Kini sedang mengandungkan anak ketigaku. Insya Allah akan melahirkannya pada bulan Oktober 2016. Teringat kembali saat saat melahirkan kedua anakku Anas (2012) dan Mussaab (2014). Tergerak hati untuk mencatatnya di blog ini sebagai kenangan dan panduan.
Aku mulakan dengan catatan pengalaman bersalinkan anak yang pertama iaitu anak sulungku Anas Zaydan b. Mohd Suzainizam pada 12 Januari 2012.
Aku sendiri sudah ingat ingat lupa kerana dah lebih 4 tahun saat itu berlalu. Namun insya Allah part yang penting masih kukuh tersimpan dalam memori.
Aku dijangka bersalin pada tarikh 17/01/12. Di trimester ketiga, aku disahkan ada GDM (kencing manis). Disebabkan GDM, aku tidak boleh overdue. Means, selewat lewatnya aku perlu bersalin juga pada 17/01/12.
10/01/12 (2 hari sebelum bersalin/minggu 40)
Nak dijadikan cerita, sehari sebelum bersalin iaitu pada 10/01/12 aku memeriksa sendiri denyutan jantung anakku menggunakan fetal doppler kepunyaanku. Memang aku dan suami sering memeriksa sendiri jantung baby. Sebenarnya dah mula risau sebab aku rasakan seperti heart rate tu perlahan. Tapi, barangkali aku yang silap kira. Aku juga merasakan gerakan baby di dalam perut sepertinya sudah kurang berbanding biasa. Tapi kemungkinan juga kerana dia sudah makin besar dan ruang menjadi lebih sempit untuknya bebas bergerak. Wallahu a'lam.Hari itu juga aku perlu buat bsp untuk melihat tahap gula dalam darah. Bacaannya ada yang baik, ada yang kurang baik. Biasalah tu. Tapi risau juga...maklumlah anak sulung, semua nak risau :)
11/01/12 (sehari sebelum bersalin)
Maka pada keesokan harinya (pagi) aku ke klinik desa kg Kijang untuk menyerahkan result bsp kepada nurse. Oleh kerana ada bacaan yang kurang cantik, nurse meminta aku ke Klinik Kesihatan Badang untuk minta nasihat doktor. Suamiku segera membawa aku ke klinik Kesihatan yang letaknya tidak berapa jauh dari rumah ibu mertuaku.
Aku bertemu doktor sekitar jam 9-10 pagi. Selain menyerahkan bacaan result bsp, aku juga mengadu kononnya dah rasa kurang gerakan baby di dalam perut. Doktor memandang serious aduanku, dan ditambah lagi aku yang ada masalah GDM ni, dia menasihatkan aku untuk segera ke hospital Kota Bharu untuk dapatkan nasihat dari pihak sana pula. Agak terkejut aku, yelah due lagi 5 hari. Aku risau kalau kalau disuruh bersalin hari ini. Dan lagi takut, memikirkan diri akan diinduce.
Doktor membuat surat untuk dirujuk pihak hospital. Aku tanpa sebarang alasan dan bantahan meskipun agak gementar, hanya menurut nasihat doktor. Aku khabarkan pada suami yang setia menanti di luar. Dia juga tanpa banyak alasan membawa aku ke Hospital Sultanah Zainab, Kota Bharu.
Sebaik sampai kami terus ke ruang labor room. Waktu tu sekitar jam 11-12 PM. Memang badanku sudah seram sejuk dari tadi. Tak tahu apa yang bakal terjadi padaku. Suami cuba menenangkan aku, namun rasa takut itu tetap ada. Masuk ke bahagian labor room, aku menyerahkan buku pink dan surat doktor tadi. Aku diminta menunggu di bahagian yang disediakan. Suamiku menunggu di luar. Tambah kencang degupan jantungku melihat begitu ramai orang di labor room. Semuanya menunggu masa untuk bersalin. Ada yang berwajah tenang, ada juga yang sedang menahan sakit. Aku yang sihat walafiat ini, tidak mengerti bagaimana kesakitan itu kerana aku tiada pengalaman. Namun aku tahu ianya memang sakit, dan aku juga akan menghadapi saat itu nanti.
Agak lama menanti. 1-2 jam lebih kurang. Aku meminta suami pulang ke rumah dulu memandangkan aku sendiri tidak pasti bila akan tiba giliranku untuk diperiksa. Suamiku pulang, dan minta aku menghubunginya jika ada apa apa.
