Sunday, 26 June 2016 By: Naemah

RAMADHAN SEBAGAI ISTERI DAN IBU

22 Ramadhan 1437H

Alhamdulillah masuk hari ke-22 aku berpuasa tanpa sebarang masalah. Kalau 2 Ramadhan lepas aku berpuasa dalam keadaan menyusu badan, kini berpuasa dalam keadaan hamil pula.

Bila difikirkan balik, ini adalah Ramadhan yang ke-6 setelah aku bergelar isteri. Ramadhan pertama aku menyambutnya dalam keadaan mengandung anak sulungku. Ramadhan kedua dalam keadaan menyusu badan. Ramadhan ke-3 pula dalam keadaan menyusu dan mengandung anak kedua pula. Ramadhan ke-4 dan ke-5 juga masih menyusukan anak keduaku. Dan Ramadhan ke-6 ini sekali lagi dalam keadaan mengandung anak ketiga.

Terasa bagai tak percaya, seperti tiada 'rehat' buatku pada setiap kali Ramadhan. Tak dinafikan, menyusu dan mengandung itu sesuatu yang agak mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi dari seorang ibu. Kerana itu agama memberi kelonggaran kepada ibu mengandung dan menyusu untuk berbuka puasa sekiranya tak berdaya untuk meneruskan puasa. Puasa yang ditinggalkan perlu digantikan atau dibayar fidyah, atau keduanya bergantung kepada 'atas sebab apa' dia meninggalkan puasa tersebut. Boleh jadi kerana risaukan bayi di dalam kandungan, atau risaukan kesihatan dirinya, atau keduanya (boleh merujuk hukumnya pada yang lebih pakar)

Aku bersyukur kerana Ramadhanku yang berlalu dapat aku tempuhi tanpa sebarang masalah. Tidak pernah meninggalkan puasa, kecuali atas sebab uzur. Malah lebih seronok dapat berpuasa penuh saat berbadan dua. Semoga Ramadhan yang ini juga sama. Masih ada 8 hari yang berbaki. Semoga terus diberikan kekuatan. Insya Allah.

6 tahun menyambut Ramadhan sebagai ibu mengandung dan menyusu tanpa sebarang masalah, sesungguhnya aku sangat mensyukuri nikmat ini. Bermakna mengandung dan menyusu tidak memberi sebarang mudarat pada diriku atau kandunganku. Aku bahagia menjadi ibu yang mengandungkan anak anakku, dan menyusukan mereka, di kala insan lain mungkin diuji dengan 'kesukaran' untuk berbuat demikian. Segala kesyukuran kupanjatkan pada yang Esa.

Tiada sebarang rahsia, selain menyimpan tekad untuk sempurnakan Ramadhan dengan sebaiknya walau bagaimana keadaan dan situasiku. Mengandung atau menyusu, atau keduanya, aku memohon agar Allah tetap memberikan kekuatan buatku untuk terus berpuasa.

Selain itu, aku juga mengambil berat tentang pemakananku baik di waktu bersahur dan berbuka. Makan secukupnya, dan mengambil sekurang kurangnya sebiji kurma (adakala terlupa juga). Air kosong juga jangan dilupa. Minum sebanyak yang boleh. Itu sahaja rahsianya. Tambahan selera makan baik, makanan apa pun aku tak tolak. Tapi agak kesian juga pada yang mungkin tiada selera makan, atau mungkin tengah morning sickness kerana di awal kehamilan. Mungkin tiada cara lain selain berbuka andai diri sudah tidak berdaya dan tiada tenaga.

Berpuasa di dalam keadaan mengandung, padaku satu rahmat dan kebahagiaan. Di bulan yang mulia dan berkat ini, kita takkan lepaskan peluang berdoa untuk kebaikan anak yang sedang dikandung ini agar sentiasa sihat dan dipermudahkan kelahirannya nanti, di samping doa doa yang lain.

Ramadhan yang masih berbaki, semoga Allah terus memberikan kekuatan buatku untuk menyempurnakan puasa ini sebaiknya. Di samping mengandung, aku juga perlu menguruskan dua lagi anakku yang masih kecil. Dalam situasi berjauhan dengan suami seperti sekarang ini, agak mencabar juga tugasku. Tetapi syukur di atas apa yang telah aku tempuhi. Aku tahu aku mampu, dengan izin dan pertolongan dariNya. Insya Allah..





0 comments:

Post a Comment