Atau boleh, tapi diambil segala yang ada dan yang sedang disibukkan hari ini… Nau’zubillah. 


Oleh itu perlu padamkan rasa ingin itu dengan kembali ingatkan hati untuk bersyukur dan menghadapi segalanya dengan sabar. 


Alhamdulillah, bersyukur dengan apa yang ada hari ini, dan apa yang perlu dilalui hari ini. Bersabar memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang dianugerahkan dengan sebuah keluarga sempurna.


Bersabar mengulangi rutin harian dari bangkit pagi hingga malam harinya. Bersabar mendepani ragam anak-anak yang pelbagai, bersabar menguruskan urusan di rumah A to Z biarpun bersendirian, bersabar bila nak makan dan mandi pun kena ‘rushing’ takut si kecil memanggil-manggil. Bersabar bila tetap kena masak walaupun tak larat, sebab tak boleh nak beli hari-hari supaya duit tak mengalir laju sangat, bersabar mengusung si kecil keluar masuk kereta berkali-kali sehari dan bersesak di jalan raya, dan bersabarlah untuk segalanya. Kerana tiada pilihan lain, melainkan sabar dan ikhlas.


Siapa je dalam dunia ini yang hidupnya senang lenang dan bebas dari tekanan? Biarpun kita semua diletakkan dalam situasi kehidupan yang berbeza, tetaplah semuanya berdepan dengan cabaran hidup yang tersendiri. Kerana itulah tak patut untuk kita membandingkan hidup kita dengan orang lain, apatah lagi mencemburui kehidupan orang lain yang kita anggap ‘lebih baik’ dari kita.


Hiduplah dengan apa yang sedang kita jalani sekarang ini. Segalanya sudah diatur Allah dengan sebaik-baik perancanganNya. Begini untuk kita, dan begitu untuk mereka. Adil Allah meletakkan kita pada setiap situasi kehidupan ini. 


Mudah-mudahan segala payah, penat, lelah, dan segala rasa yang tak terluah, Allah ganjari dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat nanti. Jika di sini berpenat lelah, mudah-mudahan di sana nanti menjadi kerehatan yang abadi buat kita. Ameen.


Ingat ya, pelihara ikhlas dan teruskan bersabar dan berdoa, mengharap hanya kepada DIA-pesan diri buat diri. 

0 comments:

Post a Comment