Akhirnya sampai giliranku diperiksa. Mulanya dipasang mesin ctg, kemudian scan dan cek laluan bersalin. Memang laluan belum ada lagi. Yalah, aku memang tak rasa apa apa dan tiada sebarang tanda untuk bersalin dalam masa terdekat. Aku masih dalam ketakutan, tidak tahu apa keputusan yang akan doktor buat. Setelah mereka berbincang sesama sendiri, akhirnya mereka menasihati aku untuk induce atau paksa bersalin demi untuk mengurangkan risiko yang mungkin ada.
Keputusan itu sangat berat untuk aku terima. Bertambah takut aku dibuatnya. Memang rasa nak menangis. Aku maklumkan pada suamiku. Dalam hatiku, kalaulah aku boleh cabut lari dari hospital itu...namun aku akur, mungkin itu yang terbaik.
Aku dimasukkan ke wad. Suasana wad yang penuh sesak makin merimaskan aku yang sedang ketakutan dan penuh dengan debaran ini. Aku diam di katilku, menunggu suami membawa segala keperluanku. Selepas itu aku melaksanakan solat zohor. Suami datang menemaniku dan berbual denganku. Tak dapat aku nak gambarkan perasaanku. Terasa mahu menangis saja. Dalam solatku, aku berdoa dan menangis sepenuh hati.
Pada malamnya, aku tidur di wad hospital tanpa ditemani sesiapa. Tak perlu berteman, kerana aku tak sakit. Bebas bergerak tanpa memerlukan pertolongan orang lain. Namun hati terus direnggut sayu. Di sekelilingku ada bermacam orang dengan berbagai situasi dan kondisi. Ada yang sedang menunggu masa untuk bersalin, ada juga yang baru melahirkan. Bunyi tangisan bayi juga membuatkan malam itu 'hidup' dan tidak sunyi. Yang pastinya aku tak dapat nak lelapkan mata, memikirkan hari esok. Saling berbalas SMS dengan suamiku. Meluahkan rasa takut dan segala rasa. Dia memujuk dan akan pasti mendoakan.
12/01/12 (hari bersalin)
Hari yang mendebarkan tiba akhirnya. Selepas solat subuh, sekitar jam 7 pagi ubat induce dimasukkan melalui faraj. Aku yang pastinya sangat takut dan sukar untuk bertenang, hanya mampu pasrah dan berdoa. Semoga segalanya dipermudahkan.
Suamiku datang menjengukku di awal pagi. Aku tahu dia juga dalam debaran. Maklumlah nak sambut anak sulung. Aku masih sihat dan tidak ada rasa sakit. Tak tahu bagaimana rasa sakit itu, dan terus berdebar untuk menanti saat sakit itu tiba. Kerana memang syarat untuk bersalin, perlu rasa sakit.
Suami setia menemaniku hingga masuk waktu zohor. Pada ketika itu aku dah mula rasa kontraksi yang tak konsisten dan tak kuat. Seperti datang bulan saja. Aku biarkan suamiku pulang untuk solat dan waktu melawat juga sudah tamat. Dia berpesan banyak perkara sebelum meninggalkan wad.
Lebih kurang pukul 3 petang aku dapat rasakan kontraksi yang semakin kerap datang, dalam kiraan 5 minit sekali. Aku maklumkan pada nurse yang berdekatan. Mereka meminta aku bersiap untuk dibawa ke labor room. Aku mencapai beg pakaian anakku dan aku ditolak ke labor room menggunakan kerusi roda.
Apabila doktor cek laluan, rupanya dah buka 2cm. Tak lama kemudian aku dimasukkan ke dalam labor room untuk bersedia melahirkan anak. Ketuban dipecahkan. Aku maklumkan pada suamiku dan dia segera datang. Hari itu juga suamiku berpuasa. Selesai solat asar dia masuk menemaniku.
Kontraksiku semakin kuat. Tak mampu nak kira. Ia lebih kerap datang dalam sela masa yang lebih singkat. Tapi bukaan masih sama. Ambil masa yang sangat lama dari 2cm ke bukaan seterusnya. Aku sendiri sudah lupa jangka masanya. Yang pasti aku rasa makin sakit. Tapi jalan belum sepenuhnya terbuka.
Sempat suamiku keluar berbuka dan solat maghrib, kemudian isyak. Dia cuba menenangkan aku yang sedang menanggung kesakitan. Dia membaca al Quran dan mengurut ngurut badanku. Lengannya pula sering menjadi mangsa cubitanku yang menanggung sakit saat kontraksi datang.
