Saturday, 10 July 2021 By: Naemah

APA KHABAR SEMUA??



Bulan sudah berganti tahun. Kini masih hidup di dalam suasana pandemik. Walaupun banyak negara sudah bebas, namun Malaysia masih sedang bergelut dan berjuang dalam kemelut pandemik ini. Allah saja tahu apa yang sedang kita semua rasa dan tanggung sehingga hari ini. Semua terkesan dari pandemik ini, tak kira tua muda, kaya miskin, bujang berkahwin… banyak yang sedang tersepit dan banyak juga yang selfish sedang menyelamatkan diri sendiri tanpa hiraukan insan sekeliling yang terkapai hanyut dan tak berupaya untuk bangun.


Hari ini, kes bunuh diri dapat kita dengar setiap hari (2 kes sehari menurut kajian). Banyak kes depresi, banyak yang melarat hidupnya, bukan lagi kais pagi makan pagi, bahkan tak mampu untuk mengais lagi hingga tak makan-makan. Banyak bisnes besar apatah lagi kecil tumbang, ramai yang dibuang kerja hilang mata pencarian, anak-anak terkurung tak dapat menikmati masa bahagia seorang kanak-kanak, kesan mentalnya juga bakal kita lihat dan sudah ramai ibubapa yang mengadu dan mengeluh akan hal ini. 


Bulan berganti tahun, anak-anak tak dapat lagi pulang untuk menziarahi ibu ayah yang sudah tua dan uzur, ibu ayah menanggung kerinduan tak terungkap. Bahkan rindu merekalah yang lebih mendalam. 


Apa khabar semua? Ahli keluarga jauh dan dekat? Rakan dan sahabat? Dan semua rakyat Malaysia? Baik-baikkah semua? Aku tahu ujian ini sedang ditempuh oleh kita semua. Meski kita terkesan pada sudut yang berbeza, namun yang pasti ada ‘bahagian’nya untuk kita rasa.


Aku? Pertamanya Alhamdulillah meski di dalam ujian ini, hidup kami sekeluarga masih sangat baik. Makan minum masih cukup, kediaman selesa untuk anak berteduh dan anak-anak bebas bermain, suami tetap dengan pekerjaannya, aku pula dapat jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu seperti biasa. Eh tak, bukan seperti biasa lagi. Bahkan perlu lebih dari biasa. Dan di sudut inilah mungkin pandemik ini mengujiku dan keluargaku. 


Suamiku kini banyak masa habis dengan kuarantin di luar setiap kali keluar bekerja. Dalam sebulan kadang-kadang tak sampai seminggu pun dia di rumah. Rumah sekadar transit, dari tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Bahkan tahun ini (sudah bulan ke-7) boleh dihitung berapa hari saja dia di rumah. 


Dan aku, sibuk dengan pdpr 3 anakku yang masih bersekolah rendah dan tadika. Dalam masa yang sama, ada seorang lagi yang masih kecil dan mendamba sepenuh perhatian. Pdpr sahaja sudah bikin pening. Anak sekadar belajar, penyediaan dan yang lain-lain hingga menghantar tugasan sekolah, kita yang perlu uruskan semua. 


Dalam masa yang sama masih perlu melaksanakan tanggungjawab yang lain juga. Kerja-kerja rumah seperti memasak dan laundry, kitalah juga. 


Time pandemik begini, dan suami pula tak ada dalam tempoh yang lama, urusan  membeli keperluan dapur juga aku perlu buat sendiri. Sesekali order delivery seperti happy fresh dan foodpanda, tapi selalu juga slot penuh, dan barang yang nak dibeli tak ada dalam list. Last-last perlu keluar sendiri. Nak membeli pun tak seronok sebab kena rushing sebab tinggalkan anak-anak kat rumah, especially yang kecil tu. Dalam kepala ingat nak cepat balik je. Hish.. tak suka bila kena keluar. Tapi dah terpaksa, tempuh dan pasrah tinggalkan anak-anak sendiri di rumah. Syukurlah yang sulung dah boleh diharap untuk jagakan adik.


Rasanya penat fizikal taklah sangat. Mental ni yang terlebih kerja. Emosi kadang tak menentu. Sampai kadang-kadang rasa tak nak buat apa-apa. Nak baring saja. Tapi agaknya boleh??


Tak baik untuk aku mengeluh, bahkan di luar ramai yang lebih menderita. Tak, bukan ku mengeluh pada takdirNya. Tapi hanya kerana ku juga manusia biasa yang terkadang kuat dan terkadang lemah dan longlai menempuh ujian hidup ini. 


Aku setiap hari mencari dan mendoakan kekuatan agar aku tak menjadi seperti yang tak sepatutnya. Agar aku masih dapat jalankan tanggungjawab sebagai hambaNya, sebagai ibu dan juga isteri. Agar aku terima ujian ini sebagai rahmat dan jalan untuk diampunkan segala dosa dan diangkatkan darjat sebagai hamba. 


Tapi ujian tetaplah ujian. Hingga hari ini hati dan perasaan kita masih terus berperang. Lemah dan kuat bergantian. Senyum dan air mata beriringan. 


Duhai semua yang sedang diuji. Tetap bertahanlah. Jangan sesekali memilih jalan yang salah kerana menyerah pada takdir yang tidak kita kehendakkan. 


Aku mendoakan agar semua akan terus kuat. Aku tahu, kita menempuh ujian ini pada jalan kesakitan yang berbeza. Namun itulah ‘dari Tuhan untuk kita’. Dia yang lebih tahu bentuk ujian apa yang sesuai buat kita.


Moga kan tetap bercambah keimanan kita dalam menempuh ujian hidup ini. Tetap percayakan kasihNya. Tetap bergantung dan berpaut padaNya. 


Apa khabar semua??

Moga baik-baik saja semua.

0 comments:

Post a Comment