Wednesday, 15 June 2016 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: 24TH WEEKS OF PREGNANCY




Alhamdulillah usia kandungan sudah mencecah usia 23 minggu. Berada di bulan ke 6 kehamilan. Alhamdulillah di atas apa yang telah kutempuhi sepanjang mengandungkan anak ketiga ini.

Hari ini sudah masuk pertengahan Ramadhan. Masuk hari ke 12 aku berpuasa dalam keadaan berbadan dua ini. Ia bukan pengalaman baru, malah 2 anak sebelum ini juga sempat menempuh Ramadhan dalam keadaan hamil. Bezanya, yang sebelum ini kandungan masih baru, dan tiada gdm. Kali ini kandungan dah besar sedikit, dan sudah 'sah' ada gdm. Namun seperti puasa lalu yang berjaya aku sempurnakan dengan baik, kali ini harapannya begitu juga. Alhamdulillah untuk sehingga hari ini, tiada masalah yang aku hadapi sepanjang berpuasa.

Bagi wanita hamil, sememangnya ada kelonggaran untuk mereka berbuka, sekiranya bimbang akan kesihatan dirinya atau anak yang dikandung. Namun padaku, aku akan cuba sebaiknya untuk berpuasa di samping berdoa agar terus diberikan kekuatan untuk sempurnakan puasa ini. Alhamdulillah di atas kesihatan dan kekuatan sehingga hari ini.

Di minggu ke 24 ini. Semakin tidak sabar menanti saat kelahiran anakku. Meski tak lepas dari perasaan takut untuk menghadapi hari itu, namun tetap perlu menghadapinya demi yang tersayang ini. Tidak mudah untuk memeluk dan mendakapnya. Perlu berjuang dan bertarung nyawa untuknya. Itulah pengorbanan besar seorang ibu. Semua ibu di dunia ini.
Semoga terus tenang dan sabar meneruskan hari hari yang mendatang sehingga saat dan detik melahirkan anak syurga ini. Semoga tidak diuji dengan ujian yang tak mampu aku hadapi. Semoga kesihatanku dan kandunganku baik baik saja.

Hari itu semakin mendekat. Dalam debaran, juga penuh pengharapan. Semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah. Sesungguhnya hati ibu ini sangat rindu untuk menatap wajahnya.


0 comments:

Post a Comment