Wednesday, 16 May 2018 By: Naemah

PRU-14: SELESAI TANGGUNGJAWAB



Alhamdulillah selesai sudah melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi :)

Sekarang ini seluruh rakyat sedang menanti keputusan dengan penuh debaran. Debaran yang sukar dirungkai. Debaran yang dirasai setiap 5 tahun :)

Sebelum mendapat keputusan rasmi keseluruhan, ambil kesempatan sebentar untuk mencoret pengalaman mengundi hari ini.

Aku ke pusat mengundi yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Legeh, jam 10 pagi bersama dengan anak saudaraku Farhani dan Firdaus dengn menaiki kereta. Aku hanya membawa Miqdad kerana Anas dan Mussaab sudah ke rumah Pok Long mereka. Alhamdulillah, tak perlu bawa mereka sekali. Kalau tidak, tak dapat bayangkan bagaimana nanti mereka bila perlu berada di sana dalam tempoh yang agak lama.

Ada 2 saluran mengundi, dan aku di saluran 2. Saluran 2 sudah tentu agak ramai, dan kami perlu beratur panjang. Kesian Miqdad yang tengah demam, terpaksa teman ummi mengundi hari ini. Alhamdulillah Miqdad tidak terlalu merengek, cuma Miqdad tak nak dengan sesiapa kecuali ummi sahaja. Sebelum sampai ke bilik mengundi, aku duduk di bahagian kantin sekolah dan melayan Miqdad di sini. Bila giliran dah dekat sampai barulah aku masuk beratur sekali dengan anak saudara dan abangku.

Anggaran masa menunggu adalah selama 1 jam, agak lama juga. 11.30 akhirnya selesai urusanku. Miqdad terpaksa dibawa masuk sekali untuk memangkah kertas undi memandangkan dia tidak mahu dengan sesiapa. Alhamdulillah Miqdad baik-baik saja bersama ummi :)

Setelah urusan selesai, terasa lega yang amat kerana satu tanggungjawab besar sudah dilaksanakan. Aku mengikut anak saudaraku balik ke rumahnya memandangkan Anas dan Mussaab ada di sana. Kami berada lama di rumah abang kedua, dan abang sulungku. Siap makan tengahari lagi :) Anas dan Mussaab juga sangat ceria bermain dengan sepupu, dan anak sepupu mereka di sini.

Kami balik ke rumah bila hampir masuk waktu zohor. Aku menumpang kereta abang ketigaku yang juga balik dari Sabah semata untuk mengundi. Alhamdulillah sampai di rumah, solat dan rehat.

Syukur kupanjatkan atas apa yang telah dilalui hari ini. Meskipun suamiku tak diberi kesempatan untuk mengundi, namun kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk negara ini. Biar apa jua keputusan yang diterima nanti, semoga diberi ketenangan dan kelapangan hati untuk menerimanya sebagai takdir Allah yang terbaik untuk semua.

Ya Allah, berikanlah kemenangan pada yang berhak dan berkemampuan untuk mentadbir Malaysia dengan sebaik-baiknya. Aameen



0 comments:

Post a Comment