Akhirnya lebih kurang pukul 11 malam aku dah rasa sakit dan nak meneran. Doktor dan nurse berdiri kiri dan kanan membantu aku untuk meneran. Puas kucuba, entah berapa kali masih tak berjaya melahirkan anakku. Mungkin tiada pengalaman, banyak buat kesilapan ketika meneran. Aku tak sempat nak tahan nafas. Bayi yang dah hampir keluar akhirnya masuk semula. Doktor dan nurse dah berulangkali mengajarku teknik pernafasan yang betul. Suami yang setia di sisi juga terus memberi semangat.
Akhirnya, jam 11.57pm, aku berjaya melahirkan seorang bayi lelaki yang sangat comel. Mengalir air mataku mendengar tangisannya. Suamiku sujud syukur dan melaungkan azan dan iqamah di telinganya. Bayi itu kemudian diletakkan di atas dadaku. Tuhan saja yang tahu perasaan gembira dan syukurku. Hilang segala kesakitan yang aku tanggung tadi sebaik mendengar tangisannya dan bersentuhan dengannya.
Kemudian anakku dibawa pergi untuk dimandikan dan diperiksa keseluruhannya. Proses untuk keluarkan uri pula diteruskan. Suamiku menunggu di luar dan menghubungi keluargaku yang juga ada di Kota Bharu ketika itu. Aku dan anakku kemudian di bawa ke wad setelah selesai urusan di labor room. Suamiku pulang ke rumah, dan aku ditemani kakakku di wad pada malam itu. Kami dibenarkan pulang ke rumah pada keesokan harinya.
Begitulah kisah kelahiran anak sulungku yang diberi nama Anas Zaydan b. Mohd Suzainizam. Aku anggarkan tempoh aku menanggung sakit kontraksi untuk melahirkannya adalah lebih kurang 7-8 jam. Proses kelahiran yang aku rasakan 'sukar', mungkin kerana ini anak sulung, tiada pengalaman dan banyak kesilapan yang aku buat terutamanya dalam teknik pernafasan ketika meneran.
Sakit diinduce dikatakan lebih sakit berbanding tidak diinduce. Aku yang ketika ini tiada pengalaman bersalin anak yang lain tidak mampu untuk membuat perbezaan. Yang pasti, aku memang 'menikmati' kesakitan itu.
Satu hal lagi, di hari aku dimasukkan ke wad aku ada meminum air rendaman akar kayu siti fatimah (kalau tak silap namanya) yang mungkin merangsang kontraksi. Tapi walaupun sakit, laluan jalan tak terbuka sepenuhnya juga. Semua itu hanya ku sedari setahun dua selepas itu, selepas membaca satu artikel tentang bahaya meminum air akar kayu tersebut. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku pada anakku, dan dia selamat dilahirkan.
Hari ini Anas sudah berusia 4 tahun 3 bulan. Syukur dia anak yang sihat dan cerdas. Syukur atas kelahiran anak pertamaku yang sangat dinantikan, selepas kandungan pertamaku keguguran.
ALHAMDULILLAH
bersambung kisah Mussaab di entri seterusnya :)
Sakit diinduce dikatakan lebih sakit berbanding tidak diinduce. Aku yang ketika ini tiada pengalaman bersalin anak yang lain tidak mampu untuk membuat perbezaan. Yang pasti, aku memang 'menikmati' kesakitan itu.
Satu hal lagi, di hari aku dimasukkan ke wad aku ada meminum air rendaman akar kayu siti fatimah (kalau tak silap namanya) yang mungkin merangsang kontraksi. Tapi walaupun sakit, laluan jalan tak terbuka sepenuhnya juga. Semua itu hanya ku sedari setahun dua selepas itu, selepas membaca satu artikel tentang bahaya meminum air akar kayu tersebut. Alhamdulillah tiada apa yang berlaku pada anakku, dan dia selamat dilahirkan.
Hari ini Anas sudah berusia 4 tahun 3 bulan. Syukur dia anak yang sihat dan cerdas. Syukur atas kelahiran anak pertamaku yang sangat dinantikan, selepas kandungan pertamaku keguguran.
ALHAMDULILLAH
Anas Zaydan sudah berusia 4 tahun |
bersambung kisah Mussaab di entri seterusnya :)
0 comments:
Post a Comment