Sunday, 10 May 2020 By: Naemah

TERIMA KASIH PINJAMKAN DIA




Bukan selalu diberi peluang untuk bersama dalam tempoh yang begini lama. Sudah hari ke-18 puasa. Dari menyambut awal ramadan sehingga ke hari ini Allah masih ‘pinjamkan’ suamiku-untukku dan anak-anak. 


Pengalaman Ramadan yang lepas, rasanya tak pernah diberi tempoh yang sebegini lama untuk suamiku berada di rumah. Mungkin ini juga hikmah PKP-walaupun hakikatnya suamiku tak terikat dengan PKP. Dan barangkali juga esok lusa dia akan kembali bertugas, tetapi selama tempoh yang telah dilalui bersama, aku sangat-sangat bersyukur.


Mungkin aku tak tahu bagaimana nak meluahkan terima kasih, tetapi keberadaannya di rumah sepanjang tempoh ini bagaikan satu rahmat yang besar buatku. 


Hampir setiap hari, juadah bersahur dan berbuka dia yang sediakan. Di samping kerja-kerja rumah yang lain, yang banyak dibantu oleh dia. Termasuk ‘masalah’ yang timbul tak terduga, dia juga yang berjaya settlekan. Sink tersumbat, mesin basuh buat hal, Hp pecah skrin, aircond tak sejuk, dan selainnya, dialah yang sentiasa jadi hero selamatkan semuanya. Belum masuk bab cukupkan segala keperluan isi rumah. Di musim PKP ini, sudah tentu semuanya terpikul di bahunya. 


Aku pun tak tahu bagaimana nak describe, sentiasa dalam ujian Allah itu terkandung sekali dengan rahmatNya. Siapa sangka, Ramadan kali ini bukan sekadar berbeza kerana tak boleh ke mana-mana termasuk balik kampung, tapi juga berbeza kerana setiap hari suami ada di sisi (at least untuk sepanjang 18 hari ni). 


Aku sedar, sebagai manusia biasa aku sering lupa nak bersyukur, sukar nak menghargai. Tetapi sedaya upaya aku cuba untuk selalu ingatkan diri. Banyakkan syukur, walaupun tak semua mudah. Sentiasa pandang kebaikan dan betapa banyak yang dah dia beri dan buat, berbanding sedikit saja yang kadang-kadang kita tak puas hati. 


Dan lebih-lebih lagi, sentiasa pandang diri yang bukan sekadar tak sempurna, bahkan sangat jauh dari sempurna. Tapi masih dia setia mencintai, dan menyantuni. 


Aku juga sedar, banyaknya salah dan ego aku  yang dia pilih untuk memaafkan, dan menelan semua dengan sabar. Ya, aku ini bukan isteri yang baik dan mungkin jauh dari watak pernah dia idamkan. Namun terima kasih, kerana seadanya menerima diri ini. Menjaga aku sebaiknya, tak mencela tiap aibku, dan sentiasa mencuba tuk menjaga hati, dalam tiap teguran dan rasa tak puas hati.


Terima kasih Allah ‘pinjamkan’ dia untukku. Bukan sekadar untuk tempoh yang ini, bahkan selama hidup bersamanya. Entah aku tak pasti sampai bila. Aku sedar dia sekadar pinjaman untuk aku. Bukan hak milik aku. Bukan selamanya akan bersama dengan aku. 


Kerana masa ‘berdua’ yang sukar untuk kami dapat- aku impikan untuk jalani kehidupan hari tua bersama dengannya. Jika Allah izinkan.. semoga Allah izinkan. Dan semoga tetap diberikan kesihatan yang baik pada aku dan dia. Banyak yang masih perlu dimulakan, banyak yang masih perlu diperbaiki, banyak yang kami berdua perlu ke depan dan capai bersama-sama.


Aku yakin dan percaya, takdir Allah akan sentiasa yang terbaik, untuk aku dan untuk dia! 


Aku serah segalanya pada DIA









0 comments:

Post a Comment